Home Novel Cinta Akulah Si Jelita
Akulah Si Jelita
Syaida Ilmuna Ismail
24/2/2014 15:59:36
72,939
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

BAB 5

PUKUL empat tepat. Dia kata pukul empat. Jadi aku pun tercongoklah kat café ini tepat pukul empat. Tapi sekarang ini dah pukul lima! Dia memang sengaja nak mainkan aku ke apa?

Hati Asfahan merungut. Memang Jelita itu licik orangnya. Manis wajah dan bicaranya pagi tadi macam beriya-iya terima pelawaan petang ini. Tapi sekarang ini habuk pun tak ada! Takkan nak terus menunggu kut? Dah sejam dah ni. Takkanlah nak tunggu sampai pukul enam petang pulak.

Dalam pada menahan perasaan amarah yang kian membuak-buak, telefon miliknya berbunyi. Asfahan memeriksa nama pemanggil. Ternyata ia adalah kekasih hatinya, Nadya.

“Hello,” jawab Asfahan dalam nada bersahaja.

Hi sayang! You kat mana ni?” Berbeza pula dengan Nadya. Dia bernada gembira.

“Kat café.”

“Oh… café kat hotel? Still in Cappadocia?

“Yes I am. So why call me?” soal Asfahan dalam keadaan tergesa-gesa ingin menamatkan perbualan.

“Hah?” Nadya melihat semula nama pemanggil yang tertera di telefonnya. Ternyatalah itu Asfahan, kekasihnya. Dia tidak silap nombor. “I called you sebab I miss you lah!”

“I miss you too,” jawab Asfahan longlai. Malah perkataan rindu itupun diujarnya tanpa sebarang perasaan. Entah mengapa dia seperti kehilangan rasa apabila berbicara dengan Nadya kali ini.

“Sayang? You tak sihat ke? Kenapa macam tak miss I pun? You tak nak cakap dengan I ke? Or you ni sebenarnya…” Nadya sedang menelah sesuatu yang di luar jangkaannya. Ada yang tak kena dimana-mana ni.

“Sebenarnya apa? Dahlah.. jangan buat conclusion dengan terburu-buru boleh tak? I miss you.Tapi sekarang ni I… I ada hal.” Asfahan tidak tahu bagaimana dia harus menutupi perasaan yang mula dia rasakan sebagai kecurangan ini. Dia curang? Oh tidak! Kenapa pula dia harus merasakan begitu?

“Hal apa yang penting sangat ni? I call you, jauh-jauh dari London… dan you macam nak tak nak je cakap dengan I. Mestilah I akan buat macam-macam conclusion!” Urgh! Lelaki memang macam ni ke? Dia ingat perempuan ini tak berfikir dulu ke sebelum bercakap? Jangan main-main dengan naluri wanita!

“Hmm ye… ye… sorry okay. You sihat ke?” Sambil berbicara, mata Asfahan tak henti-henti meliar ke kiri dan kanan. Seperti biasa tercari-cari susuk tubuh yang dia nanti-nantikan itu. Di manakah dia?

“I sihat.. hari ni I ada banyak kerja sangat tau… You know what…

Kata-kata Nadya kini kedengaran seperti bunyi burung-burung berkicauan. Asfahan langsung tidak menumpukan perhatiannya terhadap apa saja yang dituturkan Nadya lagi. Matanya masih tercari-cari. Di manakah wajah yang sering bermain di mindanya?

Seorang gadis berambut ikatan ekor kuda menolak pintu kaca café. Lagak lemah lembut gadis itu telah menarik perhatiannya. Dia memakai skirt tutu hitam paras buku lali yang dipadankan dengan baju berlengan panjang berwarna emas. Jelita. Memang dia selalu tampil jelita.

“Nad… Nad… I think I have to go. Bye!” Klik! Telefon dimatikan dengan begitu sahaja. Dia tahu Nadya bakal berperang besar dengannya nanti. Tapi… hiraukan sajalah! Yang penting sekarang adalah gadis di hadapannya ini.

“Jelita!” jerit Asfahan dari jauh.

Wanita itu berkalih apabila terdengar namanya dipanggil. Buat pertama kali, Asfahan merasakan dia benar-benar sedang jatuh cinta. Ia bukanlah perasaan sama seperti yang dia rasakan apabila bersama Nadya. Bukan! Inilah cinta sebenarnya cinta.

***

LINDA KAMILLA menyelongkar almari pakaiannya lagi. Mana pulaklah beg tangan Coach yang berwarna coklat tu? Takkanlah hilang pulak!

Penat menyelongkar hampir keseluruhan ruangan pakaian tersebut, Linda akhirnya mengalah. Dia kembali ke kamar dan duduk seketika di atas katil untuk melepaskan kelelahan yang menyesak di dada. Ternyata memang sudah lama dia tidak keluar bersosial. Sampaikan beg tangan yang menjadi kegemarannya pun hilang entah ke mana.

Linda menghempaskan badannya ke katil. Nafas ditarik dalam dan kemudian dihelakan perlahan-lahan. Lelah! Mungkin kerana dia terlalu tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu hal. Ataupun oleh kerana staminanya makin lama makin mengendur. Iyalah! Sudah hampir sebulan dia tidak bersenam mahupun ke gym.

Tangannya mula meliar ke meja kopi bersebelahan katil untuk mencari telefon bimbitnya. Manalah tahu jikalau Yasmin sudah mesej kepadanya yang dia akan tiba tidak lama lagi. Oleh itu, Linda harus pantas. Dia mesti keluar sebelum Azim pulang. Kalau dia terlambat, alamat selamat tinggallah malam bersosialnya hari ini.

Jejari Linda tersentuh akan sekeping fail yang tersusun kemas di atas meja kopi tersebut dengan tidak sengaja. Dia bingkas bangun dari katil dan mula meneliti sekeping fail berwarna putih yang tampak misteri itu.

“Apa ni…” Fail putih itu dibuka perlahan-lahan. “Wasiat… Datuk Azim Hamzah!”

Mata galak milik Linda terbuntang luas. Rezeki! Rezeki! Mesti Azim terlupa nak simpankan fail ini di peti keselamatan. Patutlah suaminya itu menghabiskan masa sendirian di pejabat sebentar tadi. Rupa-rupanya Datuk Azim sedang mengarang dokumen wasiat ini.

Perasaan ingin tahunya semakin membuak-buak. Manalah tahu jikalau Azim sudah menukilkan berapa banyak harta yang bakal ditinggalkannya kepada dia dan anak-anak Datuk Azim. Jikalau Azim tidak meninggalkannya apa-apa, tahulah dia rancangan apa yang perlu dia karang.

“Okay! kita baca satu-satu ye…” Linda mula menguak ke muka surat pertama.

‘Surat ini hendaklah dibacakan oleh peguam saya, Encik Isa Zubir sebagai pemegang wasiat dan amanah saya…. Bla.. bla.. bla… Saya ingin nyatakan di sini bahawa saya amat menyayangi kedua-dua anak saya serta isteri… Mana dia? Mana part pembahagian harta?’ bicaranya senyap.

Linda tidak puas hati. Semuanya adalah coretan hati Azim. Dia melangkau dua muka surat ke hadapan.

“Okay! Kat sini kot…” Linda meneruskan pembacaannya. “Dengan ini saya Azim Hamzah, menyerahkan 80% harta saya kepada isteri…. Datin Linda Kamilla!!! Oh my Goddd!

Linda terlompat-lompat kegirangan dan melontarkan dirinya ke atas katil semula. Fail yang dipegangnya pula didakap kuat-kuat. Sayang benar Azim kepada dirinya! Tak sangka, dia pemilik keseluruhan harta Datuk Azim Hamzah, ahli perniagaan terkenal Malaysia.

“Eh kejap! Anak-anak dia.. Sherie dengan Asfahan macam mana?” Kegirangannya tadi jadi tergantung seketika. Linda kembali menyelak semula fail tersebut.

Muka surat yang ditinggalkannya tadi dibaca kembali. “Anak saya… Sheriena Razlan akan mendapat 20% dari harta saya… hmm… Manakala Asfahan Redza Azim pula… tidak akan mendapat apa-apa dari saya!”

Tidak akan mendapat apa-apa? Pernyataan itu dibaca berkali-kali. Linda jadi keliru dengan tindakan Datuk Azim. Biar betul? Asfahan Redza adalah anak kesayangannya. Sheriena pula anak angkatnya. Ini adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Tetapi semua ini bukan kepentingannya. Yang paling penting sekarang, dia bakal jadi jutawan!

Linda menari-nari mengelilingi katil. Hatinya memainkan nyanyian lagu bahagia. Namun nyanyian telefon bimbitnya yang menerjah secara tiba-tiba telah meruntuhkan segala angan-angan yang kian terbang tinggi.

Linda memeriksa paparan skrin telefon. Ternyata ia adalah dari Yasmin. Dengan senang hati, Linda menyusun semula fail tersebut ke tempat asal. Dia dengan pantas menggapai apa saja beg tangan yang tersedia di hadapan mata lalu meninggalkan kamar tersebut dengan secepat yang mungkin.

***

JELITA memesan makanan Itali dari pelayan café. Dia kemudian mengembalikan fokus pemerhatian terhadap Asfahan yang sudah berkedip-kedip mata memandangnya. Sah! Memang sahlah mamat ini sudah gila bayang dengan kau, Jelita. Sampaikan sanggup menanti kau selama 60 minit di café ini!

“Dah lama ke tunggu saya? Ingat dah balik tadi…” kata Jelita sambil membelek-belek telefon pintar HTC miliknya.

“Ooo jadi awak memang sengajalah biar saya tertunggu-tunggu kat bawah ni? So, bila awak turun saya dah tak ada. Macam tu?” Hati Asfahan terbakar mendengar bicara Jelita. Sungguhlah wahai Jelita yang cantik rupawan ini memang pandai memainkan hatinya!

“Ye lah! Saya keluar dengan awak ni pun sebab terpaksa!”

Asfahan menjegilkan mata. “Saya ni bukan jenis memaksa dan saya tak mudah putus asa tau!” balasnya tegas.

Jelita mula memuncungkan wajah. Dia ingat aku percaya sangat dengan kata-kata lelaki spesis macam dia? Pantang nampak perempuan berdahi licin!

“Kenapa tak jawab? Kenapa diam?” Asfahan tidak betah dengan sikap Jelita yang hanya cemberutkan wajah dan menguncikan mulutnya itu. Takkanlah sesi minum petang ini hanya akan berakhir dengan perang dingin di antara mereka? Pagi tadi katanya nak berbaik-baik…

Pertanyaan Asfahan mengundang jelingan tajam Jelita. Wajahnya dipalingkan ke permandangan luar café. Malas sungguh nak melayan lelaki beremosi tinggi ini. Tiba-tiba nak naik angin. Walhal Asfahan sepatutnya bersyukur yang dia mahu juga turun minum petang bersama lelaki itu setelah apa yang berlaku pagi tadi.

“Jadi awak memang nak kita membisu je lah sampai esok pagi?” Sindiran Asfahan tidak membawa sebarang respon. Jelita tidak mengendahkan dirinya. Merajuk ke perempuan ni?

“Jelita???” tegur Asfahan lagi.

Look! Kalau awak nak terus bising-bising, paksa saya cakap dengan awak macam ni… baik saya naik atas je. Tapau makanan tu, makan kat bilik!” Jelita mula mengangkat beg tangan dan memasukkan telefon bimbit miliknya ke dalam beg tersebut.

Tindakan Jelita mencemaskan Asfahan. Ini marah betul ni! “Eh Jelita! Laaa… Wait! Saya bukannya marah dekat awak!”

“Lepas tu?” Jelita tidak sempat bangun dari kerusinya. Dia memberi peluang kepada Asfahan untuk menjelaskan diri. Sebenarnya dia sengaja acah-acah hendak menggertak Asfahan dari terus beremosi tak tentu pasal tadi. Bila difikir-fikirkan, kasihan pula dia dengan mamat emo ni. Hampir sejam Asfahan menunggunya di café. Takkanlah pula dia nak berlalu pergi macam tu saja?

“I… I am sorry.Saya cuma bengang je, awak datang lambat. Lepas tu awak cakap saya paksa awak datang sini. Saya tak paksa pun. Kalau awak rasa nak balik, baliklah… takut nanti boyfriend awak marah saya nanti. Tak pasal-pasal pulak biji mata saya lebam sebelah,” jelas Asfahan yang masih menyelitkan humor di hujung katanya.

Cis! Pertanyataan ‘test market’! Jangan ingat aku tak tahu. “Hmm... tak ada siapa pun nak tumbuk mata awak tu. Saya bukannya ada boyfriend.”

“Ohh…” Asfahan tersenyum simpul. “Kalau macam tu… apa kata kita makan? Kejap lagi sampailah menu yang kita order tu.”

Jelita hanya mampu menggeleng-geleng perlahan sambil ketawa kecil. Cepat sungguh emosi lelaki ini berubah-ubah. Tadi marah bukan main, sekarang berlembut pula bila dapat tahu yang aku tak ada kekasih. Kita tengok sajalah nanti sampai bila dia boleh bertahan ya? Getus hati Jelita yang tak henti-henti dari berbicara.

***

SERIOUSLY?” Yasmin menurunkan nada lagu ‘Come and Get It’ nyanyian Selena Gomez yang berkumandang di dalam keretanya kerana ingin menumpukan pendengaran kepada penceritaan Linda Kamilla.

“Ye lah babe! Takkan pulak I nak menipu… Terkejut beruk I baca wasiat tu! Tak sangka dia nak bagi 80% harta dia kat I,” sambung Linda. Wajahnya mula memerah tanda keterujaannya yang tidak terbendung.

Oh my God! You bakal jadi jutawanlah ni! Bestnya!” Yasmin menekan pedal brek. Lampu merah menyala terang tanda kereta wajib berhenti di persimpangan tersebut.

Best tu bestlah.. tapi lambat sangatlah babe kalau nak tunggu dia tu… meninggal!”

Yasmin mengecilkan matanya. Dia cuba membaca fikiran Linda. Pasti ada perkara yang sedang dirancang gadis muda ini. “Lepas tu you nak buat apa?”

“I…” Linda mengerlingkan matanya ke tepi. Ada sesuatu yang sedang cuba dia ingati. Pap! Jejarinya dipetik. “Mungkin Helmi boleh tolong I!”

“Tolong apa?” Yasmin mula tak senang duduk. Pedal minyak ditekan kembali. Kereta miliknya mula meluncur laju ke atas jalanraya yang kian sesak dengan kenderaan.

“Tolong fikirkan cara apa yang terbaik untuk mempercepatkan proses pemilikan harta tu…”

“You dah tak ada cara lain ke melainkan Datuk Azim tu meninggal dunia? Lainlah kalau you…” Kata-kata yang ingin keluar dari mulut Yasmin ditahan. Takut pulak dia jikalau memberi idea-idea yang membawa kepada kehancuran rakannya ini. Bukan boleh percaya sangat dengan Linda ni. Otaknya memang senget sebelah!

“Kalau kita… rancang sesuatu ke atas dia?” Linda mula menyeringaikan barisan giginya yang putih melepak itu. Rancangan hitam mulai berlegar-legar di dalam kotak mindanya.

“You jangan… Jangan nak rancang benda tak elok! I tak nak masuk campur.” Yasmin sudah dapat mengagak! Memang otak si Linda ni tak betul.

“Eh I tak paksa pun you masuk campur. Tapi yang penting sekarang ni, I nak bincang tentang hal ni dengan Helmi!” Linda Kamilla mula mengulum senyuman sinis. Dia tahu Yasmin sudah dapat menebak idea jahatnya. Walaubagaimanapun, Linda tak ambil pusing langsung mengenai pendapat Yasmin atau sesiapapun yang bakal mendengar idea gilanya nanti. Yang paling penting, matlamat ini harus dicapainya!

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.