Home Novel Cinta Mengintai Cinta
Mengintai Cinta
Hidayah
29/5/2020 00:52:53
19,993
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Kain kecil bergantung di tepi cermin digapai. Jemari ditutupi kain sudah merayap menuju ke suis sebelah kanan katil. Tup! Wayar dicabut lantas disimpan di dalam kotak berlabel ‘pengecas telefon’. Kain digantung di tempat asal. Jemari mula mendarat di tombol pintu. Pintu almari ditutup perlahan mungkin. Laci meja bersatu di hujung papan hingga pelembab bibir dan alat solek lain tidak kelihatan. Beg hitam yang setia duduk di meja dicapai kemas. Perlahan kaki menapak menuju ke ruang tamu.

            Senyuman di bibir tidak lekang sejaktadi. Ideanya sudah lama mengetuk otak sejak membasahkan tubuh di kamar mandi. Semangat perlu diteruskan, itu bisikan yang bergema di gegendang telinga. Sampai di ruang tamu, biji mata mula bekerja keras. 30 saat. Satu minit. Penat begitu,nafas ditarik sepanjang mungkin.

“Siapa alih buku aku di meja ni?”

Jess meluru keluar dari bilik sebaik saja terdengar jeritan Fisya di ruang tamu rumah. Suara di hujung talian tadi dibiarkan saja. Telefon bimbit pantas ditinggalkan di katil ungunya. Dia boleh jawab soalan di hujung talian kemudian nanti berbanding perempuan yang menjerit mengalahkan cikgu paling garang di sekolahnya dulu.

Suara Fisya yang macam mengamuk itu kalau tak dilayan makin menjadi-jadi. Setahun duduk di rumah sewa dengan Fisya buat dia faham benar perangai Fisya yang entah apa-apa. Ketika kakinya sudah menapak tiga langkah dihadapan Fisya, perempuan itu bersuara lagi.

“Aku pantang barang aku orang kacau.” Perkataan ‘pantang’ dipanjangkan menjadi 6 harakat. Bunyi sindiran menjadi-jadi. “Lagi-lagi buku aku!”

Jess melirik ruang tamu yang sudah kemas. Dia tahu siapa yang membersihkan ruang tamu itu tadi pagi. Matanya berkalih pada wajah Fisya. Wajah yang sekali pandang pun dah boleh tahu orang ini mahu menggeledak api kemarahannya. Dia tahu Fisya banyak pantang larang. Terutama sekali bila dia simpan barang tapi dialih tanpa izin dan pengetahuannya. Memang masak dikerjakan lepas ini.

“Beb, apa hal lagi ni?” Jess cuba merendahkan suaranya. Kalau diikutkan hati, mahu juga dia mengamuk sekali. Apa tidaknya, seronok dia bergayut dengan kesayangan tadi dikacau pula oleh suara Fisya yang bergema sampai ke biliknya paling hujung.

Fisya tarik nafas. Dijelingnya Jess yang masih memandangnya sejak tadi. “Beb, siapa lagi kacau barang aku kat meja ni?” Jari telunjuknya dihala pada meja yang terletak di sebelah kanan pintu balkoni.

“Erm…” Jess cuba menyusun ayat.

Belum sempat Jess menyusun ayat, Fisya membuat andaian. “Perempuan tu lagi?” pintas Fisya. Dia buat muka menyampah bila terkenang perempuan yang dimaksudkannya itu.

Jess gigit bibir bawah. Dia melepaskan keluhannya. “Ya lah. Kita tiga orang aje kan kat rumah ni. Kalau aku, mustahil sangatlah. Macam lah aku tak kenal siapa Syafisha Batrisha Aliff Shah!”

“Eeee…. Perempuan tu kalau tak sakitkan hati aku sekali memang tak sah kan dia tu! Sejak datang rumah ni, bukan main buat hal.”

“Baru sebulan Fisya. Ni kalau setahun entah apa jadi dengan korang dua ni.” Jess mula menarik bantal corak unicorn putih lantas melabuhkan punggung di sofa.

Terbeliak mata Fisya. “Apa? Sebulan?” Dia duduk di sebelah Jess. Matanya masih tidak lari dari sepasang mata Jess. “Kenapa aku rasa dia kat sini dah macam 10 bulan ek?”

“Tu tanda kau tak suka dia,” tempelak Jess.

Mata Fisya sengaja dilarikan ke atas. “Memang pun. Dan aku rasa dia pun tak suka aku. Tengoklah, aku baru keluar bilik tadi, dia dah kelam kabut pakai kasut keluar entah pegi mana. Hujung minggu keluar dengan pakwe apa entah.”

“Privasi dia la nak pergi mana pun. Kau pun satu. Tak payahlah nak layan karenah dia sangat. Orang baru kot.”

“Aku tau lah. Kau fikir aku nak buli dia ke apa. Dia yang terhegeh-hegeh nak kemas ruang tamu ni setiap hari. Sampaikan barang aku kat meja tu dia nak kemas. Sekarang yang buat aku marah ni aku tak nampak mana buku aku satu tu.”

“Ya la. Mungkin dia jenis yang suka mengemas kot. Sangka baik aje lah.”

“Tapi..”

“Oke dah. Aku tak ada masa juga nak layan tapi tapi dan tapi kau tu. Buku apa yang kau cari tu?” Malas Jess melayan kisah dan perasaan Fisya kali ini. Terpapar di wajahnya yang mencuka. Jelingannya memang tidak terkesan lagi oleh Fisya.

“Buku baru aku beli hari tu. Kunci Sodrina.”

“Oh, novel baru tu ea?”

“Yup. Aku belum habis baca lagi tau. Kalau hilang, siap perempuan tu!”

“Kau ni, Fisya. Perempuan. Perempuan. Macam dah tak ada nama dah housemate kita tu,” Jess menggeleng melayan gelagat Fisya.

“Oh, ada nama. Entah. Aku tak tau pun nama dia sebelum ni. Jumpa pun macam tak jumpa. Macam selalu larikan diri dari aku, apa hal? Masa masuk tu pun dia tak kenalkan diri kat aku. Kureng, lah!”

“Amboi kau ni! Macam mana lah dia nak kenalkan diri. Selalu dia ada, kau pula tak ada. Kau kan selalu balik kampung. Last last aku juga lah jadi orang tengah. Seorang pesan macam tu. Kau pesan macam ni kat dia. Sesaklah otak aku macam ni,” rungut Jess.

“Dah lah. Malas nak cakap pasal perempuan tu…”

“Ezliza. Nama dia Ezliza,” pintas Jess. Matanya naik turun. Sengaja ditunjukkan reaksinya yang jemu melayan Fisya.

“Huh. Ezliza ke, Zeliza ke, Meliza ke...aku tak kisah.Sekarang aku nak keluar ni. Kau nak ikut ke tak?”

“OMG!” Automatik Jess berdiri tegak.

Terkial-kial Fisya melihat respons Jess. Magik sangatkah soalan itu tadi?

“Wait!” Jess pandang Fisya dengan pandangan geram, marah dan sakit hati walaupun dia tahu Fisya tiada hati pun melayan pandangannya. Mana pernah Fisya serius kalau dia mahu marah atau terguris hati. Dia saja yang bersabar selama ni. Mungkin untung Fisya dapat kawan baik macam dia yang terselit kesabaran yang super tinggi tu. “Aku dah lupa dah pasal Zack.” Mengendur suaranya.

“Why?”

“Tadi dia call aku, masa tu kau jerit macam apa entah, aku baling aje telefon tu kat tilam. Dah! Dah!”  Kelam kabut Jess bila teringat Zack di hujung talian. Entah Zack masih menunggu atau panggilan sudah dimatikan, dia sendiri tidak pasti.

“Eh, jap! Kau nak kirim apa-apa tak?” soal Fisya melihat Jess berlari-lari anak menuju ke bilik.

No, thanks!”

Fisya masih terdengar respons Jess yang samar-samar. Tanpa membuang masa, dia mencapai telefon bimbit, kunci kereta, dompet dan beg sandang di meja makan. Hanya satu tempat untuk dia menapakkan emosi dan idea yang mencurah-curah.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.