Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
104,526
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

English Premier League sudah bermula ogos lalu. Itu bermaksud, Kaizil sekarang sangat sibuk menjalani latihan dan perlawanan sehingga May tahun depan. Jadi, masa berdating juga mungkin lebih singkat dan berkurangan. Tetapi aku gembira. Aku bebas menjalani kehidupan soloku dengan Julia. Kami berdua bebas ke mana sahaja. Namun, sebelum jadualnya lebih padat, Kaizil mencuri sedikit masa bertemuku pada petang minggu yang mendung di sekitar Kensington. Angin bertiup  ketika aku turun dari kereta kalis peluru yang belum kupertikaikan lagi di depan Kaizil, hmm…

“Kita kena ada peraturan baru semasa keluar berdua,” aku mengutarakan sesuatu yang bernas rasanya pada era yang hampir lapan puluh peratus kecanggihan gajet menjadi faktor merugikan dalam suatu perhubungan.

Sambil membukakan pintu kafe StaySafe untukku, Kaizil menjawab. “Aku sokong penuh peraturan tak boleh lebih-lebih tetapi dengan syarat…” dia menarik tanganku, membawaku duduk di meja bahagian tengah terlindung dengan sejambak bunga tulip di dalam pasu yang dihias cantik di atas rak kayu.

“Aku patut ikut syarat kau ke?” aku bertanya sebaik duduk berhadapan dengan Kaizil.

“Dah tentu sayang. Jadi, apa peraturannya?”

“Tak boleh main handphone masa dating kecuali jawab panggilan penting. Tak ada permainan bola sepak, youtube dan laman sosial,” ujarku tegas.

“Aku rasa peraturan tu mungkin bertahan lama.”  

“Kenapa?” aku hairan Kaizil mudah bersetuju tanpa membantah.

“Sebab syaratnya kita akan kahwin secepat mungkin, lepas tu, kau taulah nanti…” Kaizil mengangkat keningnya. “Kita akan sibuk pasal urusan… suami isteri.”

Aku malas nak melayan orang angau, Kaizil mempamer senyuman panjang sebelum menggaru keningnya. “Aku patut tetapkan tarikh ke sekarang?”

Aku tahu dia belum serius menyebut pasal tarikh. Dia memang tak ada masa.  “Kau dah periksa jadual perlawanan kau, aku tak yakin kau ada masa dalam beberapa bulan lagi.”

“Kau akan tunggu aku kan?”

 Aku tersenyum tapi enggan menjawab. Kemudian aku amengambil permainan Scrabble Words dari bawah meja yang disediakan khas untuk para pelanggan. Aku suka kafe ini, konsep yang mereka ketengahkan begitu hebat pada zaman gajet. Bermacam-macam permainan disediakan bagi menggalakkan pelanggan mereka saling berbual atau merelakskan minda. Selain Scrabble Words, ada juga permainan catur, mini pool dan bahan bacaan. Khas untuk pelanggan yang mahu menghabiskan masa berjam-jam dengan bayaran berpatutan.

“Aku lebih suka tengok muka kekasih aku dari tengok huruf-huruf ini semua,” rungut Kaizil ketika aku menyusun huruf-huruf yang terbalik.

Aku ketawa sekejap sebelum membalas kritikannya. “Wah… aku harap dapat dengar lagi ayat-ayat manis kau ni lepas kita kahwin,” sambil aku mengenyit mata dan memaniskan senyumanku yang membuatkan Kaizil seperti mengalami kekejangan otot tangan. Dia memejamkan matanya, menarik nafas panjang dengan rahang pipinya bergerak-gerak.

“Kau nak keluar cepat ke? Mungkin kita boleh ke tepi err… pantai… agaknya, sebelum malam,” aku memancing perasaannya lagi sambil menahan ketawa.

“Ok, berapa minit…” Kaizil mula tercabar.

“20 minit, siapa paling banyak buat perkataan dia menang dan putuskan ke mana kita nak pergi lepas ni,” kataku lalu ketawa.

“Ok…” sahutnya dan terus menyusun huruf-huruf dengan pantas secara melintang dan menegak.

“Zaman telefon pintar ni buatkan ramai lelaki hilang fokus ketika keluar dengan pasangan. Samada suami isteri atau tak. Kebanyakan lelaki lebih suka main gajet daripada bercerita dengan pasangan mereka. Aku rasa itu boleh mencetuskan rasa kebosanan yang melampau pada sebelah pihak.” Aku mengingatkannya tentang hal yang kami bincangkan semalam. Jadi, itulah tujuanku membawa Kaizil ke sini.

“Mungkin mereka bosan tak buat apa-apa,” Kaizil mengangkat bahu dan sebelah tangannya serentak.

“Sebab bosanlah kita kena cari benda-benda yang boleh menghilangkan perasaan macam tu. Setiap pasangan kena selalu berbual, bertukar pendapat,” rasanya itu pendapat aku saja.

“Kau tak perlu bimbang sayang. Hatiku sebenarnya dah jadi milik kau. Cuma kau. Tegur saja kalau kau rasa aku berubah, kau betul, berbual dengan pasangan memang perlu dalam suatu hubungan, aku tak nafikan. Aku dah pernah lalui bagaimana kesibukan ayahku pecah belahkan keluarga kami,” Kaizil menggenggam tanganku yang sedang memegang huruf Y. Kemudian dia menyambung permainan semula selepas meneguk kopinya.

Tentu banyak kisah Encik Aart, ayahnya, yang belum Kaizil ceritakan. Sambil tertanya-tanya aku menatap wajah serius Kaizil.  Bila Kaizil kelihatan enggan menyambung ceritanya aku pun segan nak tanya lagi. Aku memerhatikan seketika suasana kafe yang sangat menenangkan, pengunjungnya tak ramai tetapi sentiasa ada. Semua pelanggan berbual dalam keadaan santai. Selepas menghirup kopi panas yang baru dihidangkan aku sesekali mengerling Kaizil dengan perkataan-perkataan yang diciptanya. Bibirku tiba-tiba menguntum senyum. Sudah banyak perkataan muncul, cekap juga dia dan dalam banyak-banyak perkataan itu selain CINTA, BOLASEPAK, CATUR, aku tiba-tiba ketawa dengan perkataan H A L Y N yang disusunnya secara melintang. 

Lantas aku menegur. “Rasanya HALYN tu tak membawa maksud apa-apa, itu dikira kosong.”

“Perkataan HALYN itu berasal dari kamus hatiku,” jawabnya tak peduli. “Aku tak boleh lupakan huruf-huruf tu. Macam…” bibirnya senget dengan jari telunjuk mengetuk dahinya sendiri. “Asyik berulang-ulang dalam kepala aku ni. Aku dah terkena posyen cinta agaknya.”

Aku ketawa, sungguh melegakan sebenarnya. Aku tahu cintaku dan Kaizil sentiasa bersamaan dengan keanehan yang begitu merapatkan kami berdua. Selain jurang dan semua yang berlaku, ikatan kami berdua bagai besi dan magnet. Saling mendekap kuat. Namun aku juga sedar, tarikan yang kuat itu bukan menarik cinta sahaja. Tetapi sesuatu yang aku sifatkan sebagai nasib tidak baik turut tertarik juga dengan kami berdua.

 “Apa kata hatimu sayang, aku tak percaya kau tak fikirkan nama… KAI… ZIL?”

“Maaf, buat masa ni tak,” aku bergurau.

Kaizil mengangguk-angguk dengan riak geram. “Ok, jangan menyesal, satu hari nanti mesti kau jadi angau dengan nama aku tu,” katanya lantas kami dikejutkan bunyi masa yang telah disetkan di tepi meja.

Aku terkejut masa dah tamat. Jelas sangat Kaizil lebih banyak menyusun perkataan dari aku yang terlebih banyak cakap petang ini.

“Ok, aku menang, jom pergi tengok wayang,” katanya muktamad dan kelihatan tidak sabar hendak keluar dari kafe itu. Aku mengemas semua huruf-huruf yang berterabur dan memasukkannya ke dalam kotak lalu menyimpannya semula di bawah meja sebelum keluar.

Cuaca di luar masih agak berangin. Daun-daun kering berterbangan dari tepi jalan yang dibarisi pohon-pohon yang kian botak masuk pertengahan oktober. Kaizil sedang membetulkan rambutku yang berhambur ditiup angin ketika dua lelaki tegap tiba-tiba sahaja menghampiri kami  sedang beriringan menuju ke Range Rover yang parkir berdekatan kafe.

“Tuan Aart mahu berjumpa dengan Halyn,” kata lelaki yang lebih tinggi dan berambut keriting. Aku mendongak dan terlopong di depan lelaki berwajah garang itu. Dan tersentak. Bagai disimbah sebaldi air dingin. Langkah kakiku turut mati. Encik Aart nak jumpa aku? 

“Beritahu tuan awak lain kali saja,” Kaizil terus menangkap tanganku dan cuba membawa aku pergi. 

Tetapi lelaki yang bercakap tadi segera menahannya. Lebih tegap dan serius. Manakala yang seorang lagi merentap tanganku kuat seolah-olah aku mungkin melarikan diri. Aku terkejut  dengan tindakan kasarnya dan memandang lelaki berjambang yang juga tinggi melampai itu.

“Tolong berlembut dengan dia! Kau kenal akukan Jorge! Kalau dia cedera aku pastikan kau menyesal nanti!” 

“Sekejap saja, kami menurut arahan,” kata Jorge tegas.

“Kaizil,” panggilku. Kami berpandangan dengan wajah Kaizil tegang. “Tak apa,” ujarku perlahan.

Kaizil menghembus nafas marah tetapi tidak dapat berbuat apa-apa selain terpaksa melihat aku dibawa masuk ke dalam kereta mewah di mana Encik Aart sudah menunggu di dalamnya. 

Aku sebenarnya sudah cukup bersedia untuk berjumpa Encik Aart untuk kali kedua. Biarpun Kaizil melarang keras. Aku tahu perbincangan kami pada hari itu tidak menyelesaikan apa-apa pun. Jadi aku duga dia amat terdesak hendak menamatkan apa yang sepatutnya. Memang orang kaya suka mengekori orang yang mereka sifatkan sebagai sasaran? Tingkah Encik Aart mengingatkan aku pada Kaizil yang pernah melakukan hal sama kepadaku. Jadi, bolehlah aku bayangkan bagaimana tegasnya sikap anak beranak itu. Kali ini aku akan mendengar semua yang mahu dikatakannya yang aku percaya sudah tentu pasal hubungan cintaku dengan anak lelakinya dan sedang bertebaran dalam akhbar London. Aku juga akan menegaskan sekali lagi bahawa cintaku kepada Kaizil tetap utuh. Tetap berdiri teguh biar sekuat mana Encik Aart cuba menolakku dari tempat aku berdiri.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.