Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
72,940
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 4

BAB 4

DARI sini semuanya tampak begitu kerdil. Setiap satu darinya seperti pasir yang bertebaran di atas muka bumi. Manusia seperti semut-semut yang berkumpul mencari rezeki di waktu pagi. Atap-atap corong tiga segi pula kelihatan seperti sarang-sarang semut yang dibina berdekatan antara satu sama lain.

Asfahan tidak dapat menggambarkan betapa gembira hatinya apabila dapat naik ke atas udara. Tambahan pula temannya untuk hari ini adalah si cantik menawan yang bernama Jelita. Udara di atas awan ini sangat nyaman walaupun sedikit menggigit sejuknya. Namun Asfahan tidak menghiraukan semua itu. Yang paling penting, hajatnya untuk naik ke atas ini sudah tercapai.

“Macam pesta tahun baru kan?” kata Jelita secara tiba-tiba.

Asfahan mendekati Jelita yang berada dihujung bucu sebelah kiri kantung penumpang belon udara ini. Terdapat beberapa pelancong lain yang naik bersama mereka. Mereka datang dari pelbagai jenis negara. Ada yang dari China, Amerika Latin dan Filipina.

“Tengok tu. Banyak belon yang berwarna-warni kat atas ni. Belon-belon ni memenuhi langit yang kosong macam bunga api. Kosong dan tiba-tiba saja meriah sebab ada belon-belon ni,” sambung Jelita lagi. Dia kelihatan seperti seseorang yang banyak berfikir. Asfahan mula menelah satu persatu perilaku gadis ini.

“Pandai awak bermetafora. Saya ni tak pandai sangat nak bercakap soal falsafah.”

Jelita menyimpul senyuman. Dia kemudian mengalihkan pandangannya semula ke udara. Menikmati saujana mata memandang ini.

So… tadi saya ada tanya awak satu soalan, sebelum kita naik belon ni. Awak janji nak jawab kalau saya belanja awak naik belon ni,” bicara Asfahan. Dia merenung ke arah Jelita yang masih asyik memandang langit yang membiru itu.

“Hmm… soalan tadi tu?” Jelita kembali menoleh ke arah Asfahan. “Saya tak duduk kat Malaysia dah sebab saya dah tak ada sesiapa kat sana. Parents dah lama meninggal. Lagipun saya ada kerja tetap kat sini.”

“Kerja apa?” Asfahan jadi kepingin ingin tahu lagi.

“Awak ni macam wartawan kan? Nak tahu semua benda tentang saya.” Jelita menurunkan fedora hitam yang dipakainya.

“Saja je nak tahu…” Fedora yang dipegang Jelita dirampas Asfahan. Dia mula mengacu-acu fedora tersebut ke kepalanya.

“Tak penting pun untuk awak tahu.” Jelita berjalan ke bucu bertentangan mereka. Beberapa pelancong memberi laluan kepadanya.

Asfahan menggeleng-geleng dan ikut membontoni Jelita. Jinak-jinak merpati yang begitu sukar untuk didekati. Lelaki memang mudah tertarik dengan wanita begini.

“Mana tahu… someday…awak adalah orang yang terpenting di dalam hidup saya.” Tanpa Jelita sedar, Asfahan kini berdiri rapat di belakangnya.

“Jangan bermain dengan…” Jelita berkalih. Kata-kata yang ingin kelar dari bibirnya terbantut dengan tiba-tiba. Mata mereka berdua saling bertentangan. Jarak yang begitu dekat di antara Asfahan dan dirinya membuatkan Jelita kurang selesa dengan tingkah laku lelaki yang baru dia kenali ini.

“Jangan bermain dengan apa?” Asfahan masih berada di posisi yang sama. Dia tidak mahu berganjak sehingga Jelita menghabiskan kata-katanya.

Tindakan Asfahan seakan-akan mencabar kesabaran Jelita sebagai seorang wanita. Jelita menikam pandangan Asfahan dengan jelingan tajam. “Bermain dengan kata-kata. Padahnya nanti awak tak tertanggung.”

Jelita menolak badan Asfahan dengan perlahan. Dia tidak mahu pelancong lain yang menaiki belon udara bersama mereka ini terganggu. Dia kemudian beralih ke bucu lain dan meninggalkan Asfahan keseorangan di situ.

***

LINDA sibuk memilih dress yang sesuai untuk dipakainya pada malam ini. Bilik pakaian khas yang telah dibina untuknya penuh dengan pelbagai jenis baju yang tidak cukup kain. Itu memang fesyen Linda atau nama penuhnya Linda Kamilla. Gaya ala-ala mat saleh celup yang sering dipraktikkannya itu memang membawa tuah. Pada usia 25 tahun, dia telah berkahwin dengan usahawan terkenal bernama Datuk Azim.

Kini perkahwinan mereka sudah berusia hampir enam tahun. Linda mulai bosan dengan kehidupannya yang terasa agak sunyi. Tiada anak, tiada penghibur, mahupun masa untuk bercuti bersama-sama suami oleh kerana Datuk Azim tidak begitu sihat seperti dahulu lagi. Lelaki tua itu selalu saja sakit-sakit dan mahukan dirinya sentiasa berada di rumah. Dia sudah jarang keluar bersosial bersama rakan-rakan. Ah! Tapi nasib baiklah malam ini Datuk Azim ada temujanji di luar bersama rakan kongsinya. Dapatlah juga dia curi-curi keluar malam ini untuk berpesta dengan teman-teman.

“Haih! Dah lama tak shopping! Macam dah tak ada baju nak pakai untuk malam niii!” rungut Linda sendirian. Tangannya terus menggodek-godek ke dalam almari. Mencari pakaian yang mungkin terselit di tepi dinding almari tersebut. Mana tahu ada yang belum dipakainya sebelum ini dan masih terlekat tanda harga bersamanya sekali!

“Hah!” Linda mengeluarkan sehelai dress biru terang yang tidak berlengan. Masih dengan tanda harga! Ini maknanya dia belum pernah memakai baju ini lagi.

“Lindaaa! You dekat mana tu?” Suara Datuk Azim bergema dari bilik bacaan.

“Ish orang tua ni! Time-time ginilah nak panggil!” Linda cepat-cepat memperosokkan baju yang dijumpainya tadi ke dalam almari. Bilik persalinan itu dibiarkan lintang-pukang. Dia memanjangkan langkah terus ke bilik bacaan.

“Kenapa you?!” kata Linda dalam nada yang sedikit tinggi terhadap si suami sebaik saja dia memasuki ruangan bacaan itu.

“Aih marah..?” Datuk Azim mengeluh kecil. Cepat sangat Linda tersentap semenjak dua menjak ini. Entah di mana silapnya dia. “You sibuk ke?”

“Tak dalah. Kenapa?” Linda mula memaniskan roman wajah. Tak baik pula bermasam muka. Nanti nampak sangat macam aku ni dah menyampah dengan dia.

“Malam ni I tak jadi nak keluar dengan Datuk Shahrul. I ingat nak ke surau dekat dengan rumah kita tu. You nak ikut sekali tak?” tanya Datuk Azim. Harap-harap Linda terbuka hatinya untuk ke sana. Semenjak dia berkahwin dengan gadis muda ini, tidak pernah sekalipun dia melihat Linda bertelekung.

Linda membuntangkan matanya. Amboi! Sejak bila pula Azim tiba-tiba rajin nak ke surau ni? Dah buang tabiat ke? “Aah… I uzur. Lain kalilah kita pergi. You pergilah.”

“Laa ye ke? Hmm..” Datuk Azim ragu-ragu. Dia tahu itu alasan yang selalu dilemparkan Linda setiap kali dia mengajak isterinya pergi beribadat. “Oklah.. I pergi sorang sajalah.”

“Okay! So ada apa-apa lagi?” Langkah Linda pantas saja mahu beredar dari situ. Dia tak sabar-sabar nak mencuba dress biru yang baru dia jumpai tadi.

“Eh kejaplah.. I ni ada benda lagi nak cakap dengan you ni.”

“Apa?” Ada lagi yang dicakapkannya! Linda menjeling.

“Tadi I call Asfahan. Dia tu pulak asyik mengelak je dari jawab panggilan I. Hari tu Lara. Sekarang dia…” Datuk Azim mengeluh. Bila teringatkan anak dan menantunya itu, dia jadi kusut seketika. Entah apalah yang terjadi dengan mereka di sana.

“Kenapa? Dia buat alasan dia tak ada lagi?”

Yes. Kali ni Asfahan ada kerja di negara luar. Tak tahulah dia dekat mana pulak. Ditinggalkan Lara lagi… Patutnya bawak je isterinya tu ikut sekali.”

Linda mencebik. Kalau aku jadi Asfahan pun, aku takkan bawa Lara tu ke mana-mana. “Dorang ada masalah kot.. You pun tahu Asfahan tu kena kahwin paksa kan?”

“Tapi dah lima tahun. Takkanlah dia masih bersikap macam tu? Lara tu baik budaknya. Asfahan pasti akan jatuh cinta dengannya,” tingkah Datuk Azim.

Linda menjulingkan matanya 180 darjah. Oh tidak! Lara? Asfahan? Memang pasangan yang tak kena langsung! Apalah yang Azim nampak pada Lara tu? “Sayang… I tak rasa mereka happy pun sekarang ni. The only reason why they are together now is because you want them to. Asfahan deserve a better woman. Kalau Lara tu I tak tahulah…”

Datuk Azim tersentap seketika mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isterinya. Sampai hati Linda mengutuk Lara sebegitu rupa! Lara itu tidak harus dinilai dengan pandangan mata kasar. Dia tulus orangnya. Ikhlas dalam melakukan sesuatu dan juga baik hati. Itu yang lebih penting!

I know you memang tak sukakan dia. Tapi dia tu budak baik.”

“Baik saja tak mencukupi sayang. Dahlah I nak masuk bilik kejap. Kalau ada apa-apa Whats App I je. Tak payahlah you susah-susah nak jerit.” Linda berlalu meninggalkan Datuk Azim keseorangan.

Datuk Azim menekur wajahnya. Adakah keputusan yang dia lakukan lima tahun dulu itu suatu kesalahan? Jika ia suatu penderitaan buat Asfahan dan Lara… maka dia memang patut menerima hukumannya. Dialah manusia yang bersalah. Bukan Asfahan ataupun Lara jikalau mereka berpisah.

***

SEBAIK saja belon udara itu menjejak ke tanah, Jelitalah orang pertama yang ingin turun darinya. Wajahnya merona merah menahan amarah. Sikap Asfahan tadi memang berlebihan! Cuba menggodanya di atas belon udara. Ingat dia tidak sedar akan hal itu?

“Hey Jelita! Wait! Tunggu sayaaa!” jerit Asfahan dari belakang. Marah sungguh wanita ini. Nampaknya memang dia sudah tersalah langkah.

Asfahan berlari-lari anak mengejar Jelita yang sudah hampir separuh perjalanan mendekati hotel. Tangan Jelita direntap ke belakang. Tubuh wanita itu tersentak dan hampir-hampir saja jatuh ke atas badan Asfahan semula. Namun Jelita cepat-cepat mengawal graviti tubuhnya dari terus terjatuh dengan menegakkan kedua-dua belah kakinya.

“Eh apa ni? Main tarik-tarik!” marah Jelita.

“Sorry! Please! I just…”

“Lepaskan tangannya saya!” Jelita bergelut untuk meloloskan tangannya dari cengkaman Asfahan yang kuat. Lelaki itu seperti tidak mahu membiarkannya pergi.

Please! Kejap!” Asfahan melepaskan cengkamannya terhadap pergelangan tangan Jelita namun dia cepat-cepat menahan wanita itu dari terus meloloskan diri dengan mencengkam kedua-dua belah bahunya pula.

“Eh! Lepaskan! Kalau tak saya jerit!” ugut Jelita. Dia sudah tidak tahan dengan sikap menggila Asfahan. Ternyata lelaki ini sakit otak!

“Syy! Saya cuma nak cakap sorry je! Please…”

“Cakap sorry?” Jelita memandang tubuh Asfahan dari atas hingga ke bawah. Gila ke apa nak cakap maaf sampai nak kena cengkam badan aku macam ni! Dia ingat aku sayur?

Yes… kalau saya lepaskan you. Awak janji tak lari kan?”

Jelita mengecilkan matanya. Psycho! “Okay.. Saya tak lari..”

Tangan Asfahan perlahan-lahan meleraikan cengkaman telapak tangannya dari bahu Jelita. Jangan lari! Jangan cuba nak lari…

I am very sorry. Saya tak bermaksud nak buat benda-benda yang tak elok pada awak. Saya faham, kita baru saja berkenalan. Sudah semestinya awak tak selesa dengan tindakan saya tadi. Maafkan saya sekali lagi ya,” ujar Asfahan dengan serius. Mimik wajahnya berubah serta merta. Seperti tidak menyangka kenapa dia begitu mudah terleka sehingga melakukan perilaku buruk itu semasa di atas belon udara tadi.

Jelita mengangkat keningnya tinggi. “It’s okay.Saya… harap awak dah tak buat lagi. Dan terima kasih jugak sebab memahami yang kita ni baru saja berkenalan. Lagi satu saya nak ingatkan awak, kita orang timur. Bukan orang barat… Jadi awak kena jaga maruah wanita macam saya.”

Asfahan menghela nafas lega. Nasib baiklah dia tak marah! Tapi sempat lagi bersyarah. “Again I’m really sorry. Saya faham apa yang awak cuba sampaikan.”

Jelita menarik fedoranya dari tangan Asfahan dan memakai semula topi tersebut ke kepalanya. “Yeah… I pergi dulu.”

“Wait!” jerit Asfahan semula.

Jelita berpaling sambil mengherotkan bibir. “Apa lagi?"

“Petang ni you free tak? Kita minum petang sama-sama?” Asfahan menyeringaikan giginya. Jambul yang menutupi dahi ditarik ke belakang. Wajahnya ada iras-iras Hugh Jackman yang kemas bercukur di wajah.

Jelita memejamkan mata sambil tersenyum. “Pukul empat kat café. Bye!”

Asfahan bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia setuju! Yes! Yes! Dengan serta merta Asfahan terlompat-lompat ke udara tanpa menghiraukan pelancong lain yang berada di sekeliling.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.