Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Bab 20


“BERAPA hari Irish pergi kali ni?” Izzul bertanya sebaik keretanya berhenti di lampu isyarat merah. Seperti yang dirancang, pagi itu dia masuk lambat ke pejabat untuk menghantar Irish yang mempunyai tugasan luar minggu ini.

“Tak tahu lagi, long. Depends pada kerja. Dah selesai semua kat sana baru boleh balik.”

Izzul mendengar sahaja jawapan yang keluar dari mulut Irish. Dia tidak kisah adik perempuannya itu outstation ke mana sekalipun kerana setahu dia, setiap kali Irish pergi pastinya Tengku Hafiy akan turut sama. Jadi dia tidaklah begitu risau.

“Hafiy ikut sekali, kan?”

“Kali ni tak.”

Sepantas kilat Izzul menoleh Irish di sebelah. “Hah?? Kenapa pulak?!”

“Kalau iya pun along pandanglah depan. Kan along tengah drive tu.”

“Ya, along tahu. Tapi kenapa Hafiy tak ikut sekali?”

“Abang Hafiy ada hal penting yang lain. Sebab tu dia tak boleh nak ikut.”

Izzul terdiam. Baru tadi dia berasa senang. Tetapi berita yang baru didengarnya ini membuatkan hatinya mula dipagut risau.

“Habis, siapa yang lead korang kat sana nanti?”

“Adik dia.”

“Tengku Harrys?”

Irish mengangguk. Sebentar kemudian terdengar keluhan dari alongnya.

“Along janganlah risau. Irish boleh jaga diri. Lagipun Kak Faridah kan ada. Adalah jugak kawan perempuan,” jelas Irish, ingin menyedapkan hati Izzul. Padahal hati dia sendiri pun belum tentu tenang.

Suasana di dalam kereta kembali sunyi. Masing-masing mendiamkan diri. Hinggalah kereta milik Izzul tiba di hadapan bangunan Haiyan Holdings. Sebaik mereka keluar dari kereta, kelihatan Tengku Hafiy sudah tersenyum-senyum dari jauh.

“Long, Irish nak naik ofis sekejap. Nak ambil barang sikit,” beritahu Irish. Sempat dia menghadiahkan sebuah senyuman pada Tengku Hafiy yang sudah terpacak di sebelah alongnya.

“Betul ke kau tak ikut kali ni?” Izzul bertanya sebaik kelibat Irish semakin menjauh.

“Hmm. Aku terpaksa attend mesyuaratdengan Kementerian. Nak suruh Harrys, dia masih baru. Belum mahir seratus peratus hal syarikat. So, aku minta dia ikut outstation kali ni. Biar dia tahu sikit projek-projek kat luar tu,” terang Tengku Hafiy. Namun bila melihat rakannya hanya diam membisu, dia tahu lelaki itu sedang memikirkan sesuatu.

“Hey! Kau jangan risaulah! Aku dah pesan kat Harrys suruh tengok-tengokkan adik kau bila kat sana nanti. Aku tahu dia boleh diharapkan. Kau pun kenal dia macam mana, kan?” Tengku Hafiy menepuk-nepuk bahu Izzul, cuba mententeramkan rasa gundah rakannya itu.

Beberapa minit berlalu, Irish turun semula bersama Kak Faridah sambil tangan kanannya membawakan beg kecil kepunyaan wanita itu manakala sebelah lagi memegang beberapa buah fail. Dan ketika itu juga dia melihat Tengku Harrys sudah ada bersama-sama Tengku Hafiy dan alongnya. Spontan jantung Irish berdegup laju. Dan sebaik dia dan Kak Faridah menghampiri kelompok itu, perbualan ketiga-tiga mereka terhenti. Izzul datang mendapatkan adiknya.

“Dah ambil barang dah?”

“Dah, long.”

Izzul berlalu ke bonnet keretanya untuk mengeluarkan barang-barang milik Irish lalu diletakkan di sebelah beg-beg kepunyaan Kak Faridah. Kemudian dia menghampiri Irish semula.

“Along dah nak pergi kerja?”

“Hmm. Irish pun dah nak gerak kan kejap lagi?” pertanyaannya itu dibalas dengan anggukkan oleh Irish. “Jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa terus call along atau family.

“Insya-ALLAH. Along jangan risau. Irish tahu jaga diri.”

“Mahunya tak risau! Dengan Hafiy pun tak ada,” keluh Izzul. “Okaylah, along pergi dulu. Dah sampai nanti jangan lupa bagitahu.” Lantas salam dihulurkan. Sebaik Irish mencium tangannya, terus sahaja ditarik adiknya itu sebelum kepalanya dikucup seperti selalu. Dan kelakuan mereka berdua disaksikan oleh yang lain, termasuk Tengku Harrys.

Okay, Fiy. Aku gerak dulu!” Izzul berjabat pula dengan rakannya itu. Kemudian dia beralih pada Tengku Harrys. Lelaki itu direnung dengan pandangan penuh mengharap. Genggaman salam yang disambut juga dieratkan. “Tolong tengok-tengokkan Irish nanti, Rys.”

“Insya-ALLAH.”

Hanya itu yang jawapan yang terlahir di mulut Tengku Harrys. Dapat dirasakan permintaan Izzul itu bagaikan satu amanah besar untuk dia pikul. Lebih-lebih lagi selepas melihat keakraban hubungan dua beradik itu sebentar tadi.

Izzul beredar menghampiri kereta. Sebelum masuk, sempat dia berpaling pada Irish yang kebetulan memandang ke arahnya. Sebuah senyuman di bibir gadis tinggi lampai itu terukir manis untuknya.

‘Kau tak tahu macam mana along sayangkan kau, Irish!’ Namun kata-kata itu hanya terluah di sudut hati. Lantas Izzul masuk ke dalam kereta sebelum menghidupkan enjin dan berlalu pergi dengan mata yang sedikit berair.

Melihat kereta Izzul yang sudah menjauh, Irish mendapatkan semula Kak Faridah yang sedang bercakap di telefon. Wakil dari jabatan kewangan sudah ada kesemuanya. Hanya tinggal wakil dari bahagian pembinaan sahaja tiba sebelum berangkat pergi.

“Itu ke abang Irish?”

“Hmm. Tulah along Irish,” jawab gadis itu pada Kak Faridah yang sudah selesai perbualan di telefon. Memang Kak Faridah belum pernah bertemu dengan Izzul. Sebelum ini wanita itu akan sampai lambat apabila mereka ada tugasan luar. Cuma baru kali ini suaminya dapat menghantar sedikit awal dari biasa.

Handsome! Dah kahwin dah?”

Irish tergelak kecil. “Dah. Dah ada anak tiga pun, kak.”

“Oh, ya ke? Tapi tak macam orang dah ada anak pun. Memang kenal dengan boss ke along Irish tu?”

“Along dulu satu universiti dengan Tengku Hafiy.”

“Ooo... Along Irish anak dah tiga. Tapi boss tu bila entah nak dapat rasa nasi minyak dia, kan!”

Sekali lagi Irish tergelak dengan jenaka Kak Faridah. Pagi-pagi lagi Kak Faridah sudah buatkan moodnya ceria. Namun gelak tawanya terhenti sebaik terpandangkan Tengku Harrys yang sedang bersandar di kereta sambil berpeluk tubuh memerhatikannya dari jauh. Terus sahaja dia melarikan pandangannya dari lelaki itu.

Tepat jam 9.30 pagi, kesemuanya bersedia untuk memulakan perjalanan. Hanya Tengku Harrys dan Encik Hazman yang membawa kereta kali ini. Pilihan diberikan pada yang lain untuk menaiki kereta mana. Ingin sahaja Irish memeluk Kak Faridah dan mengucapkan terima kasih pada wanita itu kerana menawarkan diri untuk menaiki kereta Encik Hazman bersamanya dan juga Henry. Sementara Encik Saiful pula akan menemani Tengku Harrys memandu keretanya.

‘Selamat kau, Irish. Tapi kali nilah. Lain kali, belum tentu lagi. Jadi, bersiap sedia sajalah!’ Irish bermonolog sendiri apabila kereta Encik Hazman mula bergerak mengikuti kereta Tengku Harrys dari belakang, meninggalkan perkarangan bangunan Haiyan Holdings untuk menuju ke tapak projek yang terletak di Selatan Malaysia itu.


WAKTU sudah menghampiri 6.30 petang sewaktu mereka tiba di hotel. Sampai sahaja di Johor Bahru tengah hari tadi mereka terus bergerak ke tapak projek bagi meninjau terlebih dahulu keadaan di sana sebelum memulakan kerja keesokan hari.

Okay, guys! Dah boleh gerak ke bilik masing-masing. Ini kuncinya.” Encik Saiful bersuara sambil menghulurkan kunci bilik berbentuk sebuah kad. “Faridah, you satu bilik dengan Irish. Saya dengan Hazman satu bilik. Ha, Tengku Harrys dengan Henry ni special sikit! Seorang satu bilik.”

“Aik! Apa pasal I seorang satu bilik, Encik Saiful?” tanya Henry kehairanan.

“Itu executive suite yang ada dua bilik sudah penuhlah, Henry. So Tengku ambil premier suite untuk you. Tak apa. Agak-agak you takut tidur sorang malam-malam, lari jelah bilik I dengan Hazman. Okay?” seloroh Encik Saiful. Sempat lagi dia bergurau dalam keadaan mereka yang kelihatan letih ketika itu.

“Eh, siapa cakap I takut tidur sorang-sorang? I tak kisah pun!” bidas lelaki itu. Semuanya sudah tergelak-gelak. Henry, jurutera termuda syarikat itu sering diusik oleh rakan pejabatnya. Namun dialah antara jurutera terbaik di Haiyan Holdings. Tidak hairanlah di usia yang dua tahun lebih tua dari Irish dia sudah punya jawatan yang boleh dibanggakan.

So malam ni macam mana, Encik Saiful? Ada apa-apa plan ke, atau bebas?” Kak Faridah membuka mulut bertanya mengenai agenda malam itu.

“Ha... yang itu kena tanya boss. Macam mana, Tengku?”

“Malam ni kita dinner sekali. Lepas maghrib dalam pukul 8.00 semua turun berkumpul kat sini,” bersahaja saja Tengku Harrys memberikan jawapan.

Mereka mula bergerak menaiki lif untuk ke bilik masing-masing yang terletak di tingkat sepuluh. Cuma blok sahaja yang berlainan. Bilik Encik Saiful dan Encik Hazman serta Kak Faridah dan Irish berada di satu blok, manakala bilik Tengku Harrys dan Henry pula terletak di blok yang bertentangan. Sampai sahaja di hadapan bilik, Kak Faridah terus membuka pintu menggunakan kad yang diberikan.

“Hmm... besar jugak bilik ni, Irish. Dah macam rumah pulak!” ujar Kak Faridah sambil matanya melilau-lilau memerhatikan sekeliling. “Irish nak bilik yang mana satu?”

“Tak kisah, kak. Mana-mana pun boleh.”

“Kalau macam tu akak masuk bilik yang inilah. Nak rehat kejap. Letih sangat. Irish pun

masuklah rehat. Malam nanti pun kita nak keluar lagi. Akak masuk dulu, ya!”

Melihat Kak Faridah sudah menghilang ke dalam bilik, Irish mengatur kakinya masuk ke dalam sebuah lagi bilik yang bertentangan. Lantas dibawa masuk beg-beg kepunyaannya sebelum gadis itu membuka pintu sliding dan berdiri di balkoni bilik. Terbentang luas di hadapan pemandangan laut yang cukup indah. Ditambah angin bayu yang berpupuk lembut menampar pipi, terasa begitu damai dan tenang jiwanya saat ini.

“Hmm... boleh tahan jugak company sediakan hotel kali ni. Macam ni lebih dari seminggu pun aku sanggup duduk sini,” bicaranya sambil tersenyum. Namun hanya beberapa saat senyuman itu melebar sebelum wajah Tengku Harrys tiba-tiba menerpa ke ruang mindanya.

“Eh, tak boleh! Mana boleh lebih dari seminggu. Habis kena menghadap Tengku tu lama-lama nanti. Isshh! Tak boleh, tak boleh! Jangan cakap macam tu lagi, Irish. Masin mulut nanti!” Irish menampar-nampar mulutnya yang baru sahaja terlepas cakap. Diraup mukanya bagai menepis segala yang bermain di fikiran. Dan kala itu dia teringatkan keluarganya di rumah. Baru tersedar yang dia belum menelefon along serta keluarganya untuk memaklumkan ketibaannya di Johor Bahru tengah hari tadi. Segera dia masuk semula ke dalam bilik. Telefon di dalam beg tangannya dicapai lantas jari terus mendail nombor ahli keluarganya.

“Hello, umi! Assalamualaikum.”


SEBAGAIMANA yang dirancang malam itu, Irish turun bersama Kak Faridah ke lobi hotel jam

8.00 malam. Keluar sahaja dari pintu lif, kelihatan Encik Saiful dan Encik Hazman sudah duduk menanti di kerusi yang disediakan di ruang lobi tersebut. Cuma bayang Tengku Harrys dan Henry yang masih belum nampak lagi.

“Dah lama tunggu?”

Perbualan masing-masing terhenti. Spontan semua mata teralih pada sesusuk tubuh yang sedang berdiri bersebelahan Irish.

“Eh! Tak adalah, Tengku. Kitorang pun baru sampai. Borak-borak kosong je ni.” Encik Saiful menjawab bagi pihak yang lain.

“Semua dah ada ke?”

“Belum, Tengku. Apek yang sorang tu belum turun lagi,” balas Encik Hazman pula diselangi dengan gelakan mereka.

Tengku Harrys hanya mengangguk sambil membetulkan lengan jaketnya. Malam ini dia kelihatan agak kasual dengan memakai t-shirt dan jeanshitam dipadankan dengan jaket yang tersarung elok di badan. Berbeza dari hari-hari biasa dengan pakaian pejabatnya yang agak formal. Pertama kali Irish melihat Tengku Harrys dari sisi yang sederhana, namun tetap mampu menarik mata sesiapa sahaja yang memandang. Selesai membetulkan lengan jaketnya, lelaki itu mengangkat kembali wajah sambil kedua tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar. Terus Irish memalingkan pandangannya ke tempat lain.

‘Hmmh! Tenanglah wahai hati. Kenapa takut benar ni!’ bisiknya. Setiap kali kelibat Tengku Harrys muncul, pasti perasaan takutnya mula menerpa. Takut dek insiden perlanggaran yang sering menghatuinya selepas lelaki itu berterus-terang tempoh hari. Ikutkan hati mahu sahaja ditarik Kak Faridah di sebelah kanan agar bertukar tempat dengannya yang berada ditengah-tengah ketika ini.

So kita nak makan kat mana malam ni, Tengku?” Encik Hazman kembali bersuara.

“Awak dah biasa dengan tempat ni kan, Saiful. Ada tempat-tempat menarik yang awak nak suggest?”

“Biasa kat sini saya makan kat area-area Danga Bay, Tengku. Tapi yang selalunya saya pergi makan kat Restoran Singgah Selalu tu. Malam-malam macam ni memang seronok makan kat sana. Meriah pun meriah. Macam-macam jenis makanan ada. Cuma tulah... saya risau Tengku pulak tak biasa makan kat tempat macam tu.”

“Saya tak kisah, Saiful. Kat mana-mana pun rezeki. Yang penting, halal.”

Mendengarkan kata-kata Tengku Harrys itu, semuanya terdiam. Tidak menyangka anak majikan mereka yang sudah biasa hidup di negara Eropah itu memberikan jawapan sedemikian.

“Haiya! Banyak sorrylah guys. I terlajak tidur, maa!” celah Henry yang tiba-tiba muncul.

“Ha, apek! Ingat dah tak fikir nak makan tadi. Dah 8.15 baru nampak batang hidung!” jerkah Encik Hazman apabila melihat lelaki Cina itu sedikit kelam-kabut. Sesuailah dengan gelaran ‘apek’ yang diberikan oleh pekerja-pekerja di pejabat untuknya.

Sorry,maa! I banyak letih. So, where we are going to have our dinner, guys?” “Lambatlah you, apek! Kitorang dah habis discuss dah. Nak gerak dah pun. Sebab you lambat sangat, sotinggal!” seraya itu Encik Saiful bangun dari sofa diikuti Encik Hazman dan Kak Faridah, meninggalkan Henry yang kelihatan terpinga-pinga sebelum ketawa kedengaran pecah dari mulut masing-masing.

“Irish?” Henry menoleh pada gadis itu.

“Tak ada apalah, Henry. Diorang gurau je. Jomlah.”

Dalam termangu, Henry tetap juga menuruti langkah Irish bersama Tengku Harrys di belakang. Malam ini nampaknya tiada kesempatan buat mereka bersiar-siar di negeri Selatan itu. Mereka harus pulang ke hotel seawal yang mungkin untuk merehatkan diri masing-masing memandangkan esok sudah ada tugas penting yang tersedia menanti. 



Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.