Bab 3
Ya
Allah…, Liana menjadi semakin takut. Dia terus memegang tangan Laila.
“Kenapa
kak?” tanya Laila. Dia hanya menoleh sekilas kerana dia sedang menumpukan
perhatian ke hadapan kerana sedang memandu. Sebentar tadi mereka baru sahaja
melepasi simpang keluar ke Seremban.
“Akak
risau keadaan abang Azwan. Ya Allah…, lindungilah suamiku. Akak takut kalau
jadi macam kes Timbalan Pendakwaraya tu,” maklum Liana. Laila menarik nafas
panjang. Dia juga tahu tentang kisah kematian tragis Timbalan Pendakwaraya itu
dan dia tidak mahu keadaan yang sama berlaku ke atas abang iparnya.
“Kak…
kita doa banyak-banyak semoga abang Allah melindungi dan menyelamatkan abang
Azwan. Kita tak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Mungkin juga kereta abang
terbakar, dan dia sedang dapatkan pertolongan.” Hanya itu sahaja kemungkinan
yang boleh difikirkan oleh Laila dalam keadaan cemas begini.
“Kalau
dia dalam keadaan begitu, he should call.
Tapi telefon dia tutup. Dia tak pernah macam ni Laila,” jelas Liana. Dia tidak
dapat menerima jawapan yang diberikan oleh Laila, baginya tidak masuk akal.
“Mungkin
telefon dia habis bateri kak. Apa-apa pun, kita sampai sana nanti kita tanya
semua maklumat dari pegawai polis yang in
charge dengan kes ni ya.”
Liana
mengangguk. Dia memejamkan matanya semula. Walaupun dia kelihatan tenang,
tetapi sebenarnya dia sedang memikirkan banyak perkara. Liana sedang cuba
mengingati jika ada Azwan menceritakan kepadanya mengenai sesiapa yang ada
berniat jahat kepadanya dan membuat ugutan berbahaya. Bekerja sebagai seorang
peguam yang terlibat di dalam kes-kes berprofil tinggi seperti kes-kes rasuah
yang melibatkan jumlah yang sangat besar turut membuatkan Azwan terdedah dengan
keselamatan diri. Liana tahu bahawa sekarang ini firma guaman Azwan telah bersetuju
untuk membela seorang VVIP yang telah dituduh di Mahkamah atas kesalahan rasuah
berjumlah RM1 juta bagi melantik kontraktor sebuah projek mega yang akan
dijalankan oleh kerajaan. Menurut keterangan VVIP itu, dia telah difitnah
kerana dia tidak melakukan kesalahan itu.
“Kak,
kita dah sampai.” Belum sempat Liana hendak memanjangkan teorinya, dia
dikejutkan oleh Laila. Tubuh Liana menggeletar.
Dia tidak kuat sebenarnya untuk melihat keadaan kereta Azwan, tetapi dia perlu
lakukan juga untuk mengetahui keadaan sebenar.
Liana
mengikut Laila keluar dari kereta. Di hadapan mereka, sebuah kereta BMW yang
asalnya berwarna putih kini telah hitam hangus akibat kesan terbakar. Tali
rintangan berwarna kuning telah dipasang oleh pihak polis untuk menandakan
kawasan sekeliling kereta itu sebagai tempat larangan bagi orang awam.
Chief
Inspektor Zaman, yang juga merupakan sahabat kepada Liana dan Azwan berjalan
menghampiri Liana yang kelihatan semakin sugul. Laila pula memeluk bahu
kakaknya, cuba mententeramkan Liana walaupun dia sendiri menggeletar seluruh
tubuh menyaksikan keadaan kereta itu. Rentung! Tidak ada apa-apa yang tinggal!
“Bagaimana
Man?” Tanya Liana dengan nada suara yang lemah.
Zaman
menggeleng kepala. “Masih belum ada berita terkini. Pihak polis masih teruskan
siasatan dan carian. Hebahan teah dibuat dan dipanjangkan di semua saluran
untuk mendapatkan bantuan orang ramai supaya tampil sekiranya ada apa-apa
maklumat yang boleh membantu siasatan.”
Air
mata Liana mengalir lagi. Dia menekup mulutnya. Lututnya terasa sangat lemah
dan seketika dia rasakan dunia di sekelilingnya gelap. Laila kelam kabut
memeluk kakaknya yang hampir jatuh. Zaman terus bergegas membantu. Tubuh Liana
dipapah dan didudukkan semula di dalam kereta Laila.
“Laila,
saya rasa lebih baik bawa Liana balik ke rumah untuk berehat. Di sini tidak ada
apa-apa maklumat lain yang boleh kita temui. Jangan risau, apa-apa sahaja maklumat
terkini akan saya maklumkan dengan segera kepada kamu berdua,” pesan Zaman. Dia
bimbang melihat keadaan Liana begitu. Dia juga bimbang sekiranya keadaan Liana
akan menjejaskan kandungannya. Laila mengangguk. Baginya itu adalah langkah
yang paling baik buat masa ini.
Kerusi
yang diduduki oleh Liana diturunkan untuk membolehkan dia tidur dalam keadaan
yang lebih selesa. Setelah berbincang seketika dengan Zaman, Laila membawa
Liana pulang ke rumahnya. Malam ini Liana tidak boleh memberikan apa-apa alasan
untuk balik ke rumahnya sendiri.