Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,398
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

"Astaghfirullahalazim... kenapa Dania tidur di sini?” Ray terkejut. Sebaik sahaja menolak daun pintu rumah, dia melihat Dania yang tergolek tidur di hadapan pintu. Sebuah buku teks menyerkup muka adiknya itu. ‘Jangan-jangan Dania tunggu aku balik,’ tebaknya.

Matanya menjalar melihat jam di dinding usang. Jarum jam menunjukkan angka 12.45 minit malam. Suasana di rumah pusaka ayahnya itu pun sudah hening ditambat sepi. Sekali lagi dia memandang Dania.“Dania,” panggil Ray perlahan. Halus dengkuran gadis itu singgah di telinganya. Buku teks yang menyerkup muka Dania diangkat perlahan. Ray tertawa sendiri. Dania, tidur ternganga kelelahan.

“Dania,” serunya lembut sambil menepuk-nepuk pipi Dania.

“Abanggg...” panggil Dania serak, separuh mamai.“Abang baru balik?” Pantas dia bangun lalu duduk bersila.

Ray menyengih melihat Dania yang tergaru-garu.“Buat apa Dania tidur kat depan pintu ni? Ubat nyamuk pun tak pasang. Tengok tu... celik-celik aje dah tergaru-garu macam monyet,” usik Ray.

“Alah, Abang Ray ni... orang tunggu dia,” rengek Dania sambil menguap.

“Dah pukul berapa, hah?” tanyanya pula sambil meluruskan kaki dan tangan. Ray pun sama. Dia yang memang kepenatan.

“Pukul satu lebih, cik adik... Pergi masuk bilik! Esok nak bangun pagi, kan? Nak tolong emak bungkus nasi lemak lagi,” jawab Ray. Semua adik-adiknya kena membantu emak mereka menyediakan nasi lemak untuk berjualan. Dia juga tidak dapat lari daripada tanggungjawab membantu emaknya yang berjualan di gerai di hadapan rumah. Nasi lemak buatan mereka memang laris!

“Jomlah makan, bang. Dania memang tunggu abang,” beritahu Dania lalu menarik tangan Ray mengajaknya ke dapur.

“Makan apa dah tengah malam ni, Dania?” tanya Ray. Dia yang keletihan ingin mandi dan segera tidur.

“Tadi, Dania ada masak petola masak lemak. Ikan belanak kering pun ada. Abang mandi dulu, biar Dania sediakan makanan untuk kita,” umpan Dania manja.

“Dania belum makan ke?” tanya Ray sambil meredupkan matanya saat merenung Dania.

“Orang tunggu abanglah...” beritahu Dania lemah sambil menggaru-garu kepalanya.

Terusik jiwa Ray mendengar jawapan yang jujur itu. Tidak sampai hati pula untuk memberitahu Dania yang perutnya sudah senak kekenyangan. Sebelum balik tadi, dia sudah makan kuetiau kung fu, resipi kegemarannya.

“Lah... kenapa tunggu abang? Makan aje. Kan abang kerja di restoran,” kata Ray kesal sambil menguntum senyuman.“Lain kali, gunalah...” sambungnya sambil mengetuk tepi kepalanya dengan hujung jari.

“Habis tu, abang dah makan ke?” tanya Dania hampir merajuk. Tidak jadi kakinya melangkah ke dapur. Hampa hatinya untuk makan bersama-sama Ray malam itu. Sudahlah perutnya terasa pedih sejak tadi.

“Kalau abang dah makan?” tanya Ray, sengaja menguji.

“Kalau abang dah makan, biarlah Dania masuk tidur aje.” Perlahan Dania menjawab. Matanya merenung lantai, menyembunyikan kekecewaan. Apa yang hendak dikatakan lagi, sudah nasib badan. Perut yang lapar terasa kenyang, menelan kekecewaan.

“Memanglah abang dah makan tadi,” jawab Ray bersahaja. Wajah kecewa Dania segera terkesan oleh matanya.

“Tapi... sekarang ni perut abang dah lapar balik. Pergi panaskan nasi, lepas abang mandi kita makan sama,” beritahu Ray. Tidak sanggup dia melihat Dania bersedih.

Dania terus ke dapur memanaskan nasi serta lauk-pauk yang disimpannya tadi. Dia menggoreng dua ekor ikan belanak kering kerana inginkan Ray menikmati ikan goreng yang masih panas.

Ray ketawa sebaik sampai ke dapur selepas mandi dan menyalin pakaian. Dania sedang menunggunya.

“Kenapa, bang?” tanya Dania pelik.

“Habis berbau satu kampung, Dania oii,” komen Ray lembut lalu menarik kerusi di meja makan. Pinggan yang sudah berisi nasi ditarik rapat kepadanya.

“Biarlah satu kampung tahu Dania menggoreng ikan belanak kering,” balas Dania sambil menyengih senang. Ray sudah mencedok masak lemak petola yang menjadi kegemarannya. Pinggan nasinya juga menjadi singgahan cedokan masak lemak yang masih berasap.

“Makanlah... Tentu Dania lapar tunggu abang, kan?” soal Ray. Walaupun perutnya masih kenyang, menu ringkas yang menjadi sajian Dania pada malam itu, berjaya juga menarik seleranya.

“Lapar sangat,” akui Dania sambil ketawa. Dia mencubit isi ikan belanak kering dan meletakkannya ke dalam pinggan Ray.

“Lain kali jangan bodohkan diri lagi tau! Tahan berlapar nak tunggu abang balik.”

“Apa salahnya Dania tunggu? Siapkan makan minum abang. Itu maknanya Dania seorang adik yang tahu menghargai penat lelah abangnya yang mencari rezeki untuk keluarga,” balas Dania panjang lebar.

“Hai, kat dalam kampung ni tak ada lif, cik kak oii! Kalau nak masuk dalam bakul pun, bakul yang ada kat rumah kita ni semua kecil-kecil,” perli Ray.“Kalau Dania masuk dan duduk kat dalamnya... tak sempat diangkat, rembus...”

“Alah... abang tu kalau nak menyakat Dania tak kira masa,” balas Dania sambil merenung Ray. Dia menganga apabila Ray mendekatkan seketul tauhu untuk disuapkan ke mulutnya.

“Amboi... akak dan abang makan bersuap-suap pulak kat tengah malam buta ni. Macam pengantin baru aje.” Iwan yang tiba-tiba muncul di dapur menyindir kuat. Lenanya terganggu kerana mendengar suara abang dan kakaknya yang berbual dan bergurau di dapur. Hidung pula menangkap bau ikan belanak goreng. Serta-merta pula perutnya berkeroncong.

“Iwan ni datang buat kacau daun pulak,” usik Ray kepada Iwan yang sedang menuang air ke dalam gelas. Mungkin adiknya berasa dahaga di tengah malam buta.

“Bukannya Iwan datang nak mengacau, tapi orang ikut perintah perut ni. Asyik berbunyi.”

Ray dan Dania berbalas pandang sambil senyum. Sudah faham sangat dengan perangai adik bongsu mereka itu. Kaki makan! Iwan menyengih saat melihat Ray bangun mengambilkan pinggan nasi untuknya.

“Makan sikit aje, badan tu dah bulat abang tengok,” pesan Ray. Iwan buat muka selamba.

“Padan muka!” usik Dania. Pinggan nasinya yang sudah kosong dihantar ke singki. Ray pun bangkit sama menghantar pinggan ke singki.

“Pergi tidur, Dania. Pinggan tu biar abang basuh. Abang nak temankan Iwan makan,” kata Ray kepada Dania yang sudah mengambil span untuk membasuh pinggan. Span yang di dalam genggaman Dania diambilnya.

“Abang Ray.... biarlah akak basuh pinggan tu. Tadi waktu makan malam, Iwan dah basuh pinggan. Kat rumah ni, kan kita selalu buat kerja rumah bergilir?” Iwan yang masih mengunyah sempat memprotes. Kemanjaan yang ditunjukkan oleh abangnya kepada kakak membuatkan dia rasa cemburu.

“Dengkilah tu!” sahut Dania.“Jealoussebab Abang Ray sayang akak lebih.” Semakin galak pula Dania menyakat apabila dilihatnya bibir Iwan memuncung macam paruh itik.

“Eh, eh... budak dua orang ni! Ada yang kena sekeh nanti ni,” marah Ray sambil melihat Dania yang menyengih. Gembira dapat mengenakan Iwan.

“Pergi tidur, Dania,” suruh Ray lagi.

Dania cepat-cepat menghulurkan tangannya kepada Ray untuk bersalaman. Apabila tangan Ray sudah digenggamnya, cepat-cepat dia mencium tangan abangnya itu.

Ray senyum meleret. Saat itu, hatinya bagai bergetar. Entah perasaan apa, dia pun tidak mengerti. Yang pasti, hatinya berbunga indah. Penuh warna-warni.

“Iwan, pagi esok bangun awal tau. Tolong akak bungkus nasi lemak ya?” pesan Dania sambil berlalu.

Sebaik kelibat Dania hilang dari pandangan, Ray mengeluarkan dua biji mug dan meletakkannya di atas meja.

“Iwan nak minum kopi ’O’, kan?” tanya Ray.

Mendengar perkataan kopi, mata Iwan semakin segar. Abang Ray memang baik. Pandai mengambil hati adik-adik.

“Terima kasih, bang. Esok, Iwan kena bangun awal, tolong emak dan Kak Dania,” janjinya.

Ray menganggukkan kepala sambil tersenyum. Pagi esok, dia pun akan bangun awal. Membantu emak menyediakan makanan untuk berjualan. Tok Ketua pun ada memesan nasi lemak emaknya. Dialah yang akan menghantarnya ke rumah Tok Ketua nanti.

Setelah itu, dia akan ke dusun Pak Seman untuk memanjat pokok langsat dan menurunkan buah-buah yang sedang masak. Dua hari sudah, Pak Seman ada memberitahu untuk mengupahnya melakukan kerja-kerja itu. Begitulah perjalanan hidup mereka sekeluarga sejak kematian ayah empat tahun yang lalu. Semua ahli keluarga harus mengembleng tenaga untuk menjana sumber pendapatan demi sesuap nasi.

“Abang,” panggil Iwan yang sudah kekenyangan. Dia meniup air kopi perlahan.

Ray menunggu Iwan meneruskan bicaranya.“Iwan kasihanlah pada emak. Setiap hari kena bangun awal untuk masak,” kata Iwan perlahan.

“Abang pun kasihan jugak. Abang pun tak suka tengok emak buat kerja teruk-teruk. Dia pun bukannya sihat sangat,” balas Ray. Penyakit asma emak walau hanya datang kadang-kadang, tetapi rasa bimbang tetap bertenggek di kamar hatinya. Kata orang penyakit yang sesekali bertandang itulah yang lebih memudaratkan.

“Kalau emak tak payah berjualan, tak boleh ke, bang?” tanya Iwan. Sungguhpun dia baru berusia 15 tahun, namun dia sudah faham penat lelah yang terpaksa ditanggung oleh emak mereka.

Ray tersenyum tipis. Cuba meneka apa yang ada di dalam fikiran adiknya itu.“Dah itu sumber pendapatan kita, Iwan. Kos hidup sekarang dah meningkat. Semua benda nak dibeli. Bergerak sikit saja dah menggunakan duit. ”

“Hal tu Iwan fahamlah, bang. Tapi boleh tak kita sebagai anak-anak ni berikhtiar sesuatu untuk menaik taraf kehidupan kita? Cari duit lebih sikit supaya emak tak payah buat kerja,” kata Iwan meluahkan pandangannya.

Perasaan Ray rasa terhiris. Seperti dia tidak bertanggungjawab terhadap keluarga pula. Lalu, Iwan yang baru di tingkatan tiga bersusah-susah memerah fikiran.

“Iwan rasa nak berhenti sekolah aje,” rungut Iwan.“Iwan rasa nak pergi ke bandar cari kerja.”

Tersentak Ray. Tajam matanya merenung wajah Iwan. Namun, kata-kata yang terungkap oleh adik bongsunya itu tidak boleh dipandang sepi.

“Jangan nak buat pasal, Iwan!” bantah Ray.“Itu urusan abang. Tanggungjawab abang. Tanggungjawab Iwan sekarang, belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Walau pendapatan yang kita peroleh sekarang kecil, tetapi alhamdulillah... setiap hari kita ada rezeki untuk makan,” balas Ray.

“Tapi, kita tak boleh beli handphone,” rungut Iwan lagi.

Ray memandang adiknya sejenak. Tahulah dia apa yang tersembunyi di dalam hati Iwan selama ini. Mahukan handphone rupa-rupanya.

Handphone? Nak buat apa? Iwan ada bisnes besar ke?” tanya Ray mengusik. Apa-apa sajalah budak-budak remaja zaman ini. Pendapatan pun belum ada, sudah mahukan itu dan ini.

“Alah, abang... handphone sekarang ni bukannya barangan mewah lagi. Ia dah menjadi satu keperluan,” jawab Iwan. Kebanyakan kawannya di sekolah sudah memiliki telefon mudah alih sendiri.

“Tapi itu keperluan orang lain, Iwan. Bukan keperluan Iwan atau keperluan kita buat masa ini. Kalau perlu telefon sesekali pergi guna telefon awam. Terimalah keadaan hidup kita seadanya. Cubalah tahu bersyukur sikit,” lirih suara Ray menasihati.

“Bukannya Iwan tak tahu bersyukur, bang. Tapi, Iwan rasa bosan dengan kehidupan kita macam ni. Banyak perkara yang orang lain dapat, kita tak dapat. Banyak benda yang orang lain boleh beli, kita tak mampu nak beli. Miskin sangat rasanya,” rintih Iwan. Bimbang kata-kata yang terlontar dari bibirnya akan mencalar perasaan orang lain.

“Iwan, dah banyak kali abang beritahu. Jangan tengok orang yang lebih daripada kita. Renungkan orang yang tak memiliki apa-apa. Apa yang Iwan nak lagi? Kita ada sebuah rumah untuk berteduh. Ada bekalan letrik dan air. Makan minum cukup aje. Belanja sekolah Iwan, tak pernah putus pun. Pada abang itu dah kira kaya dah. Kalau dari sudut agama pun, macam tu jugak pendapatnya...”

“Sabarlah sikit. Baru Tuhanuji dengan sedikit kekurangan dah nak mengeluh,” leter Ray.

“Iwan nak motorlah, bang...” jelas Iwan.

Bulat mata Ray mendengar permintaan adik bongsunya itu. Hal telefon bimbit belum selesai sudah menagih motosikal pula. Harga motosikal pada waktu itu hampir lima ribu. Manalah dia mampu hendak mengadakannya. Lainlah kalau gaji yang diperoleh daripada Abang Ba, tiga ribu sebulan!

“Takkan nak guna basikal buruk itu sampai bila-bila. Tak ada peningkatan langsunglah, abang...” terang Iwan lagi.“Iwan tak ada lesen lagi,” balas Ray. Dia tidak terus menolak permintaan adiknya itu kerana faham sangat jiwa remaja seperti Iwan itu selalu menginginkan sesuatu. Tambahan pula kawan-kawannya di kampung itu sudah bermotosikal ke sana dan ke sini. Mesti dia berasa rendah diri. Sebagaimana perasaannya sewaktu dihina di restoran tadi.

“Kalau keputusan peperiksaan SPM nanti Iwan dapat A1 untuk semua subjek, abang belikan Iwan motor,” janji Ray. Keinginan Iwan tidak boleh dipersendakan. Mana tahu, janjinya itu menjadi dorongan kepada adiknya.

“Abang nak belikan Iwan motor?” tanya Iwan kembali.

Ray menganggukkan kepalanya dengan yakin.

Iwan menundukkan kepala merenung kopi O di dalam mug yang masih berbaki. Rasa macam tidak percaya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.