JAM melewati angka 11.00 pagi sewaktu Irish tiba di halaman rumah Athirah. Suasana di rumah itu kelihatan agak sibuk hari ini. Dengan langkah yang perlahan Irish masuk ke dalam sebelum mencari kelibat seseorang yang dikenalinya.
“Assalamualaikum, makcik.”
“Waalaikumussalam. Eh, Irish! Laaa... tak perasan makcik. Bila sampai?” soal Puan Nafhah, ibu kepada Athirah.
“Baru je tadi.”
“Oh, ya ke? Maaflah, Rish. Makcik sibuk sangat sampai tak perasan Irish datang.”
“Tak apa, makcik. Irish faham. Ira dalam bilik ke?”
“Ha’ah, ada dalam bilik tu. Tengah bersiap. Pergilah masuk jumpa dia, ya. Nanti dah siap semua boleh kita makan sama-sama.”
“Iyalah, makcik. Saya jumpa Ira dulu,” pamit Irish seraya menuju ke kamar rakannya. Beberapa kali juga Athirah pernah membawanya ke sini. Jadi tidaklah dia berasa kekok dengan keluarga serta persekitaran rumah ini. Melangkah masuk ke bilik Athirah, dia melihat gadis itu sedang sibuk didandan oleh seorang jurumekap wanita. Irish membiarkan Athirah untuk bersiap terlebih dahulu sementara dia duduk bersimpuh di satu sudut bilik tersebut sambil melihat hantaran-hantaran yang sudah siap elok terletak di atas dulang.
Hampir satu jam, akhirnya Athirah telah sempurna dirias. Gadis itu membelek-belek dirinya di hadapan cermin tanpa menyedari Irish di belakang sedang memerhatikannya. Hinggalah dia ternampak bayangan Irish di dalam cermin. Serentak itu dia berpaling.
“Irish!” sedikit menjerit gadis itu sebaik terpandangkan Irish. Pantas dia mendapatkan rakannya itu lalu dipeluk erat. “Hey! Sejak bila kau duduk kat sini, hah? Aku tak nampak pun kau masuk!”
“Adalah dalam satu jam.”
“Hah! Satu jam? Kau biar betul? Kenapa tak cakap dengan aku?!”
“Sshhh! Perlahanlah sikit suara kau tu. Satu rumah dengar nanti. Saja. Tak nak kacau kau tengah bersiap. It’s okaylah. Seronok tengok kau kena touch up tadi,” balas Irish sambil melihat Athirah dari atas ke bawah. Ternyata penampilan gadis itu sedikit berlainan dari yang biasa dia lihat. Keayuannya jelas terserlah dengan busana pertunangan berwarna merah jambu serta solekan yang menaikkan lagi seri wajahnya.
“Yang kau tengok aku atas bawah ni kenapa?”
“Cantik sangat kau hari ni!”
“Ya ke?”
“Iya. Sungguh!”
“Nak bodeklah tu!” balas Athirah. Namum dia tahu pujian dari rakannya itu memang benar-benar ikhlas. “Tapi kan, kalau kau yang bertunang hari ni mesti lagi cantik!”
“Hmm. Dah mulalah tu!”
“Apa? Aku cuma cakap jelah!” Athirah kemudian menarik tangan Irish untuk duduk di katil bersamanya. “Pukul berapa kau bertolak ke sini tadi?”
“Pukul 9.00 tadi aku dah gerak dari rumah.”
“Drive sorang?”
“Yelah. Kau ingat aku bawa siapa?”
“Kenapa tak ajak keluarga kau datang sekali? Kan aku dah pesan hari tu.”
“Ada kenduri kahwin saudara aku kat sana. So, diorang tak dapat nak ikut. Cuma sampaikan salam pada kau dan ucap tahniah.”
Athirah menjawab kiriman salam tersebut. “Tulah kau!” tiba-tiba saja dia memukul bahu Irish, membuatkan rakannya itu menggosok-gosok bahunya yang terasa sedikit perit.
“Aduh! Kau ni kenapa, Ira?”
“Kaulah! Kan ke dari dulu aku dah suruh cari boyfriend. Ha, tak adalah kau pergi mana-mana sorang macam ni!”
Irish merenung Athirah. Tajam renungannya hinggakan Athirah sedikit cuak.
“Eh, Irish! Kau okay ke tak ni? Asal tenung aku macam tu? Aku salah cakap ke?”
Serta-merta Irish mengalihkan pandangannya. Satu keluhan berat dilepaskan. Kemelut yang sedang dihadapi tika ini kembali menerjah. ‘Perlu ke aku beritahu Athirah?’ detik hatinya.
“Hey! Dah termenung pulak dia. Kau ni kenapa, Rish?” tegur Athirah lagi melihatkan Irish hanya berdiam diri tanpa jawapan. Hatinya mula risau. “Irish. Cakaplah...,”
“Ada orang masuk meminang aku.”
“Hah??!”
“Ishh, kau ni. Slowlah sikit!” Irish memarahi Athirah sambil menekup mulut gadis itu. Mujur tiada sesiapa di dalam bilik ini. Jurumekap tadi juga sudah lama beredar keluar.
“Siapa yang masuk meminang kau? Bila? So, macam mana? Kau terima tak?”
“Banyak betul soalan kau. Mana satu aku nak jawab?”
“Opss, sorry!“ Athirah lansung menampar-nampar bibirnya. “Okay, bagitahu aku. Siapa yang pinang kau ni? Tak ada boyfriend, tak ada skandal.Tiba-tiba je. Apa cerita?!”
“Bukan pilihan aku.”
“Irish! Kau biar betul?!”
“Kan? Betullah tu.”
“Kalau bukan pilihan kau, pilihan siapa? Takkan orang tua kau?”
“Aku dengan keluarga aku tak tahu-menahu lansung. Keluarga pihak lelaki yang tiba-tiba hantar rombongan tu,” jelas Irish, menjadikan Athirah semakin hairan.
“Siapa lelaki tu?”
Irish tidak terus menjawab. Dia memandang sekilas rakannya dan kemudian tertunduk. Berat dirasakan mulutnya untuk menyebut nama itu.
“Irish! Siapa?” Athirah menunjal bahu Irish dengan jari telujuknya.
“Tengku Harrys.”
“What??!” sekali lagi Athirah menjerit. Namun kali ini Irish hanya membiarkannya. Malas dia mahu menghalang lagi.
“Tak payahlah nak terkejut sangat, Ira.”
“Gila aku tak terkejut! Kau main-main je kan, Rish?”
“Muka aku ada nampak main-main ke?”
Athirah terkedu. “Bila?”
“Last weekend.”
“Kau tak pernah cakap pun kau bercinta dengan dia?”
“Aku tak pernah bercinta dengan dia punlah!”
“Habis tu, takkan tiba-tiba je dia datang meminang kau? Mustahillah!”
“Bukan dia yang hantarlah. Kan aku dah cakap tadi. Keluarga dia yang hantar.”
“Maknanya, dia pun tak tahu yang keluarga dia datang meminang kau?”
Irish menjungkitkan bahunya. “Entah. Aku pun tak tahu.”
“Ishh, ada main tak tahu pulak korang ni!” Athirah termangu. Tidak menyangka dengan berita yang dibawa Irish ini. “Habis, macam mana? Keluarga kau terima tak?”
“Ayah aku minta tempoh seminggu untuk bincang.”
“Maknanya sampai esoklah?”
Irish mengangguk perlahan .
“Hmm... baguslah tu. Kau dengan boss kau pun tak pernah bercinta. Mestilah ayah kau tak terus setuju. So, apa keputusan kau?”
“Aku belum decide apa-apa lagi. Entahlah. Aku tak boleh nak fikir.”
Seketika suasana menjadi sepi. Irish melayani perasaannya sendiri. Begitu juga dengan Athirah yang nyata masih terkejut dengan berita tersebut.
“Kalau kau jadi aku, kau terima tak?” tiba-tiba sahaja soalan itu terlontar dari mulut Irish.
“Aku? Dah tentulah terima! Siapa yang tak nak lelaki handsome, tinggi, kaya macam tu. Tapi kan...,” kata-kata Athirah terhenti. Keningnya berkerut-kerut seperti memikirkan sesuatu. “... kalau ada semua tu pun tak boleh jugak kalau tak kenal Tengku Harrys tu macam mana. Buatnya ramai perempuan keliling pinggang dia, naya jugak tu! Lagi-lagi dia dah duduk kat tempat orang putih tu bertahun-tahun!”
Irish terdiam. Tiba-tiba dia teringatkan Tengku Melissa. Terbayang-bayang diingatannya bagaimana perlakuan manja gadis itu terhadap Tengku Harrys. Itu di depan matanya. Di belakang? Hati Irish semakin berbelah-bahagi untuk membuat keputusan. Esok pagi pasti ayahnya akan meminta jawapan untuk diberikan pada keluarga lelaki itu.
“Irish...,” Athirah menyentuh lembut bahu gadis itu. “Sabarlah. Aku tahu cakap guna mulut takkan sama dengan bahu yang memikul. Apa yang aku boleh kata sekarang, kau fikirlah baik-baik dan berdoa agar diberi petunjuk-Nya. Ini tentang masa depan kau. Apa saja keputusan yang kau buat, aku akan sokong sepenuhnya. Sebagai kawan baik, aku gembira sangat dengar berita yang kau dah dipinang orang. Tapi dalam masa yang sama aku tak nak kau dikecewakan lelaki yang kau sendiri tak pernah cinta. Kalau betul ini memang jodoh kau, Insya-ALLAH, semuanya akan berjalan lancar. Buat keputusan ikut kata hati kau. No need to worry, okay?”
Irish tersenyum mendengar bait-bait bicara Athirah. Tangan gadis itu diambil lalu digenggamnya erat. “Thanks, Ira. Thanks sebab kau sentiasa ada waktu aku perlukan. Insya-ALLAH, aku akan fikir baik-baik nasihat kau. Sayang jugak kau kat aku, ya?”
“Mahunya tak! Kau ingat aku boleh duduk diam jelah kalau sesuatu tak baik jadi kat kau? Selama ni kau tak tertarik lansung pun dengan mana-mana lelaki. Tub-tub, orang datang meminang kau. Orang yang kau tak pernah bercinta pulak tu. Tak sangka betul!”
‘Bukan kau je yang tak sangka, Ira. Aku seribu kali tak sangka lelaki yang selama ni aku nak elak, makin hampir pulak dengan aku. Hmmh!’
“Eh, dahlah! Tak payah pening-pening kepala sangat fikir benda tu. Ikut je apa kata hati kau. Tak nak muram-muram macam ni. Hari ni majlis aku tau. Happy sikit!” seloroh Athirah seraya memegang bibir Irish agar gadis itu mempamerkan senyum di wajah. Dan serentak ketawa mereka berderai di dalam kamar yang sudah terhias indah nan rapi itu.
LANGIT malam ini kelihatan kelam sahaja di matanya. Tidak tahu ke mana perginya bintang-bintang yang selalu bercahaya menyinari. Menyorokkah kalian? Yang kelihatan hanyalah sinaran bulan yang setia memancarkan dirinya di dalam kegelapan malam.
‘Kalaulah aku pun boleh menyorok macam bintang-bintang tu, dah tentu-tentu aku akan buat sekarang. Tak payah lagi aku nak menghadap semua orang untuk bagitahu keputusan tu.’
Irish melepas keluhan. Sudah agak lama dia duduk di atas buaian di halaman rumahnya ini. Sengaja dia mengambil angin malam di sini untuk menenangkan fikiran yang sedikit serabut. Ahli keluarganya yang lain mungkin sedang beristirehat di dalam setelah menikmati makan malam usai solat Isyak tadi. Jam di telefon bimbitnya dikerling. Hampir ke pukul 11.00 malam. Matanya sudah sedikit memberat. Badannya juga agak keletihan sesudah seharian memandu ke Melaka dan berpatah balik semula ke sini siang tadi bagi menghadiri majlis pertunangan Athirah. Dan sekarang adalah waktu untuk dia berehat dari segala aktiviti. Termasuk memikirkan hal yang satu itu. Namun baru saja dia ingin bangun, satu suara tiba-tiba menyapanya dari belakang.
“Irish. Kat sini rupanya dia.”
“Umi.”
Kelihatan Puan Qarina sedang berjalan ke arahnya, diikuti Encik Izzuddin di belakang. Kedua orang tuanya itu kemudian sama-sama melabuhkan duduk mereka di buaian tersebut.
“Termenung jauh nampak. Fikir apa?”
“Tak ada apalah, umi. Saja ambil angin kat luar ni.”
“Ambil angin ke atau fikirkan sesuatu?” duga Puan Qarina.
Irish terdiam. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Serentak itu dadanya berdebar-debar. Seakan dapat mengagak tujuan orang tuanya mencari dia di sini.
“Irish dah habis fikir?” kali ini Encik Izzuddin pula bersuara.
Irish membisu lagi. Hatinya bagai dipalu dengan pertanyaan itu. Niat untuk merehatkan diri dari terus memikirkan hal itu juga serta-merta mati. Kepalanya ditundukkan sambil melihat jari-jemari bermain di atas skrin telefon.
“Irish tahu kan esok kita kena bagi jawapan pada keluarga Tengku?” Encik Izzuddin sekali lagi bertanya. Kali ini nadanya sedikit tegas.
“Tahu, ayah.”
“Jadi, apa keputusan Irish?”
“Irish tak tahu.”
Suara Irish sudah tersekat-sekat. Dadanya dirasakan berat. Sungguh, dia tidak tahu apa keputusan yang harus dipilih. Dirinya benar-benar tersepit di antara kisah semalam dan juga masa depannya. Sesaat, terlihat titisan-titisan air jernih mula turun di pipi gadis itu. Dan keadaan itu membuatkan Puan Qarina mendapatkan anaknya. Tubuh itu didakap erat. Dia mengerti apa yang sedang dirasai oleh Irish. Bahkan, perkara itulah yang amat dirisaukannya selama ini.
“Irish jangan menangis, sayang. Kalau Irish tak nak terima, cakap je. Kami semua tak paksa. Pandailah kami bagitahu Tengku sekeluarga nanti.” Puan Qarina cuba memujuk Irish. Namun tangisan gadis itu tidak juga reda. Dia memandang suaminya yang sedang memerhati dengan harapan agar lelaki itu berkata sesuatu.
“Betul cakap umi tu. Kalau Irish berat nak terima pinangan tu, terus-terang jelah. Tak payah nak jaga hati orang lain sedangkan hati Irish sendiri terseksa. Lagipun, kita tak berjanji apa-apa dengan mereka,” kali ini suara Encik Izzuddin sudah kedengaran lembut.
“Ha, dengar tu. Tak ada sesiapa yang paksa Irish. Jadi tak payah takut nak beritahu, ya.”
Mendengarkan kata-kata kedua orang tuanya, barulah kali ini Irish mengangkat muka dari dada Puan Qarina. Airmatanya dikesat perlahan. Kemudia dia memandang wajah ayah serta uminya satu persatu. “Maafkan Irish, ayah, umi. Irish belum buat keputusan lagi. Irish tak boleh nak fikir dengan baik tentang ni. Irish tahu Irish dah banyak susahkan ayah, umi dan semua orang selama ni. Tapi Irish buntu. Dan dalam masa yang sama Irish takut nak fikirkan...,” bicara Irish terhenti di situ dek sebak yang bertamu semula.
“Dahlah tu. Jangan menangis lagi,” pinta Puan Qarina sambil mengusap bahu gadis itu.
“Lepas ni sebelum tidur, Irish buat solat Istikharah. Mohon pada Dia. Mudah-mudahan esok pagi bila bangun tidur, Irish dapat petunjuk dari-Nya. Dah, jangan menangis lagi. Cukuplah air mata yang Irish dah bazirkan dulu. Sekarang bukan masanya untuk semua tu lagi. Fikir masa depan Irish baik-baik. Pahit mana sekalipun, semuanya kena ditelan. Irish pun manusia biasa. Berhak untuk hidup bahagia. Jangan kerana hal lalu, Irish nak menghukum diri sendiri. Ingat, Allah swt sentiasa ada bersama kita. Dan Irish juga kena ingat. Irish masih ada ayah, umi dan keluarga yang masih sayangkan Irish. Apa yang akan jadi pada Irish sekalipun, kami masih ada lagi untuk jaga Irish sampai bila-bila.”
Entah mengapa Irish merasakan sedikit kekuatan sebaik mendengar bait-bait ayat dari mulut ayahnya. Dia patut bersyukur kerana masih punya keluarga yang begitu memahami di saat dia rapuh ketika ini. Malah semenjak dari dulu lagi mereka tidak pernah pergi walau sedetik pun dari sisinya. Mengenangkan itu, airmatanya jatuh lagi.
“Dah... tak payah menangis lagi. Nak menangis kenapa. Macam nak kena paksa kahwin pulak budak ni!” seloroh Encik Izzudddin cuba menceriakan sedikit suasana. Dan usahanya berhasil apabila terlihat tawa kecil terbit dari bibir anak isterinya. Cukuplah walau sekadar dapat menutupi sedikit kepedihan yang ditanggung.
“Malam dah ni. Jom, masuk. Esok pagi bagitahu ayah apa keputusan Irish,” pesan Encik Izzuddin sebelum mereka tiga beranak berjalan masuk meninggalkan halaman rumah.
SIRAMAN air wuduk diangkat sebaik-baiknya. Selesai itu, dia mengenakan telekung lalu dihamparkan helaian sejadah di atas permaidani. Lantas diri diabdikan pada yang Maha Esa, memohon agar diberikan sesuatu petunjuk yang baik untuk dilema yang sedang dihadapinya ketika ini. Selesai menunaikan solat Istikharah, gadis itu berwirid dan berzikir seketika di atas tikar sembahyang sebelum menadah tangan memohon doa.
“Ya Allah ya Tuhanku. Sesungguhnya hamba-Mu yang hina ini memohon petunjuk dari-Mu. Daku memohon petunjuk-Mu untuk membuat pilihan yang baik menurut Pengetahuan-Mu, aku memohon kepastian dengan Kudrat-Mu dan aku memohon dengan Kurniaan-Mu yang amat banyak kerana sesungguhnya Dikau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkaulah jua yang maha mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa ini adalah jodoh yang baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, buat masa kini dan masa akan datang, maka takdirkanlah ia kepadaku, permudahkannya untukku dan berkatkan aku padanya. Namun jika dalam Pengetahuan-Mu jodoh ini bukan yang baik untukku, buat masa kini dan masa akan datang, maka hindarkanlah ia daripadaku, elakkanlah aku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana saja aku berada dan redhakanlah aku dengannya. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu. Amin Ya Rabbal Alamin.”
Irish mengaminkan doanya. Terasa sedikit tenang jiwanya kala ini. Habis itu dia termenung seketika. Menghayati ketenangan yang begitu mendamaikan perasaan. Kemudian gadis itu menoleh ke sisi katil. Memandang ke arah Kitab Suci Al-Quran yang terletak di atas meja di situ. Irish bangun mengambil naskhah tersebut dan duduk semula di atas sejadah. Diselak helaian yang ditandanya sebelum suaranya mula mengalunkan ayat-ayat suci itu.
Usai mengaji, Irish merebahkan dirinya di atas tikar sejadah. Niatnya ingin melelapkan mata seketika di atas hamparan itu. Sehingga lama-kelamaan, dia terus terlena bersama telekung yang masih tersarung di tubuh.