Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,694
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10
JAM di pergelangan tangan menunjukkan hampir ke pukul enam pagi. Aku ke khemah untuk menggerakkan Farhana, Kak Min dan Kak Nad.

Wake up! Wake up!” aku menepuk lembut peha mereka. Mereka terjaga. Masing-masing terpisat-pisat seraya menguap besar.

“Anne, bangun Anne. Dah nak Subuh,” aku menggoyang-goyangkan tubuh Farhana sebaik melihatnya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bangun. Sebaik keluar dari khemah, kami menyarung selipar masing-masing dan terus turun menuju ke kolam air terjun untuk mengambil wuduk.

Sejadah sudahpun siap dibentang di atas lapangan. Kami berempat mengambil tempat di saf belakang. Ketika aku hendak menyarung telekung di kepala, aku terkesima apabila terdengar suara yang melaungkan azan Subuh. Begitu mendayu. Cukup tenang di pagi yang hening ini. Aku terus terpesona, mendengar suaranya yang lunak melaungkan seruan Ilahi itu. Perbuatanku terhenti seketika sambil mataku tidak lepas memandang ke arahnya yang sedang berdiri di hadapan membelakangi kesemua jemaah. Di kala itu, terasa bahuku disentuh lembut. Segera aku menoleh. Farhana tersenyum dengan penuh makna. Aku membalas senyumannya itu.

“Kan aku dah kata,” bisik Farhana. Aku mengangguk tanda memahami akan maksudnya itu. Aku meneruskan kerjaku memakai telekung lalu duduk tersimpuh di atas sejadah yang telah dibentang, sambil menikmati alunan suara itu dengan tenang dan damai.

Usai solat berjemaah, aku terus ke khemah untuk menyimpan telekung. Kemudian, aku ke bahagian dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Aku mengeluarkan dua bungkus tepung, sebungkus bilis, sebotol cili sos serta beberapa biji bawang dan kentang. Aku hanya ingin membuat cucur bilis untuk hidangan sarapan pagi itu. Seketika kemudian, Farhana datang bersama dua buah cerek besar berisi air untuk dijerang.

“Ada apa-apa yang boleh akak tolong?” soal Kak Min sebaik muncul di dapur itu. Aku tersenyum seraya mengangguk. Rasa lega. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang hendak membantuku.

“Akak tolong kupas dan racik dadu bawang dan kentang tu,” ujarku seraya menunding ke arah beberapa biji bawang di atas para berhampiran.

“Nak buat cekodok ke?” soalnya. Aku mengangguk.

Beginilah rutinku setiap pagi ketika berada di tapak perkhemahan. Menyediakan sarapan pagi untuk para peserta. Farhana dan Kak Nad begitu sibuk membancuh air Milo sementara aku sedang menggoreng cucur bilis tersebut.

“Wah, nampak macam best aja cekodok tu,” sapa satu suara. Aku mendongak. Terkejut aku melihat Azhari sudah berdiri di hadapanku. Aku tersenyum seraya meneruskan kerja menggoreng itu.

“Alah, setakat cekodok bilis aja. Ni namanya masakan orang malas,” ujarku merendah diri. Dia ketawa kecil.

“Alah, biasalah waktu pagi. Mana ada makan berat-berat. Hmm… nice smell. Kencur air liur ni. Cepatlah sikit goreng tu, tak sabar ni,” ujarnya pula. Aku tersenyum meleret. Seketika kemudian, dia terus berlalu pergi tatkala melihat aku tidak begitu melayannya kerana terlalu sibuk menggoreng.

Tepat jam tujuh setengah pagi. Sarapan pagi sudahpun siap terhidang. Dan seperti biasa, kami akan berkumpul di lapangan untuk bersarapan beramai-ramai. Naik kembang hidung aku dibuatnya apabila ramai yang memuji kelazatan cucur bilisku. Abang Dino lebih-lebih lagi.

“Sedapnya. Pandai Aween masak. Untung Shazzy dapat bakal bini pandai masak macam ni,” katanya. Bertambah berbungalah hati aku apabila nama itu disebut.

“Tapi sayang, cik abang kesayangan tak ada nak merasa cekodok bilis ni,” usiknya lagi. Aku menjeling tajam. Melebih pulak Abang Dino ni! Rungutku dalam hati.

“Hei, dahlah tu, Dino. Jangan disakatnya si Aween ni. Tengok tu, naik merah mukanya macam udang panggang,” Kak Nad menegur Abang Dino. Semua yang ada di situ ketawa kecil. Aku pula terasa tebal kulit muka ini menahan malu.

*****

SELEPAS bersarapan pagi, semua bersiap dan berkumpul di satu tempat untuk meneruskan aktiviti jungle tracking. Seperti biasa, kami akan warming up dahulu dengan membuat senaman ringkas. Sebelum bergerak, kami diberi taklimat ringkas oleh Abang Que tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu kami patuhi sepanjang pengembaraan kami mendaki bukit nanti.

Tidak lama kemudian, ekspidisi mendaki bukit pun bermula. Pengembaraan kami didahului oleh Abang Que. Kemudian diikuti dengan kumpulan satu, kumpulan dua dan seterusnya kumpulan tiga. Di dalam kumpulan, Hakimi selaku ketua kumpulan telah mendahului kami. Diikuti dengan aku. Di belakang aku pula Azhari. Aku sendiri tidak sedar akan kehadirannya di belakangku. Aku tercari-cari Kak Nad yang sepatutnya berada bersama Abang Que. Rupa-rupanya dia berada di belakang bersama Kak Min dan Abang Reza.

Di hadapan sana terdapat cenuram yang terletak betul-betul di tebing air terjun. Agak bahaya kalau tidak berhati-hati. Silap-silap boleh tergelincir. Bagi mereka yang baru pertama kali mengikuti ekspidisi seperti ini, tentu akan rasa takut dan gayat.

“Depan tu ada curam, tau. Hati-hati,” Abang Que mengingati mereka yang berada di belakang. Setelah berjaya memanjat curam tersebut, Abang Que membantu Hakimi yang berada di hadapanku. Setelah Hakimi berjaya memanjatnya, giliran aku pula untuk memanjatnya. Kedua-dua belah tanganku memaut batang-batang pokok renek serta akar-akar kayu yang terdapat di situ.

“Hati-hati, Aween,” kedengaran Azhari mengingatkanku di belakang. Aku cuba tidak mengendahkannya dan terus menumpukan kosentrasiku. Entah di mana silapnya, tiba-tiba kakiku yang tersarung boot kulit itu tergelincir. Aku menjerit cemas. Sebelah kakiku sudahpun terjulur ke bawah tebing itu.

“Ya ALLAH, Aween. Kimi, tolong dia Kimi!” Azhari bersuara cemas. Hakimi menghulurkan sebelah tangannya kepadaku sementara sebelah tangannya lagi dipaut oleh Abang Que. Aku mencapai huluran tangannya itu. Setelah mengira satu hingga tiga, Abang Que menarik sebelah tangan Hakimi manakala sebelah lagi tangannya menarik kuat tubuhku. Terasa tubuhku melambung terus naik ke atas. Dalam pada itu juga, aku dapat merasa punggungku di tolak ke atas. Tahulah aku siapa yang menolaknya, kalau bukan Azhari. Di kala itu, terdetik rasa terharu di benakku ini. Dia masih lagi bersikap prihatin terhadapku walaupun hubungan kami sekadar kawan biasa sahaja.

Tiba di atas curam tersebut. Terus aku memandang bawah, melihat deretan peserta yang sedang menunggu giliran untuk memanjatnya. Aku membongkokkan tubuh.

“Boleh, Ari?’ soalku lalu menghulurkan sebelah tanganku kepadanya. Dan manakala sebelah tanganku lagi dipaut oleh Hakimi yang berada di sebelah kananku. Seperti yang dilakukan kepadaku tadi, Hakimi menarik kuat sebelah tanganku, manakala tangan kiriku menarik tubuh Azhari naik ke atas curam tersebut. Begitulah seterusnya yang akan dilakukan kepada para peserta lain. Sesungguhnya, semangat bantu-membantu seperti ini memang sudahpun diterapkan dalam jiwa masing-masing sejak awal-awal menyertai kelab ini. Malah, semasa hari perjumpaan ahli-ahli baru, Uncle Shah dan Abang Que telah mengingatkan kepada semua betapa pentingannya semangat bantu-membantu ketika menyertai aktiviti seperti ini.

Setelah kesemua peserta berjaya mendaki curam tersebut, perjalanan kami diteruskan. Jalan yang kami lalui untuk mendaki bukit tersebut memang licin dan cerun. Kalau tak berhati-hati, boleh mengundang bahaya. Silap langkah boleh jatuh tergolek. Mujurlah ada dahan-dahan dan batang pokok yang dapat kami gunakan untuk memaut, memudahkan lagi pergerakan kami. Aku yang sudah terbiasa dengan keadaan seperti ini tidak merasakan sebarang masalah. Sesekali aku menoleh ke belakang memandang Azhari. Dia juga kulihat tidak menghadapi sebarang masalah. Pandai membawa diri.

Akhirnya kami tiba juga di puncak bukit. Di situ terdapat sebuah air terjun yang begitu cantik dan indah mata memandang. Aku tersenyum ceria, menikmati alam semulajadi ciptaan Yang Maha Esa itu. Udara yang segar dan bersih kusedut sedalam-dalamnya. Hah! Sungguh segar dan nyaman.

“Cantikkan?” sapa satu suara. Segera aku menoleh. Azhari tersenyum. Aku turut mengukirkan senyuman seraya mengangguk, mengiakan kata-katanya itu.

“Aween selalu mengikuti aktiviti kelab ni. Tentu dah biasa dengan suasana damai macam ni, kan?” soalnya. Aku memandangnya bersama anggukan kecil.

Masing-masing mulai bersiap untuk mandi. Kaum lelaki sudahpun menanggalkan baju dan hanya mengenakan seluar pendek. Ada juga yang memakai track bottom.

“Aween, apalagi? Jomlah tukar baju ni. Aku dah tak sabar ni. Hiii… bestnya!” ujar Farhana yang bagaikan sudah tidak dapat menahan giannya terhadap air terjun. Aku tersenyum ke arahnya bersama gelengan kecil.

“Kau ni pantang nampak air terjunlah, Anne,” getusku. Kami melangkah ke satu tempat yang agak tersorok, di celah-celah bongkah batu yang agak besar. Di situ, Kak Nad dan Kak Min sudahpun menukar pakaian mandinya. Aku mencampak beg sandangku. Jaket yang kupakai kutanggalkan. Begitu juga dengan seluar baggie yang kupakai. Hanya sehelai t-shirt sendat berlengan pendek serta sehelai shorts paras peha sahaja yang membaluti tubuhku. Begitu juga dengan Farhana yang hanya berkemeja T sendat sepertiku dan juga sehelai seluar pendek yang agak ketat. Masing-masing kelihatan seksi habis!

Kami keluar dari tempat yang agak tersorok itu lalu menuju ke arah air terjun tersebut. Dengan berhati-hati kami melangkah meniti bongkah-bongkah batu besar yang agak licin itu. Dari jauh kulihat mereka yang begitu seronok sekali menikmati air yang sejuk seperti ais.

“Cepatlah, Ween. Kau ni lembaplah!” gertak Farhana.

“Wei, sabarlah Anne. Kan licin ni? Buatnya tergelincir, tak ke pecah kepala ni karang?” marahku pula. Aku menggelengkan kepala melihat Farhana. Tahulah yang kau tu hantu air tejun. Bisik hatiku.

Ketika kami meniti tebing batu menuju ke tempat mereka sedang berseronok, sempat mataku menangkap sepasang mata yang tidak putus-putus memandang kami. Aku cuba tidak mengendahkan renungannya itu. Namun aku dapat mengagak akan apa yang terlintas di fikirannya. Maklumlah, aku tidak pernah berpakaian sebegini di hadapannya. Ah, lantaklah apa yang hendak dikatakannya. Aku bukannya sesiapa pun pada dia. Cuma kawan biasa sahaja. Pedulikanlah!

Farhana mulai duduk di tebing batu sambil kakinya menjulur ke bawah, mencecah air. Aku pula mengambil tempat di sebelahnya.

“Wei, dalam tak?” soal Farhana kepada salah seorang peserta yang sedang mandi berdekatan dengan tebing itu. Jejaka itu mengangguk.

“Dalamlah jugak,” jawabnya.

“Turun ajalah,” kataku kepada Farhana.

“Hisy, kau gila? Dahlah aku tak pandai berenang. Buatnya aku terkapai-kapai lemas karang, macam mana?” Aku ketawa kecil mendengarnya.

“Cik Abang Dino kau tu kan ada?” usikku. Dia mencebik.

Seketika kemudian, Abang Que datang menghampiri kami bersama dua buah jaket keselamatan.

“Nah, ambil sorang satu,” ujarnya. Kami menyambut life jacket yang dihulurkannya itu. Aku tersenyum kambing. Masing-masing tak tahu berenang! Getus hatiku. Kami memasang jaket tersebut di tubuh.

“Haa… apalagi? Terjunlah! Takkan takut?” kedengaran Abang Dino memekik ke arah kami. Farhana memandangku.

“Terjunlah, Anne,” ujarku. Dia menggeleng. Aik? Tadi dia yang beria-ia benar? Aku mengetapkan bibir geram bersama gelengan kecil.

Come on! Come on!” jerit Abang Dino lagi. Aku sedar, semua mata tertumpu ke arah kami.

Tanpa berfikir panjang, aku terus terjun ke dalam kolam air tejun itu. Gedebushhh…! Semua bersorak tatkala aku mulai terjun ke dalam kolam tersebut. Seketika aku menimbulkan diri di permukaan air. Mereka masih bersorak bersama tepukan tangan. Aku mulai menggigil kesejukan. Fuh, sejuk gila, beb! Seketika kemudian, giliran Farhana pula terjun. Dia menyapu-nyapu wajahnya yang basah dengan tangan sebaik timbul di permukaan air. Kami ketawa riang, melihat masing-masing sudahpun dibasahi air.

Kemudian kami terus berenang menuju ke sebuah bongkah batu besar yang terletak di hujung sana, di mana tempatnya air terjun mengalir mencurah-curah. Di situ kelihatan Kak Nad dan Kak Min sedang berseronok menadahkan diri pada air yang mengalir deras menerjuni batu besar tersebut. Aku hanya duduk di salah sebuah batu tersebut sambil membiarkan kakiku dialiri air yang jernih itu. Manakala Farhana pula turut menyertai Kak Min dan Kak Nad. Mereka ketawa riang. Aku turut ketawa melihat keseronokan mereka.

Sambil aku duduk melayan perasaan asyikku, tiba-tiba muncul dua peserta lelaki di sebelahku. Aku menoleh ke arahnya. Abang Reza dan Hakimi rupanya. Ini tak lain dan tak bukan, mesti nak buat benda-benda yang extreme ni. Bukannya aku tak tahu kepala otak mereka berdua ni. Tahu nak buat aksi-aksi yang melampau tanpa memikirkan bahaya yang sedang menanti. Dan tidak lama kemudian, muncul pula Mizan mengambil tempat di sebelahku.

“Hai, kak,” sapanya lembut. Aku tersenyum seraya mengangguk.

“Tak join kakak-kakak yang lain tu kat bawah ke?” soalnya. Aku menggeleng.

“Nantilah,” jawabku.

Seketika kemudian, seperti yang kujangkakan, Abang Reza mendaki dan mengambil tempat pada bongkah batu yang terletak betul-betul di sebelahku. Dia terduduk bersama kakinya menjulur ke bawah. Kemudian dia merebahkan sedikit tubuhnya ke belakang seakan posisi berbaring lalu menolakkan dirinya. Akhirnya tubuhnya menggelongsong ke bawah bersama arus air terjun yang deras itu. Aku menelangkupkan mulut melihat aksi ngerinya itu. Bukannya apa, buatnya kalau ada batu di bawah sana. Kalau terlanggar, boleh pecah kepala dibuatnya. Tiba sahaja di bawah, dia bersorak keseronokan. Aku hanya tersenyum sambil menggeleng melihat aksinya itu. Tidak lama kemudian, giliran Hakimi pula membuat aksi yang sama. Aku ketawa. Gila betullah dia orang ni. Getus hatiku.

“Eh, macam best aja, kak. Nak trylah,” getus Mizan. Aku mulai tak tentu arah apabila Mizan mulai mengangkat punggung.

“Eh, Mizan. Janganlah, bahaya! Kau tu tak biasa,” tegahku. Mizan menoleh ke belakang memandangku. Seketika kemudian, dia tersenyum.

“Sayang jugak akak kat saya, ya? Tapi, akak jangan risulah. Tak ada apa-apa punya,” ujarnya.

“Mizan, trylah. Best tau!” jerit Hakimi dari bawah sana.

Dadaku berdegup kencang melihat Mizan yang mulai handak melakukan aksi yang serupa yang dilakukan oleh Abang Reza dan Hakimi tadi. Dan aku menjerit sebaik tubuh Mizan sudahpun dibawa arus ke bawah. Mereka semua bersorak melihat keberanian Mizan itu.

“Aween, kau pulak!” jerit Abang Reza, menyuruhku untuk mencuba aksi tersebut.

“Hisy, tak naklah. Ngerilah!” getusku.

“Alah, tak ada apalah. Cepatlah. Abang jaga kat bawah ni,” ujarnya. Aku menjadi serba salah. Kalau diikutkan hati, memang takut. Nak kata tinggi, taklah tinggi mana pun. Tapi, bahaya!

“Cepatlah, Aween! Alah, tak ada apalah. Janganlah takut!” jerit Abang Reza lagi.

“Kak Aween, tak ada apalah. Best!” jerit Mizan pula. Dalam keadaan teragak-agak, aku bangun dan mengambil tempat di mana mereka membuat aksi itu tadi.

Come on, Aween! You can do it!” kata-kata berbaur semangat itu terpacul dari mulut Hakimi pula. Aku memejamkan mata, mengumpul segala kekuatan yang ada. Kakiku mulai kujulurkan ke hadapan. Badanku kubaringkan sedikit sepertimana yang dilakukan oleh mereka tadi. Dengan memulakan bacaan bismillah, terus aku menolak tubuhku. “Waaa….” aku menjerit lantang tatkala badanku menggelongsor ke bawah, dibawa arus air terjun yang deras itu. Tiba di bawah, cepat-cepat Abang Reza menyambut tubuhku. “Amacam, seronok kan?” soal Abang Reza. Aku ketawa riang. Seperti mahu jatuh jantungku ini, tetapi memang seronok. Rasa nak buat lagi pun ada.

“Hah, tulah. Belum cuba belum tahu,” kata Mizan pula. Kedengaran mereka bersorak kagum melihat keberanianku mencuba aksi mencabar itu. Aku tersenyum lebar. Bangga. Akulah peserta wanita pertama yang mencuba aksi melampau tersebut. Dan sebaik aku menoleh ke satu arah, kelihatan Azhari sedang memandangku sambil menelangkupkan kedua belah tangannya ke mulut. Seketika dia menggeleng, tampak cemas. Aku tersenyum melihatnya begitu. Spontan aku menunjukkan ibu jariku kepadanya, mengisyaratkan yang aku dalam keadaan baik.

Setelah puas berendam, aku berenang ke tebing batu. Mataku terus memerhatikan mereka yang masih seronok mandi. Dari jauh kulihat Farhana, Kak Min dan Kak Nad turut mahu mencuba aksi yang serupa. Aku ketawa melihat Farhana yang kelihatan takut-takut untuk mencubanya.

“Hai,” sapa satu suara. Segera aku menolah.

“Hai,” balasku.

“Wah, beraninya cik srikandi kita ni tadi, ya? Sampaikan yang lain-lain tu pun nak mencuba jugak,” ucapnya. Aku tersenyum meleret. Mata kami tertumpu ke arah tiga gadis yang sedang mencuba aksi gelongsor arus itu.

“Dah nama pun adventurous. Kenalah berani. Kalau tak, buat apa join kelab aktiviti lasak macam ni.” Tanpa sedar aku bercakap besar kepadanya.

Sepi antara kami. Aku menggigil kesejukan. Lalu kunaikkan kedua belah lututku dalam keadaan menyilang, menyerlahkan lagi peha dan betisku yang putih menggebu itu. Kemudian kedua belah tanganku memeluk kepala lututku.

“Hmm… tak sangka ya, gadis yang dulunya sopan, lemah-lembut boleh jadi selasak dan sekasar ni,” ujarnya tiba-tiba. Aku ketawa kecil.

“Biasalah, manusia. Citarasanya sentiasa berubah-ubah,” jawabku selamba.

“Ni ikhlas dari hati ke, perli?” soalnya menyindir.

“Ikhlas dari hatilah. Kenapa, terasa diperli ke?” Dia ketawa kecil.

“Macam ni ke kau, setiap kali mengikuti aktiviti-aktiviti macam ni?” soalnya tiba-tiba. Aku memandangnya dengan pandangan yang berkerut. Tidak mengerti.

“Macam mana?” soalku kembali. Dia menundingkan jari-jemarinya ke arahku dari hujung rambut sampai hujung kaki.

“Berpakaian macam ni,” katanya. Oh, pemakaianku rupanya yang dimaksudkannya itu. Entah mengapa aku menjadi malu dengan tegurannya itu. Terasa berbahang mukaku ini.

“Kenapa?” soalku acuh tak acuh.

“Kita orang Islam, Aween. Tak sepatutnya berpakaian macam ni. Sekali pandang macam ‘anak apek’ aja,” ujarnya lagi dalam nada tegas. Terasa diri ini dihina. Darahku mulai menyirap, menyerbu ke muka. Sungguh aku tidak boleh terima dengan penghinaan sebegitu. Macam ‘anak apek’ dikatanya aku ni? Kurang asam betul!

“Amboi, sedapnya mulut tu bercakap? Hei, sebelum ni, tak pernah ada pun orang mengata aku macam tu, tau. Malah Shazzy sendiri pun tak pernah nak tegur aku macam tu. Inikan pulak kau? Siapa kau nak pertikaikan pemakaian aku ni, hah? Suka hati akulah. Sibuk!” marahku. Dia mengeluh berat.

“Aku tegur kau, bukan sebab kau tu sesiapa pada aku. Tapi aku sekadar menjalankan tanggungjawab aku sebagai orang Islam. Kalau aku tak tegur kau, sedangkan aku sendiri maklum yang perkara itu adalah dilarang, aku jugak yang akan mendapat dosa, tau!” keras sekali suaranya kali ini. Aku mencebik. Namun begitu, aku tahu akan hakikat itu. Sesungguhnya kuakui yang kata-katanya sebentar tadi memang ada benarnya. Cuma egoku yang begitu tinggi untuk menerima nasihatnya itu.

“Tak payah nak mengajar aku, Azhari. Terima kasih banyak-banyak. Cuma aku nak ingatkan kau. Sebelum kau nak memperbetulkan orang lain, kau kena perbetulkan diri kau tu dulu. Kau ingat kau tu bagus sangat ke, nak cakap pasal dosa pahala ni? Kalau kau tu terlalu teliti sangat pasal hal-hal dosa pahala ni, kenapa kau berani pegang aku tadi? Lagi satu pasal semalam, kenapa kau baik sangat nak sapukan minyak salap tu kat lengan aku, sedangkan kau tahu bersentuhan lelaki dan perempuan bukan muhrim tu satu dosa!” tempelakku. Segera aku bengun dan terus beredar dari situ, meninggalkannya termangu-mangu di situ.

*****

SEKALI LAGI Azhari merajuk denganku. Selepas dari insiden itu, dia terus menjauhkan dirinya dariku. Sesungguhnya, memang aku diselubungi rasa bersalah yang begitu menebal, kerana terlalu berkasar dan sengaja menyinggung perasaannya. Bukan aku tidak dapat menerima tegurannya itu, tetapi kata-katanya yang berbaur satu penghinaan itu membuatkan diriku terlalu rendah pada pandangannya. Itu yang membuatkan darahku mendidih.

Sesungguhnya aku sudah nekad, tidak mahu dipandang hina dan dipandang rendah lagi. Aku tak mahu dipijak seperti dulu, lebih-lebih lagi oleh insan yang pernah melukakan perasaanku seperti Azhari dan Hardija. Akan aku pertahankan maruah dan harga diriku agar tidak dipandang rendah oleh orang lain. Aku nekad. Walau apapun, aku takkan meminta maaf darinya. Cukuplah dulu aku selalu tunduk padanya. Kali ini, biar dia pula yang tunduk padaku. Aku berani bersumpah!

Malam terakhir kami di Air Terjun Jerangkang. Ramai peserta tidak dapat melelapkan mata. Masing-masing mahu menikmati suasana malam di tapak perkhemahan ini buat kali terakhir. Selepas makan malam dan tamatnya aktiviti malam kebudayaan, masing-masing membuat haluan sendiri. Ada yang terus masuk khemah untuk tidur, ada yang melepak di lapangan dan ada juga yang sedang mengambil angin malam sambil duduk mengelilingi unggun api.

Aku begitu asyik berbual-bual dengan Farhana, Kak Nad dan Kak Min di lapangan sambil menghirup air teh O panas. Lebih nikmat apabila dicecah dengan biskut kering. Pelbagai cerita yang kami bualkan. Dari satu topik ke satu topik.

“Rasa macam tak nak balik aja. Tak puaslah, nak nikmati suasana hutan macam ni,” ujar Kak Nad.

“Habis tu, Kak Nad nak duduk sini berapa lama lagi? Dah rasa seronok nak duduk dalam hutan dah? Nak kawan dengan beruk?” lancang sekali mulut Farhana menuturkan kata. Aku dan Kak Min tersenyum kambing. Lucu. Kak Nad mencebik.

“Tak adalah sampai macam tu sekali. Lainlah ada orang tu, mesti tak sabar nak balik esok. Yalah, dah tiga hari tak jumpa buah hati,” usik Kak Nad. Kepada siapa lagi usikan itu ditujukan melainkan kepadaku? Tapi, memang betul apa yang diucapkannya. Rasa rindu terhadap Shazzy begitu membuak.

“Okeylah, Aween nak ke sana, duduk kat unggun api. Sejuklah,” ujarku lalu bingkas bangun dan mengaturkan langkah.

“Eh, Aween! Tunggu, aku nak ikut,” ujar Farhana pula. Kami berjalan seiring menuju ke tempat yang dituju. Setibanya kami di sana, kelihatan beberapa anak muda yang sedang duduk melepak berhampiran unggun api yang sedang marak itu. Ada yang sedang berbual, malah ada juga yang sedang menyanyi sambil memetik gitar dan meniup harmonika.

Kami melabuhkan diri di satu tempat. Tidak jauh dari tempat kami, kelihatan Abang Reza, Abang Dino, Abang Que, Hakimi dan Azhari sedang duduk berkumpul. Sayup-sayup kedengaran suara mereka menyanyi berlatarkan bunyi gitar yang dimainkan oleh Abang Dino.

“Apa cerita kau dengan budak Azhari tu?” soal Farhana mematikan lamunanku.

“Macam biasalah,” jawabku bersahaja.

“Tadi siang, aku tengok kau berbual dengan dia kat air terjun,” katanya. Aku mengangguk. “Hmm… bual-bual kosong aja. Bukannya ada apa pun,” ujarku pula.

“Dah boleh duduk berbual sama, kira dah okeylah ni?” soalnya lagi. Aku ketawa kecil. “Sebagai seorang kawan aja. Tak lebih dari tu.”

Kedengaran suara mereka yang begitu sayup dan mendayu mendendangkan lagu ‘Sendiri’ yang pernah dipopularkan oleh kumpulan May, memecah keheningan malam.

“Hisy, gila jiwang. Feeling aku dibuatnya,” getus Farhana. Aku ketawa kecil.

Feeling kat siapa? Abang Dino?” soalku mengusik. Dan dalam kesamaran cahaya unggun api itu, sempat aku menagkap seraut wajah yang tenang sambil merenung tepat ke wajahku. Ah, segera aku berpaling ke tempat lain.

“Kau ni tak habis-habis nak lagakan aku dengan Abang Dino tu. Tak ada orang lain ke?” cebiknya. Aku ketawa lagi mendengar cebikannya itu.

“Dah tu, kau nak aku lagakan kau dengan siapa lagi? Azhari? Hakimi? Yang mana satu kau nak?” usikku lagi.

“Entah ya. Antara Azhari dengan Hakimi, mana satu yang kau rasa sesuai dengan aku?” soalnya nakal.

“Abang Dino,” aku mengusik lagi. Dia ketawa. Begitu juga dengan aku. Kami ketawa bersama.

“Itu dah out of list. Antara Hakimi dengan Azhari ajalah,” katanya.

“Okeylah. Kalau aku katakan Azhari, macam mana?” soalku menduga.

“Okey, Azhari. Andai kata aku nak cuba tackle dia, kau jealous tak?” dia pula mendugaku. Aku menjeling bersama cebikan di bibir.

“Hisy, kau ni! Tolonglah, malam sikit aku nak jealous. Tak kuasa!” getusku. Namun adakah ia ikhlas lahir di hati atau sekadar di bibir, aku sendiri tidak pasti. Yang nyata, aku keliru dengan perasaanku apabila Farhana berkata begitu.

“Jangan sombong sangat, nanti termakan kata-kata sendiri,” ujar Farhana. Aku mencebik. “Aku rasa Azhari tu memang masih suka kat kaulah, Ween,” katanya lagi. Aku ketawa kecil.

“Itu aku tau. Tak payah nak rasa-rasa. Dia sendiri dah cakap kat aku semalam,” tuturku. Aku mencapai sebatang ranting kayu yang agak halus, lalu melakar-lakar sesuatu di atas tanah.

“Habis tu, kau cakap apa kat dia?” soal Farhana.

“Aku cakaplah yang aku dengan dia tak mungkin dapat bersama lagi. Aku dah ada teman yang jauh lebih istimewa dari dirinya,” jawabku.

“Kau cakap macam tu?”

“Aku tak adalah cakap macam tu, cuma aku beritahu yang aku dah ada teman lelaki,” kataku lagi. Tanpa kusedari, aku telah melakar nama Shazzy di atas tanah pasir itu. Jelas sekali akan kerinduanku terhadap jejaka tampan itu.

“Kesian dia,” ucap Farhana tiba-tiba.

“Apa hal pulak kau nak kesian kat dia? Nasiblah, siapa suruh dia buat perangai dulu,” getusku geram. Farhana terus terdiam.

Segera aku mengangkat wajah, memandang ke arah kumpulan jejaka-jejaka tampan Malaya tersebut. Di kala itu juga, mata kami bertaut lagi. Wajahnya yang hanya diterangi cahaya unggun api yang begitu suram itu, menggetarkan seluruh urat sarafku. Kenapa aku harus berasa begitu? Entahlah, aku sendiri tidak pasti mengapa. Namun yang pasti, rasa gentar ini tak ubah seperti getaran yang kualami sewaktu kami sedang hangat bercinta dulu.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa