Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
64,360
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

"Budak!” panggilnya kuat. Pemuda yang dipanggil, buat tidak peduli. Dia meneruskan kerjanya menyusun papan lapis ke atas palet. Mukhriz tidak puas hati. Dia rasa tercabar.

“Budak!” laungnya lagi. Senyap. Dia terus menghampiri pemuda yang masih tidak bena pada laungannya. “Hoi!” marah Mukhriz. Pemuda yang dipanggil sudah memanjat palet yang bersusun papan dan sedang diangkat naik oleh kren. Mukhriz bercekak pinggang. Matanya terus memerhati jentera yang sedang menaikkan palet yang penuh berisi papan untuk membuat acuan dan budak kurus itu. Mukhriz menoleh ke sana sini. Dia melangut ke atas dan terlihat Jani yang sedang memanjat.

“Jani!” panggilnya. “Turun!” kerahnya garang. ‘Apa aja orang ini! Datang ke sini saja bikin ribut,’ rungut Jani sambil menggelonsor turun. Dia memang tidak suka dengan sikap Mukhriz. Bukan dia sahaja bahkan ramai lagi pekerja yang bekerja di situ tidak menyenangi sikap Mukhriz yang ego. Suka marah tidak tentu pasal.

“Ada apa, bapak?” tanya Jani. Dia menyapu-nyapu telapak tangan membuang debu yang melekat.

“Ada budak penagih dadah kerja di sini?” tanya Mukhriz. Wajahnya serius. Suaranya tegang.

“Penagih dadah?” soal Jani kembali. Dia menggelengkan kepala.“Penagih dadah mana boleh bikin kerja, bapak! Tulang-tulangnya sudah mereput,” jawab Jani sendiri sambil ketawa. Mukhriz terasa diperbodohkan.

“Siapa cakap? Ada penagih dadah yang tenaganya macam gajah,” balas Mukhriz. Keras suaranya.

“Lalu.... kenapa bapak harus bimbang?” tanya Jani.

“Ah, sudah! Pergi buat kerja kamu semula,” arah Mukhriz. Tidak guna bertegang leher dengan Jani. Pasti ada sahaja jawapannya.

Matanya sudah melihat kren sedang menurunkan palet yang kosong. Pemuda kurus terjun dari palet, belum sempat kren menurunkannya rapat ke tanah.

“Hoi, si kurus!” panggil Mukhriz kuat. Lega hatinya bila panggilannya mendapat respons. Pemuda itu menoleh kepadanya. Mukhriz terus menggamit. Tidak sampai 10 saat, pemuda itu tercegat di hadapannya. Mukhriz terus memerhati. Pandangannya penuh curiga.

“Budak! Tadi aku panggil kau, mengapa tak jawab?” tanyanya dengan lagak angkuh.

“Nama saya, Ray...”

Mukhriz merenung tajam pemuda yang mengenalkan dirinya sebagai Ray. Dia mencebik mengejek.

“Ray?” perlinya.“Raymond?” tanyanya pula.

Ray diam. Padanya tidak perlulah hendak menjawab pertanyaan lelaki itu. Pertanyaannya tidak ikhas. Bukan untuk mengetahui nama dia yang sebenarnya. Sebaliknya hanya untuk mengejek.

“Kau buat apa kat sini?” tanya Mukhriz terus.

“Kerja,” jawab Ray sepatah. Wajah Mukhriz direnungnya tepat. Hatinya berasa tidak selesa.

“Tengok buku kau!” kata Mukhriz sambil menghulurkan tangannya. Apabila Ray tidak mengendahkan permintaannya, buku yang bergulung di dalam poket seluar Ray direntap.

“Ini buku catatan saya. Tak ada orang yang faham.”Ray cuba membantah tindakan Mukhriz. Buku catatan itu hak milik peribadinya. Orang lain tiada hak untuk menceroboh atau membaca apa-apa yang tertulis di dalamnya.

“Tak ada orang yang faham? Kau ingat aku tak sekolah?” tanya Mukhriz. Dia memerhati Ray dari atas dahi sehingga ke hujung kasutnya.

Melihat tubuh kurus dengan wajah cengkung dan rambut panjang bertocang, hati Mukhriz terasa benci. Tidak tahu apa sebabnya. Sedangkan pemuda di hadapannya itu tidak kelihatan comot atau selekeh pun. Bahkan rambut bertocang tersisir rapi ke belakang. Rambutnya tidaklah sepanjang mana pun. Sekadar melepasi bawah lehernya sahaja. Kulitnya yang cerah menyebabkan pipinya memerah kerana kehangatan. Keringat yang mengalir di pipinya dan membasahi tubuhnya tidak membuatkan dia berbau hapak pun! Jika hal-hal itu yang menimbulkan kebencian dan rasa tidak senangnya. Namun perasaan Mukhriz benar-benar rasa tidak senang. Sepintas lalu aura wajah pemuda itu bagaikan sudah biasa sangat dalam hidupnya.

“Jangan-jangan kau melakar peta untuk mencuri,” tuduhnya sinis. Lakaran gambar rajah yang dilukis Ray terus diamati. Kekejutannya disembunyikan. Tulisan tangan yang kemas dan cantik serta lakaran tapak bangunan yang sedang dibina lengkap dengan ukurannya menyebabkan Mukhriz terkesima. Keterangan ringkas dicatat dalam Bahasa Inggeris pula!

“Kau edar dadah kat sini, ya?” tuduhnya lagi. Mengusir rasa kagum yang mengintip di sanubari.

Ray diam. Matanya merenung tajam. Bibirnya diketap rapat. Membenamkan kemarahan yang meruap.

“Saya kat sini kerja,” jawab Ray perlahan. Bibirnya bergetar ingin mengungkap kata-kata yang lebih menyakitkan hati, tetapi terpaksa ditahan.

“Edar dadah tu bukan kerja ke? Bodoh!” sergah Mukhriz.

“Saya tak buat kerja haram, encik...” jawab Ray. Bibirnya digigit kecil menahan perasaan. Marah bercampur geram yang dibenam dalam-dalam, timbul kembali.

“Kau tipu! Kau sengaja pura-pura bekerja di sini. Nanti kau ajak kawan-kawan datang curi barang-barang kat sini dan jual!” Mukhriz terus menuduh. “Kawan-kawan kau yang hisap dadah!” sambungnya.

Ray terpana seketika. Masih ada lagi manusia sekeji itu hatinya. Busuk! “Rokok pun saya tak hisap, encik!”

Mukhriz mencebik. “Tapi kau hisap dadah, kan? Tengoklah rupa kau ni, dengan kurus keringnya. Rambut panjang. Aku jamin kau memang hisap dadah,” kata Mukriz lagi.

“Kau tak boleh kerja kat sini! Aku tak percaya,” terang Mukhriz.

Ray terdiam. Matanya terkebil melihat lelaki angkuh di hadapannya itu. Mindanya terus menerawang. Ke mana langkah kakinya selepas ini untuk mencari rezeki?

“Kau nampak tak papan tanda yang kat depan tu? Bangunan ni sedang dibina oleh Wafa Construction...” ungkap Mukhriz.

Ray mengangguk. “Syarikat tu, bapa saudara aku punya,” terang Mukhriz dengan angkuh.

Ray buat tak dengar. Mukhriz menjeling tajam lalu menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan dompet.

“Tapi, aku bos syarikat tu!” jelasnya lagi. Nada sombongnya masih belum habis. Keangkuhannya semakin ketara. “Dah berapa hari kau kerja di sini?” tanyanya sambil merenung wajah Ray. Tangannya mengelebek dompet.

“Tanyalah pada Abang Jani,” jawab Ray serius.

Jani menghampiri mereka setelah dipanggil.

“Dia sudah kerja di sini tiga minggu, bapak,” beritahu Jani. Matanya melirik kepada Ray. Lirikan itu dibalas Ray dengan menjongketkan keningnya. Dia hairan dengan kenyataan Jani.‘Tiga minggu? Aku baru bekerja dua minggu!’ Suara hatinya memekik.

“Err...” Ray cuba membetulkan kenyataan, tapi rusuknya disiku oleh Jani.

“Sebelum ni, aku tak nampak pun!” tukas Mukhriz.

“Betul bapak,” tegas Jani. Suaranya ditekan sedikit. “Gaji minggu lepas sudah dapat?” soal Mukhriz. Pandangan matanya terhala kepada Jani sekali lagi. Apabila dia cuba merenung Ray, pemuda itu pula merenung ke arah lain.

“Belum bapak,” jawab Jani sambil menggaru-garu lehernya yang berpeluh. Bibirnya menyungging senyuman.‘Apalah orang ini. Masakan tidak ingat tentang gaji kuli-kulinya. Sedangkan hal itu dia yang uruskannya,’ bisik hati Jani.

Ray terdiam sekali lagi. Malas memikirkan helah lelaki Indonesia itu.

“Hei!” panggil Mukhriz. Ray buat tak tahu. “Hei, budak! Ambil ni! Kau boleh pergi,” kata Mukhriz kasar sambil merapati Ray. Segumpal wang kertas disumbatkan ke dalam genggaman pemuda itu.“Aku tak mahu tengok muka kau lagi! Berambus dan cari kerja kat tempat lain,” usir Mukhriz.“Pekerja macam awak ni akan menyusahkan majikan,” sinis kata-katanya bagai sengaja hendak menyakitkan hati Ray.

Setelah itu, terus dia beredar sambil membuat panggilan dengan telefon bimbitnya.

“Ray, kenapa kau dipecat?” tanya Jani.

Ray mengangkat kedua belah bahunya.

“Kenapa Abang Jani beritahu kepada encik tu, saya kerja di sini sudah tiga minggu?” tanya Ray, mengalih tajuk perbualan. Telapak tangannya yang tergenggam dibuka. Gumpalan wang kertas dikeluarkan. Ada 300 ringgit.

“Apa salahnya?” soal Jani kembali.

“Kita kena jujur,” kata Ray perlahan. Sedari kecil emaknya sudah mengajar. Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama mencuri!

Jani senyum sinis. Ada lagikah kejujuran di zaman ini? Di kota ini? Di saat manusia sudah melupai TUHAN?

“Aku cuba membantumu. Kau baru datang ke sini, mesti butuh wang,” jawab Jani mempertahankan tindakannya. “Kejujuran itu kadangkala perlu dinyahkan... kalau... hidup di kota,” sambungnya lagi. Suaranya perlahan kerana terasa malu dengan ungkapan yang sedang meniti bibirnya. “Kalau terlalu jujur mungkin kita akan kebulur,” sambungnya lagi.

“Lebih baik mati kebulur daripada meleburkan sikap jujur, melakukan penipuan untuk mendapatkan makanan...”

“Saya mahu wang titik peluh saya saja,” balas Ray. Wajah Jani direnung lembut. Jani yang sedang tergaru-garu. Mungkin termalu sendiri.

“Saya pergi dulu, bang. Terima kasih!” ucap Ray lagi. “Saya singgah ke rumah kongsi untuk ambil pakaian, ya...” beritahunya.

Jani mengangguk lesu. “Ini untuk abang.” Gumpalan wang kertas disumbat ke dalam genggaman Jani. Tangan Jani digenggam erat.

“Terima kasih atas segala tunjuk ajar abang,” kata Ray. Tekaknya terasa kesat. Senyuman pahit terukir di bibir Ray. Cuba menyembunyikan rasa sebak. Banyak juga ilmu yang telah diperolehnya daripada pemuda Indonesia itu. Walaupun dia hanya buruh kasar.

“Ketemu lagi, Ray. Semoga kamu berjaya mencapai cita-cita,” ungkap Jani. Lambat-lambat tangan Ray dilepaskan.

“Insya-ALLAH,” jawab Ray. Dia kini bagaikan layang-layang terputus tali. Tidak tahu bumi mana yang akan mendakap tubuhnya apabila terdampar nanti. Namun, dia tidak gentar. Peristiwa yang dilalui pada hari ini, takkan mungkin melemahkan semangatnya. Dia tetap akan terus mencuba sehingga berjaya. Berhenti mencuba, pasti akan menempa kegagalan.

Saat mentari sedang bersinar cemerlang, Ray meninggalkan tapak pembinaan itu dengan langkah longlai. Dia sekadar mengikut langkah kakinya. Dia ingin mencari kejayaan. Mengumpul kekayaan untuk dunia dan akhirat. Dengan ilmu, tanpa melacurkan kejujuran. Bukan jadi mangsa penghinaan. Ray membuka genggaman tangannya. RM200. Itulah nilai upah yang diambilnya sebagai buruh binaan selama 10 hari bekerja.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.