HUJAN merenyai tiba-tiba.
Kepalanya mendongak
langit. Kakinya seakan terpaku di situ.
Matanya menatap
ketajaman terpaan tempias hujan yang jatuh mengguyur membasahi bumi. Dia
termangu menyaksikan titik-titik hujan yang berjatuhan lalu menimpa dada tanah
itu. Dia merunyupkan kelopak matanya.
Angin
semilir berhembus dengan rintik-rintik hujan. Sejuk. Serentak itu dia memeluk
tubuhnya. Apa yang ada di dalam fikirannya kini? Kosong?
“Lupakan
dia, Zaara. Sudah tiada jodoh kalian.” Suara itu sering mengingatkan dia.
“Miss!” Payung berwarna kejernihan
menjadi pelindung pada rintik-rintik hujan yang menimpa.
“Tidak
elok ditimpa hujan begini. Khuatiri nanti miss
akan demam.” Suara itu berbicara lagi.
Dia
membisu. Langsung tidak menoleh ke arah yang empunya suara. Pantas langkah
diaturkan.
“Miss…” Suara itu masih mengejarnya dari
belakang.
Dia
terus melangkah tanpa berpaling. Tidak diendah pada suara yang memanggil.
“ZA’ARA… bila kamu balik?” Wan terjerit
kecil.
Langkah
terhenti.
Wan
meluru dan memeluk tubuhnya. Spontan dia membalas pelukan Wan.
“Balik
tak mention pada aku.” Mulut mongel
Wan memuncung sedikit. Mata bundar Wan mencerlung ke arahnya.
“Dah
seminggu aku balik Malaysia.”
“Aku
ingatkan kau tak nak balik Malaysia lagi.
Fatimah
Za’ara tersenyum nipis.
“Kau
hilangkan diri tanpa berita. Kau merajuk dengan siapa?”
“A…
aku...”
“Sebab
Nazrin berkahwin dengan sepupu kau?”
Fatimah
Za’ara ingin membalas tetapi suaranya tersangkak. Ada cerita disebaliknya tidak
ketahuan oleh Wan.
“Aku
tak faham dengan lelaki ni, bercinta dengan orang lain tetapi berkahwin dengan orang
lain pula.” Wan memeluk bahu Fatimah Za’ara.
“Wan…
cinta bisa membuatkan seseorang itu bahagia dan cinta itu juga bisa membuatkan
seseorang itu terluka.”
Sayu
hati Wan menatap wajah Fatimah Za’ara. Wajah itu tidak lagi seceria dulu. Wajah
itu sudah beku. Dingin.
MUTIARA matanya jatuh tidak tertahan.
Pondok durian ini sering menjadi persinggahan tika hatinya dipalu dengan
kesedihan. Hidupnya hanya menumpang kasih pada yang tidak sudi. Kotak ingatan
mula berpaling kebelakang mengingati perbualan bersama Wan tempohari.
“Kau
bodoh Za’ara.”
“Ya,
aku bodoh.”
“Kenapa
kau perlu mengalah hanya kau dambakan kasih sayang perempuan tua tu?”
Fatimah
Za’ara menunduk.
“Apa
yang kau dapat? kesedihan?”
Wan
menggeleng.
“Perempuan
tua tu tetap tak akui kau cucu dia kan?” Wan menyambung kata.
Fatimah
Za’ara tidak membalas. Wan sudah tahu jawapannya.
“Aku
tetap terbuang dari keluarga itu, Wan.” Fatimah Za’ara memalitkan senyuman
hambar.
“Kau
terlalu baik. Sedangkan kau sendiri tahu perbuatan kau itu ibarat melapah hati
sendiri!”
Ada
benarnya kata-kata Wan. Dia terlalu memikirkan kebahagiaan orang hingga
membutakan mata dengan kebahagiaan sendiri. Hati mula merintih gila pabila
kebahagiaan mereka disogok di depan mata ini.
Dia
pulang ke kampung mencari ketenangan seketika walau kehadirannya tidak
disenangi oleh Usu Biah. Tahu benar dia yang Usu Biah mahu jadikan rumah pusaka
itu sebagai rumah
tamu. Katanya, dia yang berjasa banyak
menjaga dan memperbaiki lopang-lopang rumah itu. Berpuluh ribu telah
dihabiskan. Usu Biah mengungkit itu dan ini. Dia tidak melupakan jasa Usu Biah
menyekolahkan dia dan menjaga dia. Dia tidak mahu bertengkar atau bermasam muka
dengan Usu Biah. Usu Biah lebih berhak atas rumah pusaka itu.