Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
102,737
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Suaranya begitu perlahan, serak dan mendesis mempesonakan. Dadaku seperti ditusuk ngilu yang menyeru urat darah, tanganku yang dingin mula kebas. Aku takut dengan pertemuan itu yang, yang menyentak dan sedang menggelodak, menolak-nolak hati dan perasaan yang sudah lama terbiar. Oh Tuhan… mataku terasa berkaca-kaca. Aku menghela nafas panjang dan mahu berlari keluar. Tetapi kakiku bahkan semua organ tubuhku bergerak terlalu perlahan, berundur begitu perlahan sehingga aku dapat mendengar salah seorang dari rakannya bercakap. “Kaizil, itu Halyn kan…”

Aku pantas melangkah ke belakang Graciana dan membiarkan Mauricio melakukan kerjanya, mengambil foto-foto model sukan itu dengan begitu profesional. Pandangan Kaizil sesekali mengarah kepadaku. Aku masih berpura-pura sibuk dan memerhatikan Graciana membuat kerjanya mengatur kedudukan posisi model-modelnya. Mauricio pula langsung tidak mahu membiarkan aku merehatkan fikiranku sebentar, sekejap-sekejap dia menyebut namaku dan Jimmy meminta kami berdua melihat bagaimana dia mengambil gambar.

Selepas siap mengambil foto untuk jaket pertama, kemudian aku menghulurkan baju panas berwarna biru gelap. Model-model itu memakai baju sendiri tanpa bantuanku lagi. Disebabkan baju itu terlalu ringkas jadi Mauricio cuma perlu mengambil gambar untuk setiap seorang dengan Jimmy membantunya. Apabila semuanya selesai, Graciana mengajar aku macam mana hendak mencantikkan warna supaya ia kelihatan lebih menonjol jika ditayangkan dalam poster.

Hampir lewat tengahari semuanya siap. Sebelum pulang, aku menyiapkan beg kertas yang di dalamnya berisi tiga helai jaket untuk setiap seorang model yang telah ditaja itu. Graciana yang memberikan kepada mereka semua. Tepat pukul 3 petang, Kaizil dan rakan-rakannya dibawa keluar oleh kakitangan lain. Pergi makan agaknya. Aku yang keletihan, kembali ke pejabat dan makan dengan senyap dalam pantri kecil bersama Jimmy sambil kami bercerita pasal kerja.

Dia sudah pergi. Kembali ke London dan meninggalkan aku sekali lagi dengan perasaan tidak masuk akal. Aku bersandar lemah pada dinding pintu kecemasan dan menangis sendirian, tanpa suara. Biar kesunyian dilaluan tangga kecemasan itu menemani aku seketika yang sedang bersembunyi untuk meredakan fikiranku yang berkecamuk.

Bagaimana, semakin aku melupakan, semakin ia hampir? Adakah penjelasan lain untuk semua rasa terluka, adakah aku benar-benar sudah sembuh dari kelukaan lama.

Jawapan apa yang harus aku andaikan kiranya hatiku bertanya benarkah aku sudah berhenti dari mencintainya?

Jeda.

Dengarlah hati, satu-satunya orang yang akan hancur dalam peperangan cinta yang dipenuhi ketamakan dan kemegahan adalah aku, akulah yang pertama tewas kerana aku telah berperang tanpa senjata, aku cuma membawa bendera berwarna hati dalam peperangan itu. 



***



Balik sahaja dari kerja, aku bergegas kembali ke kuaters. Mandi dan berehat sekejap menghilangkan keletihan lalu tertidur. Kemudian entah jam berapa… aku terjaga dalam keadaan tersentak mendengar alarm kereta di bawah berbunyi bingit. Aku mengeluh dan memicit kepalaku yang terasa berat, mungkin sebab aku belum makan lagi sejak tengahari tadi. Di luar bilik suara-suara Jimmy dan yang lain kedengaran riuh berbual, suara parau mereka yang ketawa terbahak-bahak membuatkan mataku semakin terbuka. Aku terus bangun duduk di sisi katil. Perutku turut mengadu lapar. 

Pantas aku berdiri, suara alarm kereta tadi masih berbunyi, ia cuma berhenti bila kudengar suara lelaki melaung kuat dari tingkat bawah. Selepas menyisir rambut,  memakai baju sulam panjang tangan dan mengenakan jeans, aku bergegas turun ke bawah. Aku sempat meminta izin keluar dari penjaga kuarters dan berjalan kaki dua minit saja ke arah La Rambla, satu kawasan macam ala-ala street market yang dipenuhi kafe pada sebelah petang hingga ke lewat malam. Orang ramai bersimpang siur di laluan, banyak tarikan mengagumkan di situ, ada lukisan dan poskad Sepanyol selain replika hidup sebagai tarikan.

Cepat-cepat aku menuju ke pasar yang berdekatan mahu membeli buah. Setakat ini, buah saja yang sempat aku fikirkan untuk alas perut yang betul-betul lapar. Aku tidak tahu di mana hendak cari restoran halal di area itu.

Holaa…” tegurku sopan kepada seorang mak cik penjual buah.

Holaa… senorita.”

La pera?” (buah pear?) tanyaku. Wanita tua itu lantas menunjukkan buah itu di hujung sana. Sambil memilih buah sambil aku berusaha mengingati bahasa Sepanyol pasal nombor dan biji tetapi entah kenapa aku tergagap-gagap rasa susah nak sebut. “Emm…err…” tersangkut-sangkut hendak menyebut akhirnya, untuk memudahkan komunikasi hanya sekadar aku mengangkat tiga jari.

Tres kilos? (tiga kilo?)” tanya mak cik penjual.

“Tak, tak…” aku tersengih lucu kemudian mengambil tiga biji buah pear dan memasukkannya ke dalam bakul kecil yang disediakan dan menghulurkan kepada mak cik penjual yang menyambutnya dengan senyum lebar.

“Pisang?…”

Ehl plah-tah-nah,” bunyi sebutannya jelas berbeza dengan perkataan yang aku baca dalam buku terjemahanku. Dia menarik sesisir pisang dan siap-siap masukkan ke dalam beg kertas.

“Ya…. ya…” kami sama-sama ketawa.

De don-de ehs oosteh?” tanya mak cik. (Dari manakah awak datang?)

Sekali lagi, aku menjawab dengan terlalu berhati-hati. “Soy… de… Estados Uni-dos.” 

Mak cik penjual yang montel dan peramah itu mengangguk bangga lalu menunjukkan ibu jarinya kepadaku. Aku ketawa kecil.

Pon-ga-me uno kilos la frambuesa…! Bukankah kau suka makan raspberi?” (Bagi saya sekilo raspberi)

Aku berpaling terkejut ke sebelahku. Tiba-tiba Kaizil berdiri bersahaja dengan senyuman tampan sewaktu memasukkan buah raspberi ke dalam bakul. Kemudian dia meminta mak cik penjual mengira semuanya lantas membayar semua buah-buahan yang aku minta tadi.

Mucho gusto se-nyo-ree-ta (saya gembira bertemu dengan cik)” ucap mak cik montel dengan senyumannya yang melebar mesra. Dia menghulurkan buah-buahan dalam plastik itu yang disambut oleh Kaizil.

Mucho gusto se-nyo-ra,” aku tersenyum lebar.

Gracias,” gumam Kaizil dan melontar lagi senyuman yang begitu peramah seolah-olah kami bersahabat.

De na da,” sahut mak cik sebelum kami beredar situ.

Bagai sebuah lakonan yang berjaya, sebaik tirai pentas ditutup, realitinya senyuman mesra kami berdua di pasar tadi serta-merta berubah tawar sejurus meninggalkan kawasan pasar tadi. Kedua-duanya tenggelam dalam perasaan tidak menyangka dengan aku bimbang kemunculan Kaizil lagi. Aku tak sangka dia masih di Barcelona. Aku kira dia sudah berangkat pulang ke London sebab aku dengar dia bercerita dengan kawannya di studio siang tadi. 


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.