RAFEAHmemandang wajah
Iman yang basah dengan dada penuh simpati.
Kesian anak malang ini.
Diperlakukan seperti hamba di rumah mewah itu. Sampai bila semua itu akan berakhir. Dia sebagai pembantu rumah tidak sanggup
melihatnya. Apa jenis hati isteri
majikannya ini? Dia mendekati Iman dan
menariknya perlahan.
“Iman, jangan menangis lagi dik. Kak Peahpun ikut bersedih kalau Iman
bersedih Cukuplah dik.” Lembut suara
Rafeah memujuk Iman. Terhenjut bahu Iman menahan tangisan yang
semakin menyesakkan.
“Kak Peah, mana kak Amna. Ke mana Kak Amna pergi, Kak Peah?”
Berkali-kali soalan yang serupa diajukan Iman padanya. Ya Allah, bagaimana aku
nak beritahu, sedangkan aku sendiri tidak tahu ke mana Chempaka Amna
pergi. Getusnya di dalam hati dengan
rasa sayu.
“Kak Peah, cakaplah.” Iman
menarik-narik lengannya. Dia mengelus
bahu Iman.
“Iman, Kak Peah sendiripun tak tahu Iman. Kak Amna sendiri tak cakap pada Kak Peah mana
dia pergi.” Ujar Rafeah perlahan dan penuh kasih sayang. Sememangnya dia sangat menyayangi kedua anak malang itu.
“Jadi betullah kak Amna dah
tinggalkan kita?”Soal Iman mohon kepastian.
“Tak, sayang, kak Amna bukan
tinggalkan kita, barangkali Kak Amna mencari peluang di luar.” Iman terdiam dan tertunduk
mendengar kata-katanya.
“Iman…” Panggilnya perlahan dan
penuh hati-hati.
“Sebenarnya Kak Amna ada tinggalkan
nota.”Beritahunya lambat-lambat.
“Nota? Apa kata kak Amna, Kak Peah.”
Soal Iman dengan wajah penuh teruja. Terkejip-kejip mata Iman mengarah pandangan ke
arahnya. Rafeah melangkah ke almari
kecil di sudut biliknya lantas diambilnya nota yang tersimpan di kotak simpanan
barang kemasnya. Nota itu dibuka dan
dibacanya di hadapan Iman. Iman teresak mendengarnya. Hatinya tersentuh melihat keadaan Iman.
“Iman dah dengar, kan? Kak Amna sayangkan Iman. Kak Amna akan
pulang nanti bila dia dah dapat kerja.”
“Terima kasih Kak Peah. Tapi…”
“Tapi apa Iman?”
“Kenapa dia tinggalkan Iman. Kenapa Kak Amna buat Iman macam tu Kak Peah”
“Masya-ALLAH Iman, jangan
cakap macam tu sayang.”Lembut nada suaranya
memujuk
anak itu.
“Sampai hati Kak Amna.” Rungut Iman
antara kedengaran dengan tidak. Rafeah
tahu
anak
itu benar-benar sedih dan terkilan dengan tindakan Chempaka Amna.
“Iman jangan risau ya, Kak Peah
yakin Kak Amna bukan lari dari rumah nak tetapi dia keluar cari kerja. Kak Peah juga yakin Kak Amna akan balik jumpa
Iman.” Iman terdiam mendengar kata-katanya.
Dia tidak dapat menduga apa yang sedang bermain di benak Iman. Kesedihan Iman tidak sama dengan gelodak rasa
apabila berdepan dengan Puan Mahanna.
Makin hamun Puan Mahanna sudah pasti memenuhi deria pendengarannya.
“Iman, Iman sabar ya dik. Kak Peah berjanji, Kak Peah akan jaga Iman
seperti Kak Peah jaga adik Kak Peah sendiri. Kak Peah janji, Iman. Iman jangan risau ya.” Ucapnya bersungguh.
Iman
terhenti menangis. Kedengaran hanya esakan yang semakin lama semakin
hilang. Kesian anak malang ini bisik
Rafeah sambil matanya merenung dalam ke wajah Iman. Bagaimana agaknya wajah ibunya? Isteri kedua
majikannya Tuan Khalid? Ingatan Rafeah juga turut mencari wajah Chempaka Amna,
gadis yang memiliki sepasang mata yang cantik, hidung mancung dan ulas bibir
yang nipis dan mungil. Gadis yang lemah
lembut itu seakan memberi gambaran wajah wanita yang melahirkannya. Menurut
Tuan Khalid, Sofea dikahwini atas rasa simpati melihat wanita itu yang cekal
mendepani hidup tanpa suami dengan dua anak kecil dan seorang ibu tua. Zaman yang serba maju dengan pembangunan di
kiri kanannya, wanita itu masih tegar menyorong kereta ke sebuah warung kecil
di pinggir jalan untuk mencari kehidupannya.
“Peah tahu? pertama kali saya
melihat wajah Sofea, hati saya tersentuh Peah.”Suara Tuan Khalid bergema di
ingatannya.
“Kenapa tuan?”
“Melihat keadaannya, dengan mengelek anak kecil sedangkan di
sebelahnya seorang anak perempuan.
Masha-ALLAH.” Tuan Khalid
bercerita tentang pertemuan dengan Sofea dan bagaimana dia boleh menikahi
perempuan yang kematian suami itu.
“Saya sangat simpati dengan nasib
dan keadaan dia, Peah. Keadaan Sofea
mengenangkan keadaan perempuan di negara jiran yang pernah saya pergi.”
“Kenapa tuan?”
“Di sana ramai perempuan yang hidup
dan mencari kehidupan di bawah-bawah jejantas dan di celah-celah bangunan dengan
berjual untuk menyara kehidupan. Saya
seperti tidak percaya kehidupan seperti itu ada di tempat kita.”Cerita Tuan
Khalid kedengaran hiba.
“Jadi tuan menikahi Puan Sofea
kerana simpati?” Soalan yang tidak pernah diduganya terluncur dari bibirnya. Tuan
Khalid terdiam merenungnya ketika itu.
“Sejak pertama kali saya melalui
warung kecil milik Sofea dan saya melihat kehidupan beliau, anak dan ibunya,
saya tidak dapat melelapkan mata saya melainkan bayangan kesusahan mereka
berlegar dalam pandangan mata saya.” Tuan Khalid ketika itu beberapa kali
terhenti menahan sebak. Dia seakan dapat
merasakan kesedihan yang dilalui oleh majikannya itu.
“Peah…saya ada segalanya, seorang
isteri yang cantik yang hidup dalam wang ringgit di bandar besar dengan tidak melakukan
apapun kecuali merias wajah dan setiap hari berkira-kira untuk menghabis wang
di butik mewah, Peah.” Dia membiarkan lelaki itu bercerita dan meluahkan
perasaan.
“Sedangkan
dia, wanita itu berjuang untuk hidup dan
begitu cekal. Apalagi bila saya merenung
dua anak kecil itu. Ya ALLAH Peah, saya bertekad untuk menyara hidup mereka
bukan sebagai seorang penderma tetapi orang yang sama berdiri dan duduk. Lalu
saya menikahi Sofea. Salah ke saya Peah?” Luah Tuan Khalid kedengaran begitu
tulus. Hati perempuannya tersentuh
dengan pengakuan lelaki itu. Dia kagum
dengan keluhuran budi majikannya itu.
“Cukuplah tuan. Tuan kena banyak bersabar. Roh arwah pasti
tidak senang dengan kesedihan tuan.” Ujarnya.
Dia seakan memujuk Tuan Khalid biarpun hakikat siapalah dia untuk
menasihati majikan yang jauh lebih hebat dan memiliki pengetahuan itu.
“Tuhan terlalu cepat mengambilnya
Peah, setelah dia memberinya pada saya.” Sebak kedengaran nada suara Tuan
Khalid. Dadanya ketika itu ikut
sebak. Namun dia tahan-tahankan agar
sebak itu tidak bertukar menjadi tangis.
“Peah.”
“Ya tuan.”
“Ya saya jaga mereka. Mereka dah macam anak kandung saya. Saya tak ada siapa-siapa lagi selain dari
mereka.”
“Tuan memberi amanah pada saya?”
“Saya percayakan awak, Peah. Saya
harap akan faham.”
“Saya faham Tuan.”
“Sayapun tak tahu, sejak saya
membawa balik Chempaka dan Iman.
Langsung Larra dan Hafidz tak balik ke rumah ni. Isteri saya tak
benarkan.” Luah lagi dengan nada suara yang semakin sebak.
“Tak benarkan anak-anak balik ke
rumah ni?”
“Ya! Rajuk isteri saya tu masih
belum hilang, Peah. Agaknya guruh berbunyi baru hilang.” Sempat lagi Tuan
Khalid berseloroh.
“ Tak apa tuan, saya yakin suatu
hari nanti dia akan lembut hati dan menerima anak-anak arwah.”
“Insya-ALLAH itu yang saya harap dan
nanti-nantikan.” Ujar Tuan Khalid.
“Malah saya berdoa setiap masa agar
isteri saya menerima Iman dan Chempaka dan saya nak tengok Larra dan Hafidz
dapat bergaul dan bersatu seperti adik beradik.”Tambah Tuan Khalid sambil
merenungnya. Dia mengangguk-angguk.
“Insha-ALLAH, tuan. Niat yang suci itu, mudahan cepat
dikabulkan.” Balasnya sambil tersenyum pada majikannya. Tuan Khalid terdiam. Suasana ketika itu
kembali diam.
“Saya sayangkan mereka.” Tiba-tiba
kata itu lahir dari bibir Tuan Khalid.
“Jadi Peah, saya harap Peah dapat
jaga makan minum dan layanlah anak-anak saya dengan baik.”
“Tuan, saya juga sayangkan
budak-budak tu. Saya akan jaga mereka
seperti anak-anak saya sendiri.”Ujarnya pantas.
“Terima kasih Peah. Itu yang saya nak dengar.Tentang isteri saya
tu, awak jangan ambil hati sangat. Mulut dia memang macam tu. Kadang-kadang sayapun terasa namun saya
diamkan aje.”Luah Tuan Khalid dengan senyum namun dia dapat rasakan kesedihan
majikannya itu di sebalik senyum yang dilemparkan.
“Saya tahu tuan, tuan jangan risau.”
Kata-kata Tuan Khalid padanya beberapa
tahun yang lalu. Tuan Khalid yang selalu
berkira setiap percakapannya. Tuan
Khalid sangat berhati-hati dalam percakapan.
Sangat bebrbeza dengan isterinya, Mahanna. Dan dia sendiri, semenjak kenal dan diambil
bekerja di rumahnya, dia mengkagumi lelaki bernama Khalid itu.
“Budak-budak tu anak yang baik
tuan. Saya rapat dengan
mereka.”Beritahunya tiba-tiba. Lelaki
itu tersenyum.
“Ya saya tahu Peah. Saya sangat-sangat berterima kasih. “Ujar
lelaki itu lagi dengan hormat.
“Menyayangi mereka tidak memberi
masalah pada saya tuan. Sayapun bukan
ada siapa-siapapun.” Ujarnya. Rasa hiba menghimpit bila mengenangkan segala
kebaikan hati Tuan Khalid.
“Kak Peah.” Suara Iman memecah
sunyi. Dia tersentak.
“Pukul berapa sekarang?”
“Dah 10.00 pagi, Iman. Kenapa?” Soalnya sambil merenung anak itu.
“Iman…Iman nak sembahyang Kak Peah.”
Beritahu Iman perlahan.
Dia
merenung anak itu dengan dahi berkerut.
“Sembahyang?” Soalnya. Iman
tersengih sedangkan di pipinya masih ada air mata. Iman bangun.
“Kak Peah lupa ya, kan Kak Peah juga
yang ajar Iman solat Dhuha.” Manja suara anak itu sambil memegang lengannya. Dia tersengih. Terlupa Rafeah, dia sering
menyuruh anak itu mengamalkan solat sunat Dhuha. Banyak fadilat dan
kelebihannya. Bukan sahaja untuk
menambah rezeki tetapi juga untuk menenangkan perasaannya. Rafeah memegang lembut lengan Iman.
“Yalah sayang. Bolehlah ambil wuduk.”Ujarnya lagi.
Iman
hanya tersenyum sambil menyusur perlahan pada dinding untuk ke bilik air. Rafeah memerhati sambil menggeleng-eleng
kepalanya. Bertuah ibu yang melahirkan
anak ini. Bisik hati Rafeah
perlahan. Rafeah bangkit dan mencapai
sejadah. Dibentangnya sejadah di sudut
kamar itu tempat yang selalu digunakan Iman dan Amna menunaikan solat. Iman
kembali dengan wajah yang basah.
“Kak Peah dah bentangkan sejadah
tu.” beritahu Rafeah sambil memandang ke arah Iman yang hati-hati menuju ke
sejadah. Hati Rafeah tersentuh melihat Iman.
Perasaan hiba memenuhi ruang dadanya.
Apa akan terjadi pada anak itu andai kata Tuan Khalid meninggal nanti, bagaimana agaknya nasib Iman? Puan Mahanna
sudah tentu tidak akan menerima Iman untuk terus hidup di rumah ini. Lebih malang lagi jika Chempaka Amna terus
hilang? Ya ALLAH ke mana anak itu pergi? Ya ALLAH selamatkan anak malang itu.
Rafeah menunggu sehingga Iman selesai menunaikan solat dan memerhatikan anak
itu menadah doa. Sebaik sahaja selesai
Iman memusing bdadangnya dan menyandar pada dinding.
“Apa yang Iman doakan?” Soal Rafeah sambil tersenyum memandang wajah Iman yang
mengerdipkan matanya beberapa kali.
“Doa untuk Kak Peah ada tak?” Usik
Kak Peah lagi.
“Ada Kak Peah, bukan sahaja Kak
Peah, Papa, mama Hanna…”
“Mama Hannapun ada?” Kak Peah
menduga hati anak istimewa itu.
“Ada…”
“Kan Mama Hanna selalu marah-marah
pada Iman dan Kak Amna?” Semakin Rafeah menduga hati anak itu. Sejauh mana
tulusnya perasaan anak yang sering terdera
oleh kezaliman isteri majikannya Puan Mahanna. Puan yang seakan tidak pernah ada perasaan
itu. Semenjak dia berkerja di rumah mewah itu dan Iman dan Amna dibawa tinggal
bersama, selama itu dia melihat perbuatan zalim wanita itu terhadap kedua anak
yatim ini. Tahukah Puan Mahanna, ALLAH
sangat membenci orang yang menganiaya anak-anak yatim? Tahukah Puan Mahanna, Iman dan Chempaka Amna anak
malang yang kehilangan kedua ibu dan bapa?
“Kak Peah tahu kenapa Iman berdoa
untuk Hama Hanna?” Ungkap Iman tiba-tiba.
Rafeah merenung Iman dalam-dalam teruja ingin mengetahui apa yang ada
dalam kepala anak itu.
“Ya nak? Kenapa?”
“Sebab mama Hanna sayang pada Papa
Khalid. Mama Hanna jaga papa.” Tersentuh
Rafeah mendengar kata-kata Iman. Anak itu berjiwa luhur.
“Kak Amna ke mana Kak Peah? Kenapa
Kak Amna tak beritahu Iman dia nak ke mana, Kak Peah? Agaknya Kak Amna tidak sayang pada Iman Kak Peah.” Ungkap Iman perlahan. Dada Rafeah sebak.
“Iman, kenapa cakap macam tu nak? Kak
Peah yakin, Kak Amna akan balik jugak. Tak lama lagi kan Papa Khalid Iman pun akan balik. Kan Kak Amna selalu cakap, dia tak sabar nak
tunggu papa balik?” Ujar Rafeah lagi sambil merenung wajah anak itu. Iman
terdiam. Iman mengejip-ngejip matanya.
Kelihatan airmata Iman bergenang di birai matanya. Semakin sebak hati Rafeah. Terasa panas di pipi Rafeah. Cepat-cepat Rafeah mengesat pipinya. Dia tidak ingin anak itu menyedari dia
menangis kerananya. Dia menutup mulutnya
dengan hujung tudung yang dipakainya.
Dalam diam dia mengharapkan Chempaka Amna menghubunginya. Rafeah sudah tidak sanggup melihat Iman dalam
kesedihan.
“Iman, Iman berehat ya, Kak Peah nak
ke dapur ni. Kak Peah nak masak. Nanti Mama Hanna balik. Kak Peah juga yang
kena marah nanti.” Ujar Rafeah sambil
bangkit dan melangkah keluar dari kamar Iman.
Semakin Rafeah berlama, semakin sayu jiwa Rafeah berdepan dengan
Iman. Rafeah tahu, Iman akan jadi
landasan kemarahan Puah Mahanna. Dalam
diam Rafeah berdoa semoga ALLAH memelihara
anak itu dan melembutkan hati dan kemarahan Puan Mahanna pada anak malang itu. Amin. Rafeah meraup wajahnya lantas menutup pintu
kamar Iman perlahan dan berlalu ke dapur.