Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
581,061
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1


Fahmi sudah siap menunggu Pak Mail dimuka pintu. Beg yang berada di sisinya dipandang berulang kali. Rasanya tiada apa yang tertinggal. Selalunya abahnya yang akan ke sana untuk urusan seperti ini. Tapi kali ini dia yang terpaksa pergi, awal-awal lagi abahnya sudah berpesan untuk menyelesaikan segala masalah syarikat sebelum dia pulang ke tanah air.

"Umi sudah cakap dengan Mak Jah. Agaknya dia sudah kemaskan bilik kamu di sana"

Fahmi memandang wajah uminya yang begitu tenang. Datin Ani memang begitu, sentiasa tenang walaupun adakala anak-anaknya sengaja menduga kesabarannya. Ah...umi, mudah-mudahan suatu hari nanti Fahmi akan dapat seorang isteri setabah umi.

"Tapi hari itu umi kata rumah tu dah ada yang sewa"

"Itu umi tahu, tapi umi sudah pesan dengan Mak Jah kamu, bilik utama jangan kacau. Mereka sewa bilik yang lain. Itulah sebabnya umi tak nak orang dah berkeluarga yang sewa. Nanti di mana Mak Jah kamu nak tinggal.” Datin Ani memandang anaknya yang sudah berdiri dimuka pintu. “Buat kerja tu elok-elok, umi tahu kamu tak minat tapi ini perniagaan kita. Silap hari bulan boleh papa kedana kalau kita tak selesaikan masalah itu. Dah sampai nanti jangan lupa call umi dan abah"

Fahmi diam, mengingati rumah yang terletak di Bangi. Hanya lima belas minit untuk ke Putrajaya. Dekat! Dulu mereka tinggal di situ. Rumah banglo setingkat yang mempunyai enam bilik tidur. Disitulah mereka tiga beradik dibesarkan. Rumah banglo yang dibina di atas tanah lot itu memang penuh dengan suasana kekampungan. Disekelilingnya di tumbuhi pokok buah-buahan.

Selepas bisnes ayahnya meningkat sehingga mendapat gelaran Datuk mereka tidak lagi tinggal di situ. Datuk Azman kembali ke kampung halamannya di Melaka dan membina rumah ditanah warisan datuknya. Walaupun Melaka tak sehebat Kuala Lumpur, tapi tempat ini begitu unik. Lebih lagi kedua orang tuanya memang kelahiran tanah bersejarah itu. Sudah tentunya lebih ramai saudara mara yang bermastautin di situ berbanding di Bangi.

Datuk Azman sudah seminggu pergi menunaikan umrah bersama Pak Long. Kebetulan pula salah satu pasarayanya di Putrajaya menghadapi masalah besar. Ini kali pertama dia menghadapi syarikat yang dikendalikan turun temurun. Selama ini hidupnya hanya kawan-kawan. Habis saja manamatkan Master dalam bidang perniagaan, Fahmi tidak mahu datang ke pejabat. Sudah berkali-kali uminya, Datin Ani menasihatinya apatah lagi dialah satu-satunya anak lelaki. Tapi, bagaikan mencurah air didaun keladi. Tidak sedikitpun nasihat yang melekat dihati mudanya. Pagi-pagi lagi dia akan keluar berjoging selepas itu ada saja alasannya untuk keluar dengan kawan-kawannya. Habis saja mahgrib, dia akan keluar semula. Hampir setiap malam dia akan menemani kawan-kawannya melepak ataupun menemani Sofia makan malam.

Sofia, gadis kelahiran Kuala Lumpur yang berhijrah ke Melaka kerana ayahnya membuka kilang di sini. Mulanya gadis itu keberatan untuk meninggalkan bandar Kuala Lumpur yang menjadi tempatnya berhibur. Tetapi ayahnya, Tuan Johari berkeras, tidak mahu meninggalkan Sofia sendirian apatah lagi semenjak ibunya pergi meninggalkan mereka anak beranak. Tuan Johari tidak mahu Sofia leka dengan kehidupan di Kuala Lumpur. Tuan Johari tidak mahu kesilapan sama berulang kembali. Ayah dan emak Sofia kawan baik umi dan abahnya. Sekilas pandang alasan mereka untuk ke Melaka adalah kerana perniagaan tapi sebenarnya lebih kepada hubungan persahabatan. Selain kilang itu, mereka sama-sama mengusahakan pasaraya ini.

Fahmi tersenyum sendiri. Sofia satu-satunya gadis yang paling rapat dengannya. Mereka bersama semenjak sekolah lagi. Tidak hairan kalau setiap kali ada dia, pasti ada Sofia. Sudah berkali-kali Sofia mengunjungi keluarganya. Namun begitu, setiap kali uminya menyatakan hasrat untuk meminang Sofia, Fahmi membantah.

“Apa yang kamu senyumkan?” Datin Ani menepuk bahu anaknya. Kelibat Pak Mail belum kelihatan dari mengambil kereta yang sudah di servis untuk digunakan anak sulungnya itu. “Kamu teringatkan Sofia ke? Kamu dah cakap dengan Sofia yang kamu ke Putrajaya?”

“Dia tak ada mak. Katanya pergi Singapore ikut kakaknya minggu lepas. Ala... dia tak kisah pun umi”

Datin Ani menggelengkan kepala. Tidak setuju dengan kata-kata anaknya sebentar tadi.

“Tak ada apa-apa. Tapi asyik berkepit aje umi tengok. Umi nak pinang kamu tak nak pula.” Nada suara Datin Ani mula berubah. ”Kamu jangan buat hal pula. Dah usung anak dara orang kehulu ke hilir lepas tu kamu kahwin dengan orang lain. Mana umi nak letak muka dengan mak bapa Sofia. Mereka pun mengharap sangat dengan kamu. Itu sebabnya dia tak bagi orang lain kawan dengan anak dia ”

“Nantilah umi, Fahmi masih muda nak fikir semua tu. Kalau Fahmi dah habis enjoy barulah fikir pasal kahwin. Nanti kalau Fahmi dah ready, Fahmi akan cakap dengan Umi”

Datin Ani diam. Bukan sekali dia mendengar kata-kata anaknya itu kalau dia mula bersuara pasal Sofia. Dia sendiri risaukan Fahmi. Anak lelakinya itu terlalu kerap bersama Sofia. Dia takut kalau Fahmi merosakkan anak orang. Apatah lagi Sofia itu wanita yang moden, dedah sana sini. Tapi dia kenal siapa orang tua Sofia. Dari dia belum berkahwin mereka sudah berkawan baik. Lagi bagus kalau itu pilihan Fahmi. Bertambah rapatlah hubungan mereka. Tidak lama kemudian Pak Mail muncul memandu kereta Audi Q7 hitam. Lelaki separuh abad itu turun dari perut kereta lalu menyerahkan kunci kereta kepada Fahmi.

“Minta maaf Datin, lambat tadi. Mereka baru saja siap tukar tayar. Ramai pelanggan mereka hari ini”

Datin Ani tersenyum kecil. Beg pakaian Fahmi sudah dimasukkan ke dalam kereta. Jauh di sudut hatinya dia berdoa, semoga anaknya mampu menguruskan masalah pasaraya mereka.

“Fahmi, sampaikan salam umi kepada Mak Jah.”

Fahmi mengangguk. Tangan uminya dicapai lalu diciumnya. Begitu juga tangan Pak Mail. Dari kecil lagi dia dididik untuk menghormati orang tua. Tidak kira samada orang itu saudaranya mahupun pekerja.

Bayangan kereta Fahmi hilang dari pandangan mata. Datin Ani hanya mampu berdoa, semoga jalan ini akan membukakan pintu hati anaknya untuk membantu suaminya menguruskan perniagaan itu. Dia berharap suatu hari nanti, Fahmi sedar akan tanggungjawabnya.

Sampai saja di Tol Bangi, kelihatan kereta Pak Man sudah menunggunya. Pak Man sudah lama bekerja dengan mereka. Rasanya dua atau tiga tahun lagi pencenlah dia. Ada dua orang anaknya yang mengikut jejak langkahnya menjadi pemandu lori di syarikatnya.

“Sihat Fahmi, lama tak jumpa kamu. Tak sangka sudah bujang rupanya kamu sekarang. Akhirnya turun juga perniagaan ini dengan kamu”

Fahmi ketawa kecil. Sudah lima tahun tak jumpa, wajah Pak Man pun sudah banyak berubah. Fahmi turun dari kereta bersalaman dengan Pak Man.

“Yelah Pak Man, dulu budak lagi. Sekarang ni kenalah ambil alih sementara abah di sana. Minta maaflah Pak Man, terpaksa minta Pak Man tunjukkan rumah. Sudah sepuluh tahun tak ke sini, takut sesat.”

Pak Man ketawa. “Tak apa, Pak Man pun rindu nak jumpa kamu. Pak Man jumpa kamu masa kamu sekolah menengah lagi. Masa tu arwah datuk kamu bawa kamu datang sini. Cepat betul masa berlalu, sekarang kamu sudah besar”

Fahmi tersenyum kecil. Dulu Fahmi sekolah di sini sehingga darjah empat. Masuk saja darjah lima, abahnya hantar dia ke Melaka tinggal bersama Datuk. Selepas itu masuk saja tingkatan satu, dia sudah belajar di MRSM. Tamat saja SPM, dia ditawarkan untuk menyambung pelajaran di London.

“Jomlah, kamu ikut kereta Pak Man. Rumah tu tak jauh dari sini”

Fahmi kembali masuk ke perut kereta. Asing rasanya melihat jalan yang baru dijejaki itu. Sudah lama tidak ke sini, jalannya pun sudah banyak yang berubah. Kalau dia tidak salah, dulu Bangi ini lengang. Tidak banyak kereta seperti hari ini. Habis saja dia SPM, dia terus belajar di luar negara bersama Sofia. Selepas itu dia terus menyambung master. Tapi itu alasan saja untuk lebih lama menetap di negara orang. Nasib baik, keputusannya tidaklah teruk sangat. Pulang saja dia ke Malaysia, dia kembali dengan kawan-kawannya.

Kereta berhenti di hadapan pagar berwarna biru. Pak Man membuka tingkap keretanya. Lelaki itu memberi isyarat mereka sudah sampai dan dia terpaksa kembali bekerja. Fahmi melambaikan tangannya sebagai tanda terima kasih.

Lama Fahmi termanggu. Pandangannya dilemparkan ke arah rumah banglo setingkat yang juga sudah dicat biru. Bila masa pula umi cat rumah ini? Fahmi bertanya sendiri. Kalau dia tidak salah, rumah ini dulunya berwarna kuning cair. Warna kegemarannya. Namun tidak banyak yang berubah di sekelilingnya. Kalau mahu dibandingkan dengan rumah yang lain sudah pasti rumah ini jauh ketinggalan reka bentuknya. Tidak lama kemudian, muncul perempuan sebaya dengan Pak Man dari dalam rumah. Fahmi tersenyum. Wajah tua Mak Jah selalu dirindui. Mak Jah dulu asalnya orang gaji mereka. Fahmi gemar setiap masakan Mak Jah. Mak Jah pun sememangnya tahu makanan kegemarannya. Selepas mereka sekeluarga berpindah, hanya sesekali Mak Jah datang ke Melaka bermalam. Pintu pagar dibuka, Fahmi memandu keretanya masuk ke halaman rumah.

“Fahmi! Ya Allah, dah besar ya kamu. Mak Jah tengok kamu makin handsome

Fahmi menyalam tangan Mak Jah lalu menciumnya. Walaupun perempuan itu sekadar orang gaji tapi dia tetap menghormati. Mak Jah yang membesarkan mereka adik beradik.

“Bilik tu Mak Jah dah kemaskan, Fahmi rehatlah dulu. Sebentar lagi mereka pulang, nanti Mak Jah kenalkan”

“Terima kasih Mak Jah, mulanya nak tinggal kat hotel aje. Tapi umi yang berkeras nak fahmi tinggal di sini, lagipun tiga bulan aje.” Mata Fahmi meninjau ke setiap bucu rumah. Susun aturnya masih seperti dulu. “Ramai ke yang tinggal di rumah ni Mak Jah?”

Fahmi memandang Mak Jah menuang air ke dalam gelas sambil menantikan jawapan.

“Ada empat orang aje. Mereka semua dah tau kamu nak tinggal di sini. Kamu dah makan ke?”

Fahmi menggelengkan kepala.

“Saya nak pergi solat kejap, lepas tu baru makan. Mak Jah masak apa hari ini?”

“Makanan kegemaran kamulah, Asam Pedas ikan merah”

Fahmi meneguk liur, sedapnya! Umi pandai juga masak asam pedas tapi tak sehebat Mak Jah. Mak Jah yang ajar umi, takkanlah anak murid nak lawan guru pula.

Fahmi menuju ke bilik menunaikan solat selepas mandi. Mukanya kembali segar. Dia berniat untuk menemui rakan baiknya di Shah Alam malam nanti. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Kedengaran deruman kereta memasuki perkarangan rumah disusuli suara riuh rendah gelak ketawa beberapa orang perempuan. Perempuan ke yang menyewa di sini? Bisik hatinya, tadi tidak ingat langsung nak bertanya dengan Mak Jah. Fahmi keluar dari bilik. Ke empat-empat wanita dihadapannya berdiri terpaku memandangnya.

Aina tergamam memandang Fahmi. Hidung Fahmi yang mancung, dengan keningnya yang rapi. Rambutnya yang ala-ala Tom Cruise dengan wajah yang persis pelakon orang putih membuat sesiapa saja yang memandang pasti tertarik. Tiba-tiba saja lemah kakinya berhadapan dengan lelaki kacak seperti Fahmi. Badan Fahmi yang sasa dengan lengannya yang menampakkan urat-urat jantan, menggegarkan jantungnya.

“Oooo dah jumpa rupanya, inilah penyewa rumah ini Fahmi”

Mak Jah tiba-tiba muncul dari dapur. Spontan Aina menghadiahkan senyuman manisnya dengan gaya yang menggoda.

Fahmi pula ternganga, tidak percaya, takkanlah nak duduk dengan perempuan? Umi! Wajah Fahmi yang keruh itu beralih memandang Mak Jah di sisinya.

“Selamat berkenalan, Encik Fahmi. Tak sangka pula Datin Ani ada anak handsomemacam encik ni”

Mata Fahmi beralih kepada perempuan yang berdiri tepat di hadapannya. Fahmi meneguk liur apabila perempuan itu terang-terang memujinya.

“Saya Aina, panggil Ain jer. Yang ini Lina, ini pula Sasha, yang ni Nur Alia.” Satu persatu Aina tunjuk dengan jari telunjuknya. Rakan-rakan Aina yang lain hanya tersenyum simpul. “Kami masuk bilik dulu ye Encik Fahmi. Kami harap kami tak mengganggu Encik Fahmi”

Fahmi tersenyum kelat, kalau semua perempuan mana nak selesanya. Dia bersungut dalam hati. Mata Fahmi beralih kepada perempuan yang agak comel di sisi Sasha, perempuan itu hanya tersenyum kecil membalas pandangan matanya yang agak nakal. Seoalah tidak terpukau langsung ke ketampanannya.

“Kamu berehat dulu, lepas Mahgrib nanti kita makan sama-sama. Kamu tak kisah kan Fahmi?”

Fahmi memandang wajah Mak Jah, perlahan dia mengangguk walaupun sedikit berat. Setelah keempat-empat perempuan itu masuk ke dalam bilik, Fahmi menjenguk Mak Jah di dapur.

“Mereka selalu makan di rumah ke?”

Mak Jah mengangguk, melihat wajah Fahmi yang agak terkejut Mak Jah dapat mentafsir apa yang Fahmi fikirkan.

“Mereka bagi Mak Jah duit. Lagipun Mak Jah yang mulakan dulu. Yelah Mak Jah pun kena masak juga, dah alang-alang masak baik masak banyak. Lepas tu mereka pun bagi Mak Jah duit. Mak Jah ambil buat belanja dapur. Kamu nak minum lagi ke?”

Fahmi mengangguk.

“Bagi saya Nescafe o jelah Mak Jah. Malam nanti saya nak keluar kejap jumpa kawan”

Mak Jah meletakkan secawan Nescafe di atas meja sebelum berlalu masuk ke dalam bilik.

Azan Mahgrib berkumandang, Fahmi bangkit dari duduknya terus menuju ke biliknya semula. Usai solat Fahmi terus menuju ke dapur. Baru saja dia mahu melabuhkan punggung di kerusi, Nur Alia datang. Gadis itu tersenyum kecil memandang Fahmi kemudian mengambil segelas air suam.

“Lia, kamu dah nak pergi ke?”

Nur Alia mengangguk. Tidak peduli dengan lelaki yang asyik memandangnya. “Lia pergi dululah Mak Jah, nanti lambat pula. Malam nanti Lia makan, tinggalkan asam pedas untuk Lia ye?”

“Yelah, Mak Jah tahu kamu pasti makan kat rumah. Kamu sama dengan Fahmi, hantu asam pedas!”

Fahmi terkulat-kulat meneguk air liurnya apabila namanya dikaitkan dengan Nur Alia. Gadis itu tersenyum sekali lagi kepadanya sebelum berlalu keluar dari dapur. Tidak lama kemudian deruman enjin kereta kedengaran meninggalkan perkarangan rumah. Fahmi kembali memandang wajah Mak Jah. Ingin bertanya tapi malu pula rasanya,

“Dia belajar kat UKM, part time ambil degree. Mereka ni kerja di Kementerian Kewangan. Kadang-kadang mereka berempat tak ada sebab kursus. Kalau tak kursus, ada saja aktivitinya hujung minggu. Jarang lekat kat rumah.”

Fahmi hanya mendengar sambil lalu kata-kata Mak Jah. Tiga bulan lama juga nak duduk di sini. Nasib baik bilik utama berada di depan, manakala bilik mereka yang lain semua di belakang. jauh juga sebab dipisahkan dengan ruang tamu dan ruang tengah yang dua kali luas biliknya. Lagipun setiap bilik ada bilik air sendiri, memang tidak akan mengganggu. lagipun masing-masing sibuk bekerja, pastinya lama kelamaan tidak akan sedar kewujudan mereka di rumah ini. Fahmi berkira-kira dalam hati. 'nanti biasalah tu, lagipun aku bukan selalu ada di rumah'...

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.