Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
578,493
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Pagi-pagi lagi Nur Alia sudah bangun. Niatnya untuk menemui rakan diundurkan saja. Dalam keadaan begini tidak mungkin dia akan ke mana-mana. Matanya masih lagi berat, sembab akibat seharian menangis masih lagi belum hilang. Nur Alia menuju ke dapur, menjenguk Mak Jah yang sudah selesai menyiapkan sarapan pagi.

“Lia, kamu macam mana pagi ini? Mak Jah dah buatkan air halia, biar sedap sikit badan kamu”

Nur Alia diam, kata-kata Mak Jah dibiarkan berlalu bagai angin. Kemudian Mak Jah duduk di sisinya.

“Adakalanya segala yang terjadi ada hikmahnya. ALLAH lebih tahu mana yang terbaik untuk hambaNya. Lia pun tahu kan bagaimana ALLAH menduga keimanan kita”

“Tapi, bukan ini yang Lia harapkan. Lia tak cintakan dia, macam mana Lia nak hidup dengan dia. Perjalanan Lia masih panjang. Lia dah conteng arang kat muka mak bapa Lia. Mereka tak percayakan Lia sekarang Mak Jah” Air mata Nur Alia jatuh lagi. Semakin laju membasahi pipi. terhincut-hincut bahunya menahan sebak.

“Lia, janganlah macam tu. Perkara dah nak jadi. Cinta itu boleh datang Lia”

Nur Alia diam, apa lagi yang boleh dilakukannya. Air halia dihadapannya di minum sedikit. Hilang sedikit segala ketegangan yang ada. Tidak lama kemudian ayah, ibu dan pak ciknya muncul di ikuti Fahmi. Masing-masing diam melayan perasaan, mee hoon goreng yang Mak Jah masak langsung tidak menyelerakan. Wajah yang duduk tegang seribu bahasa.

Nur Alia sendiri tidak berani bertentang mata. Marah ayahnya semalam masih bersisa. Dia kenal lelaki itu. Sukar meredakan kemarahannya. Lelaki yang bergelar ayah itu kuat pendiriannya. hitam katanya, hitamlah juga.

“Kami nak balik!” Pak Karim bersuara.

Nur Alia mendongak, memandang wajah ayah dan emaknya silih berganti.

“Lia nak ikut” Perlahan suara Nur Alia.

“Apasal pula hang nak ikut, laki hang tu hang kena jaga. Mulai sekarang mak dan ayah bagi tanggungjawab kat laki hang. Hang tu dah ada laki, tak boleh ikut suka hati. Hang tu cukup ilmu agama, berdosa besaq lawan kata suami. Tinggal suami. Sudahlah berdosa, tambah lagi dosa. Bilanya mahu insaf ni”

Nur Alia kembali tunduk membisu. Fahmi pula lebih senang memerhati dari berkata apa-apa.

“Marilah duduk minum dulu. Sambil tu kita bolehlah bincangkan perkara ini dengan tenang” Mak Jah memandang wajah emak Nur Alia. Dari semalam mata wanita itu basah dek air mata. Mana tidaknya, hancur hati bila satu-satunya anak perempuan yang ada jadi begini.

“Terima kasih Kak Jah. Kak Jah tolonglah tengokkan Alia ni. Saya tak tahu nak cakap apa.”Lega Mak Muna melihat Mak Jah mengangguk sambil mengenggam tangannya untuk menenangkan hatinya.

Selesai sarapan, mereka sudah bersiap untuk pulang ke Perlis. Fahmi menyalami ayah dan emak mentuanya disusuli pak cik Nur Alia. Baru semalam dia membujang, hari ini dia dah ada ayah dan emak mentua.

“Ha! Seronoklah kamu dapat kahwin free. Aku pun tak tahulah kamu berdua ni, belajar tinggi-tinggi. Ilmu agama cukup, tapi buat kerja macam ni.” Pak Karim menyambung lagi kata-katanya sambil memandang Fahmi yang masih terpaku berdiri diruang tamu.”Alia, kamu nak sangat kahwin kan! Ha, sekarang kamu jagalah laki kamu tu.” Pak Karim memadang anak gadisnya. Kemudian pandangannya tajam kearah Fahmi. “Lagi satu, aku nak orang tua kamu datang jumpa aku. Walaupun kamu dah nikah, tapi aku tak nak orang kampung mengata kami sekeluarga. Aku nak juga buat kenduri kahwin dikampung. Aku nak kamu datang meninang baik-baik, Kalau boleh aku nak kamu nikah sekali lagi. Kamu ingat, kalau kamu sia-siakan anak aku, siap kamu! Selagi keluarga kamu tak datang, selagi itu aku tak terima kamu sebagai menantu aku. Nur Alia satu-satu anak perempuan aku, aku nak serahkan dia dengan orang yang aku tahu keturunannya. Bukan macam ni. Kamu bawalah keluarga kamu datang, aku tak nak anak aku disia-siakan. Kamu anak orang kaya. Anak Datuk. Tapi kami ni tak ada apa. Hanya ada maruah saja yang sudah berkecai.”

Fahmi mengangguk, kecut juga hatinya mendengar kata-kata bapa mertuanya itu. Tapi dia tahu, Pak Karim baik orangnya. Namun kejadian yang tidak disangka semalam menjadikan kedua mereka bersikap demikian.

Dari tadi Fahmi takut untuk memandang wajah Nur Alia. Tapi gadis itu tetap cantik, walaupun semalam Nur Alia akan menjerit seperti orang gila. Walaupun pagi ini mata gadis itu bengkak dek air mata. Selepas mereka semua pergi, keadaan rumah kembali sunyi. Mak Jah pun akan pulang semula ke kampung. Masih ada urusan yang belum diselesaikan. Tidak lama kemudian, Mak Jah muncul dengan sebuah beg.

“Lia, jaga rumah baik-baik. Ingat cakap Mak Jah tadi. Lusa Mak Jah balik. Kamu pula Fahmi, kalau tak ada hal jangan biarkan Lia ni tinggal sendiri di rumah. Bahaya. Dalam keadaan begini kamu sabarlah....”

Fahmi mengangguk faham. Mereka berdua bergilir-gilir menyalami Mak Jah. Fahmi masih berdiri di muka pintu sehinggalah teksi yang membawa Mak Jah hilang dari pandangan.

Fahmi menutup daun pintu ruang tamu, niatnya ingin sekali berbicara dengan Nur Alia. Fahmi mencari ke dapur, tapi gadis itu tiada di sana. Kemudian dia menuju ke bilik Nur Alia, pintu tidak berkunci. Perlahan Fahmi memulas tombol pintu lalu membukanya. Nur Alia duduk di sisi katil sambil tersedu sedan. Pasti Nur Alia menangisi nasibnya. Berkahwin dengan lelaki yang dia tidak kenal. Bukan semua wanita kuat untuk menerima ketentuan ini. Rambutnya yang ikal dibiarkan jatuh. Menyedari kehadiran Fahmi di dalam biliknya, Nur Alia pantas berdiri. Wajahnya pucat. Gadis itu mengesat air matanya yang masih deras mengalir membasahi pipinya yang putih.

Lama Fahmi memandang Nur Alia. Baru hari ini dia dapat menatap wajah putih gebu anak kelahiran Perlis itu. Bulu matanya melentik, keningnya bagai dicukur rapi. Baru kali ini dia memandang tepat kearah rambut Nur Alia yang wangi. Namun agak berserabut, mungkin masih belum disikat. Tidak seperti malam itu, pertama kali melihat Nur Alia tidak memakai tudung. Selepas insiden tersebut, Nur Alia jarang keluar dari biliknya.

“Lia”

Lembut suara Fahmi membuatkan Nur Alia berganjak sedikit cuba menjarakkan duduknya dengan Fahmi.

“Maafkan saya, tapi saya pun tak mampu tolak segalanya. Melihat keadaan keluarga Lia semalam saya pun tak tahu nak buat apa. Keluarga Lia semalam marah sangat. saya cuma nak tenangkan keadaan. Bila mereka mendesak untuk kita bernikah, saya tak dapat berfikir lagi. Saya rasa itu saja jalan yang ada untuk meredakan suasana. Saya minta kat awak....... berilah saya masa. ”

Nur Alia memandang wajah Fahmi. Matanya bertembung dengan mata Fahmi. Jantungnya berdegup laju. Seakan-akan mampu mencairkan kemarahannya. Nur Alia pantas berganjak, berdiri dan mahu saja berlalu pergi. Tapi tangan Fahmi lebih pantas mencempung tangannya yang kecil.

“Lia”

Nur Alia terpaku, wajahnya dipalingkan kearah Fahmi semula. Matanya yang merah memandang Fahmi seakan mahu menelan tubuh Fahmi saat itu juga.

“Aku tak boleh terima, aku nak kau ceraikan aku sekarang juga!”

“Lia……janganlah macam ni. Awak bagilah saya masa untuk menjadi suami awak. Tapi kalau awak nak bercerai sekarang, awak cakap dengan orang tua awak. Saya tak nak mereka salahkan saya dalam hal ini.”

Nur Alia diam, kelembutan suara Fahmi membuatkan dirinya semakin kerdil. Hatinya berbelah bagi, mahu diterima tapi marahnya masih bersisa. Kalau dia berkeras untuk bercerai, apa yang dia mahu katakan kepada emak dan ayahnya. Dia tak sanggup berdepan dengan mereka berdua. Kejadian semalam masih membawa kesan kepada kedua orang tuanya, inikan pula kalau dia mengambil keputusan untuk bercerai. Nur Alia buntu. Tidak tahu apa yang terbaik untuk dilakukan ketika ini. Tidak mungkin dia menerima Fahmi. Lelaki itu bukan pilihannya. Apatah lagi untuk menyintainya. Pasti tidak mungkin. Dia tidak mahu menyesal kemudian hari. Bila sudah serahkan segalanya, akhirnya dia ditinggalkan. Fahmi anak orang kaya, dia faham benar sikap mereka. Dia tidak kenal dengan keluarga Fahmi. Orang kaya begitu pastinya tidak mampu menerima keluarganya yang sederhana.

Nur Alia berlalu meninggalkan Fahmi yang masih duduk di katil. Tidak lama kemudian hanya kedengaran suara kereta Nur Alia. Biarlah dia keluar kalau itu dapat memberinya ketenangan. Pergilah isteriku... abang redha..... isteri... oh... isteri...

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.