Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
22,359
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

MENJELANG tengah hari, barulah Yusoffe keluar rumah. Saat itu, dia ternampak sebuah kereta BMW 3series berhenti di depan rumah Datuk Nizam. Pintu pagar automatik bergerak tanda kereta itu mahu masuk ke halaman. Melihatkan seseorang yang dikenalinya di dalam kereta itu, dia bingkas mendapatkan pemandu tersebut.

“Aziyana!” Yusoffe menyapa. Gadis itu tinggal sendirian di apartmen mewahnya di Ampang. Sekali-sekala dia akan pulang menjenguk keluarganya.

“Hei! Lama tak jumpa!” balas Aziyana, tersenyum. Cermin mata hitam jenama LV ditolak ke kepala.

“Macam mana nak jumpa... awak jarang balik,” ujar Yusoffe, mesra.

“Nak buat apa balik kalau orang tu tak sudi nak kawan dengan kita?” Gadis itu pantas melepaskan paku buah keras.

Jejaka itu tersenyum tawar. “Bukan tak sudi tapi saja tak nak kacau bakal tunang orang.”

Hilang terus senyuman di bibir gadis itu. Dia terdiam dan melarikan wajahnya seketika sebelum kembali memandang Yusoffe. “Dua tahun lagi umur saya tiga puluh. Mama risau. Jadi saya ikut saja kata mama. Mungkin buat majlis sekali. Bertunang dan lepas tu terus nikah.”

Yusoffe mengangguk. “Insya-ALLAH, saya doakan awak bahagia.”

Aziyana mengangguk. “Awak pun sama. Jangan membujang lama-lama. Angka tiga puluh tu tak berapa cantik untuk lelaki bujang.”

Yusoffe tersenyum. “Tak apa... lelaki makin banyak umur, makin tinggi sahamnya...”

Aziyana mencebik. “Eleh, awak sengaja jual mahal...”

Yusoffe faham maksud Aziyana yang selama ini mahu menjalin hubungan serius dengannya. Namun, baginya Aziyana hanya sekadar kawan biasa. Malah membesar bersama Aziyana sebagai jiran membuatkan dia tidak mampu menukar perasaan daripada kawan kepada kekasih.

“Maaf, saya tak berniat pun nak kecewakan awak...” Ada getar dalam suara itu.

“Eh, awak tak salah pun. Bukan jodoh kita. Nak buat macam mana, kan? Papa yang kecewa sangat.” Kata-kata itu terputus di situ. Aziyana menundukkan wajah. Ada air jernih mengalir di pipinya. Cepat-cepat dia menyeka air matanya lalu bersuara tanpa mampu memandang wajah lelaki itu, “Saya masuk dulu.”

Belum sempat Yusoffe bersuara, kereta itu sudah bergerak. Dia memerhati kereta itu dipandu masuk ke pekarangan rumah. Pintu pagar yang ternganga, perlahan-lahan bertaut kembali.

Hatinya sedikit terusik dengan tindakan Aziyana. Dia tercegat di situ beberapa ketika. Cuba menyelami perasaan kesal dan pilu nan bertakhta di hati Aziyana. Simpati datang menyerbu jiwanya. Namun apakan dayanya? Dia tidak mampu menunaikan harapan anak dan bapa yang sangat baik hati itu.

Dengan langkah longlai dia mendapatkan semula keretanya yang masih terpasang enjinnya. Dia menghenyak punggungnya ke dalam kereta. Wajahnya dikilas ke arah banglo berwarna putih bersih di sisinya.

Sungguh dia tidak bisa mengecewakan kedua-dua insan tersebut namun dia pun punya hati yang perlu dijaga. Dia tidak mampu mencintai Aziyana. Atas alasan itu dia tidak mahu memaksa diri menjadi menantu Datuk Nizam Al-Bajuri. Satu peluang yang bagi sesetengah orang sungguh rugi untuk dilepaskan.

Dia meneruskan perjalanan. Cuba untuk melupakan peristiwa tadi. Simpati pada Aziyana amat terkesan apabila melihat gadis itu mengalirkan air mata. Sungguh dia tidak tahu betapa dalamnya cinta Aziyana terhadap dirinya. Betapa terlukanya Aziyana kerana cintanya ditolak.

Tiba di parkir, Yusoffe bingkas membuka pintu belakang untuk mengambil beg laptopnya. Saat itu dia terpandang sekuntum bunga Frangipani merah jambu terang yang mula layu di hujung kelopaknya.

Dicapainya bunga itu lalu dibawa ke dalam pejabat. Bunga itu diletakkan di atas meja. Kemudian, dia mengeluarkan laptop tipis 857gram Samsung ATIV Smart PC Pro berwarna hitam dari dalam beg lalu diletakkan di atas meja.

Meskipun fikirannya agak terganggu dengan keadaan Aziyana tadi, tumpuannya masih kuat mengenai proposal yang hendak dijadikan drama seterusnya. Mungkin ALLAH hendak memberinya ilham melalui mimpi agar boleh menghasilkan sebuah drama yang mengesankan di jiwa. Yusoffe mahu membentuk satu karakter yang anggun, bijak tetapi humble.

Semakin dalam dia memikirkan cerita itu, semakin kuat fikirannya melekat pada Megdelina. Gadis sederhana tinggi berkulit cerah. Wajahnya lembut tetapi ada ketegasan yang dijadikan asas jati dirinya. Sungguh berwibawa kalau membawakan watak utama dalam dramanya kelak.

Saat dia mengelamun, sekonyong-konyong bayangan Aziyana mencelah betul-betul di sisi Megdelina. Bagaikan sebuah tayangan hologram dalam filem Transformers.

Yusoffe terus memerhati. Wajah Aziyana dan Megdelina ada iras, terutama hidung dan matanya. Cara mereka ketawa pun sama. Yusoffe ralit. Lebih 20 tahun hidup berjiran dengan Aziyana, baru hari ini dia terbayangkan wajah gadis itu. Ironinya, wajah itu silih berganti dengan Megdelina yang baru dikenalinya minggu lalu. Apakah ertinya?

Kemudian, matanya jatuh pula pada Frangipani di sisi laptopnya lalu diambil dan diperhatikan kuntuman kecil dengan berdiameter lebih kurang empat sentimeter itu. Dahinya berkerut cuba mengingatkan bagaimana bunga itu boleh berada di dalam keretanya, sedangkan rumahnya tidak ada pokok bunga itu.

Dia membelek tangkai bunga itu hingga bunga itu berpusing-pusing sama ligat dengan fikirannya tatkala itu. Tiba-tiba senyuman terukir di bibirnya. Dia teringat nurseri Taman Botani Indah yang dikunjunginya dua hari lepas. Mungkin bunga itu jatuh di atas tubuh atau rambutnya sewaktu dia menyusup di bawah pokok Frangipani tatkala mengintai Megdelina. Kemudian, bunga itu melorot dan jatuh di tempat duduk belakang sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.

Yusoffe membuka dompet lalu mengeluarkan dua keping kalendar poket yang diberi oleh Megdelina tempoh hari. Diperhatikan nama yang tertera di situ – Megdelina M.J. Dia tersenyum. ‘Nama macam bintang Hollywood,’ getus hatinya.

Kemudian, diambilnya kelopak bunga itu lalu diletakkan di antara dua kad tersebut. Kemudian dikatup sebelum disimpan kembali ke dalam dompet.

Selesai pekerjaannya itu, dia bersandar di kerusi empuk melepaskan keluhan panjang. Dia mengelamun dengan pandangannya menembusi kaca tingkap di depannya.

Dirinya bagaikan sedang berada di sebuah taman nan indah. Berjalan berpimpin tangan dengan seorang wanita. Di depan mereka, dua orang kanak-kanak sedang asyik mengejar sesuatu.

Saat wanita itu berpaling, dia merenung wanita itu dengan penuh kasih sayang. Wajah wanita itu begitu jelas dengan matanya yang galak dan hidungnya yang mancung. Ah, dia kenal benar wanita itu.

Tiba-tiba si kecil melaung. “Mama! Papa!”

Yusoffe tersentak. Suara itu bagaikan jelas di gegendangnya. Dia menoleh ke pintu. Kosong! Segera ditampar-tampar pipinya.

‘Ah, jangan main-main, Yusoffe. Usah kau berangan nak pikat dia. Entah-entah lelaki itu tunang dia. Nanti kau yang termalu sendiri!’ Suara hati Yusoffe pantas memberikan amaran keras.

Saat dia masih termangu-mangu, pintu biliknya diketuk dan terus terkuak sebelum sempat dia bersuara. Mazlan, pengurus merangkap kawan baiknya menjenguk.

“Laa... ada pun kau. Ingat cuti. Kenapa lambat?”

Yusoffe memandang tanpa perasaan. Moodnya hilang hari ini. “Ada hal sikit kat rumah. Masuklah.”

“Atau kau pergi dating?” usik Mazlan, nakal.

Dating apa siang-siang buta ni?” Yusoffe menjeling, tidak gemar dengan usikan itu.

“Manalah tahu... pergi jalan-jalan di taman ke? Kalau tak, takkan tutup handphone? Macam nak gila aku call!”

Yusoffe tersentak. “Eh, ya ke?” Lantas dia memeriksa telefon bimbitnya. Memang telefon bimbit itu tidak bercahaya. Baru dia teringat yang telefon bimbit itu ditutupnya sejak subuh tadi.

Sorrylah. aku lupa nak on.”

Namun ada sesuatu yang masih mengganggunya. Tadi Mazlan menyebut ‘taman’. Memang benar tadi dia bersiar-siar di raudah meskipun hanya sekadar dejavu.

Berkerut dahi Mazlan tatkala melihat Yusoffe seperti berkhayal. Pantas dia memetik jarinya. “Kau ni kenapa? Ada masalah ke?”

“Eh, tak ada apa-apalah. Aku cuma kurang tidur aje,” balas Yusoffe dalam senyum tawar.

“Selama ni handphone kau sentiasa on dua puluh empat jam. Aku suruh tutup masa cas pun kau tak nak. Kau kata takut ada panggilan penting masuk. Sekarang ni apa dah jadi? Tiba-tiba kau off pula?”

Yusoffe berkerising. Tengkuknya digaru. Lidahnya kelu. Dia pun tidak tahu apa yang sedang berlaku pada dirinya. Yang jelas dia bagaikan sedang berada dalam dejavu. Kerap termimpi-mimpi, terbayang-bayang dan teringat-ingat. Malah yang lebih pelik perkara itu berlaku sejak seminggu ini.

Mazlan berdeham. “Nampak macam angau aje,” usiknya.

“Eh, angau apa ke bendanya? Awek pun tak ada!” Yusoffe menghalau bayangan seseorang daripada mindanya.

Mazlan pantas menangkap tangan Yusoffe lalu berlagak merayu. “Tolonglah cepat sikit dapat awek. Kalau boleh biarlah sambutan tahun baru ni kau dah tak ganggu lagi hidup aku.”

“Kurang asam!” Pantas Yusoffe merentap tangannya daripada genggaman Mazlan. “Itulah... aku dah cakap, kau ni bila dah dapat gading bertuah, tanduk macam aku ni kau lupakan.”

Mazlan tergelak. “Aku ni manusia normal. Perlu kahwin dan hidup berkeluarga. Kau lainlah.”

“Lain apa?” dengus Yusoffe. “Kau ingat aku tak normal? Nak bukti?”

“Manalah tahu kan...” Mazlan terkekeh-kekeh. “Kalau tidak, takkan Aziyana yang cun-melecun tu kau tolak? Dahlah cantik, baik, kaya pula tu. Mak bapak pun baik. Aku tak fahamlah dengan kau ni? Orang macam mana lagi yang kau nak?”

“Kalau kau suka sangat Aziyana tu, kenapa kau tak tacklesaja dia dari awal?” Sengaja Yusoffe mahu menguji hati teman baiknya.

“Beb, siapalah aku ni? Enggang sama enggang. Pipit biarlah sama pipit. Jadi, cukuplah Roza saja yang jadi suri hidup aku di dunia dan di akhirat.”

Yusoffe tertawa halus. Terusik hatinya bila mendengar penjelasan Mazlan. Lelaki itu sangat setia. Biarpun dikelilingi gadis-gadis cantik yang taksub hendak menjadi pelakon popular, Mazlan tetap mencintai tunangnya sepenuh hati.

Yusoffe melepaskan keluhan selepas senyap seketika. “Sudah-sudahlah tu cerita pasal perempuan. Kau cari aku ni kenapa?”

“Hmm... Aziyana punya pasal sampai lupa aku nak beritahu kau benda penting ni. Kau jangan terkejut. Ada satu episod terlebih.”

“Hah?!” Terbeliak biji mata Yusoffe mendengar kata-kata Mazlan. “Haruk ni… takkan nak potong?”

“Itulah pasal. Aku pun tak tahu macam mana boleh terlebih,” balas Mazlan dengan nada sedikit cuak. Mahu tidak mahu sebagai pengurus, dia pun perlu bertanggungjawab.

“Rugilah macam ni. Satu episod tu. Boleh kacau konti macam ni. Kenapa cuai sangat?” Yusoffe melepaskan keluhan berat. Bengang pun ada. Entah bagaimana satu episod boleh terlebih? Di mana silapnya? Banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

“Jom kita pergi bilik editing. Kau tengok sendiri. Biar budak-budak tu jelaskan macam mana hal ni boleh berlaku,” ujar Mazlan yang sengaja mahu Yusoffe mendengar sendiri daripada mulut stafnya meskipun dia sudah maklum tentang duduk perkara sebenar.

“Sekejap, aku nak habiskan sikit lagi sinopsis ringkas cerita ni. Aku nak pakai untuk slot telemovie yang kosong tu,” ujar Yusoffe dengan nada teruja.

“Eh, sempat ke? Nak bagi siapa buat skrip?” soal Mazlan ragu-ragu.

“Siapa lagi kalau bukan Wan Mahani. Ni aku nak e-mel dia dan aku ccpada kau sekali.”

“Suntuk sangat, dia nak ke?” soal Mazlan lagi. Mula memikirkan kekalutan yang bakal berlaku. Dengan skrip yang belum dibuat dan masa penggambaran yang terhad, dia risau jika tidak dapat menghasilkan drama yang baik.

“Belum cuba belum tahu. Kau pujuklah dia.”

“Itu satu hal tapi talentmacam mana pula?

“Kau kena cari talent baru. Aku nak muka fresh untuk cerita ni. I know I can do it, bro!” Yusoffe menunjukkan isyarat pistol ke atas rakannya itu.

Talent baru? Dahlah sampai sekarang tak dapat lagi, kau jangan cari nahas bro!”ujar Mazlan yang sedang memikirkan kekalutan yang bakal berlaku. Dengan skrip yang belum dibuat dan masa penggambaran yang terhad, dia risau jika tidak dapat menghasilkan drama yang baik.

Kening Yusoffe terangkat-angkat memandang Mazlan yang sedang menarik muka pura-pura marah.

“Aku tak mahu tanggung hal ni. Kau kena cari sendiri talenttu!” tegas Mazlan yang tidak mahu mengambil risiko. Dia tahu Yusoffe sangat cerewet dalam hal itu.

Yusoffe tertawa, “Don’t worry bro. I’ll find her for you.

Mereka berdua menuju ke bilik suntingan. Syarikat Skrin Produksi itu telah diambil alih oleh Yusoffe sejak empat tahun lalu selepas kematian ayahnya. Sejak itu, Skrin Produksi semakin berkembang pesat selepas berjaya menghasilkan filem-filem dan drama-drama yang menarik sesuai dengan cita rasa penonton masa kini.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh