TENANG sahaja pemanduan Izzul menyusuri jalan raya malam ini, walaupun sebenarnya dia sudah lewat untuk sampai ke tempat yang dituju. Irish di sisi dikerling. Adiknya itu hanya mengunci mulut sejak mereka bertolak dari rumah tadi. Sekejap dia memandang hadapan, sekejap tertunduk bermain dengan jari-jemarinya. Bila sudah bosan, dia membuang pandang semula ke luar tingkap. Adakalanya sukar untuk mentafsirkan apa yang bermain di fikiran Irish.
Lamunan Izzul terhenti apabila dikejutkan dengan nada dering telefonnya. Nombor si pemanggil jelas tertera di skrin. Pantas dia menjawab panggilan tersebut melalui handsfree.
“Hafiy call. Tanya kenapa kita tak sampai-sampai lagi,” jelas Izzul. Sejurus itu dia melihat jam di tangan. “Pukul berapa majlis tu mula?”
“Pukul 9.00 malam.”
“Hmm...sekarang dah 9.15. Mungkin dalam 9.30 baru kita sampai sana. Memang lambatlah kita sampai ni, Rish. Sorrylah, along tak sangka pulak nak jadi macam ni.”
“Tak apalah, long. Janji boleh sampai sana, cukuplah.”
Izzul mengerling Irish. Sebuah senyuman manis dihadiahkan padanya. Laju sahaja tangannya mengusap kepala gadis itu. Sudah agak jarang dia dapat melihat senyuman itu. Sejak lebih dua tahun yang lalu. Senyuman itu bagaikan telah mati. Mati bersama kisah duka yang dilalui gadis tersebut.
Selang beberapa minit, kereta Hyundai Sonata putih itu kelihatan memasuki pekarangan Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Izzul meminta adiknya untuk turun dahulu dan menunggunya di lobi hotel sementara dia memarkir kereta. Irish akur.
“Irish!”
Pantas Irish berpaling. “Abang Hafiy. Maaf terlambat.”
“Tak apa. Janji sampai. Izzul mana? Irish datang dengan dia, kan?”
“Ada.Along pergi parking kereta sekejap.”
Lelaki itu tengangguk-angguk. Sekilas dia melihat jam di tangan. Dan ketika itu dia terdengar namanya dipanggil dari belakang.
“Zul.Sampai pun kau!”
“Sorry,bro! Aku terlewat sikit. Bukan sikit. Banyak aku rasa!”
“Ah,tak ada hallah! Awal-awal pun bukan ada apa. Dah, jomlah masuk! Mari, Irish!”
Mereka bertiga menapak ke dalam dewan di mana berlansungnya majlis makan malam tahunan Haiyan Holdings Berhad. Tengku Hafiy terus membawa kedua beradik itu duduk dimeja tidak jauh dari kedudukan pentas. Irish mengambil tempat di sisi Izzul,manakala Izzul duduk bersebelahan Tengku Hafiy. Mujurlah Insyirah, Natasya serta Kak Maisarah turut berada di meja yang sama.
Majlis makan malam itu berlangsung dalam suasana yang agak tenang. Sambil menikmati hidangan, para tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada artis jemputan serta para pekerja Haiyan Holdings sendiri. Celoteh dan jenaka pengacara majlis juga membuatkan para hadirin tak kering gusi. Masing-masing kelihatan gembira dan teruja.
Dalam kesamaran cahaya, sempat mata Irish melihat ribuan tetamu yang hadir. Kelihatan Tengku Haiyan dan isterinya duduk di meja paling hadapan bersama beberapa tetamu VIP dan VVIP. Bersebelahan meja itu pula dipenuhi kesemua adik-beradik Tengku Hafiy serta beberapa orang tetamu yang tidak dikenali.
Kini matanya terhenti pada lelaki yang segak memakai tuxedo hitam. Khusyuk benar lelaki itu menyaksikan persembahan di atas pentas. Di sebelahnya pula kelihatan seorang gadis sedang bersandar mesra pada bahunya. Irish mengamati wajah gadis tersebut. Dia seakan pernah melihatnya sebelum ini.
Dalam Irish cuba mengingati, tanpa diduga lelaki tadi menoleh ke arahnya. Mata mereka bertemu, membuatkan kedua-duanya seakan terpaku. Lama mereka berkeadaan begitu sehingga Irish melarikan pandangannya ke tempat lain. Entah mengapa, terasa ada satu perasaan halus seakan hadir menyelinap masuk ke dalam ruang hatinya. ‘Ya ALLAH. Kenapa dengan aku ni?’
“Irish.”
Terasa bahunya disentuh. Irish menoleh. “Hmm?”
“Irish okey ke?” tanya Izzul.
“Eh, okey. Irish okey aje!”
“Kalau okey kenapa along panggil bua tselamba?”
“Hmm…iya ke? Muzik kuat sangat kut. Irish tak dengar.”
“Sure?”
Irish pantas mengangguk, cuba berlagak selamba sambil mempamerkan senyuman bagi menutup kegelisahannya. “Err... long. Irish nak pergi toilet sekejap.”
“Okey. Baik-baik.”
Irish melangkah keluar dari dewan itu lantas mencari tandas yang berhampiran. Niat di hati ingin membasahkan sedikit muka agar hilang rasa mengantuknya sejak di dalam dewan tadi. Beberapa minit mencari, akhirnya dia terjumpa signboard yang memaparkan gambar lelaki serta wanita. Terus sahaja kakinya mengatur langkah ke tempat itu.
“Lambat sampai?”
Serta-merta langkah Irish terhenti. Bagai ingin luruh jantungnya mendengarkan suara itu. Perlahan-lahan dia berpaling. Dilihatnya Tengku Harrys sedang elok bersandar di suatu sudut sambil berpeluk tubuh.
‘Bila masa pulak dia bersandar kat situ? Bukan tadi dia kat dalam ke?’
Melihat Irish hanya berdiri kaku di tempatnya, Tengku Harrys melangkah mendekati gadis itu. Matanya juga tidak lepas dari memandang seraut wajah di hadapan yangkelihatan agak berbeza malam ini.
“Kenapa lambat?”
“Hmm?Err... A... ada hal sikit tadi.”
Irish tertunduk. Tidak berani menentang mata lelaki itu. Bukan dia tidak biasa ditenung begitu, tetapi malam ini pandangan Tengku Harrys amat berlainan sekali.
“Kenapa tak bagitahu saya?”
Berkerut dahi Irish. Lantas dia memandang Tengku Harrys semula. “Perlu ke?”
“Of course. Awak bekerja bawah saya. Dan event ni ada kena-mengena dengan syarikat. Jadi apa-apa berkaitan dengan awak, saya perlu ambil tahu. In case something hapenned to you, it would be my responsibility.” Tengku Harrys mengetap gigi. Sama ada betul atau tidak jawapan yang diberikan, dia tidak pasti. Dia sendiri tidak tahu apa kena dengan dirinya malam ini.
“Tapi saya datang dengan abang saya.”
“Atleast, let me know.”
“Err...saya tak ada nombor Tengku. Sebab tu saya tak boleh nak bagitahu,” balas Irish lagi. Sekurang-kurangya dia punya alasan agar tidak terus dipersalahkan.
“I can’t accept that reason. Sa...”
“Harrys!”
Panggilan itu sekali gus mematikan kata-kata Tengku Harrys, membuatkan kedua-duanya menoleh. Tengku Melissa kelihatan sudah tercegat berdiri sambil memandang ke arah mereka. Dan kesempatan itu tidak dilepaskan Irish untuk menjauhkan dirinya dari Tengku Harrys.
“Harrys...where are you going? Puas I cari you. Kat sini you rupanya!” Tengku Melissa bergerak menghampiri sepupunya sebelum lengan lelaki itu dipaut mesra. Namun sesaat, Tengku Harrys menarik lengannya kembali. Rimas dengan perlakuan gadis itu.
“What?”bentak Tengku Harrys geram. Berang dia lantaran perbualan bersama Irish sebentar tadi diganggu gadis itu.
“I tanya you pergi mana? Kenapa tinggalkan I sorang-sorang kat dalam?”
“Tinggalkan you sorang-sorang kat dalam? You tak nampak ke berapa ramai orang kat dalam tu?”
“Harrys! Kenapa dengan you ni? Tiba-tibanak marah. Boleh tak jangan layan I macam ni!” rengek Tengku Melissa seperti anak kecil.
“Whatever!”
Wajah Tengku Harrys sudah bertukar merah. Rasa marahnya yang tersimpan sejak tadi langsung dilepaskan pada Tengku Melissa yang seakan mencabar kesabarannya pula.
Irish sudah tidak senang untuk berada di situ. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk,lebih baik dia beredar. Terus sahaja langkahnya diatur masuk ke dewan semula. Niat untuk ke tandas pada mulanya tadi juga terpaksa dilupakan. Hilang sudah rasa mengantuk dek kejutan yang diberikan oleh kedua manusia itu.
“LAMANYA pergi tandas?” tanya Izzul sejurus Irish kembali ke tempat duduknya.
“Pusing-pusing cari toilet tadi tak jumpa. Tanya orang baru jumpa,” balas Irish cuba berselindung, tidak mahu alongnya tahu apa yang telah berlaku. Berpuas hati dengan jawapan Irish, Izzul kembali berbual dengan Tengku Hafiy serta beberapa rakan mereka yang lain.
Irish menarik nafas lega. Tidak perlu dia bersoal jawab panjang dengan alongnya. Namun jantungnya masih berdegup laju. Insiden sebentar tadi masih terbayang-bayang di benaknya. Ini kali kedua dia melihat Tengku Harrys dalam keadaan marah seperti itu. Tetapi marah lelaki itu kali ini adalah disebabkan olehnya. Yang lebih menghairankan, lelaki itu begitu marah apabila dia tidak memaklumkan tentang kelewatannya hadir ke majlis ini.
Bukankah Tengku Harrys sudah sedia maklum yang dia datang ke sini bersama Izzul? Jadi mengapa perlu risau? Tidak habis marah lelaki itu dilepaskan padanya, dilampiaskan pula pada Tengku Melissa yang tiba-tiba muncul di situ. Dia tidak tahu apa yang terjadi selepas dia mengangkat kaki meninggalkan kedua-dua mereka di luar.
Irish tergerak hati untuk melihat ke arah meja yang diduduki Tengku Harrys. Sekali lagi darahnya berderau apabila lelaki itu sudah berada di tempatnya. Matanya masih tetap seperti tadi, merenung ke arahnya. Malah dirasakan renungan lelaki itu semakin tajam hingga dia tidak berani untuk menentang lagi. Sungguh, dia tidak faham dengan sikap Tengku Harrys malam ini.
“Para hadirin sekalian. Macam mana dengan hidangan malam ini? Menyelerakan?” Suara pengacara majlis wanita bergema di dalam dewan. Semua tetamu bersorak mengiakan.
“Kalau berselera, habiskan semua. Jangan risau. Makanan ini memang khas untuk anda malam ni. Baiklah, sebagai penutup persembahan majlis pada malam ini, kita akan dihiburkan dengan satu lagi persembahan dari artis jemputan,” ucap pengacara majlis yang seorang lagi.
“Siapa artis jemputan kita tu, Haikal?”
“Agak-agak siapa, Hanis?”
“Saya cuba teka. He’s one of our rock legend artist, right?”
“Exactly! Rasanya semua orang cukup kenal dengan beliau. Jadi tanpa membuang masa lagi dipersilakan ke pentas artis terakhir kita pada malam ini, Rahmat Mega!”
Serentak itu, sebuah lagu berkumandang mengiringi kemunculan penyanyi tersebut dari belakang pentas. Sebaik melihat kehadirannya, semua hadirin bersorak danber tepuk tangan.
“Assalamualaikum dan selamat malam semua. Saya tahu anda familiar dengan lagu ni. Jadi saya nak anda semua menyanyi bersama-sama dengan saya, okey?” ujar penyanyi itu dan permintaannya dibalas dengan sorakan yang lebih kuat dari para hadirin.
Tak pernah ku alami tak mungkin ku hindari
Di himpit perasaan bayangan gurauan
Di dalam jaga ku tercari-cari di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri melambai dan terus menyepi
Jangan biarkanku ternanti-nanti usah benarkan masa berlalu pergi
Cintamu oh gadis misteri adakah kekal dan abadi
Andai diberikan emas permata ku pilih senyumanmu
Andai ku punyai mahligai indah ku hadiahkan untukmu
Dalam berjuta bintang berkerlipan kau bagaikan kejora
Antara ribuan mata menikam takkan ku biarkan kau tenggelam
Di dalam jaga ku tercari-cari di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri adakah dapat ku kenali
( Belum puas kutemui... )
Selesai mendendangkan lagu tersebut, semua hadirin berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada persembahan penyanyi itu. Untuk beberapa ketika, dewan itu sedikit hingar dengan sorakan mereka.
Hanya Tengku Harrys seorang sahaja yang tidak berganjak dari kerusinya ketika yang lain bangun berdiri sebentar tadi. Jasadnya di situ, tetapi fikirannya melayang entah ke mana. Lagu dendangan penyanyi tadi benar-benar mengusik jiwanya. Lagu yang selalu meniti di bibirnya, sering memenuhi halwa telinganya dan sentiasa menemani hari-harinya semenjak insiden pelanggarannya dengan Irish dulu. Pantas Tengku Harrys menoleh. Gadis itu masih setia di situ, leka menyaksikan persembahan diatas pentas.
‘Bayangmu umpama satu gurauan, Irish. Dan aku tak pasti ia akan menjadi satu kenyataan, atau akan terus menjadi gurauanmu!’ bisik hati kecilnya.
“AKU mintak diri dululah, Fiy. Dah lewat ni.”
“Alright! Tapi jumpa orang tua aku dulu. Dia orang dah pesan jangan bagi kau balik sebelum jumpa.”
Izzul tertawa kecil. Tanpa banyak soal dia mengikut sahaja langkah Tengku Hafiy bersama Irish.
“Papa, mama. Izzul dengan Irish nak balik dah.”
“Eh! Nak balik dah ke, Zul?” Tengku Haiyan bangun lalu bersalaman dengan Izzul dan Irish, disusuli isterinya.
“Kamub erdua aje dengan Irish, Zul? Anak isteri kamu mana?”
“Kat rumah, Mak Engku. Izmie tak sihat. Tu yang lambat tadi. Hantar dia pergi klinik dulu. Tapi dah inform kat Hafiy awal-awal.”
Jawapan Izzul itu membuatkan jantung Tengku Harrys tersentap. Laju matanya mencari wajah Irish. Namun gadis itu langsung tidak memandangnya. Dia pasti Irish berkecil hati.
“Tak apalah, Zul. Kesihatan anak tu lagi penting. Bila-bila masa aje nanti boleh bawa cucu-cucu Pak Engku tu datang ke rumah. Ni... Pak Engku nak kenalkan sekejap dengan abang Pak Engku, Tengku Arham. Yang sebelah ni isterinya, Tengku Kamelia.
Selama jadi anak angkat kami belum pernah kamu berdua jumpa mereka, kan. Alang-alang dah ada malam ni, Pak Engku kenalkanlah. Maklumlah, abang Pak Engku ni selalu ke oversea. Jadi nak ada kat sini selalu tu memang payah. Raya pun belum tentu ada!” seloroh Tengku Haiyan disambut ketawa yang lain. Izzul dan Irish menyambut baik salam perkenalan tersebut lalu bersalaman dengan pasangan suami isteri yang dimaksudkan.“Panggil pak ngah dengan mak ngah aje. Kalau dah kamu berdua anak angkat Haiyan, maknanya anak kami jugaklah. Kan, Lia?” sapa Tengku Arham ramah sambil dibalas anggukan isterinya di sebelah.
“Nasib baiklah Mak Engku ni anak tunggal. Kalau tak, lagi ramailah keluarga ‘tambahan’ kamu berdua. Ya tak?” celah Tengku Dafina tiba-tiba.
“Ha, yang berdua ni anak mereka. Sebelah mak ngah tu yang sulung, Tengku Amni Zafran. Dan yang perempuan tu adiknya, Tengku Auni Melissa. Dia orang berdua ni baru balik dari US. Baru habis belajar,” terang Tengku Haiyan lagi sambil menunjuk pada dua beradik itu. “Sorang lagi anak pak ngah, Tengku Amni Zafrie ada di Ireland sekarang. Tengah study medic kat sana. Kak long Pak Engku pulak tinggal di London satu keluarga. Insya-ALLAH ada rezeki, lain masa dapatlah jumpa.”
Izzul bersalaman dengan Tengku Zafran yang ketika itu duduk bersebelahan Tengku Kamelia dan juga Tengku Melissa yang masih setia di sisi Tengku Harrys. Cuma Irish sahaja yang bersalaman dengan Tengku Melissa, walaupun gadis itu separuh hati menyambut huluran salamnya. Dengan Tengku Zafran, dia sekadar menundukkan wajah.
Sama ada betul atau matanya yang salah pandang, dia perasan sepasang mata Tengku Zafran sedari tadi asyik merenung tajam padanya. Barangkali lelaki itu marah atau terasa dengan sikapnya. Atau mungkin lelaki itu tidak suka dengannya.
‘Ah, biarkanlah!’ getus hati Irish. Sudah malas mahu memikirkan semua itu.
Hal yang berlaku tadi sudah cukup memeningkan kepalanya. Ditambah pula dengan yang ini. Cukuplah. Malam ini otaknya sudah penat untuk berfikir. Yang terlintas di kepalanya saat ini hanyalah mahu segera pulang dan merehatkan dirinya yang sudah cukup letih.