Home Novel Cinta Dia Lelaki Teragung
Dia Lelaki Teragung
Nkal
18/9/2017 11:06:59
111,130
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

BAB 13

Zahra baru sahaja menyelesaikan urusan pendaftaran kemasukan semester baru di kaunter yang disediakan. Adam sedia menanti Zahra di dalam kereta sambal melayan lagu yang diputarkan di dalam kereta. Matanya dipejam sambil mulutnya turut sama mengalunkan setiap bait lagu yang didengarinya.

Zahra hanya memerhatikan Adam dari luar tingkap. Hati kecilnya tertarik dengan perilaku Adam. Adam sentiasa tenang, seperti tidak ada masalah yang meggangu hidupnya. Tapi betulkah dia tidak ada masalah? Atau cara dia menghadapi masalah itu yang membuat dia sentiasa tampak tenang dan tersenyum?

“Apa yang dimenungkan tu tuan puteri? Masuklah..kat luar tu panas. Nanti cair semua makeup tuan puteri tu.” Tegur Adam setelah menurunkan tingkap keretanya.

“Hmm..” Zahra membetulkan suaranya.

“Bila pula Zahra termenung? Pandai je abang ni.” Zahra cuba menutup malunya. Kalau ada tudung saji di sini mahu sahaja dia letakkan di atas kepalanya sekarang. Tapi mana ada tudung saji kat tempat parking kereta ini Zahra oii..

Aduh..malunya..hampir sahaja dia cair dengan renungan Adam tadi. Zahra sedar saat Adam bangun dan membuka tingkap keretanya tapi lidahnya kelu saat matanya bertaut pada mata Adam.

“Oh..kalau bukan termenung Zahra curi-curi pandang abang ya?” Serkap Adam terus.

Zahra tidak keruan. Hai, dah buat laki mamat ni.

Adam keluar dari keretanya. Makin berdebarlah hati Zahra tatkala ini.

“Umm….Taklah. Zahra betulkan tudung ni. Entah kenapa senget pulak tudung ni.”

“Abang tengok tudung Zahra cantik je duduk atas kepala tu. Kalau senget pun tak ada masalah.”

 “Mana boleh abang. Kalau senget nanti mesti orang pandang Zahra ini jenis yang tidak menjaga penampilan. Mesti first impression diorang Zahra ini pemalas.” Zahra menegakkan pendapatnya.

“Abang tak nafikan yang pandangan pertama itu sangat penting. Sebab ia pentinglah abang risau.”

“Risau? Kenapa?”

“Sebab abang risau kalau lelaki tengok Zahra pada pandangan pertama, mereka akan jatuh hati pada isteri abang ni.” Ujar Adam mencubit lembut pipi Zahra.

Zahra terkesima. Makin hari bertambah manja pula Adam melayan dia.

“Abang jangan risau, okey. Insya Allah, Zahra akan jaga diri Zahra sebaik mungkin di sini.”

“Ya, abang percayakan Zahra. Abang tahu Zahra akan jaga diri Zahra sebaik mungkin. Cuma abang tak percaya pada mata-mata lelaki di luar sana.” Adam menekan sedikit suaranya. Mungkin ingin menyatakan pada Zahra yang dia akan cemburu andai ada lelaki yang cuba menggoda Zahra.

“Jom, abang hantarkan Zahra ke asrama.”

Adam membukakan pintu kereta buat Zahra. Mereka sama-sama berlalu dengan kereta Adam menuju ke asrama. Adam memarkirkan keretanya di tempat yang disediakan. Zahra keluar setelah nampak kelibat Maya. Dia sudah berjanji dengan Maya untuk berjumpa di sini.

“Zahra.” Maya memeluk erat Zahra. Rindunya dia pada Zahra. 

“Kau sihat?” Soal Maya.

“Aku sihat, Alhamdulilah.”

“Um memang bertambah sihat aku tengok kau ni. Muka kau nampak macam tembam sikit.”

Zahra hanya tersenyum mendengar ungkapan yang keluar dari mulut Maya.

“Alhamdulilah Maya. Aku cukup makan. Pendek kata tak pernah berlaparlah.” Ujar Zahra tersenyum.

Maya memandang Zahra dan Zahra tahu ada seribu pertanyaan yang sedang difikirkan Maya sekarang. Zahra mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dahulu. Dia melangkah ke arah kereta. Tempat Adam menunggunya dengan barang-barang yang sudah sedia untuk diangkat masuk ke dalam bilik asrama. Maya mengekori Zahra.

“Umm kenalkan. Ini Maya, kawan Zahra.” Zahra memperkenalkan Maya pada Adam.

Adam menyambutnya dengan sebuah senyuman.

“Oh, jadi inilah Maya. Kawan yang Zahra ceritakan tu.” Sambut Adam sekilas memandang ke     arah Zahra. Zahra mengangguk. Mengiakan pertanyaan Adam.

“Hai, saya Adam.”

“Hai. Saya Maya.” Sapa Maya mesra.

 “Bilik sayang kat mana ya? Abang rasa macam nak patah pinggang dah angkat kotak ini.” Rengek Adam manja.

Bulat mata Zahra memandang Adam. “ Ermm..kat..” Zahra tergagap-gagap.

“Kat tingkat 2, sebelah sana Encik Adam.” Balas Maya membantu Zahra yang tergagap-gagap dengan jawapannya.

“Oh. Terima kasih Maya. Jom sayang.” Ajak Adam.

“Err..ok, jom.” Balas Zahra memaksa bibirnya mengukir senyuman.

Maya? Seperti biasa, masih lagi blur!! Blur dengan perilaku Zahra. Siapa lelaki itu? Detik Maya ingin tahu.

Mereka sama-sama berganding bahu mengangkat barang-barang milik Zahra ke dalam bilik asrama. Maya hanya tinggal berdua dengan Zahra. Mujur mereka dapat duduk sebilik berdua sahaja, kalau ramai-ramai haru juga Zahra nak jelaskan siapa Adam.

“Abang minta diri dulu. Maya, tolong jagakan Zahra ya. Kalau ada apa-apa just call me.” Pinta Adam memberikan sepenuh kepercayaannya kepada Maya. Rasanya tidak salah dia meninggalkan pesanan itu buat Maya. Kerana Zahra sudah berjanji untuk memberitahu status mereka kepada Maya nanti.

“Insya Allah. Tapi, Encik Adam ini siapa ya?” Maya memberanikan diri bertanya.

Adam hanya tersenyum. “Saya rasa better Zahra sendiri yang beritahu awak siapa saya.”

Maya mengangguk setuju.

“Abang balik dulu. Take cara yourself. Apa-apa hal just call abang.” Pesan Adam.

“Baik.” Zahra mencium tangan Adam lembut. Menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

“Nanti jangan lupakan abang, ya?” Bisik Adam perlahan. Lembut kata-kata itu masuk ke dalam telinga Zahra menggetarkan jiwanya.

“Um..Insya Allah.”

Maya hanya menjadi pemerhati yang setia. Gaya mereka macam sepasang suami isteri. Apakah benar tekaan Maya. Kalau betul, syukurlah. Tapi kalau tidak? Mohon dijauhkan. Tak mungkin Zahra seperti itu. Sangkal Maya.

“Abang gerak dulu. Saya balik dulu Maya.”

“Baiklah Encik Adam. Bawak kereta elok-elok. Pasal Zahra, Encik Adam jangan risau. Tahulah saya jaga dia.” 

Zahra memandang Maya sekilas. Nampaknya Maya macam dapat menghidu hubungan dia dan Adam. Adam..Adam, Tak sabar nak Maya tahu kan?

Adam meninggalkan mereka berdua. Zahra menghantar kelibat kereta Adam sehingga hilang daripada pandangannya. Entah kenapa hatinya jadi tidak keruan tiba-tiba.

“Hai, takkan baru pergi dah rindu kot?” Serkap Maya memancing perhatian Zahra.

“Rindu? Mana ada. Pandai je kau ni.” Zahra cuba menolak tekaan Maya padahal hatinya memang merasa perasaan itu.

“Dahlah Zahra. Kau buat macam aku kenal kau baru hari ni. Aku dah lama kenal kau Zahra. Walaupun hubungan kita tak serapat kau dengan ex friend kau, tapi itu tidak bermakna aku tidak mengenali sikap kau dengan lebih dekat.” Balas Maya. Ada sedikit tekanan pada nada ‘Ex Friend’. Maya masih tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan oleh Sarah.

“Aku tahu Maya. Kau memang seorang kawan yang baik.”

“Aku tahu.” Puji Maya mengangkat bakul sendiri sambil ketawa. Menceriakan Zahra yang tampak sedikit sedih setelah Adam hilang dari pandangannya.

“Sayang betul Adam pada kau kan? Macam sayang seorang suami pada isterinya.”

Mereka masih berdiri di tempat yang sama. Walaupun kereta Adam sudah lama pergi. Mungkin sudah masuk ke jalan utama di luar kampus.

“Dia memang baik. Dia memang seorang..hmm..”Zahra tidak meneruskan kata-katanya.

“Suami?” Teka Maya.

 Zahra memandang Maya dan mengangguk.

“Maafkan aku Maya. Aku terpaksa rahsiakan dahulu semua benda ini.”

“It’s ok. Aku faham. Aku tumpang gembira. Aku yakin yang Adam akan menjaga kau sebaik mungkin. Aku dapat tengok keikhlasan dia melayan kau.”

Dua-dua menarik nafas lega. Maya merasa lega kerana tanggapannya benar, Zahra lega kerana rahsia ini dapat dikongsi bersama Maya akhirnya.

“Ceritalah kat aku. Macam mana kau boleh kenal dengan Adam tu.” Gesa Maya tidak sabar.

“Kau ni gelojoh la Maya. Apa kata kalau kita masuk bilik dulu. Mandi, solat dan makan. Makanan pun banyak kat bilik tu. Adam belikan untuk kita berdua. Lepas tu baru aku ceritakan.” 

“Okey. Tapi kau mesti janji yang kau akan ceritakan pada aku.” Pinta Maya manja. Kalah anak kecil.

“Ya. Aku janji. Jom, kita masuk bilik dulu.” Ajak Zahra. Mereka beriringan menuju ke bilik asrama yang disediakan.

*****

“Hai. Takkan baru sejam tak jumpa dah rindu kot?” Serkap Maya yang baru selesai mandi.

Zahra mencebik tidak berpuas hati.

“Mana ada aku rindu. Aku risau je. Takkan masa ni dia belum sampai rumah. Tak ada whatsup aku pun, call pun taka da.” Luah Zahra terus memandang handphonenya.

“Dah kalau dia tak call atau mesej kau, kau tak reti-reti nak call atau whatsup dia ke cik adik?” Maya sengaja menekan suaranya. Biar Zahra dengar. 

“Ala. Tak payahlah. Kalau aku call dia nanti mesti dia ingat aku rindu kat dia.” Tolak Zahra. Tidak mahu mengaku yang sebenarnya dia memang rindukan Adam. Ke mana sahaja wajah Adam bagai menggamit-gamit Zahra. Aduh, dah macam orang angau lagaknya ini.

“Jadi betullah kau rindu kat dia?” Maya terus mengenakan Zahra.

Zahra-zahra. Dalam hati nak, tapi tak nak mengaku. Ketawa Maya sendirian.

 “Ishh! Mana ada. Dah lah, jom kita makan.” Ajak Zahra meletakkan telefonnya di sisi bantal.

“Habis kau tak nak call Adam ke?”

“Tak payahlah. Nanti-nanti dia call la tu. Itu pun kalau di ingat kat aku.”

“Kau tak risau? Kalau apa-apa jadi…” Maya seakan menduga Zahra.

“Ishh kau ni. Tak baik tau cakap macam tu.” Zahra cuba bertenang.

Plastik yang berisi dua bungkus nasi ayam dibuka perlahan. Hatinya mula tidak keruan memikirkan Adam. Apakah benar andaian Maya? Adam. Mana kau? Kenapa tak hubungi aku?

“Dahlah. Jangan difikirkan sangat. Aku pasti Adam okey. Mari aku bukakan plastik ini. Dari tadi aku tengok ikatan dia tak terbuka. Perut aku dah menyanyi ni.” Tegur Maya mengambil plastik makanan tersebut daripada tangan Zahra.

Zahra tersedar. Jauhnya dia mengelamun. Maya hanya memandang Zahra sambil tersenyum mengusik.

Tiba-tiba telefon Zahra berbunyi.

“Haa..itu encik abang sayang dah call. Cepatlah pergi jawab.” Gesa Maya menolak lembut badan Zahra yang seakan membisu sahaja di meja.

Zahra-zahra. Maya terus tersenyum melihat gelagat Zahra. 

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam sayang abang. Sayang tengah buat apa tu? Dah makan?”

Bergetar. Ya, bergetar hati kecil Zahra mendengar suara suaminya. 

“Belum. Baru nak makan. Abang dah sampai rumah?” Zahra bertanya soalan yang sudah lama ingin dia tanya.

“Dah sayang. Tadi abang singgah bank. Masukkan duit dalam akaun sayang. Nanti kalau sayang nak beli apa-apa, sayang boleh ambil duit tu. Guna kad yang abang bagi pada sayang semalam.” Beritahu Adam.

Zahra mengeluh sekecilnya. Bimbang seandainya Adam mendengar. Namun telinga Adam masih dapat mendengar dengusan keluhan itu.

“Kenapa mengeluh ni sayang?”

Zahra bangun. Meninggalkan Maya seketika di dalam bilik. Zahra berdiri bersandar pada dinding luar bilik mereka. Maya tidak boleh mendengar perbualan ini.

“Abang dah banyak habiskan duit untuk Zahra. Duit pendaftaran pun abang dahulukan. Sekarang abang masukkan duit belanja dalam akaun Zahra. Zahra segan abang. Kalau pasal duit belanja untuk belajar ini, rasanya abang tak payahlah risau. Zahra kan dapat bantuan.” Zahra terpaksa berterus terang. Dia tidak mahu terhutang budi dengan Adam walaupun itu memang kewajipan yang perlu dilakukan Adam.

“Sayang. Abang tahu apa yang sayang fikirkan. Sayang tak nak terhutang budi dengan abang kan? Sayang jangan risau, abang tidak minta semua ini dibalas dengan apa-apa balasan.”

Zahra semakin diselubungi rasa bersalah. Dia makin tersepit dengan kebaikan Adam. Apakah dia dapat membalas semua kebaikan Adam pada dia?

“Tapi..”

“Dah sayang. Jangan fikirkan soal ini lagi. Apa yang penting sayang fokus pada pelajaran sayang. Ini cita-cita sayang. Apa yang abang nak saya tunaikan syarat-syarat sayang pada abang. Itu je.”

“Baiklah abang. Zahra akan ingat syarat-syarat itu dan tunaikan sebaik mungkin. Terima kasih abang.” 

“Sama-sama sayang. Dah, pergi makan dulu. Lepas tu rehat ya. Esok abang call sayang lagi.”

“Baik abang. Assalamualaikum.”

“Um bagi salam aje? Lain tak ada?” Adam mula mengusik.

“Lain? Apa dia abang?”

“Rindu abang tak?”

“Umm..tak..” Dalih Zahra.

“Betul ni?”

“Ya.”

“Ok. Abang faham. Biar abang sorang jelah yang rindukan bulan kat sana. Bulan kat sana tak rindukan pun pungguk di sini.” Rajuk Adam.

“Abang. Boleh bagi Zahra masa?” Pohon Zahra.

“Baiklah. Abang faham. Abang tak akan sesekali memaksa Zahra. Take your time, dear.”

“Thanks abang.”

“Ok. Abang nak rehat dulu. Nanti esok abang call sayang lagi. Take care.”

Zahra memejamkan matanya seketika. Kalaulah dia boleh meluahkan rasa yang sedang bermain di hatinya kini. Tapi berapa lama dia boleh menyangkal rasa ini?


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.