“MACAM mana perkara ni boleh berlaku? Setahu saya pembinaan fasa pertama dan kedua sebelum ni semuanya berjalan lancar mengikut jadual. Jadi kenapa fasa ketiga ni boleh timbul masalah macam ni?” Encik Saiful bertanyakan pada semua pekerja-pekerja syarikat yang telah ditugaskan untuk menyelia dan memantau perjalanan projek pembinaan hotel bertaraf lima bintang itu. Sebaik melawat tapak projek pagi tadi, Tengku Harrys mengarahkan semua pekerja atasan untuk berkumpul di bilik mesyuarat Haiyan Corporation, iaitu anak syarikat Haiyan Holdings yang beroperasi di Johor Bharu bagi membincangkan masalah-masalah yang berlaku.
“Memang pembinaan untuk fasa pertama dan kedua semuanya berjalan lancar, Encik Saiful. Masuk fasa ketiga ni kami tak sangka materials yang kita gunakan rupanya tak berkualiti sampai bangunan di bahagian belakang yang dah dua puluh lima peratus siap tu mengalami keretakan dan sebahagiannya telah runtuh,” jawab Encik Khalis selaku Pengarah Urusan Haiyan Corporation.
“Bukan ke syarikat pembekal yang bekalkan semua materials tu adalah pembekal yang sama untuk fasa sebelum ni? Jadi macam mana isu bahan-bahan tak berkualiti untuk fasa ketiga ni boleh timbul? Rasanya kita dah maklumkan pada mereka dalam kontrak bahawa segala apa bentuk materials yang kita gunakan untuk projek ni dari awal hingga ia siap perlu mengikut semua standard yang kita dah tetapkan tanpa ada sebarang perubahan pun selagi kita sendiri tak ubahnya.” Kali ini Encik Hazman pula bersuara.
“Betul, Encik Hazman. Semua materials yang kita pesan dengan pihak pembekal untuk fasa ketiga ni dah ikut standard asal macam fasa yang sebelum ni. Kami tak pernah ubah apa-apa pun. Tapi pihak pembekal dakwa pegawai kita yang ubah semua pesanan tu dan minta mereka hantar bahan-bahan yang harganya lebih murah. Bila kami check semula data-data dalam rekod pembelian, tak ada apa yang berubah pun. Sama je macam yang asal. Itu yang timbul sikit kemushkilan. Jadi kita semua sedia maklum bila bahan-bahan yang dihantar tu adalah lebih murah, dah tentulah kualitinya pun rendah berbanding bahan-bahan yang kita dah gunakan sebelum ini. Sebab tu daya ketahanannya pun kita boleh lihat sendiri macam mana,” terang Encik Shamrin pula, salah seorang arkitek syarikat yang bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan projek hotel tersebut.
Untuk seketika, suasana di dalam bilik itu menjadi hening. Masing-masing menunggu giliran Tengku Harrys untuk bersuara. Sejak masuk ke dalam bilik ini lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja.
“Macam mana dengan pegawai kewangan tu sekarang?” akhirnya kedengaran juga suara lelaki itu membuka mulut.
“Pihak polis masih menjejaki Mr. Raymond, Tengku.” Encik Khalis menjawab pertanyaan tersebut.
“Memang tak dapat lansung cari dia?”
“Itu masalahnya, Tengku. Lepas kejadian bangunan runtuh berlaku semalam, Mr. Raymond terus hilang macam tu je. Kamidah cuba contact banyak kali tapi tak dapat. Rumah dia pun dah kosong!” terang Zila yang merupakan pembantu Mr. Raymond, satu-satunya orang yang bertanggungjawab untuk semua permasalahan yang timbul ketika ini.
“Hmm, biasalah. Orang dah buat salah, cepat jelah dia lari. Kita baru nak start enjin kat sini, dia dah sampai Perlis dah!”
Dalam keadaan yang tegang itu, sempat lagi Encik Saiful berjenaka. Semua yang berada di bilik itu spontan tertawa.
“So sekarang macam mana, Tengku?” tanya Henry setelah keadaan kembali tenang.
“Biar polis buat kerja mereka dulu. Sekarang ni apa yang perlu kita buat, kita kena bina semulafasa ketiga hotel tu dan selesaikan masalah dengan syarikat pembekal. Kita dah tak ada banyak masa. Kena siapkan setiap fasa projek mengikut schedule yang dah ditetapkan. Encik Shamrin, awak bawa Encik Saiful pergi jumpa syarikat pembekal lepas ni dan bincang semula dengan mereka. Bagitahu yang kita tak pernah arahkan untuk terima sebarang pesanan selain dari apa yang kita dah tetapkan dari awal dalam kontrak. Sepatutnya masa mereka terima arahan tu, they should discuss with us first. Bukan bulat-bulat terima arahan tersebut. Kecuali mereka memang dah bersekongkol dengan Mr. Raymond. Dan tengok? Apa dah jadi dengan bangunan tu sekarang bila mereka hantar bahan-bahan yang tak berkualiti macam tu?” ujar Tengku Harrys. Ada sedikit ketegasan dalam nada suara lelaki itu kali ini. Dia yang tadinya hanya duduk tenang di kerusi, kini sudah tegak berdiri menghadap semua pekerja-pekerjanya.
“Jadi sekarang, kita nak mereka hantar segala bentuk materials yang kita gunakan untuk projek ni mengikut standard yang betul seperti dalam kontrak perjanjian dulu. Dari awal sampai projek ni siap sepenuhnya. Tanpa ada sebarang perubahan pun. Kecuali kita sendiri nak ubahnya. Itupun akan dibuat melalui perjanjian juga. Kalau mereka tak nak, kita akan beri kata dua. Sama ada mereka nak terus bekerjasama dengan kita dan kita akan bayar sebanyak lima puluh peratus materials yang dah mereka bekalkan untuk fasa ketiga ni, ataupun kita berhenti berurusan dengan mereka dan cari pembekal yang lain tanpa bayar satu sen pun. Kalau mereka nak cakap pasal rugi, syarikat kita lagi banyak rugi dengan bangunan yang runtuh macam tu. Nak kena dirikan semula. Bukan sesuatu benda yang mudah dan murah. Belum dikira penat lelah kita yang kerja untuk itu lagi. Am I right?”
Spontan pertanyaan Tengku Harrys itu dibalas dengan anggukkan oleh setiap dari mereka yang berada di situ. Termasuk Irish. Melihatkan ketegasan lelaki di hadapan, serta-merta dia berasa kecut. ‘Macam ni agaknya dia akan marah kalau dah buka cerita pasal insiden langgar tu,’ duga Irish. Boleh menangis rasanya kalau dia dimarah begini.
“Ada apa-apa soalan lagi? Sebelum saya tangguhkan mesyuarat ni.” Tengku Harrys menyoal sambil jam di tangannya dikerling sekilas.
“So Tengku, financial untuk projek ni pun kena review baliklah? Banyak jugak tu nak kena check,” tanya Kak Faridah.
“Yes! Exactly!” balasnya ringkas. “Anything else?”
Semuanya menggelengkan kepala tanda tiada lagi soalan yang ingin diajukan.
“Kalau tak ada apa-apa, kita tangguhkan mesyuarat setakat ni. Apa-apa perkembangan, kita akan bincangkan dalam mesyuarat seterusnya. So, semuanya boleh balik sambung kerja masing-masing. Tugas anda semua akan jadi lebih tough lepas ni untuk pastikan semua masalah dapat diselesaikan dengan segera. Mr. Shamrin and Mr. Saiful, you guys meet up the suppliers after this. Mr. Hazman and Mr. Henry, two of you will join the other engineers and architects to the project site. Please! Investigate and solve all the problems exist there.Kak Faridah and Irish, both of you follow me.”
Semua pekerja mula bersurai dan bergerak keluar dari bilik mesyuarat itu untuk memulakan tugas dengan kadar yang pantas, sepantas arahan yang diberikan oleh Tengku Harrys pada mereka.
SUASANA dalam bilik itu agak hening. Ketiga-tiga manusia yang berada di dalamnya sedang khusyuk meneliti fail-fail yang bersusun di atas meja. Sejak masuk ke dalam bilik yang telah disediakan khas untuk mereka melakukan kerja, tiada seorang pun yang bercakap atau bersuara. Kecuali jika ada sesuatu perkara yang perlu dibincangkan sesama mereka.
“Tengku, saya nak pergi jumpa Zila sekejap. Ada a few things yang saya perlukan daripada dia,” beritahu Kak Faridah.
“Okay.”
Bersahaja Tengku Harrys menjawab sambil memandang sekilas Kak Faridah yang sedang menuju ke muka pintu. Kemudian tumpuannya kembali pada kerja di hadapan. Tinggal dia dan Irish berdua sahaja di dalam bilik itu kini. Seorang nun di hadapan sana, yang seorang lagi nun di hujung sebelah sini.
Irish juga kelihatan begitu tekun meneliti fail-fail di hadapannya. Tengku Harrys yang berada di hujung hadapan lansung tidak dipandang. Hatinya masih kecut mengingatkan ketegasan lelaki itu semasa di bilik mesyuarat tadi. Hanya sesekali sahaja dia mendongak untuk menghilangkan lenguh di leher yang sedari tadi hanya tertunduk meneliti laporan kewangan projek. Diurut perlahan-lahan tengkuknya itu untuk mengembalikan keselesaan.
“Penat?”
Irish menoleh ke arah suara itu. Pandangan Tengku Harrys lebih dulu menyapanya.
“Sikit.”
“Kalau penat rehatlah dulu,” ujar lelaki itu.
“Tak apa.”
Mereka menyambung kembali tugasan masing-masing. Suasana kembali sepi.
“Boleh buatkan air untuk saya?”
“Hmm?” spontan Irish menoleh. Sedikit kaget dengan permintaan itu.
“Boleh?” pinta Tengku Harrys sekali lagi. Namun, matanya masih setia menatap kertas-kertas laporan di atas meja dengan wajah yang serius.
Irish bangun dari kerusi. Langkah kaki diatur menghampiri lelaki itu. “Tengku nak air panas atau sejuk?”
“Sejuk.”
Sejurus itu Irish keluar dari bilik tersebut untuk ke pantry. Menyedari gadis itu sudah berlalu pergi, barulah Tengku Harrys mengangkat wajahnya. Jelas ada senyuman kecil terukir di hujung bibir lelaki itu.
Masuk sahaja ke dalam pantry, tangan Irish mencapai jug dan juga sudu. Kemudian dia melihat ada sebotol kordial oren yang terletak di atas rak. Segera dicapainya dan dituang sedikit ke dalam jug tadi bersama beberapa sudu gula dan air kosong yang diambil dari peti sejuk. Sambil mengacau mulutnya berbicara sendiri.
“Tadi dia jugak yang tanya penat ke tidak. Sekarang dah suruh buat air pulak, ya? Pandai betul.”
Setelah merasakan air yang dibancuh itu sudah cukup rasa, Irish menuangnya ke dalam sebuah gelas lalu dimasukkan beberapa kiub ais. Diambilnya satu piring kecil sebagai alas lalu terus dibawa ke dalam bilik tadi untuk diberikan kepada Tengku Harrys. Dilihat tumpuan lelaki itu sudah beralih menghadap skrin komputer ribanya.
“Air, Tengku.”
Irish meletakkan gelas tersebut di sebelah Tengku Harrys.
“Oh. Thanks!” ucap lelaki itu. Baru kali ini dia memandang wajah Irish. “Tak bawa awak punya sekali?” soalnya apabila melihat ada satu gelas sahaja di situ.
“Tak apa. Saya dah minum.”
Tengku Harrys menganggukkan kepalanya. Dicapai gelas berisi air oren sejuk itu lalu diteguknya untuk membasahkan tekak.
“Sedap!” ujarnya sambil mengerling Irish sekilas. Diletakkan semula gelas itu di atas alasnya sebelum dia menatap semula komputer riba di hadapan.
Irish kembali ke tempatnya untuk menyambung kerja yang terhenti tadi setelah memastikan tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukan untuk ketuanya itu.
‘Semacam je puji tu. Macam nak suruh buat air untuk dia tiap-tiap hari ni. Hmmh...,’ gumam Irish sendiri. Kerja yang tertangguh sebentar tadi disambung kembali tanpa menghiraukan lagi lelaki di hadapan sana.