Makan
malam itu begitu berselera sekali pada Fahmi. Sudah lama tidak menjamah Asam
Pedas Mak Jah. Semasa di meja makan, hanya Aina yang lebih banyak bercakap
dengan dengan dirinya. Mungkin kerana Aina seorang peramah atau mungkin juga
kerana sebab lain. Malas dia mahu ambil tahu. Manakala yang lain pula hanya
menyambung sepatah dua. Tadi sempat juga Mak Jah cerita, Sasha dengan Lina
sudah bertunang. Mungkin hujung tahun ini akan mendirikan rumah tangga. Hanya
Nur Alia dan Aina saja yang masih belum berpunya. Sekilas teringat
bayang-bayang Sofia, kalaulah gadis itu tahu aku serumah dengan perempuan,
mampus aku dikerjakan. Fahmi bersungut dalam hati.
Salah
dia juga kerana terlalu manjakan Sofia. Walaupun adakalanya merimaskan dan
adakalanya gadis itu merajuk tak tentu hala tapi Sofia juga yang dikendeng ke
hulu ke hilir.
“Encik
Fahmi nak tambah ke? Biar Ain ambilkan”
“Tak….ee…Tak
payahlah dah kenyang ni”
Fahmi
menggelengkan kepala sambil memberi isyarat tangan menandakan cukup. Perutnya
sudah cukup penuh. Entah larat, entah tidak nak keluar lepas ini.
Usai
makan, Fahmi terus menunaikan Solat Isyak. Lagipun dia pasti akan pulang lewat
malam ini. Sudah lama dia tidak keluar dengan Shahrul, rakan kuliahnya di
London dulu. Semenjak lelaki itu mula bekerja di satu syarikat swasta, masanya
makin terbatas. Ke Melaka pun sudah jarang.
Fahmi
bangkit lalu mengambil beg galasnya. Semasa dia menuju ke pintu, Ain berdiri di
sisinya.
“Encik
Fahmi balik lambat ke? Encik Fahmi ada kunci tak?”
Fahmi
tersengih lalu mengangguk.
“Bye”
Ain
melambaikan tangannya. Dari dapur Mak Jah hanya mencuri pandang ke arah Ain
yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu menarik perhatian jejaka itu. Mak Jah
menyambung kembali kerjanya. Baginya perkara biasa kalau anak dara cuba untuk
memikat jejaka seperti Fahmi. Dia dulu pun pernah muda. Selepas Fahmi pergi
tiga gadis itu terus keruang tamu, waktu beginilah digunakan untuk berehat.
Manakala Mak Jah terus masuk ke dalam kamar. Mahu berehat.
“Handsome
kan dia tu?”
Lina
memandang Aina dengan wajah yang berkerut. Agaknya kawannya seorang ini sudah
jatuh hati dengan Fahmi.
“Aku
suka tengok dia senyum.....sweet nyer. macam bawa aku terbang tau! Agaknya dia dah ada girlfriend tak?” Ayat yang terlentok-lentok lancer saja dari mulut comel itu.
Kini
giliran Sasha pula yang memandang wajah Aina. Rakannya seorang itu memang
pantang kalau jumpa lelaki handsome, apatah lagi dari golongan kaya raya
macam Fahmi.
“Kau
nak letak Ikram di mana, hari tu beria-ia engkau mengorat dia. Jumpa Fahmi,
terus engkau lupakan!” Sasha mula berleter. Dia sendiri pun tidak faham sikap
rakannya seorang itu.
“Ain,
aku tahulah kau ni cantik, seksi, menggoda, tapi tak bermaksud semua lelaki
engkau nak kebas!” Giliran Lina pula bersuara.
Lina
teringat semasa makan malam tadi, berkali-kali jugalah mata Fahmi mencuri
pandang ke arah Aina. Agaknya Aina sengaja menarik perhatian Fahmi dengan
bajunya yang agak jarang dan jelas menampakkan lurah didadanya.
“Eh,
Lina Kau cakap elok-elok! Aku dengan Ikram tu kawan aje tau. Dia tu yang
terhegeh-hegeh kat aku. Aku ni bukannya apa, kalau tak layan malulah dia nanti.
Lagipun Ikram tu kan pegawai di tempat kita. Aku ni hormatkan dia aje, macam
bos yang lain. Mereka ajak aku keluar,
aku ikut aje lah. Lagipun dia yang nak belanja”
Lina
dan Sasha hanya menggelengkan kepala. Kawan apa kalau dah berjalan tangan kat
pinggang, walaupun ramai orang di pejabat tu tapi buat muka selamba
pegang-pegang. Ish! Nasib baiklah tunang aku bukan begitu! Lina menyumpah dalam
hati.
Jam
menunjukkan pukul sebelas malam. Selalunya Nur Alia sudah sampai ke rumah. Mak
Jah kembali ke ruang tamu, yang lain sudah masuk ke bilik masing-masing. Letih
agaknya kerja tadi, kalau tidak sampai pukul dua belas pun masih bertenggek
depan tv. Mak Jah mengintai ke luar rumah melalui jendela, tak ada bunyi kereta
masuk. Fahmi pun belum pulang, tapi anak muda itu memang begitu. Selalunya jam
menunjukkan pukul satu pagi baru sampai ke rumah. Apatah lagi kalau sudah
bertemu dengan rakan-rakannya. Seperti tidak ingat dunia.
Mak
Jah kembali ke kamar semula. Lampu ruang tamu dibiarkan terpasang, hanya lampu
dapur yang dipadamkan. Baru saja dia meletakkan kepalanya di atas bantal, jelas
suara kereta masuk. Dia yakin itu suara Nur Alia. Mak Jah bangkit semula lalu
menuju ke ruang tamu. Senyuman Nur Alia dimuka pintu dibalas dengan Mak Jah.
“Tak
tidur lagi ke Mak Jah?”
“Baru
nak tidur, kenapa lambat sampai? Risau Mak Jah, selalunya kamu pulang pukul
sebelas”
Nur
Alia meletakkan beg di atas sofa. “Ada
kerja sikit tadi, lepas tu kereta pula buat hal. Nasib baik ada Ikbal. Kalau
tak, tak tahulah Lia balik pukul berapa”
Mak
Jah tersenyum kecil. Lega melihat Nur Alia di depan mata. Mak Jah meminta diri
untuk tidur. Sebelum itu dia berpesan kepada Nur Alia untuk makan malam, lauk
sudah di panaskan tadi. Nur Alia mengangguk, gadis itu terus menuju ke kamar
ketika Mak Jah sudah pun masuk ke biliknya. Seperti kebiasaannya, dia akan mandi terlebih dahulu kemudian solat.
Selalunya dia tidak akan makan malam kalau ada kelas, hanya menjamah roti
itupun kalau dia lapar sangat. Tapi oleh kerana hari ini Mak Jah masak lauk
kegemarannya, pantang larangnya ditolak ketepi. Takkan gemuk kalau makan
sekali!
Nur
Alia duduk sendirian di dapur, dengan cahaya samar-samar dari ruang tamu dia
menyendok lauk ke pinggannya yang sudah terisi nasi. Malas membuka lampu,
lagipun cahaya ruang tamu cukup terang.
“Mak
oi!”
Nur
Alia tercengang. Suara lelaki melatah dimuka pintu membuatkan seleranya mati.
Eh apasal pula mamat ni muncul tiba-tiba. Nur Alia meneguk liur, kata-katanya
tersekat. Akhirnya dia menunduk malu.
“Kenapa
makan dalam gelap?”
Fahmi
duduk di hadapan Nur Alia, semenjak dia bertemu dengan gadis itu petang tadi.
Raut wajahnya selalu bermain di fikiran. Hilang raut wajah Sofia yang selalu
menggoda. Gadis itu dipandangnya, cantik! Tadi dia tengok Nur Alia bertudung.
Sekarang jelas dia lihat rambut Nur Alia yang berombak jatuh ke paras dada.
Rambutnya agak lebat, wangi! Mungkin baru lepas mandi.
Menyedari
mata Fahmi yang masih memandangnya, membuatkan dia berhenti makan. Tiba-tiba
perutnya yang lapar menjadi kenyang.
“Tak
apalah Encik Fahmi, cahaya ruang tamu tu cukup terang.” Nur Alia tersengih.
Walaupun suaranya agak perlahan tapi cukup jelas dipendengaran Fahmi.
Fahmi
menuang air ke dalam gelas, lama dia merenung Nur Alia yang berselera menjamah
asam pedas. Seperti dia juga kalau jumpa asam pedas tak hirau orang yang
disekeliling.
“Kenapa
pandang saya macam tu?” Nur Alia membalas pandangan Fahmi. Menyumpah juga dalam
hatinya tadi. Tapi mahu saja pecah ketawanya apabila melihat wajah Fahmi yang
kalut.
“Eeee…….tak!
Eh……” Fahmi tersenyum malu. Hampeh! Apasal pulalah aku boleh merenung minah ni.
Dah lah dalam suasana macam ni! ish tak boleh jadi ni!
“Tak,
saya tengok berselera betul awak makan. Macam tak jumpa nasi setahun”
Wajah
Nur Alia merona merah, nampak sangat ke aku kebulur?. Pantas dia bangkit lalu
mencuci pinggan ditangannya. Nur Alia mengemaskan semula meja, kasihan Mak Jah
yang sudah membersihkan tempat ini tadi. Sesekali Nur Alia mencuri pandang ke
arah Fahmi yang masih duduk di kerusi. Geram pun ada! Tidak pernah dia berdepan
dengan lelaki dalam keadaan begini. Tapi hari ini, Ish! Kenapalah aku lupa yang
mamat tu dah tinggal di sini. Sampaikan dia boleh bersikap selamba.
Nur
Alia sebenarnya geram apabila Mak Jah beritahu anak tuan rumah itu akan tinggal
dengan mereka selama tiga bulan. Namun takkan dia membantah, kalau tidak suka
dia yang seharusnya keluar dari rumah banglo itu. Apa haknya melarang anak tuan
rumah tinggal di rumah itu. Lagipun dia juga harus bersyukur, Datin Ani
menyewakan rumah itu murah saja. Alasannya untuk meneman Mak Jah yang tinggal
sendirian. Kalau mahu rumah lain yang selesa begitu, tidak dapatlah gajinya
menampung perbelanjaan pengajiannya di UKM.
“Encik
Fahmi, saya masuk dulu”
Fahmi
tersentak mengangguk. Sempat dia berpaling semula melihat wajah Nur Alia.
Cantik, perfect! Selama ini dia jarang memandang lama wanita yang dikenalinya.
Tapi rata-rata kawan sekuliah dulu. Apatah lagi hari-harinya hanya ada wajah
Sofia.
Baru
malam ini dia rasa ada daya tarikan pada wajah Nur Alia. Wajah yang lembut dan
sedap mata memandang. Tidak terlalu keterlaluan, biasa saja dengan rambut hitam
berkilat bukan perang di warna seperti rambut Sofia.