IRISH melangkah masuk ke pejabat sedikit awal hari ini berbanding biasa. Ada kerja yang perlu diselesaikannya. Pukul 10.00 nanti akan diadakan mesyuarat oleh Tengku Haiyan bersama semua jabatan syarikat. Jadi dia harus menyediakan laporan-laporan yang akan dibentangkan oleh Pengarah Kewangan, Encik Naufal di dalam mesyuarat nanti. Jam di dinding menunjukkan waktu sekarang pukul 8.00 pagi.
“Awal lagi. Hmm, lapar pulak!” Irish berbicara sendiri. Pagi tadi dia tidak sempat menjamah sarapan kerana ingin bertolak awal ke tempat kerja kononnya. Membebel jugalah Puan Qarina padanya. “Pergi buat air sekejaplah.”
Gadis itu bangun semula dan melangkah keluar dari bilik. Suasana di ruangan pejabat masih lengang kerana semua pekerja masih belum sampai. Kakinya dihayun menuju ke ruangan pantry yang dikhaskan untuk pekerja-pekerja di tingkat dua belas itu. Masuk sahaja ke dalam pantry, Irish terus mencapai sebiji gelas beserta sudu. Diambilnya satu uncang teh lalu dimasukkan ke dalam gelas bersama beberapa sudu gula. Kemudian dia mengambil air panas di dalam thermo pot di situ. Sedang Irish leka mengacau airnya, kelibat seseorang masuk ke pantry. Agak lama dirinya diperhatikan namun sedikit pun tidak dia sedari.
“Boleh buatkan air untuk saya?”
Sepantas kilat Irish berpaling ke belakang. Mahu gugur jantungnya dikejutkan sebegitu rupa. Mujur tidak jatuh gelas yang dipegang. Kalut sebentar dia melihatkan tuan punya suara yang sedang elok bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh merenung ke arahnya.
“Te... teng... tengku!”
“Sorry. Saya dah terkejutkan awak.” Bersahaja Tengku Harrys menjawab. Matanya masih tidak lepas dari memandang Irish.
“Tengku nak air?”
“Hmm. Boleh buatkan untuk saya?”
Irish sekadar mengangguk, lalu dipusingkan kembali badannya. Dicapai sebiji lagi gelas yang lain untuk Tengku Harrys.
“Nak saya buatkan air apa?” Irish menyoal.
“Milo panas.”
“Nak letak susu atau gula?”
“Kenapa? Biasa awak buat air milo letak apa?” Tengku Harrys menyoal hairan.
“Gula. Saya tak minum susu.”
“Hmm... buatlah macam yang selalu awak buat.”
Senyap. Tiada soalan lagi dari Irish. Diperhatikan sahaja tangan gadis itu yang laju membuat kerjanya tanpa menghiraukan dia di belakang. Dengan perlahan Tengku Harrys menghampiri Irish dan kemudian berdiri betul-betul di belakang gadis itu.
“Dah siap?”
“Hmm?” Irish tersentak. Terasa begitu hampir suara itu dengannya. Dari ekor mata, dia dapat melihat tubuh Tengku Harrys sudah berdiri hampir di belakangnya ketika ini. Kalau dia berpusing memang pasti mereka akan berlanggar. Irish menjarakkan dirinya agar menjauh sedikit. Gelas yang berisi milo panas juga segera dihulurkan pada Tengku Harrys sebelum dia memalingkan kembali tubuhnya. Dan tidak mahu lelaki itu perasan rasa gementar yang cuba disembunyikan, Irish cuba menyibukkan diri mengemas barang-barang yang telah digunakan.
“Thanks,” ucap Tengku Harrys. Milo panas tersebut dihirup dengan perlahan. Sesaat, didekatkan semula dirinya pada Irish lantas membisikkan sesuatu ke telinga gadis itu. “Saya anggap ini sebagai denda disebabkan tiga kali awak langgar saya, tiga kali tu jugak awak minta maaf tanpa pandang muka saya.”
Sebaik menghabiskan kata-katanya, lelaki itu terus beredar meninggalkan pantry bersama satu senyuman nakal di wajah.
Membulat mata Irish. Sekali lagi jantungnya hampir gugur. Dan kali ini memang benar-benar pasti akan terkeluar. Pantas dia menoleh ke arah Tengku Harrys, namun kelibat lelaki itu sudah pun menghilang di sebalik dinding.
TUMPUAN gadis itu sedikit terganggu dek pengakuan yang dibuat oleh Tengku Harrys tadi. Tidak senang duduk dia jadinya di dalam bilik tersebut. Tugas yang ingin disiapkan juga sudah tersasar entah ke mana.
“Ya Allah Ya Tuhanku, habislah aku macam ni. Astaghfirullahalzim!” Irish meraup wajahnya yang sudah ke berapa kali pagi itu. Hatinya benar-benar dilanda risau. “Keciknyalah duniamu ini, Ya Allah. Dalam banyak-banyak manusia, kenapa mesti dia yang aku langgar? Tiga-tiga kali pulak tu! Allahuakhbar!”
Irish seakan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Kalaulah boleh diputarkan semula waktu, mahu sahaja dia berbuat begitu agar dirinya dapat kembali kepada insiden perlanggaran dulu. Sudah tentu dia akan meminta maaf dan melihat muka lelaki tersebut.
“Tapi semua tu berlaku mesti time aku nak cepat. Terkejar-kejar masa. Hishh! Irish, Irish. Apa yang kau nak buat sekarang ni?!” mulut kecil itu mengomel lagi. Kepalanya yang mula terasa berdenyut dipicit perlahan agar terus berfikir. Namun apa yang difikirkan dalam kepalanya pun dia sendiri tidak tahu. Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja.
“Nak buat macam mana. Benda dah jadi. Kasi redah jelah!”
“Apa yang kasi redah je, Cik Irish?”
“Hmm?” segera Irish mendongak. Dilihat Insyirah sudah tercegat di muka pintu. “Err... tak ada apa-apa.”
“Are you sure?”
“Yes!” jawab Irish dengan yakin. “Ada apa ya, Insyirah?”
“Lagi lima belas minit pukul 10.00. Masa untuk mesyuarat, Cik Irish.”
“Oh! Ya, ya. Saya terlupa. Terima kasih ingatkan saya, In.”
“No problem, Cik Irish! Saya pergi dulu,” Pamit gadis itu seraya menutup kembali pintu.
Dengan pantas Irish mengemaskan fail-fail laporan di atas meja yang akan diserahkan pada Encik Naufal untuk dibentangkan dalam mesyuarat sebentar nanti. Mujurlah semalam dia sudah berkerah tenaga menyiapkanya bersama-sama Puan Faridah. Jadi tidak banyaklah yang perlu diperbetulkan pagi ini. Selesai semuanya, Irish melangkah menuju ke bilik mesyuarat yang terletak di tingkat tiga belas. Setiba di hadapan pintu bilik, dia menarik nafas semahunya bagi meredakan jiwa yang gundah. Fikirannya juga dikosongkan dari segala gangguan yang datang bertamu. Dengan kalimah Bismillah, Irish melangkah masuk ke dalam dengan tenang.
Kelihatan bilik mesyuarat sudah dipenuhi oleh pegawai-pegawai dari semua jabatan di Haiyan Holdings. Masing-masing berbual antara satu sama lain sementara menantikan kedatangan Pengerusisyarikat, Tengku Haiyan. Irish menghalakan kakinya ke arah Encik Naufal lalu diserahkan fail-fail yang berada di tangan kepada lelaki itu sebelum mengambil tempat di sebelah Puan Faridah, tanpa sedar setiap tingkah-lakunya diperhatikan oleh sepasang mata yang duduk di bahagian hadapan bersebelahan Tengku Hafiy.
Tengku Harrys hanya memandang Irish dengan senyuman sebaik gadis itu memasuki bilik ini tadi. Tidak dapat digambarkan bagaimana rupa gadis itu apabila mengetahui tentang ‘rahsia’ yang disimpannya selama ini. Ketawa yang cuba ditahan sejak di pantry pagi tadi terhambur jua sebaik dia melangkah ke dalam biliknya.
“Irish, Irish! Tak sangka kita akan bertemu di sini. What a small world!” bicara lelaki itu sendirian dengan ketawa yang masih bersisa.
Insiden perlanggaran itu memang benar-benar meninggalkan kesan pada diri, jiwa serta fikirannya. Insiden yang membuatkan wajah gadis itu sentiasa melekat di kepalanya. Tiga kali! Pertama kali lebih setahun yang lalu di SACC Mall ketika dia pulang ke Malaysia bercuti. Kali kedua adalah beberapa minggu selepas itu semasa dia datang ke syarikat ini untuk berjumpa dengan abang dan papanya sebelum berangkat pulang ke UK. Dan kali ketiga di sini jugalah sewaktu dia baru pulang ke Malaysia. Ketika itu dia datang ke syarikat untuk mengambil beberapa fail dan dokumen dari Tengku Haiyan.
Tiga kali Irish telah melanggarnya. Dan sebanyak tiga kali itu jugalah gadis tersebut meminta maaf tanpa memandang lansung wajahnya. Hanya berlalu pergi meninggalkannya tanpa sempat dia berkata apa-apa. Masih terbayang di mindanya betapa kalut gadis itu sewaktu mereka berlanggar. Tapi disebabkan tingkah gadis itulah hatinya yang selama ini beku terhadap perempuan, sedikit tercuit. Dan semenjak itu jugalah wajah Irish tersimpan rapi di dalam kotak ingatannya dengan harapan akan dipertemukan suatu hari nanti.
“Allah mendengar doa aku, Irish. Suara hati aku.” Luah Tengku Harrys sambil merenung ke arah bangunan-bangunan yang megah berdiri di bandaraya itu menerusi jendela biliknya.
“Assalamualaikum. Selamat pagi, semua.”
Suara Tengku Haiyan yang hadir ke bilik mesyuarat lansung menghentikan lamunan Tengku Harrys serta-merta. Tidak sedar entah berapa lama dia sudah mengelamun di situ.
“Maaf, saya lewat sikit. Ada urusan tadi. Shall we start now?” soal Tengku Haiyan. Semua yang ada di situ menganggukkan kepala tanda bersetuju.
Tepat jam 10.10 pagi Tengku Hafiy mula mempengerusikan mesyuarat itu. Memang kebiasaannya mesyuarat besar sebegitu akan dikendalikan olehnya selaku CEO syarikat. Mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu berjalan dengan lancar dan diberi sepenuh perhatian oleh setiap ahlinya. Namun tidak bagi Tengku Harrys. Tumpuannya sedikit terganggu dek kerana Irish yang turut berada di situ. Ingatannya melayang jauh mengingati setiap detik pertemuannya dengan gadis tersebut.
Inilah kali pertama Tengku Harrys tidak memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja. Biasanya dia dikenali sebagai seorang yang begitu komited terhadap tugas, sama ada di universiti mahupun di tempat kerja sewaktu di UK dahulu. Tapi kali ini berbeza. Dia sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku pada dirinya.
‘Apa kena dengan kau ni, Harrys? Tak pernah-pernah kau buat perangai macam ni. Hmmh, parah!’ terdengar suara-suara kecil berbisik di dalam hati lelaki itu.
HONDA City putih miliknya diletakkan elok di tempat parkir. Pulang saja dari pejabat, dia lansung menghubungi Athirah untuk bertemu. Dia benar-benar perlukan rakannya itu untuk mengusir resah yang sedang bersarang dalam hati saat ini. Langkah kaki diatur memasuki sebuah kafe yang terletak di tengah Bandaraya Shah Alam. Baru beberapa saat duduk dilabuhkan, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.
“Assalamualaikum, cik adik. Ada kat mana tu?” sapa Irish sebaik panggilan dijawab.
“Waalaikumussalam. Aku dah nak sampai area kafe ni. Kau kat mana?”
“Aku dah masuk dalam. Nanti kau masuk je terus ke kiri. Dari situ kau dah boleh nampak aku. Cepat datang. Aku tunggu.”
“Yelah, maam! Sekarang jugak aku datang! See you around five minutes.”
Irish menyimpan telefonnya kembali. Sementara menanti Athirah, dia memesan segelas minuman untuk membasahkan tekak. Ruang kafe tersebut kelihatan semakin didatangi pengunjung memandangkan waktu sekarang sudah mencecah angka 9.00 malam. Ada yang bersama keluarga, teman-teman, pasangan masing-masing dan tidak kurang juga ada yang hanya bersendirian sepertinya kala ini.
“Hey! Mengelamun!” sergah satu suara sambil melambai tangannya di hadapan Irish.
“Mana ada. Saja tengok-tengok orang kat sini. Tunggu kaulah lama sangat.”
“Ya ke lama?”
“Adalah dalam satu jam.”
“Hah?! Kau biar betul, Rish?” Pantas Athirah menarik muka Irish memandangnya. Bimbang jika benar Irish telah menunggunya sebegitu lama. Namun hanya berapa ketika kedengaran Irish tergelak.
“Kau kenakan aku, ya!” Pantas Athirah memukul lengan Irish.
“Kan? Selalu bukan main lambat lagi. Suka buat aku tertunggu sorang-sorang. Hari ni, amacam? Besttak kena penangan aku sesekali?”
“Amboi, amboi! Sukanya dia gelakkan orang! Tak apa, tak apa. Hang tunggulah nanti kalau turn hang, aku gelakkan puas-puas!”
“Okay, okay okay! Tak gelak dah. Aku tutup mulut!”
“Tahu takut! Ha, ada apa kau call aku ajak jumpa tiba-tiba ni? Sampai tak sempat-sempat nak tunggu weekend.”
“Tak ada apa. Saja nak jumpa kau. Rindu.”
“Ya ke ni? Macam tak percaya je. Ke kau ada masalah?”
“Tak adalah. Aku okay je. Dah, orderlah makan cepat. Ke kau tak lapar?”
“Mahu tak lapar balik-balik kerja ni. Tengah hari tadi pun aku tak sempat makan, kau tahu? Sibuk dengan kerja punya pasal.”
“So, tunggu apa lagi? Orderlah.”
“Habis kau? Takkan minum air je kut. Pengsan kang nanti, tak larat aku nak angkat!”
“Ya. Aku pun nak order sekalilah ni.”
Sejurus itu Athirah memanggil pelayan untuk memesan makanan. Hanya dalam setengah jam barulah mereka dapat mengisi perut yang sememangnya sudah terasa lapar.
“So,macam mana dengan kerja kau? Okay?”
“Okaylah, Rish. Cuma stress sikit. Biasalah. Kerja bank, kan. Tak boleh tangguh-tangguh. Hari tu jugak nak kena selesai. Dengan menghadap customer lagi.” Athirah bercerita tentang kerjanya sebagai eksekutif di salah sebuah bank di Shah Alam. “Kau?”
“Okay. Cuma...,” kata-kata Irish terhenti di situ, menyebabkan Athirah yang sedang menyedut minuman mengangkat wajahnya serta-merta.
“Cuma apa?”
Pertanyaan Athirah itu tidak dijawab Irish. Baru tadi dia terasa beban yang ditanggung sejak dari pejabat hilang sebaik bertemu rakannya ini. Namun sekarang resahnya kembali bertandang. Gusar benar hati memikirkan hal yang satu itu.
“Kau kenapa, Rish? Betulkan aku cakap kau ada masalah. Kalau tak, tak adanya kau cari aku malam-malam macam ni. What’s wrong? Ceritalah dengan aku.”
Irish terus-terusan membisu. Dan kali ini satu keluhan berat dilepaskan. Melihatkan itu, Athirah segera mengalihkan pinggan dan gelasnya ke tepi sebelum memberi tumpuan pada gadis di hadapan. “Cepatlah cerita. Aku tunggu ni.”
“Kau ingat lagi tak aku pernah cerita aku terlanggar orang dulu?”
“Yang dua kali tu? Yang kau cakap kau cuma minta maaf tapi tak sempat nak pandang muka orang tu sebab nak cepat?”
Irish mengangguk. “Baru-baru ni aku ada terlanggar orang lagi.”
“Hmm? Dah jadi tiga kalilah ni? So, apa masalahnya sekarang? Apa kena-mengena kes tu dengan kerja kau? Dan bukannya tiga-tiga insiden tu orang yang sama kau langgar, kan? At least kau dah minta maaf. Cuma tak sempat nak pandang muka diorang je sebab kau memang betul-betul nak kejar masa time tu.”
“Memang masalah pun, Ira. Yang tiga kali aku terlanggar tu, orang yang sama.”
Membulat mata Athirah memandang Irish. “Kau biar betul, Rish?!”
“Hmm... betullah.” Balas Irish lemah.
“Mana kau tahu tiga kali kau langgar tu orang yang sama?”
“Sebab orang yang aku langgar tu anak big boss aku.”
“Hah??!” Athirah terlopong. Kali ini dia benar-benar terkejut. Duduknya yang sedikit santai tadi sudah menegak memandang ke arah Irish kini.
“Tutuplah sikit mulut tu. Kang masuk pulak lalat!” Irish masih sempat bergurau sambil tangan kanannya menutup mulut Athirah. Namun cepat-cepat gadis itu menepis.
“Jap! Kau cakap yang kau langgar tu lelaki, kan? Anak big boss kau. Setahu aku anak big boss kau yang lelaki, sorang tu jelah. Kawan along kau. Yang lain perempuan, kan?” Athirah inginkan kepastian. Memang Irish ada menceritakan padanya tentang keluarga majikannya itu. Jadi secara tidak lansung dia mengetahui serba sedikit tentangnya.
“Tengku Haiyan ada sorang lagi anak lelaki. Adik pada Tengku Hafiy. Baru balik dari oversea. Aku pun baru tahu masa semua staf dok sibuk bercerita masa dia balik Malaysia hari tu. Dan sekarang, anak lelaki dia kerja kat syarikat tu.”
“Ha! Don’t tell me anak big boss kau tu yang bagitahu sendiri pasal semua ni, Irish?”
“Memang ya pun. Siang tadi dia bagitahu. Parah aku macam ni, Ira!”
Serentak itu ketawa Athirah kedengaran. Geli hati mendengar jawapan Irish. Orang-orang di sekeliling yang memandang ke arahnya lansung tidak dipedulikan. Lama gadis itu melayan gelak hingga akhirnya dia mengesat airmata yang keluar dek terlalu asyik ketawa.
“Amboi! Senangnya hati dia ketawakan orang. Tadi kata nak dengar masalah. Sekarang bukan main suka ketawakan.”
“Kan aku dah cakap. Tadi kau seronok ketawakan aku, kan. Sekarang, turn akulah gelakkan kau puas-puas!” Athirah menyambung kembali tawanya.
“Baliklah macam ni.”
“Eh, janganlah merajuk! Okay, okay. Aku stop!” pantas Athirah menarik tangan Irish sebelum sempat gadis itu bangun. Ketawa yang masih berbaki segera dihentikan. “So... memang betullah tiga-tiga kali yang kau terlanggar tu anak big boss kau?”
“Hmm.”
“So, macam mana?”
“Macam mana apa?”
“Yelah. Macam mana anak big boss kau tu? Err... siapa namanya?”
“Tengku Harrys.”
“Ha, macam mana reaksi Tengku Harrys tadi masa bagitahu pasal semua ni kat kau? Dia marah ke? Atau mengamuk?”
“Biasa je. Tak ada nampak marah. Tu yang aku rasalah. Tapi dalam hati dia aku tak tahu sebab masa dia bagitahu tadi dia terus pergi macam tu je.”
“Ha... tu maknanya dia tak marahlah tu. Dia okay kut. Kau jangan risaulah!”
“Mana kau tahu? Tahu tak, masa dia bagitahu tadi dia minta aku buatkan air. Lepas dapat je air dia terus cakap terima kasih dan anggap itu sebagai denda sebab tiga kali aku langgar dia, tiga kali tu jugak aku minta maaf tapi tak pandang muka dia.”
Sekali lagi ketawa Athirah pecah. Kali ini lebih kuat.
“Kau janganlah gelak, Ira! Aku tengah risau ni. Tu baru dia suruh buat air. Lepas ni tak tahulah macam mana. Agaknya lagi teruk dari tu.” Irish meluahkan kerisauannya. Bagai hendak menangis saja rasanya dia saat ini.
“Sabarlah, Rish. Tak ada apa-apalah! Dia saja je tu nak menyakat kau. Tulah, lain kali kalau jalan sorang-sorang tu pandang depan. Ni tak, asyik tunduk bawah je!” tingkah Athirah sedikit geram. “Tapi kan Rish… handsome tak Tengku Harrys tu?”
“Kan? Kau memang suka kalau bab-bab macam ni, kan?”
“Saja je aku nak tahu. Cakaplah, handsome tak dia?”
“Bolehlah.”
“Dengan abangnya, handsome lagi siapa?”
“Entah. Dua-dua kut.” Irish menjawab sambil lewa.
“Ya ke?? Hmm... menarik!”
“Apa yang menarik?”
“Kalau aku jadi kau, tak kisahlah Tengku Harrys tu nak suruh aku buat apa untuk dia. Manalah tahu, something interesting is going to happen.” Athirah tersenyum sambil mengangkat-angkat keningnya.
“Apa yang happen?”
“Tak ada apa-apalah. Jom, balik. Dah lewat ni. Risau pulak family kau kat rumah nanti.”
Athirah bingkas bangun dari duduknya. Namun bibirnya masih menguntum senyum. Bagai menyimpan maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya sebentar tadi.