Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,392
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Datuk Wahab mendongak. Setelah itu, dia memandang ke sekitar tapak projek. Bangunan 20 tingkat yang sedang didirikan oleh Wafa Construction baru mencapai 18%. Dia mencekak pinggang. Dagunya yang tidak gatal digaru-garu. Datuk Wahab terus memerhati buruh-buruh yang sedang melakukan kerja-kerja pembinaan. Kepalanya digeleng beberapa kali. Dua minggu lepas sewaktu dia datang memantau, kerja yang sedang dilakukan pada tahap itu juga.

Datuk Wahab mengira bilangan buruh yang ada. Tidak sampai pun 25 orang. Buruh merupakan salah satu sumber terpenting dalam sesuatu proses pembinaan.

“Mukhriz, kenapa lambat sangat ni? Dah enam bulan,” keluhnya kuat. Tajam renungan matanya.

Mukhriz berlagak selamba.“Baru enam bulan, Datuk,” jawab Mukhriz, cuba membela diri.“Lagipun cuaca tak menentu. Kalau hari hujan, kita tak boleh buat kerja,” semakin banyak alasan yang diberikan Mukhriz.

“Pekerja kurang. Tambahlah lagi,” desak Datuk Wahab. Dengan jumlah buruh 25 orang itu, bangunan 20 tingkat yang sedang dibina mahu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu tiga tahun.

“Awak bukan tak tahu tenaga buruh sangat diperlukan! Tengoklah tu!” Datuk Wahab menudingkan jarinya ke arah beberapa orang pekerja yang kelihatan sedang mengukur-ukur tanah di blok utama bangunan yang akan didirikan.

“Earth work di bangunan hadapan pun belum selesai?” tukas Datuk Wahab dengan nada kesal. Matanya sempat melihat seorang anak muda yang sedang menulis sesuatu. Datuk Wahab menggelengkan kepala lagi. Hatinya terpanggil untuk melihat apa yang sedang ditulis oleh anak muda bertubuh kurus itu. Namun hal yang sedang dibincangkannya dengan Mukhriz jauh lebih penting.

“Cepat buat sesuatu, Mukhriz! Awak pengurus projek! Kalau kita tak sempat buat serahan mengikut jadual yang telah ditetapkan nanti, macam mana? Kalau mereka tuntut ganti rugi atas kelewatan tu, siapa yang nak bayar?” tanya Datuk Wahab. Ada nada kecewa di hujung kata-katanya.

“Memang dalam proses, Datuk! Saya dah berurusan dengan ejen. Mungkin hujung bulan baru sampai. Hmm...80 orang dari Indonesia,” pintas Mukhriz. Walaupun Wafa Construction anak syarikat Perkasa Holding, tetapi syarikat itu di bawah tanggungjawabnya.

“Hari ni baru satu hari bulan. Nak kena tunggu lagi 29 hari? Rakyat tempatan tak ada ke?” tanya Datuk Wahab lagi.

“Budak-budak kita mana nak kerja kontrak macam ni, Datuk,” balas Mukhriz. Setelah itu dia diam seketika. Matanya terlontar kepada seorang pemuda kurus. Pemuda itu nampaknya sedang menulis sesuatu di dalam buku.

“Lebih baik mereka duduk melepak! Kalau ada motor boleh merempit...” Sinis kata-kata Mukhriz sambil memerhati pemuda tadi. Pemuda itu masih asyik dengan buku catatannya.

“Kalau ejen tak tepati janjinya, macam mana?” tanya Datuk Wahab. Dia benar-benar tidak puas hati dengan kondisi bangunan yang sedang dibina. Matanya terus meliar. Hanya ada sebuah sahaja jentera pengangkut sedang mengangkut bahan-bahan ke seluruh lokasi projek. Sekali lagi Datuk Wahab menggaru-garu kepalanya.

“Mana jentera yang lain, Mukhriz?” soalnya terus. “Kalau harapkan buruh aje tanpa bantuan jentera, alamat 10 tahunlah baru nak siap bangunan ni, Mukhriz!” tempelaknya.

“Err... err...” Mukhriz tergagap-gagap hendak menjawab.

“Mukhriz, awak kenalah uruskan projek ni dengan cekap. Jika tak, macam mana nak pastikan yang projek ni akan siap dalam masa yang telah ditetapkan?” tanya Datuk Wahab, masih tidak puas hati. Awana Mall projek terbesarnya dalam tahun itu. Sekiranya telah siap dengan sempurna dan dikomersialkan, Perkasa Holding pasti akan mendapat labanya. Nama Wafa Construction dan Perkasa Holding terus meningkat. Nama yang baik mempunyai nilai yang besar dan berpengaruh untuk mendapatkan tender projek pembangunan.

“Saya tengok kerja yang sedang dijalankan lintang-pukang! Tak sistematik langsung! Kalau awak ada masalah, perlukan pembantu beritahu dengan saya. Saya boleh carikan! Atau kalau awak rasa tak mampu lagi! Berterus terang!” leter Datuk Wahab.

“Jentera-jentera yang kita ada, sedang diguna untuk projek di tempat lain, Datuk!” jawab Mukhriz. Telinganya mulai sakit mendengar leteran Datuk Wahab.

“Cuma jentera pengangkut tu aje yang boleh dipindahkan ke sini,” sambungnya lagi. Walaupun tahu dia akan dimarahi, dia kena berterus terang. Kemarahan yang bakal diperoleh boleh diabaikan jika dia boleh bersikap telinga kuali.

“Itu maknanya perancangan kerja tak bagus! Mana perginya jentera yang lain? Jentera kerja tanah?” tanya Datuk Wahab, marah. “Sekarang ni, kita kena guna semua jentera kerja tanah dengan lebih intensif! Traktor, jentolak, jengkaut, backhoe dan lain-lain!” jelas Datuk Wahab sambil bernafas kuat.

“Bahagian cerucuk tu takkan nak suruh pekerja-pekerja korek tanah dengan cangkul! Kerja gila tu!” jerkah Datuk Wahab dengan suara meninggi.“Kalau mereka tertimbus dalam lubang yang mereka korek nanti, awak nak ambil tanggungjawab?”

Mukhriz terus dimarahi. Namun lelaki itu buat pekak.

“Kalau ada pekerja mati tertimbus? Siapa yang nak jawab?” Bertubi-tubi soalan terhambur daripada mulut Datuk Wahab. Panas benar hatinya dengan sikap Mukhriz itu. Bena tidak bena dengan tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Itu maknanya awak tak menitik berat aspek keselamatan pekerja! Salah besar tu, Mukhriz...” jelasnya.

“Jentera pengorek mana?” tanya Datuk Wahab. Matanya meliar ke sekitar tapak projek.

“Semua jentera tu syarikat lain sewa,” beritahu Mukhriz selamba. Meskipun dia tahu kenyataannya itu bagaikan simbahan petrol pada api yang sedang marak.

“Apa?” tanya Datuk Wahab sambil menggaru-garu kepalanya. Terbakar hatinya mendengar kenyataan Mukhriz. Kenyataan yang tidak boleh diterima oleh akalnya yang waras.

“Siapa yang sewa? Kenapa awak sewakan! Ya ALLAH!” keluh Datuk Wahab. Pipinya semakin menghangat. Mengapa Mukhriz tidak berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan?

“Jess yang suruh! Syarikat yang sewa semua jentera tu milik Datuk Jalal. Bakal besan Datuk jugak,” jelas Mukhriz dengan suara yang tenggelam timbul.

“Yang awak dengar cakap budak tu, buat apa?” marah Datuk Wahab. Dia mula hangat hati dengan anak gadisnya juga. Kenapa Jasmin menyibukkan diri dalam urusan Wafa Construction?

“Saya pun jadi serba salah, Datuk! Saya nak tolak, bimbang Jess merajuk. Maklumlah, anak Datuk Jalal, Iskandar tu kekasih dia,” dalih Mukhriz lagi. Iskandar pula sepupunya.

“Alasan tu saya tak nak dengar, Mukhriz!” pintas Datuk Wahab. “Kenapa mereka tak sewa dari tempat lain? Yang awak pun satu! Takkan itu pun tak boleh nak fikir? Projek sendiri sedang berjalan, segalaequipment yang awak perlukan, awak sewakan kepada orang pulak!” marah Datuk Wahab.

“Tak logik langsung. Mentang-mentanglah Datuk Jalal tu laki emak saudara awak. Awak ingat company ini, awak punya?!” tempelaknya sinis. Puas hatinya dapat menghamburkan segala amarahnya. Dengan Mukhriz, dia kena berterus terang.

“Maafkan saya, Datuk!” Kata Mukhriz. Walaupun telinga berdesing mendengar kata-kata lelaki itu, dia terpaksa juga bermanis mulut. Maklumlah, dengan syarikat milik lelaki itu, dia mencari makan.

“Dengan maaf awak tu, awak ingat semua kerja boleh siap?” Datuk Wahab semakin naik angin. Kalau boleh, dia tidak mahu ada apa-apa perhubungan dengan Datuk Jalal! Cukuplah pengalamannya yang lalu.

“Sekarang ni, takkan awak tak boleh ikhtiar cara lain! Awak tak bosan ke tengok projek ni berjalanembab macam ni! Minggu lepas saya tengok pekerja-pekerja tu buat kerja acuan konkrit di situ! Minggu ni, saya datang mereka masih buat kerja itu jugak! Walau di lokasi yang lain! Yang lain-lain tu bila nak siap? Bila masanya nak sampai ke bumbung?” Panjang lebar leteran Datuk Wahab.

“Awak faham tak, Mukhriz? Projek ni projek besar! Pelan projek, maklumat asas projek semua awak dah studi, kan?” soal Datuk Wahab dengan nada marah.

“Kalau tak tahu nak rancang kerja, tanya pendapat orang lain! Jurutera ada... arkitek ada! Kenapa tak duduk semeja dengan mereka?” Macam bertih perkataan yang keluar dari mulutnya.

“Buat kerja kenalah ikut prosedur! Kalau nak buat kandang kambing pun kena ikutstep! Inikan pula nak dirikan bangunan komersial!” Datuk Wahab semakin geram.

“Kerja-kerja pembinaan ni mana boleh buat cepat-cepat, Datuk. Semuanya hendak diukur dan dihitung. Bukannya main hentam sahaja! Kena teliti,” balas Mukhriz apabila merasakan telinganya semakin pedih. Tidak kebal lagi.

“Tahu pun awak? Yang awak lambat bertindak nak tambah pekerja pasal apa? Dah tahu, buat kerja kena teliti. Lambat! Kenalah guna ramai pekerja! Cari yang mahir!” bidas Datuk Wahab.

Mukhriz menggaru-garu dalam telinganya. Berdiam diri mungkin lebih baik agaknya. Jika tidak, lelaki itu asyik menyerangnya bertubi-tubi. Dia mengekori Datuk Wahab yang berjalan perlahan-lahan. Segala kata-kata yang didengarinya tadi masuk melalui telinga kiri keluar melalui telinga kanan.

“Datuk nak melawat ke sebelah sana ya?” tanyanya berpura-pura tenang.

Datuk Wahab mengangguk. Memang setiap kali dia melawat ke tapak projek, dia akan mengambil masa berjam. Muka Mukhriz yang nampak resah dipandangnya.

“Mukhriz, awak nak balik ke pejabat dulu ke?” tanya Datuk Wahab.

“Nampak gayanya kena baliklah. Saya ada mesyuarat dengan pembekal pasir 11.00 pagi nanti, Datuk,” beritahu Mukhriz. Matanya sempat mengerling ke arah pemuda tadi.

“Tak apa, baliklah,” setuju Datuk Wahab. Walaupun tidak begitu yakin tentang mesyuarat yang dikatakan oleh Mukhriz itu. Dasar pekerja suka curi tulang, memang banyak alasan!

Dia beredar dan melangkah perlahan menuju ke lokasi lain. Sekali lagi pandangannya terlempar ke arah pemuda kurus yang sedang asyik dengan pen dan sebuah buku. Hajat di hatinya ingin bertemu dengan pemuda itu. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk mengetahui apa yang sedang dicatatnya sehingga begitu ralit. Baru kakinya melangkah ke arah pemuda itu, terdengar namanya dipanggil oleh seseorang.

“Datuk!”

Datuk Wahab menoleh, mencari arah suara dan orang yang memanggilnya.

“Datuk! Encik Daud tu,” beritahu Mukhriz.

Daud, jurutera projek baru sampai ke situ. Langkah Datuk Wahab berkalih ke arah Daud pula. Sebaik sahaja Datuk Wahab beredar, Mukhriz melangkah menuju kepada pemuda yang mencuri perhatiannya sejak tadi.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.