Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,414
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 9

IMAN IDHAMterpisat-pisat dalam kegelapan. Sejak siang tadi dia tertunggu-tunggu panggilan dari Kak Amna. Sudah beberapa kali Iman tanyakan Kak Peah mengenai Kak Amna, namun jawapan Kak Peah tetap serupa. Kadang-kadang Iman berputus asa untuk bertanya Kak Peah. Dia yakin jawapan yang diberikan Kak Peah tetap sama.

“Insya-ALLAH Iman, nanti baliklah Kak Amna”itu saja jawapan Kak Peah. Iman tahu, kata-kata itu hanya pujukan Kak Peah supaya dia tidak resah dan susah hati.

“Kak Amna pergi ke mana sebenarnya Kak Peah?”Soalan yang selalu diajukan pada kak Peah.

“Kak Amna selamat Iman, Iman jangan risau. Iman tidurlah.” Itu jawapan Kak Peah sebagaimana selalu.

“Iman tak ngantuk, Kak Peah.” Jawab Iman lemah. Kak Peah terdiam. Iman tak tahu apa yang sedang Kak Peah fikir. Namun apa yang dia tahu Kak Peah selalu dalam kerungsingan.

“Hari dah jauh malam sangat Iman. Besok nak bangun subuh. Nanti siapa yang susah kejutkan Iman?

“Kak Peahlah! Kan malam ni Kak Peah tidur di bilik Iman ganti Kak Amna” Balas Iman perlahan. Dalam kegelapan dia tersenyum mengarah pandangannya ke arah Kak Peah. Biarpun Kak Peah gelap dalam pandangannya namun suara Kak Peah sentiasa hidup di telinganya. Kak Peah terdiam.

“Kak Peah!” Panggilnya dengan meninggikan lagi suaranya.

“Ya..Iman. Iman tidurlah, Kak Peahpun mengantuk ni. Hari dah jauh malam. Besok Kak Peah kena bangun awal.” Balas Kak Peah.

Iman mendengar suara Kak Peah seperti terawang-awangan.

“Macamana Iman nak tidur Kak Peah. Otak Iman ni asyik fikirkan Kak Amna. Iman dah cuba dah Kak Peah. Agaknya Kak Amna sedang buat apa Kak Peah?” Kak Peah tidak menjawab.

“Kak Peah…” Panggil Iman sekali lagi. Kak Peah masih tidak menjawab. Sejenak Iman terdiam. Agaknya Kak Peah sudah terlena. Bisik Iman sendirian. Ah! Iman mengeluh sendiri. Terkelip-kelip matanya mengadap siling yang langsung tidak kelihatan di matanya. Semuanya gelap dan kosong. Alangkah bagusnya kalau Iman dapat melihat seperti orang lain. Dapat ke sekolah, dapat menulis, dapat membaca, dapat lihat wajah Kak Amna, wajah Papa Khalid dan wajah Kak Peah. Getus Iman sendiri. Malah wajah Mama Hannapun dia nak lihat. Kata Kak Amna, wajah Mama Hanna cantik walaupun sudah berumur.

“Kalau Iman nak tahu, muka Mama Hanna tu saling tak tumpah wajah pelakon terkenal Norish Karman. Hidung mancung, kulit putih melepak baris gigi yang cantik, mata Mama Hannapun cantik Iman. Macam Norish tu..”Suara Kak Amna kedengaran di hujung pendengaran Iman. Iman terkekeh ketika itu.

“Kenapa Iman ketawa?”

“Kak…akak lupa ke, Iman kan tak nampak. Iman kan buta, manalah Iman nampak wajah pelakon tu.” Ucap Iman perlahan. Kak Amna terdiam.

“Akak…Kenapa Kak Amna?”

“Kak Amna minta maaf Iman. Iman jangan kecil hati ya.”

“Tak Iman tak kecil hatipun.”

“Terima kasih sayang.” Dan tangan Kak Amna mengelus-elus rambut Iman. Kak Amna sangat lembut. Kerana tu Iman sayangkan Kak Amna.

“Kak Amna.”

“Ya sayang.”

“Erm..boleh Iman tanya?”

“Tanyalah…nak tanya kak Amna perlu minta izin pulak? Isy adik akak ni..”

“Nanti kan..kalau Kak Amna kawin, mesti Kak Amna tinggalkan Iman kan?”Ujar Iman tiba-tiba. Entah kenapa isu kawin Kak Amna kerap bermain di benaknya akhir-akhir ini. Walaupun mungkin Kak Amna menganggapkan itu satu usikan, namun hakikatnya, ia akan jadi kenyataan jugak suatu hari nanti. Orang sebaik Kak Amna, pasti ada yang jatuh cinta. Dia selalu berbisik.

“Adik ni…siapa cakap Kak Amna nak kawin? Suka suki adik aje ya? Selagi Iman tak baik dan dapat melihat semula selagi itu, kak Amna tak akan kawin.” Kata-kata Amna sering terngiang di benaknya.

“Tak baik cakap macam tu kak…mana tahu kalau ada orang datang memimang, papa dan Mama Hanna suruh Kak Amna kawin? Macamana?” ketika itu, Iman masih ingat, Kak Amna ketawa berdekah-dekah. Iman tersentak mendengar ketawa besar Kak Amna itu. Kak Amna belum pernah berkarektor begitu.

“Kalau Mama Hanna dan papa paksa Kak Amna kawin, Iman tahu apa yang kak Amna akan buat?”Balas Kak Amna pantas.

“Apa dia kak? Kak Amna nak buat macamana?”

“Kak Amna akan lari dari rumah ni.” Suara Kak Amna menerjah ingatannya. Terkumat-kamit mulut Iman mengulangi kata-kata Kak Amna. Kak Amna akan lari dari rumah. Benaknya mengulangi kata-kata kak Amna. Bibirnya terkumat-kamit.

“Masya-ALLAH! Masya-ALLAH!!Mama! Mama Hanna!!” Jerit Iman sambil bangkit dan menyusur dinding dan terus memulas tombol pintu keluar dari biliknya.

“Mama Hanna!!” Jerit Iman. Kak Peah tergopoh-gopoh keluar dengan menggosok-gosok matanya.

“Iman! Kenapa ni dik?” Suara Kak Peah kedengaran mendekati Iman dan lengannya terasa dipegang kuat.

“Kak Peah. Mana Mama Hanna? Mama Hanna!!” Jerit Iman. Kedengaran pintu dihempas.

“Peah! Apa bising-bising ni?” Suara Mama Hanna menusuk telinga Iman. Belum sempat Kak Peah menjawab, Iman menjerit.

“Mama Hanna, kenapa Mama Hanna paksa Kak Amna kawin?”Jerit Iman dengan nada marah. Iman belum pernah bertindak kasar sebegitu, namun mengenangkan dia kehilangan Kak Amna, Iman sudah tidak mampu membendung segala kemarahannya pada wania itu. Mama Hanna melangkah turun dengan wajah marah dan mendekati Iman. Kak Peah memegang lengan Iman.

“Hey! Apa yang kau menyalak malam-malam buta macam ni?” Jerkah wanita itu lantang.

“Kenapa Mama Hanna paksa Kak Amna kawin?” Soal Iman separuh menggila.

“Apa yang kau merepek ni?” Kedengaran suara marah Mama Hanna memecah kesunyian malam. Iman tiba-tiba menangis.

“Kalau Mama Hanna tak paksa Kak Amna kawin, Kak Amna tak lari dari rumah.” Beritahu Iman bersama tangisan. Wajah Mama Hanna berkerut garang.

“Apa yang si buta ni cakap Peah?” Jerkah Mama Hanna dengan menyebut perkataan yang paling tidak disukai Iman.

“Ya..ya..Puan. Amna hilang.” Beritahu Kak Peah dengan suara tersekat-sekat.

“Lari dari rumah? Kan saya dah cakap pada kamu Peah. Jaga budak-budak tu. Jangan benarkan mereka keluar. Tapi kamu benarkan Peah. Kenapa Peah?”

“Sayapun tak tahu puan. Bila saya datang ke bilik diaorang, Amna dah tak ada di bilik.”Beritahu Kak Peah tergagap. Iman tahu, Kak Peah perlu mempertahan diri dari terus dimaki Mama Hanna. Kesian Kak Peah. Bisik Iman.

“Macamana dia boleh keluar? Kan saya dah cakap. Kunci pintu. Kunci pintu tapi kamu, cuai, Peah.” Mendengar kata-kata Mama Hanna, tangisan Iman semakin kuat. Baru Iman sedar selama ini mereka bukan saja didera badan dan perasaan tetapi juga mereka dikurung oleh Mama Hanna. Jahatnya manusia seperti Mama Hanna. Jerit hati Iman. Airmata Iman tidak dapat disekat-sekat. Dia juga mendengar suara Kak Peah menangis dan merayu supaya Iman tidak dihukum.

“Habis? Bila tuan balik dan bertanya pasal budak keparat tu, apa yang awak nak cakap?” Jerkah Mama Hanna.

“Entah puan. Sayapun takut puan.” Balas Kak Peah.

“Taupun awak! Habis apa yang awak nak buat sekarang?” Suara kemarahan Mama Hanna belum lagi reda. Iman tahu mama Hanna bimbang Papa Khalid tahu kehilangan Kak Amna. Papa sangat menyayangi mereka. Lebih-lebih lagi Kak Amna. Kata Papa Khalid, Kak Amna sering buat papa rindukan arwah ibu. Setiap kali papa pulang dari luar negara, orang yang pertama papa cari adalah Kak Amna. Barangkali kerana itu, Mama Hanna sangat membenci Kak Amna. Mama selalu mendera Kak Amna. Mama Hanna suruh Kak Amna buat macam-macam kerja termasuk kerja-kerja rumah yang sepatutnya menjadi tugas Kak Peah.

“Kamu Peah, suruh saja si Amna tu buat kerja. Jangan ajar dia jadi raja di rumah ni.” Itu kata-kata yang sering dijerit Mama Hanna pada Kak Peah.

“Tak apa, puan. Itu kerja saya. Lagipun kesian juga saya nak suruh Amna tu lebih-lebih” Selalu Iman dengar Kak Peah menjawabnya.

“Saya tak suka kamu manjakan budak-budak ni, Peah.” Itulah alasan Mama Hanna berikan pada Kak Peah. Kesian Kak Peah.

“Iman!!” Kuat suara Mama Hanna menjerit. Iman tersentak.

“Sebelum papa kamu balik lebih baik kamu keluar dari sini. Alang-alang kamu berdua nak keluar. Keluarlah!!” Jerit mama lagi. Iman tersentak. Tangan Kak Peah dipegangnya erat.

“Puan, kenapa ni? Jangan pukul, Iman puan. Iman kan macam ni.” Kedengaran suara Kak Peah mempertahankan Iman.

“Owh! Kamupun, Peah masih nak pertahan mereka? Tak apa! Besok kamu boleh kemas pakaian kamu. Saya tak nak pakai khidmat orang tak amanah macam kamu Peah.”Jerit Mama Hanna. Dada Iman berdegup kencang. Airmatanya semakin banyak mengalir. Kedengaran pintu dilepaskan dengan kuat sekali. Dia tahu, Mama Hanna telah kembali masuk ke biliknya. Iman menarik tangan Kak Peah.

“Kak Peah..maafkan Iman, Kak Peah.” Rayu Iman.

“Iman takut hilang Kak Amna. “Tambah Iman lagi dengan nada sebak.

“Iman..mana Iman dengar Mama Hanna paksa Kak Amna kawin? Cakap pada Kak Peah Iman.” Tanya Kak Peah sungguh-sungguh. Soalan Kak Peah tidak dijawabnya.

“Iman mintak maaf. Iman mintak maaf. Iman menyusahkan Kak Peah.” Rayu Iman berkali-kali. Iman benar-benar rasa bersalah. Kak Peah mengelus bahu Iman sambil memimpin Iman perlahan kembali ke bilik Iman. Iman masih teresak.

“Akak…macamanan kalau betul-betul Mama Hanna halau Kak Peah?” Soal Iman dengan wajah sedih.

“Tak apa Iman, rezeki ALLAH ada di mana-mana. Iman jangan risau.” Balas Kak Peah perlahan.

“Habis, Iman? Kak Peah nak tinggalkan Iman sorang-sorang di sini. Kak Amna dah hilang, kalau Kak Peah hilang, Iman nak mati kak.” Ujar tersekat-sekat.

“Percayalah Iman. Akak tak akan tinggalkan Iman, Iman akan Kak Peah bawak ikut akak balik kampung.” Beritahu Kak Peah.

“Kak Peah berkerja di rumah ini hanya Iman dan Kak Amna. Dan Iman dengar tadi kan? Mama Hanna dah halau Kak Peah. Itu maknanya Kak Peah dah tak boleh tinggal dan kerja lagi kat sini.” Sambung Kak Peah. Iman teresak-esak mendengar kata-kata Kak Peah.

“Kak Peah, Iman sayang Kak Peah. Iman sayang Kak Peah. Jangan tinggalkan Iman, Kak Peah.” Ujar Iman berulang-ulang. Kak Peah mengelus bahunya berkali-kali.

Malam itu Iman tak dapat melelapkan mata walau sedikitpun. Rasa bersalah terhadap Kak Peah menghantui fikirannya. Jika Iman tidak membuat bising dan marah-marah pada Mama Hanna sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku. Dan sudah tentu juga Kak Peah tidak akan dipecat Mama Hanna. Malam itu juga dia menangis ingatkan Kak Amna. Bagaimana nanti kalau Kak Amna pulang dan mendapati dia sudah tidak ada lagi di rumah ini, apa kata Kak Amna? Ya ALLAH…Iman benar-benar keliru. Iman juga sedih mengenangkan Papa Khalid yang baik hati. Ya ALLAH permudahkanlah jalan hidup ini. Bisik Iman berkali-kali. Entah bila Iman terlelap, bila dia sedar Kak Peah telahpun berada di sisinya.

“Iman mandi dan solat. Kejap lagi teksi akan datang.” Beritahu Kak Peah.

“Iman boleh ikut Kak Peah?”

“Habis? Kalau Iman tak ikut, sapa yang nak jaga Iman? Atau Iman nak tinggal di sini?” Balas Kak Peah.

“Papa?”

“Insya-ALLAH nanti, Kak Peah usaha untuk jumpa Papa Khalid bila Papa Khalid balik.” Janji Kak Peah pada Iman.

“Owh!! Baguslah! Kamu bawak sekali si buta ni. Saya dah menyampah tengok mukanya setiap hari. Menyusahkan semua orang. Sama dengan ibunya tu.” Suara Mama Hanna yang lancar menghina Iman dan arwah ibunya. Manusia jenis apa Mama Hanna ini? Jerit Iman dalam dada.

“Nah! Peah. Duit gaji kamu untuk bulan ni. Dan ini selebihnya, saya hadiah untuk kamu, Peah.” Kuat kedengaran suara Mama Hanna menerjah telinga Iman. Iman yakin Mama Hanna telah menghalau Kak Peah. Mama Hanna telah memecat Kak Peah.

“Kak Peah…”Iman menangis. Iman kesal. Semua itu salah Iman

“Jangan menangis Iman. Jangan sedih. Iman boleh tinggal dengan Kak Peah. Iman boleh ikut Kak Peah balik kampung. Sekarang cepat-cepat solat dan bersiap.” Iman menyusur dinding ke bilik air dengan penuh hati-hati. Selepas solat subuh, seperti biasa sempat Iman bersolat dhuha untuk kali terakhir di rumah ini. Hiba hati Iman sewaktu menadahkan tangan memohon doa.

“Berat hati Iman ketika melangkah meninggalkan rumah Papa Khalid dan Mama Hanna. Biarpun Iman tidak pernah berpeluang lagi untuk melihat rumah itu, namun dia pernah membesar beberapa tahun di rumah ini. Dan Iman tahu, Kak Peah juga sedih dengan semua yang berlaku. Barangkali Kak Peah tidak menyangka Mama Hanna sanggup menghalau Kak Peah hanya kerana kesilapan yang dilakukan orang lain. Iman tiba-tiba teresak.

“Kenapa Iman? Cukuplah, jangan bersedih.”

“Iman akan cuba.” Bisik Iman. Dia berharap Kak Peah mendengar apa yang diperkatakannya itu. Iman teresak lagi. Terasa tangan Kak Peah mengelus bahunya lembut. Iman memegang dan terus mencium tangan wanita itu, seakan mencium tangan ibu.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani