“PANASNYA cuaca di sini,” ujar Malique sambil menyapu rambutnya yang keriting halus. Terasa manik-manik peluh
membuat kepalanya sedikit basah. Mereka bertiga baru keluar dari kereta dan
sedang berjalan di bawah matahari yang panas menghala ke restoran di seberang
jalan.
“Memang
cuaca panas ni agak luarbiasa. Sudah sebulan KL tak hujan,” beritahu Firdaus
untuk memanjang perbualan antara mereka.
Restoran
itu penuh kala mereka mencari tempat duduk yang sesuai. Bagi memenuhi keinginan
agar masing-masing terasa nyaman, Firdaus memilih ruang makan yang berhawa
dingin, di tingkat atas restoran. Setelah pelayan datang mengambil pesanan,
Malique mengeluarkan sebuah fail dari dalam briefcase yang dibawanya.
Sekeping
foto dihulur kepada Irina.
“Kenal orang dalam gambar ni?” soal Malique.
Irina
memerhati gambar yang baru dihulurkan kepadanya. Dia mengangguk. Gambar itu
juga dimilikinya, satu-satu gambar yang dia ada. Gambar kenangan yang
mengingatkannya pada wajah ayah, emak dan dirinya yang ketika itu berusia tujuh
tahun.
“Ni
gambar saya, emak dan ayah,” jawab Irina sambil tersenyum.
Spontan
gambar itu dihulurnya pula pada Firdaus. Lelaki itu tersenyum menatap gambar
Irina. Sudah mengenakan tudung biarpun masih terlalu muda dan mentah.
“Cute,” puji Firdaus.
Irina
tersenyum manis. Matanya menatap sejenak ke wajah Firdaus. Ada rasa senang di
hati kala senyumannya dibalas lelaki itu dengan lembut.
“Dan
gambar ni,” kata Malique pula sambil mengunjuk sekeping lagi gambar bersaiz 5R.
Irina
memandang wajah yang terpamer di penatapannya. Raut wajah lelaki itu tampak
berubah, hampir-hampir tidak dapat dikenal. Wajah seorang lelaki yang telah
mencecah setengah abad. Rambutnya masih hitam, diselangi sedikit uban di atas
telinga. Kulit yang putih kemerahan, hidung mancung dan bibir yang tersenyum
ceria. Kumisnya tebal dan dia memiliki dagu yang terbelah. Pun wajah itu masih
kacak. Sisa ketampanan di zaman muda. Dan wajah itu kelihatan segak dan
bergaya, lambang orang berharta dan berduit.
Ceria dan bahagia. Itulah gambaran wajah terbaru ayahnya.
“Ni
gambar ayah saya?” tanya Irina bagaikan ragu-ragu sendiri sambil menggaru
kepala.
“Ya,
ni lah ayah kamu. Abu Bakar Alias atau pun di sana dia dikenali sebagai Thomas
Burns.”
“Thomas
Burns?” Dahi Irina berkerut.
“Ya,
dia tukar nama,” kata Malique sambi tersenyum melihat wajah Irina yang
kelihatan kebingungan.
“Di
mana dia sekarang?” tanya Irina seperti tidak sabar.
“Di
Zurich, Switzerland. Saya
datang untuk menjemput Cik Irina. Ayah Cik nak jumpa,” jawab Malique.
“Kenapa
baru sekarang? Kenapa dia tak datang sendiri cari saya di sini?” soal Irina
bertalu-talu.
Dalam
hati mulai dihujani dengan pelbagai persoalan-persoalan lain. Bolehkah segala kata-kata Malique dipercayai? Benarkah
ayahnya berada di Zurich? Kenapa begitu jauh ayahnya pergi? Dan kenapa begitu
lama baru ada khabar berita tentang dirinya. Irina terasa jauh hati, marah dan
geram. Kemudian semua itu ditindih pula rasa ingin tahu, ingin bertemu ingin
melepaskan segala rindu di hati. Segala perasaan datang dan pergi. Rasa sayang
dan benci. Rasa rindu dan takut ditinggalkan.
“Percayalah!
Keadaan tidak mengizinkan dia balik ke Malaysia. Kalau ikutkan hati, dia mahu
balik ke negaranya sendiri. Tapi tu lah, banyak masalah yang mungkin akan
timbul,” terang Malique satu persatu.
“Kenapa?
Dia sakit?”
Malique
menggeleng.
“Susah
untuk menerangkan semuanya pada Cik Irina,” katanya sambil memandang Firdaus
sejenak, kemudian menyambung; “Terlalu rumit. Biarkan ayah cik sendiri yang
bercerita. Saya tak pandai bercerita,” katanya sambil tertawa kecil seolah-olah
ingin menutup kelemahan dirinya.
“Saya
hanya menyampaikan pesanan dari dia. Tu saja.”
“Apa
hubungan encik dengan ayah Irina?” soal Firdaus.
Rasa
curiga sudah lama menghambat diri. Dia tidak senang mendengar berita yang baru
didengarinya tentang Abu Bakar, bapa Irina.
“Saya
kawan baik dia. Kami kenal di Malaysia, semasa saya dan dia masih muda. Sekarang
saya juga adalah pekerjanya. Dia memiliki syarikat yang besar,” cerita Malique.
Dia
mengeluarkan sekeping gambar lagi. Gambar dia dan bapa Irina kelihatan sedang
makan dengan santai sambil bergelak ketawa. Irina memerhati gambar itu. Jelas
menunjukkan bahawa bapanya sangat bahagia.
“Saya
dah bekerja dengan dia hampir 15 tahun,” beritahu Malique.
“Hampir
sama dengan masa dia meninggalkan saya dan emak,” kata Irina hampir-hampir
teresak.
“Maafkan
saya. Saya tahu segala kepedihan yang kamu berdua hadapi,” balas Malique.
“Encik
tahu? Alangkah ironinya,” jawab Irina sedikit sinis.
“Ayah
bahagia dan mewah di sana sedangkan kami hidup miskin dan derita,” balasnya
lagi.
“Dia
mahu tebus kesilapan lalu, Cik Irina. Cik ikutlah saya ke sana. Tiket
penerbangan pun dah ditempah. Minggu depan saya akan kembali ke Zurich.”
Malique
merenung wajah Irina dalam-dalam. Irina menundukkan wajahnya. Dia tidak tahu
samada dia akan pergi mengikut Malique atau pun sebaliknya. Dia benar-benar
buntu. Tengahari itu seleranya benar-benar hilang. Dia tidak dapat menikmati
hidangan enak yang terhidang dengan sepenuhnya.
Sebelum
berpisah dengan Malique, lelaki itu memberikan dia nombor telefon. Dia meminta
Irina menghubunginya secepat mungkin. Namun Irina belum membuat keputusan pasti.
Tiba
di pejabat, Firdaus mengurungnya di dalam bilik kerja lelaki itu. Sejak tadi,
Firdaus berjalan mundar mandir sambil mengeluh panjang. Firdaus yang terlebih
gelisah jika dibandingkan dengan Irina. Dia takut dan bimbang Irina akan pergi
mengikut Malique menemui bapanya yang sudah 15 tahun tidak ditemui.
“Macam
mana kalau si Malique tu penipu? Dia nak culik awak, Irina!”
“Nak
culik saya? Buat apa?”
“Saya dapat rasa dia ada simpan niat buruk. Cara dia pandang awak, cara dia
bercakap, semuanya penuh muslihat,” kata Firdaus.
“Tapi
dia punya maklumat yang tepat tentang diri saya, Encik Firdaus. Dia dah buktikan
yang dia kenal dengan ayah saya. Dia tahu ayah saya kat mana. Dia bawa pesanan dari
ayah.”
“Tapi
kenapa ayah awak tak contact awak sendiri? Dia boleh je contact awak guna skyppe
ke? Fb ke? Kenapa dia mesti hantar orang untuk jemput awak kat sini? Kalau betul
dia tu bawa pesanan dari ayah awak, at least awak minta bercakap dengan ayah awak sendiri, untuk mengesahkan berita ni.”
“Saya rasa lelaki ni tak boleh dipercayai. Entah-entah dia dari sindiket mencari
perempuan untuk dijadikan pelacur? Lebih baik awak hati-hati, jangan mudah
percaya pada orang asing. Jangan percaya kat dia Irina. Tolong jangan percaya
walaupun satu ayat dari mulut dia.” nasihat Firdaus.
“Saya tak rasa dia bohong, Encik Firdaus.”
“Jadi,
awak akan ikut dia pergi Zurich? Kalau awak pergi, memang awak dah gila! Awak bahayakan diri awak sendiri. Awak sengaja cari nahas.”
Irina
terdiam. Dia tidak tahu. Dia buntu. Irina bangun lalu menuju ke pintu. Lebih
baik dia mengadu dan bertanya keputusan dari Allah. Jika ini ketentuan dari
Tuhan, dia akan ikut. Dia akan pergi dengan izin Allah.
“I
nak solat lepas tu sambung buat kerja,” katanya tetapi Firdaus pantas menuju ke
pintu dan menghalang Irina keluar dari bilik kerjanya. Blind di dinding cermin
sudah lama diturunkannya kerana dia tahu ada mata-mata liar di luar sana yang
memerhati aksi mereka berdua. Mereka ingin tahu apa yang berlaku.
Sudah
pasti mereka syak, kerana sejak pulang dari lunch tadi Irina terus masuk ke
bilik kerja Firdaus. Dua jam sudah berlalu tetapi dia belum keluar dari situ.
“SayaI
harap awak tak pergi ikut dia. Memang merbahaya awak pergi seorang-seorang. Macam
mana kalau saya ikut?”
Tiba-tiba idea itu muncul dari kepala Firdaus. Terbeliak
mata Irina mendengar kata-kata Firdaus yang dirasakannya langsung tidak masuk
akal.
“Saya harus pastikan awak selamat, Irina. Saya tak mahu kehilangan awak,” katanya lagi
sambil berdiri begitu dekat dengan Irina.
Irina
rasa tidak selesa. Dia ingin bergerak, tetapi Firdaus memegang kedua-dua
bahunya dengan kukuh. Mata mereka bertentang dan wajah begitu dekat antara satu
sama lain. Irina memejamkan matanya tidak ingin memandang mata lelaki itu.
Desah nafasnya terasa berhembus laju di pipi Irina.
“I
love you, Irina,” Bisik Firdaus syahdu.
“Encik
Firdaus, saya malu dengan kawan-kawan setugas di luar sana. Dia orang tengah
mengumpat kita!”
“Agh!
Pedulikan mereka. Yang penting hati dan perasaan saya pada awak. Cinta saya pada awak, suci dan unggul Irina.
Tolong percaya pada saya. Saya akan buat awak bahagia.”
“Encik
Firdaus, Saya tak tahu nak kata apa dah! Saya pening. Tolonglah, saya nak keluar. Saya belum solat zohor lagi ni.”
“Tak. Saya tak benarkan awak keluar selagi awak belum janji, awak takkan ikut Malique jumpa
lelaki yang kononnya ayah awak tu! Awak akan tertipu nanti. Sekarang ni ada
bermacam taktik orang nak perdaya gadis cantik
macam awak,” ujar Firdaus, berdegil dan bersungguh-sungguh mempertahankan
pendapatnya.
Irina
percaya pada Malique. Hati kecilnya berkata begitu. Walaupun tadi, dia ragu
tetapi dia akan cuba menyakinkan dirinya sendiri. Dia akan meminta Malique
menghubungi bapanya dan dia sendiri ingin mendengar suara Abu Bakar. Walaupun
suara bapanya itu sudah tidak dingat lagi tetapi Irina yakin sebaik mendengar
suara Abu Bakar, dia akan tahu bahawa lelaki itu benar-benar bapanya atau pun
seorang penyamar.
“Encik
Firdaus, selama ni saya hidup sorang, tak ada sesiapa yang protect saya. Saya hanya
memohon perlindungan dari Allah. Saya yakin
pada diri sendiri. Saya akan percaya pada perkara yang saya ingin percaya.”
“Ina,
biarkan saya lindung awak, sayang. Mulai hari ni. Awak percaya pada saya. Selama
awak kerja kat sini, ada saya tipu awak? Ada saya khianat kat awak, Ina?”
Irina
mengertapkan bibirnya sejenak.
“Terima
kasih Encik Firdaus. Saya tahu encik baik hati.Saya hargai perasaan encik. Tapi perlu jumpa ayah saya. Dah lama saya tak jumpa dengan dia,” balas
Irina separuh berbisik.
Firdaus
termenung mendengar kata-kata Irina. Ada kebenarannya jua. Irina merindui
seorang bapa yang sudah 15 tahun tidak ditemui.
“Izinkan saya pergi solat dulu. Dah nak habis waktu
ni. Nanti saya akan beritahu apa-apa perkembangan. Okey, Encik Firdaus?”
“Okey...
okey sayang. Saya pun nak solat jugak.”
Daun
pintu ditarik dan Irina diizinkan keluar. Sebaik wajah Irina muncul, terdengar
siulan dari para pekerja lelaki. Mereka mulai menyindir nakal. Irina rasa malu
kerana sepanjang hari itu dia bagaikan jadi titik tumpuan semua orang terutama
Firdaus.
Ya
Tuhan! Kenapalah hidup aku jadi kacau, tak berjalan dengan mulus kebelakangan
ni?
Selesai
solat, panjang doa Irina. Pelbagai peristiwa diingatinya dengan jelas. Dia
masih terasa betapa perit pipinya ditampar Noriza. Dia dituduh perempuan tidak
bermaruah, cuba merampas Firdaus.
Padahal Irina tidak pernah berniat begitu. Kebelakangan ini Firdaus memang kian
berani meluahkan perasaannya. Dan dia sentiasa mengelakkan diri. Tetapi sampai
bila dia harus mengelak? Mereka bertemu setiap hari di pejabat ini. Apakah
salah satu jalan keluar adalah dengan pergi meninggalkan bumi Malaysia ini?
Ayah!
Benarkah ayah ada di sana? Benarkah ayah sedang mencariku dan menanti
kehadiranku? Oh Tuhan! Bantulah aku membuat keputusan yang tepat.
AKHIRNYA Irina dapat
mendengar suara bapanya yang sudah lama tidak menyentuh cuping telinga. Air
mata Irina mengalir laju. Tanpa sedar dia teresak sambil tangan memegang erat telefon
bimbitnya.
“Ikutlah
Uncle Malique. Memang ayah yang hantar dia ke KL untuk jemput Irina,” kata
bapanya dengan lembut. Bahasa Melayu lelaki itu masih baik, biarpun sudah lima
belas tahun bermastautin di luar negara. Irina percaya seratus peratus bahawa
lelaki itu memang bapanya. Suaranya lunak dan lembut.
Irina
dihambat rindu. Dia memejam mata, membayangkan kali terakhir dia menerima
sentuhan bapanya. Sentuhan kasih sayang. Belaian mesra seorang ayah. Dia
membesar tanpa kehadiran bapanya itu. Hidupnya terasa begitu pincang.
Lebih-lebih lagi setelah emaknya pergi. Tetapi kini kasih sayang bapanya pula
mengambil ruang yang kosong, yang
ditinggalkan emak.
Malique
yang ada di hadapan Irina hanya tersenyum mendengar perbualan antara Irina dan
bapanya. Selepas habis waktu kerja tadi, Irina menghubungi Malique. Dia meminta
Irina datang ke hotel penginapannya. Irina terus ke sana tanpa pengetahuan
sesiapa, jauh sekali Firdaus. Petang itu Firdaus sibuk dengan meeting. Irina
bersyukur kerana bebas dari pertanyaan
ketuanya yang tidak keruan itu. Menagih cinta pada waktu dan saat yang
amat tidak kena.
“Kenapa
ayah tak datang sendiri ke Malaysia jemput Ina?” tanya Irina ingin tahu.
“Ayah
ada alasan yang tersendiri mengapa ayah tak dapat datang. Sebenarnya ayah tak
boleh jejakkan kaki lagi ke Malaysia. Terlalu bahaya, nyawa ayah akan
terancam.”
“Kenapa?”
“Susah
ayah nak ceritakan semuanya Ina. Bila Ina dah ada depan ayah, ayah akan
ceritakan semuanya sayang. Percayalah. Ayah takkan sembunyikan apa-apa. Ikut
sajalah Uncle Malique datang ke Zurich. Tiket pun dah ayah uruskan.”
Irina
diam sahaja. Kini dia memikirkan pula pekerjaan yang akan ditinggalkannya.
“Harap
Ina dapat ikut Uncle Malique, sabtu depan. Ayah tak sabar nak jumpa Ina. Ayah
rindukan Ina sangat-sangat,” kata bapanya lagi.
“Tapi
kat sini, Ina ada kerja ayah. Ina perlu dapatkan cuti lebih dulu.”
“Tinggalkan
semuanya Ina. Kamu tak perlu balik ke sana lagi. Kamu akan terus tinggal dengan
ayah. Di sini semuanya cukup. Jangan kamu risau. Malah ayah dah pun tinggalkan
semua harta-harta ayah atas nama kamu. Jangan pula kamu terkejut nanti
sekiranya kamu dipanggil dengan nama Irina Thomas Burns.”
“Hmmm...
Ya, Uncle Malique ada beritahu Ina, ayah dah tukar nama.”
“Tu
identiti baru ayah. Tapi percayalah sayang, ayah tetap ayah Ina yang dulu. Kita
orang Melayu,” kata Burns sambil tertawa kecil.
“Hanya
nama saja ditukar kepada Thomas Burns. Untuk memudahkan urusan perniagaan. Di
sini ayah terpaksa bersaing dengan bangsa asing. Jadi imej amat penting untuk
membuktikan bahawa ayah mampu berjuang ke peringkat antarabangsa. Ina, kau akan
mewarisi harta benda ayah yang nilai berjuta Euro,” Jelas Burns lagi, masih
terus cuba menyembunyikan rahsia paling besar dalam hidupnya. Rahsia mengapa
dia menguburkan terus nama Abu Bakar bin Alias.
“Ayah!
Ina bukannya mahu harta ayah. Ina hanya nak jumpa ayah saja. Lepas tu Ina nak
balik Malaysia. Kehidupan Ina yang sebenar adalah di sini. Di tanahair yang
tercinta ni. Ina sayang untuk tinggalkan Malaysia. Nanti tak dapat nak melawat
pusara emak,” jawab Irina dengan dada yang sebak apabila teringat pada arwah
ibunya.
Dia
sudah sebati dengan kehidupan di sini. Walaupun Kuala Lumpur panas membahang,
tetapi dia sudah biasa. Dia tidak dapat membayangkan pula suasana dan cuaca di
negara empat musim itu.
“Jangan
macam tu Ina. Ayah yakin kau dah banyak menderita dan hidup susah dengan emak
kau dulu. Beri peluang ayah tebus semua kesilapan ayah yang lalu. Ayah mahu
lihat kamu kahwin dan bahagia. Kamu dah ada kekasih?” Bapanya bersuara lembut,
mengharap pengertian daripada si anak.
Irina
hanya tertawa kecil. Kala itu matanya terbayangkan wajah Firdaus. Bibir Irina
terus kelu, tidak ingin menyebut nama
itu. Firdaus bukan kekasihnya. Dia tidak pernah menganggap Firdaus lebih
daripada seorang ketua.
“Ayah
tunggu kamu datang, Ina. Tak sabar rasanya nak jumpa dengan anak ayah yang
sudah sekian tahun ayah rindui,” kata bapanya sebelum menamatkan perbualan.