Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,679
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 1

BAB 1

CHEMPAKA AMNAsudah tidak tahan lagi. Sampai bila dia harus bersabar dengan Mama Hanna? Dengan anak bongsu Mama Hanna Larra Andrew? Semakin lama ditunggu semakin buruk jadinya. Dia melirik pada lengannya yang kebiruan kesan dibanting Mama Hanna. Peritnya dan sakitnya ketika dibanting menggunakan paip getah masih terasa. Kesilapan yang kecil tetapi denda Mama Hanna terlalu besar. Siram bunga Mama Hanna jangan sampai terlupa, dia akan merasa kemarahan dan dendaan Mama Hanna jika dia terlupa. Dan inilah kesannya. Lengan dan badan kebiruan dan bisa-bisa. Mama Hanna seakan tidak ada jiwa. Tidak ada perasaan. Mama Hanna berhati batu. Jika dia masih menunggu, keadaan tidak akan berubah. Chempaka Amna merenung pakaian di penyangkut baju. Ditariknya dua helai jeans dan lima helai kemeja ‘T’ lalu dimasukkannya ke dalam beg di sisinya. Dia menjeling jam di dinding, sudah melebihi angka 12.00 malam. Waktu yang paling baik untuk bertindak. Dia menjeling Iman yang sedang lena di atas tilam. Sebak dadanya. Bagaimana nanti bila Iman sedar dia telah melarikan diri dari rumah sengsara itu? Dengan siapa nanti Iman akan bercerita? Dengan siapa Iman akan mengadu? Mata Iman semakin hari semakin kelabu. Ubat yang Papa Khalid belikan juga sudah lama habis, bila diberitahu pada Papa Khalid, Mama Hanna akan segera mencelah. Kata Mama Hanna, dia akan uruskan semuanya. Papa Khlaid akan tersenyum mendengar kesanggupan Mama Hanna. Namun hakikatnya perkara itu tidak berlaku. Mama Hanna tidak lakukan apa yang dijanjikan pada Papa Khalid. Akibatnya, Iman sudah lama tidak mengambil ubat yang sepatutnya diambil untuk matanya.

Chempaka Amna tunduk dan mencium dahi Iman. Beberapa titis airmatanya jatuh di dahi adik kesayangannya itu, cepat-cepat disapunya sebelum Iman terjaga dan dia mengubah pendiriannya. Dia menoleh ke atas meja tulisnya lantas mencapai sehelai kertas dan mencatatnya sesuatu.

“Kak Peah,

Amna sayang sayang Kak Peah. Tolong jaga adik Iman , Amna akan datang ambil adik nanti. Tolong ya Kak Peah. Terima kasih Kak Peah. Amna sayang Kak Peah.”

Dilipatnya dan diletak di bawah gelas minuman Iman. Dia yakin pagi-pagi esok, Kak Peah akan masuk ke bilik ini untuk mengemas bilik dan dia berharap catatan itu dijumpai Kak Peah. Dia pasti Kak Peah akan membacanya. Chempaka Amna bangun dan dengan pantas tangan kanannya mencapai beg yang berisi pakaian dan sementara tangan sebelah kirinya mencapai telefon bimbit di atas meja. Tanpa banyak berfikir lagi dia menarik kerusi mendekati tingkap yang sedia terkuak. Ditariknya penyelak pada jerigi lantas ditolaknya ke luar. Akhirnya jerigi yang dibuat khusus untuk waktu-waktu kecemasan itu terkuak. Chempaka Amna menarik nafas dan menjengah ke luar. Dia yakin ketinggian tingkap mungkin tidak mematahkan kedua kakinya jika dia melompat ke bawah. Chempaka Amna terus memanjatnya kemudian dia terus terjun ke luar tingkap.

Dup! Seperti buah yang gugur ke tanah, hanya beberapa saat Chempaka Amna sudahpun terjelepuk dengan sebuah beg yang terpeluk di dadanya. Dia menarik nafas dan mengelus dada. Alhamdulillah hanya terasa senak sedikit pada bahagian dadanya. Dia kemudian bangkit menarik nafas. Tanpa berlengah dia terus menghayun langkah. Dia berlari tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Sekuat tenaga dan upayanya. Setiba dia berhampiran sepohon jambu batu dia terhenti. Nafasnya tercungap. Airmatanya merembes, kelabu pandangannya. Ada sesuatu yang menyentap ingatannya. Adik kurang upaya yang ditinggalkan sendirian di bilik itu. Iman Idham.

Owh! Dia kena kuat. Untuk keluar dari kepompong itu dia harus kuat. Chempaka Amna berbisik. Hangat terasa di pipinya. Segera dia menyeka pipi yang telah basah itu. Dia mesti kuat. Dia tidak harus menunggu lebih lama lagi. Jeritnya di dalam hati. Tetapi ke mana? Ke mana dia harus pergi? Jerit Amna di dalam dada. Nafas lelah saling berbaur dengan rasa cemas mula menyesak perasaannya. Chempaka Amna merenung jam pada telefon bimbit yang digenggamnya. 12.30 tengah malam. Kemudian dia menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ada sebuahpun kenderaan yang lalu. Kali ini dia akan menahan apa saja kenderaan yang lalu sekalipun lori tangki. Malah lori tanahpun dia akan menumpangnya. Walau dia tahu, malam-malam begini, mana mungkin ada lori tanah yang beroperasi. Ya ALLAH, datangkanlah aku satu kenderaan ya ALLAH! Keluhnya. Dalam kegelapan mengharapkan kenderaan yang lalu lalang, tiba-tiba kedengaran bunyi enjin motor dan cahaya lampu menyuluh batang pohon jambu di hadapan tempat dia berdiri. Degupan jantungnya kembali kencang. Motor siapa? Atau Mama Hanna sudah tahu dan meminta jirannya menjejaknya? Ke mana lagi dia harus melarikan diri. Bagaimana nanti kalau dia tertangkap. Apa bentuk hukuman yang dikenakan Mama Hanna kerana lari dari rumah? Dia mendiamkan diri sambil menahan nafas di balik sepohon pokok berhampiran pohon jambu itu. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Tiba-tiba kedengaran enjin sebuah kenderaan berhenti hampir dengan tempat dia berdiri. Bunyi enjin motosikal sebelumnya entah ke mana hilangnya. Dia membuka matanya, dalam kelam dia dapat melihat sebuah kereta tiba-tiba berhenti betul-betul di hadapannya. Kelibat seseorang kelihatan keluar dari kereta. Kelibat itu melangkah ke sebelah kiri kenderaan itu. Kemudian kelihatan kelibat itu berdiri mengadap semak di sebelahnya. Dia menjeling sekilas. Ya ALLAH !

Tanpa menunggu, Chempaka Amna terus melangkah ke arah kereta dan pantas menarik daun pintu kenderaan itu, akhirnya dia berjaya menyelinap masuk ke dalam kenderaan itu. Dengan nafas tercungap dia membongkok dan menjatuhkan badan di atas kusyen belakang. Chempaka Amna menahan nafas. Dia tidak hiraukan aroma kenderaan itu menyelinap ke deria baunya. Dia juga tidak hiraukan apa yang terjadi di luar. Dia hanya mahu bersembunyi dalam kenderaan itu tanpa sempat memikirkan siapa pemilik kenderaan itu. Malah dia tidak sempat berfikir, apakah dia benar-benar selamat dalam kenderaan itu. Owh! Dia memicit kepalanya. Dalam gelisah di tempat duduk belakang, dia mengharap kenderaan itu cepat-cepat beredar. Bergeraklah! Bisiknya. Dia akan keluar bila kereta itu berhenti. Apa yang penting dia dapat lari dari daerah luka itu.

Chempaka Amna memejamkan mata sesaat. Dia cuba menenangkan perasaan takut dan mengah yang mengebu di dadanya. Beberapa minit kemudian terasa kenderaan itu terhenyak dan kedengaran pintu ditutup. Dia yakin pemandu kenderaan itu kembali masuk ke kenderaan itu. Beberapa saat kemudian kenderaan itu dirasakan bergerak. Semakin lama semakin laju. Ke mana arah kenderaan ini. Dingin menyentuh kulitnya. Dia masih tidak membetulkan duduknya. Dia menjengah sedikit ke arah kerusi pemandu. Gelap. Dia merenung sambil menyempitkan matanya. Kemudian kembali membetulkan kedudukannya. Bersedia di sebelah pintu belakang kerusi pemandu. Sekiranya kenderaan itu berhenti di mana-mana nanti, dia akan menyelinap keluar. Tiba-tiba muzik berkumandang perlahan. Kedengaran siulan lelaki itu mengikuti muzik yang berkumandang. Dadanya berdebar. Siulan itu diikuti dengan nyanyian kecil. Dalam ketakutan dia tersenyum. Dia memejamkan matanya menikmati ‘k-pop’ kesukaannya. Dia lupa dia sekarang berada di dalam kenderaan lelaki asing. Dia masih tidak tahu apa nasibnya. Ke mana kenderaan itu akan pergi. Dia terlupa semua tu. Dia terlupakan semua peristiwa sebelum itu yang mengheretnya sehingga dia berada di dalam kenderaan ini. Dia memejamkan matanya. Perasaannya hanyut jauh dan menjauh. Akhirnya dia terlena.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani