Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Bab 14


“ZUL! Dah lama ke sampai?” Tengku Hafiy menepuk lembut bahu rakannya yang sedang duduk menunggu. Petang itu dia mengajak Izzul berjumpa di sebuah restoran western kegemaran mereka. Dulu sewaktu belajar dan sebelum Izzul berkahwin, tempat inilah yang kerap mereka kunjungi kerana begitu menyukai menu-menu yang disajikan.

“Adalah dalam sepuluh minit macam tu,” jawab Izzul sambil melihat jam di tangan. Pada Safiya sudah dimaklumkan tentang kelewatan mereka pulang ke rumah orang tuanya hari ini.

“Oh, ya ke? Sorrylah. Jalan jammed. Hujung minggu, kan. Dah orderbelum?”

“Dah. Kau punya pun aku dah orderkan sekali. Our favourite foods here!”

“Yeah! That’s why you’re my best friend, bro!” Tengku Hafiy menyuakan buku limanya sebelum ia bertemu dengan buku lima Izzul. Setelah itu dia menanggalkan kacamata hitam yang masih terlekat di wajah.

“Apahal kau nak jumpa aku ni, Fiy? Tiba-tiba je.”

“Saja. Lagipun dah lama kita tak lepak-lepak minum macam ni. Yelah, orang tu dah kahwin kan. Anak dah tiga pun!”

“Ha, tulah! Aku suruh kahwin cepat-cepat, tak nak. Nak ke mana-mana ada teman. Hujung minggu pun ada orang nak dipandang, dilayan. Tak adalah sunyi macam ni. Tengok... aku jugak yang kena layan sunyi kau tu, kan!”

Spontan Tengku Hafiy tertawa. “Bukan tak nak, bro. Cuma masa belum sampai lagi. Tapi since kau dah cakap macam ni, aku rasa dah sampai masanya kut.”

“Hah! Bila?”

“Tengoklah. Kalau tak ada aral melintang dalam tahun ni kut. InshaaAllah.”

“Serius?? Alhamdulillah. Cepat dari sangkaan aku!” ucap Izzul yang begitu gembira mendengar perkhabaran itu. Siapa yang tidak gembira bila rakan baik akan berkahwin dan punya teman hidup untuk menjaganya hingga ke hari tua nanti. Waktu dia menyampaikan hasrat ini dulu, Tengku Hafiylah orang yang paling gembira sebaik mengetahui. Tapi sayang, rakannya itu tiada di sini sewaktu dia melangsungkan hari bahagia lantaran peperiksaan tahun akhir yang sedang dihadapi di England ketika itu. “Baguslah kalau kau dah terfikir ke arah tu.Kau pun dah lama ikat si Helena tu. By the way, apa yang buat kau tiba-tiba terbuka hati fikir pasal kahwin ni? Selalunya bila aku tanya ada je alasan kau bagi, kan.”

“Dah sampai seru kut! Lagipun, adik aku yang sorang tu dah balik.”

“Adik kau dah balik? Bila dia balik sini?” soal Izzul. Namun tidak sempat dijawab oleh Tengku Hafiy dek kedatangan pelayan restoran yang membawa hidangan mereka. Selepas pelayan itu beredar pergi, barulah Tengku Hafiy berpeluang menjawab.

“Dah seminggu dia balik. Tapi kali ni dia balik terus. Cuma dia minta nak rehatdulu. Nak biasakan diri dengan keadaan kat sini katanya. Dua minggu lagi masuklah ofis tu. So, since dia dah ada kat sini legalah sikit aku bila ada orang tolong uruskan Haiyan Holdings. Tak adalah beban terpikul kat aku sorang. Dan fokus aku pun dah boleh lari sikit dari syarikat. Tapi yang sebetulnya memang niat aku nak tunggu dia balik pun. Then baru fikir pasal kahwin ni.”

Izzul tergangguk-angguk mendengarkan cerita Tengku Hafiy sambil menjamah hidangan fish and chipserta jus orendi depan mata.

“Eh! Sebelum lupa. Aku nak jumpa kau ni pun sebab nak sampaikan pesan mama aku.”

“Pesan? Pesan apa?”

“Hujung minggu depan orang tua aku buat majlis sikit. Raikan adik aku yang dah balik tu. Sekali dengan hari jadi anak Kak Leen. Tak adalah besar-besaran. Untuk saudara-mara dan kenalan terdekat je.”

“Insya-ALLAH. Kalau tak ada apa-apa sampailah aku nanti.”

“Lagi satu. Yang ni pun mama aku asyik pesan. Jangan lupa bawa Irish sekali. Takut betul dia kalau aku lupa sampaikan!”

Izzul mengangguk-anggukkan kepalanya sekali lagi. “Insya-ALLAH.”

“Jangan cakap je, Zul. Make sure kau datang. Kalau tak, mati aku nanti!”

Izzul sudah tergelak kecil. “Ya. Aku datang!”

Mereka kembali menikmati makanan tanpa bicara. Namun hanya seketika bila Tengku Hafiy kembali bersuara.

“Zul, boleh aku tanya sikit?”

“Tanya jelah. Sejak bila pulak kau pandai minta permission nak tanya aku ni?”

“Sebab benda yang aku nak tanya ni tentang adik kau.”

Serentak itu Izzul memandang tepat ke wajah rakannya. “Kenapa dengan Irish? Dia buat hal kat ofis ke?”

“Eh, tak adalah! Bukan pasal tu.”

“Habis tu, kenapa?”

“Ermm... Irish tu fobia dengan lelaki ke?”

“Kenapa kau tanya macam tu?”

“Tak adalah. Aku tengok susah betul lelaki nak dekat dengan dia. Kat pejabattu, ramai je yang nak try. Lagi-lagi kliensyarikat.Tapi lansung adik kau tak layan. Ada sesuatu yang menghalang ke? Atau takut boyfriend dia marah?”

Izzul bungkam. Tidak tahu jawapan apa yang patut diberikan. Untuk menceritakan keadaan sebenar, mustahil dia akan berbuat demikian. Inilah perkara yang paling tidak suka untuk dijawab setiap kali hal berkaitan Irish dibangkitkan.

“Hey Zul! Kau okayke? Atau aku salah cakap?”

“Eh, tak adalah. Irish tu memang macam tu dari dulu. Susah sikit nak didekati lelaki. Nak kata boyfriend marah, setahu aku dia tak ada berkawan dengan mana-mana lelaki pun sekarang. Mungkin dia dah terbiasa dengan keadaan macam tu.”

Tengku Hafiy mengangguk faham. “Kalau macam tu tak apalah. Aku bukan apa. Kan kau suruh aku tengok-tengokkan Irish. So, aku nak jugaklah tahu serba sedikit tentang diri dia. Kalau jadi apa-apa hal, senang sikit nanti. ”

“Kau yang ada dengan Irish setiap masa kat pejabat tu, Fiy. Jadi aku bagi sepenuh kepercayaan pada kau untuk jaga dia bila aku tak ada. Boleh kau janji?” pinta Izzul. Buku limanya diangkat lalu disuakan pada Tengku Hafiy. Lelaki itu tersenyum lalu menyambutnya.

As you wish. Kau jangan risaulah pasal tu, Zul. Tahulah aku nak jaga Irish nanti.”


“IRISH buat apa sorang-sorang kat luar?” Izzul menegur adiknya yang sedang duduk termenung sendirian di atas buaian di sudut halaman rumah. Semua ahli keluarga yang lain sedang asyik melayan rancangan TV di dalam. Hanya kelibat gadis itu seorang yang tidak kelihatan. Rupa-rupanya di sini adiknya membawa diri.

“Along. Tak ada apalah. Saja ambil angin kat luar ni.”

“Boleh along join?” Izzul meminta izin.

“Duduk jelah, long.”

Irish menepuk-nepuk ruang di sebelah, sebagai isyarat menyuruh alongnya duduk di situ.

“Mak Engku jemput kita datang rumah Sabtu depan,” beritahu Izzul sebaik melabuhkan duduk di atas buaian.

“Ada apa?”

“Anak lelakinya yang duduk luar negara tu dah balik. Jadi dia buat majlis untuk raikan.”

“Insya-ALLAH. Kalau along nak bawa, Irish ikut je.”

Izzul menganggukkan kepalanya. Keadaan menjadi senyap seketika. Masing-masing mencari idea untuk menyambung perbualan.

“Irish fikir apa? Dari tadi along tengok termenung panjang.”

“Eh, mana ada termenung. Along ni pandai jelah. Saja duduk sini tenang-tenangkan fikiran. Seminggu kepala dok asyik fikir pasal kerja je.”

“Kerja kat pejabat okay?”

Okay. Semuanya okay. Alhamdulillah,” balas gadis itu. Sejenak dia teringatkan kerjanya di pejabat. Masuk setahun bekerja di Haiyan Holdings, dia semakin dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di situ. Memang agak sibuk. Lebih-lebih lagi menjelang pertengahan dan akhir tahun kerana dia perlu membantu pegawai-pegawai menyiapkan laporan kewangan yang akan dihantar dan disemak oleh orang atasan sebelum diserah pada ahli lembaga pengarah syarikat.

“Along nak tanya sikit, boleh?” pinta Izzul.

“Boleh. Tanyalah. Apa dia?”

“Irish... Irish...,”

Irish menoleh ke sisi, hairan melihat Izzul seperti teragak-agak ingin membuka mulut. “Kenapa ni, long? Tanya jelah apa along nak tanya.”

Izzul menghela nafasnya, cuba menyusun ayat dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tersilap kata akan membuatkan adiknya terasa. “Irish tak terbuka hati nak bercinta lagi?”

Sekali lagi Irish mengerling sekilas ke sisinya. Kemudian dia menguntum senyum.

“Tak.”

Hanya itu jawapan yang keluar dari mulut Irish, membuatkan Izzul serta-merta menoleh memandang adiknya. Bagai tidak percaya gadis itu hanya boleh tersenyum mendengarkan soalan tersebut. Jangkanya, Irish akan memarahinya. Paling tidak pun, adiknya itu akan angkat kaki meninggalkannya seorang diri di sini. Namun apa yang berlaku sekarang jelas sebaliknya.

“Irish tak marah ke along tanya macam ni?”

“Tak. Nak marah buat apa. Along bukan buat salah apa pun.”

“Betul, Irish tak teringin nak bercinta lagi?”

“Tak. Irish lebih suka macam ni.”

“Tak terfikir untuk cuba buka hati tu pada lelaki lain?”

Pantas Irish menggeleng kepalanya yang hanya ditundukkan sedari tadi. “Tak.”

“Sampai bila?”

“Entah.”

“Tak salah kalau mencuba. Beri peluang pada diri Irish, pada lelaki lain.”

“Irish tak layak untuk bercinta lagi, long.” Rintih Irish. Suaranya sudah tersekat-sekat.

“Jangan menghukum diri sendiri. Kita manusia tak layak untuk menghukum. Yang layak menghukum hanya Allah seorang saja. Setiap orang berhak untuk bahagia. Termasuk adik along ni,” bicara Izzul lembut, lalu tangan kirinya memaut mesra bahu adiknya itu.

“Dengan siapa?”

“Dengan lelaki yang lebih baik. Yang boleh menerima Irish seadanya.”

“Wujud lagi ke lelaki macam tu kat dunia ni?”

“Ada. Pasti ada!” bicara Izzul, seakan memujuk.

Irish menghela nafas yang memberat di dada. “Entahlah, long. Irish takut nak fikirkan tentang tu lagi. Biarlah masa yang tentukan. Kalau pun suatu hari nanti pintu hati ni terbuka semula untuk terima lelaki, biarlah semua tu dengan izin Allah. Irish redha,” ucap Irish perlahan. Air mata yang sudah berada di tubir sedaya upaya ditahan agar tidak keluar. Dia tidak ingin menangis lagi.

Mendengarkan rintihan hati adiknya itu, Izzul mengeratkan lagi pelukan. Kepala Irish dikucup, bagai menenangkan jiwa yang sedang kesedihan itu. Matanya juga dipejam, cuba menahan sebak yang mula mencengkam. Dia pasti Irish juga berperasaan berat sama sepertinya saat ini.

“Ingat. Walau apapun yang terjadi, walau beribu orang pun yang datang dan pergi tinggalkan Irish, along tak akan pernah sesekali tinggalkan adik along ni. Itu janji along!”

Dan air mata yang sedari tadi ditahan, merembes juga akhirnya ke bumi. Angin malam yang bertiup lembut nan nyaman, bulan bintang yang indah bersinar di awanan, pungguk yang terbang hinggap di dahanan, turut menyaksikan dua beradik itu berdakapan melayani emosi yang hanya mereka berdua sahaja yang mengerti.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.