Home Novel Cinta DIA YANG KUCINTA
DIA YANG KUCINTA
Indah Hairani
28/12/2012 19:38:06
81,359
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 5

MAHANNAmenggeliat. Pagi yang indah. Malam tadi hujan turun dengan agak lebat. Sejuk malam ditambah dengan alat pendingin hawa, Hanna mengikat kimono tidurnya kemudian memeluk tubuh sambil melepaskan pandangan ke luar tingkap. Hari ini suaminya Khalid akan pulang. Selalunya pertanyaan pertama Khalid adalah khabar anak-anak arwah isterinya. Chempaka Amna dan Iman Idham. Hatinya sakit mengenangnya. Kenapa mereka yang selalu ada di hati lelaki itu. Kenapa tidak Larra dan Hafidz Andrew dengan bekas suaminya Andrew Willson dulu? Apa bezanya mereka. Apa istimewanya anak perampas itu berbanding anak-anaknya? Sakit hatinya mengenangkan semua itu. Setelah perempuan itu meninggal, Khalid membawa keduanya ke rumah. Baru dia sedar, selama ini Khalid telah curang dan menduakannya. Dia tertipu. Rupa-rupa selama ini, Khalid membeli tanah dan membina rumah di pantai timur ini semata-mata untuk mendekatkan Khalid dengan perempuan itu. Tidak perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur seperti yang sentiasa Khalid jalani selama ini. Setiap minggu Khalid harus memandu pulang ke Kuala Lumpur. Akhirnya Khalid meluahkan, dia tidak larat untuk berulang alik dan menyuarakan untuk mencari tapak yang sesuai untuk mendirikan sebuah rumah. Namun Hanna tidak pernah mencium kecurangan itu, malah berita perpindahan itu sangat menyenangkan hatinya. Selama ini dia dibesarkan di tengah-tengah kota batu, belajar juga di kota batu kemudian menyambung pelajaran di luar negara dan bertemu dengan lelaki Inggeris, bercinta dan berkahwin dengan lelaki itu. Perkahwinan yang hanya memakan masa empat tahun itu memberinya dua orang zuriat dari lelaki itu, akhirnya lelaki itu pergi entah ke mana dan dia kembali ke Malaysia dengan membawa Larra dan Hafidz. Beberapa bulan dia menerima kabar buruk, lelaki Inggeris itu meninggal dunia terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di kota London. Kehilangan lelaki itu tidak sepahit menerima kenyataan dia dicurangi Khalid. Sesungguhnya dia tidak senang dengan kehadiran anak perempuan perampas itu. Sejak pertama kali mereka menjejakkan kaki ke sini dan sehingga ke saat ini, hatinya tidak pernah redha. Hatinya masih tidak terubat. Kemarahan itu membuat dia tidak pernah mengizinkan kedua anaknya pulang ke Pantai Timur ini. Sengaja dia menyiksa perasaan Khalid kerana dia tahu, Khalid juga sangat menyayangi keduanya. Bila dia merindui anak-anak itu, dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya dia berdepan dengan rungutan dan suara rindu Larra dan Hafidz pada Khalid, namun dia biarkan. Dia ingin menyiksa lelaki itu. Biar lelaki itu tahu, betapa siksa hatinya bila dia diduakan. Setiap kali Khalid menyebut kedua anak itu, dia pastikan Khalid akan terluka dengan kata-kata dan hinaannya.

“Buat apa you ingat budak tu? Youpun bukan suka sangatpun! Layanlah anak betina tu.”Selanya bila setiap kali Khalid meluah rasa rindunya pada Larra dan Hafidz.

“Kenapalah you cakap macam tu Hanna. Mereka tu anak I jugak kan?.”

“Anak you? You ni kan, memang tak malu. You tu mandul. You tu mandul, Khalid.” Beberapa kali diulangnya. Dia puas dapat menyakitkan hati Khalid. Dia masih ingat ketika itu wajah Khalid benar-benar sedih dengan kata-katanya. Apa dia peduli. Kalau Khalid sanggup melukakan hatinya kenapa dia tidak boleh berbuat demikian. Lagipun, memang kenyataannya Khalid tidak dapat memberi zuriatnya. Doktor Kasmin, sahabat baik mereka telah mengesahkan Khalid mandul. Apa lagi nak disangkalnya.

“Hanna, cukuplah you menghina I.” Suara Khalid sebak panas di pendengarannya.

“Memang you layak dihinapun Khalid. Kenapa? You tak puas hati dengan I? Marahlah! You nak tampar I? Tamparlah kalau berani. You jangan lupa siapa diri you sebenarnya Khalid. You jangan lupa asal usul you tu.” Khalid terduduk. Wajahnya merah. Dia tahu lelaki itu menahan marah dan terluka. Dia tahu. Namun sudah beberapa kali dia tegaskan, dia masih tidak dapat menerima perbuatan Khalid terhadapnya. Dan dia telah bertekad selagi hatinya tidak puas selagi itu, Khalid akan terkena hamburan kata-katanya.

“Hanna apapun yang you nak hina I dan kata pada I, I tetap menyanyangi anak-anak you. Larra …Hafidz . I sayang mereka. I anggap mereka anak I sendiri”Balas Khalid dengan sebak.

“Ah! You jangan nak sebut-sebut anak I. Bela dan layanlah anak perempuan yang you gila-gilakan tu.” Selanya lagi selagi dia tidak puas.

“Hanna…dah banyak kali I cakap pada you. Dia telah meninggal, buat apa you nak ungkit dan marah lagi? You tak kesian ke diri you tu Hanna? You sedikitpun tak takut dosa?” Lembut dan tersekat-sekat nada suara Khalid ketika itu. Dia merenung lelaki itu dengan pandangan tajam.

“Sudahlah Lid, you jangan nak jadi ustaz pulak. Kan I dah cakap selagi dua ekor anak perempuan tu masih ada di depan mata I, selagi itu I tak akan maafkan you.” Marahnya, biar Khalid tahu, dia bukan mudah diperkotak katikkan.

Beberapa beberapa tahun kebelakangan ini, Khalid ditawarkan untuk berkerja di Vietnam untuk projek membangun prasarana negara dalam bidang saliran perhubungan, jalan yang menghubungkan antara Bandar Ho Chin Minh ke bandar-bandar kecil. Sudah tentu menuntut Khalid sering berulang alik ke bumi asing itu. Khalid sering menyuarakan untuk membawanya dan tinggal di bumi asing itu sehingga segala projek itu selesai. Dia menolaknya. Dia tidak berminat, bukanlah negara yang diimpikan untuk dihuninya. Berbagai alasan yang diberikan pada Khalid untuk tidak mengikuti Khalid. Antara alasan yang menarik yang membuat Khalid tersenyum. Dia ingin bersama anak-anak termasuk bersama Chempaka Amna dan Iman.

“Chempaka tu dah remaja. Dah habis exam. You kena fikir anak gadis kesayangan you tu. Lepas tu si Iman. youpun tahu, dia tu bermasalah.” Kata-kata itu terngiang-ngiang di cupingnya dan dia masih terbayang senyum manis Khalid ketika itu.

“Apa betul, I tak bermimpi?” Mahanna berdekah tertawa mendengar kata-kata Khalid.

“Apa? I ni jahat sangat ke?” Sergahnya pada Khalid. Khalid tersenyum.

“Siapa pulak kata kat you jahat? I tak pernah anggap you macam tu, Hanna.” Lembut suara Khalid. Barangkali lelaki itu senang hati mendengar kata-katanya.

“Itu kata-kata di bibir you Lid, tapi di hati you? You nak cakap pada I yang you bencikan I?”Sindirnya pada lelaki itu.

“Kalau macam tu, terima kasih Hanna. I buat semua ni untuk kita semua. Anak-anak kita. Untuk masa depan kita. . I akan pastikan I akan selalu balik.”Ujar Khalid disusuli senyum.

“Yalah! I harap you balik bukan semata-mata untuk anak-anak kesayangan you tu.” Balas Mahanna sambil menjeling tajam ke arah suaminya itu. Namun dalam masa yang sama ada sesuatu yang bermain di benaknya.

“Dan budak-budak tu, Amna tu, pastikan pelajaran dia dipantau dan Iman pulak. Beritahu dia, I akan berusaha agar dia dapat kembali melihat seperti sebelumnya.” Pesan Khalid padanya. Panas hatinya mendengar kata-kata Khalid. Mahanna mencebik.

“You pandai buat janji. Nanti kalau budak tu tuntut janji, siapa yang susah? You dan I jugak kan?”Tinggi kedengaran nada suara Mahana. Dadanya semakin terbakar.

“Ya I janji. I janji, I akan usahakan supaya Iman dapat kembali melihat Hanna. Kalau tak kerana nak ubatkan si Iman tu, buat apa I susah ke negara orang? Untuk hidup kita, dah memadai dengan apa yang ada.” Panas di dadanya seakan tidak mampu ditahannya. Namun dia tetap menahan sabar.

“Alah you, berapa kali you nak cakap perkara yang sama dah berbulu telinga I mendengarnya. Sudahlah.” Marahnya. Khalid hanya tersengih. Kesabaran Khalid mencabar egonya. Sakit hatinya.

Apapun, akhirnya Khalid telah berangkat juga ke negara Vietnam itu. Dan dua orang anak perempuan perampas itu terletak di bawah tanggungjawabnya. Sedangkan dua orang anaknya tidak tinggal bersama-samanya. Pantas masa bergerak. Larra menyambung pelajaran di kolej tempatan dan tinggal di Kuala Lumpur sementara Hafidz pula di luar negara. Dan kini sudah hampir dua tahun Khalid di bumi asing dan segala beban menjaga dua biawak hidup terletak di bahunya. Hati mana yang tidak sakit biarpun keputusan untuk tidak mengikuti Khalid adalah pilihannya namun beban itu bukan pilihannya. Segala kesanggupan itu sekadar melepaskan perasaan dendamnya pada perempuan yang telah dinikahi Khalid tanpa pengetahuannya. Ah! Mahanna tiba-tiba melepaskan keluhannya. Matanya tertancap pada jam di dinding di hadapannya.

“Dah pukul sembilan?” jeritnya tiba-tiba memecah sunyi pagi. Mahanna menjengah ke halaman dan memerhatikan pasu-pasu pohon bunganya. Masih kelihatan kering, itu bermakna pohon-pohon bunga kesayangannya belum bersiram. Dia melangkah ke anjung dan mencari pohon-pohon yang baru dibelinya beberapa hari yang lepas. Kelihatan sedikit layu. Marahnya tiba-tiba membuak. Dengan pantas Mahanna bergegas mencari Chempaka Amna. Memang dasar anak tak mengenang budi! Jeritnya dan hanya bergema di dalam dadanya.

“Amna! Amna!!” Nama itu dijeritnya. Wajahnya tegang. Dia mendekati bilik yang dihuni Chempaka Amna dan adiknya Iman. Baru sahaja dia ingin mengetuknya, Kak Peah pembantu rumahnya muncul.

“Puan? Kenapa puan?”

“Mana Amna?” Mahanna bertanya tanpa menjawab pertanyaan pembantu rumahnya itu. Pembantu rumahnya itu kelihatan serba salah.

“Saya tanya awak, mana budak Amna? Masih tidur ke dia?” Tambahnya sambil merenung tajam ke wajah Rafeah. Wanita itu sering mempertahankan Chempaka Amna yang kadang kala wanita itu sendiri menerima tempias kemarahannya.

“En..entah puan. Puan nak saya tengok?” Tergagap Rafeah menjawabnya.

“Tak apa, biar saya yang kejutkan sendiri. Dah berapa kali kita cakap, masih tak reti-reti. Patutlah belajar bengap. Tak sampai ke mana.” Rungutnya sambil melangkah dan memulas tombol pintu bilik Amna. Pintu terkuak. Iman tersentak. Rafeah memandang ke arahnya dengan wajah cemas.

“Mana Amna? Iman mana kakak kamu?” Jeritnya.

“Mama Hanna?”Jeritnya lagi bila Iman tidak menjawab soalannya.

Rafeah meluru dan mendekati Iman. Wajah wanita itu kelihatan cemas ketika dia melangkah masuk mendekati Iman.

“Ya! Aku tanya mana kakak kamu?”Jerkah Mahanna. Panas hatinya melihat wajah anak itu yang hanya tahu mengerdip-ngerdip matanya.

Iman bangkit dan menyusur ke katil Amna. Rafeah ikut bangun. Entah kenapa tidak ada belas di hati Mahanna melihat keadaan Iman yang teraba-raba itu. Mahanna membeliak matanya. Ke mana pergi gadis itu?

“Iman…memang dasar buta, buta kamu ni. Mana ada kakak kamu. Dia ke mana?” Jerkah Mahanna. Iman tersentak. Rafeah cepat-cepat memegang lengan Iman. Mahanna menjeling tajam. Iman mula menangis.

“Hey, bodoh! Kenapa menangis? Aku tanya kakak kamu, kenapa kamu menangis?”Jerkah Mahanna lagi. Sudah hilang rasa belasnya.

“Iman minta maaf mama Hanna. Iman tak tahu kak Amna pergi mana.” Jawab Iman dalam suara sebak.

“Ya puan, maafkan Iman. Iman tak tahu.”Celah Rafeah perlahan.

“Peah! Selalu menyebelahi budak-budak ni. Sebab tu mereka ni mua. Tengok tu si Amna, dah pandai melawan. Apa yang kita suruh dia tak buatpun. Kan saya dah suruh awak tengok budak dua ekor ni.” Sergahnya pada pembantu rumah yang telah berbelas tahun berkhidmat dengannya.

“Ma..maaf puan.”ucap Rafeah tergagap.

“Sudahlah! Dari dulu saya perhatikan. Saya boleh bersabar selagi tidak membebankan saya. Tapi ingat Peah, kalau kamu berlebih-lebih sangat, saya tak teragak-agak memberhentikan kamu!“ Marah Mahanna sambil merenung tajam ke wajah pembantu rumahnya itu.

“Mama Hanna, maafkan kakak Amna, mama. Apa yang mama nak akak buat. Cakap pada Iman. Biar Iman yang buat mama.”

“Apa yang kamu boleh buat si buta? Cakap pada aku. Kamu boleh siram pokok-pokok bunga dalam pasu? Cakap dengan aku.”Jawabnya penuh rasa benci.

“Puan..puan..biar saya yang buat semua tu, puan jangan risau.” Rafeah cuba menenangkan perasaannya. Dia merenung wajah perempuan itu kemudian menjeling ke arah Iman.

“Peah, saya tak suruh kamu buatpun semua tu. Kamu buat kerja kamu Peah. Saya bayar gaji kamu bukan untuk jaga budak ni lebih. Bukan jugak buat-buat muka bodoh. Kamu faham?”

“Ya! Ya saya faham.” Jawab Rafeah tergagap. Mahanna menjeling tajam.

“Ya …ya…maafkan saya, puan.”Sekali lagi Rafeah menjawabnya.

“Okay, kali ini aku maafkan. Kau cakap dengan kakak kau jangan terlalu berlagak. “

Ujarnya sambil melangkah meninggalkan Iman. Semakin berlama di situ semakin panas hatinya. Budak-budak tu sudah mua sekarang. Rungutnya melepaskan rasa tak puas hati apabila tujuan dia tidak tercapai. Dengan langkah panjang dia kembali menapak anak tangga ke tingkat atas. Terlupa dia untuk menjamah sarapan yang disediakan. Tak ada selera. Bisiknya.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Indah Hairani