Hari Pertama
Lapangan Terbang
Akarak
VAN
putih lama berjenama Nissan itu akhirnya berhenti di hadapan pintu
masuk utama bahagian sisi ke Lapangan Terbang Tentera. Satu demi satu
keluar dari van putih itu hanya membisu melihat lapangan terbang lama
terbiar dengan rumput lalang tumbuh liar di mana-mana.
Sepanjang
perjalanan menghala ke tempat itu sahaja, kiri dan kanannya dilitupi
hutan tebal. Pulau itu dikira amat besar juga kerana tidak ramai
pelabur berminat untuk meneroka pulau itu seperti membuka resort atau
tarikan pelacongan yang mampu meraih pendapatan. Hanya satu chalet
kecil sahaja yang terdapat di pulau itu.
Desir angin yang
paling jelas menggambarkan suasana saat itu. Redup sahaja latar di
persekitarannya. Bahkan awan berarak mendung seolah bila-bila masa
akan hujan. Tidak seorang pun daripada mereka yang bersuara. Mungkin
masing-masing berfikir sama ada untuk meneruskan niat melangkah masuk
menerusi gerbang besar itu atau berpatah balik.
Sesuatu yang
membuat dirinya pelik melihat pagar yang dipasang dari jenis dawai
keselamatan yang lebih moden tetapi bahan yang direka dengan pisau
cukur yang tajam lagi besi dan kawat tegangan tinggi. Ia dipasang
sepanjang sekeliling lapangan terbang itu dengan ketinggian 20 meter
seolah ia adalah penjara yang tidak mahu ada yang masuk atau keluar
dari dalam lapangan terbang itu.
Ketika dia
berpaling ke sebelahnya, Pak Cik Saidi kelihatan tegang. Dia
menghampiri lelaki itu yang tidak semudah memujuknya menemani mereka
sampai ke pintu masuk utama itu.
“Pak cik..”
serunya perlahan.
Lelaki itu mengelus
tengkuk dan resah berada di situ lebih lama. Dia faham dengan apa
yang dirasakan lelaki itu. Bila membuat wawancara semalam sahaja
dapat dia rasakan betapa lapangan terbang tentera itu tentu mempunyai
ssuatu yang misteri. Mungkin kerana sentimen paranormal dan misteri
inilah pelanggan itu meminta mereka agar tinggal di dalam dan
merakamkan segala aktiviti di dalamnya.
“Lapangan
Terbang ini mula dibina pada tahun 1942. Landasan Lapangan Terbang
Akarak ini berukuran 5,200 kaki panjang. Kapal terbang pertama yang
mendarat di lapangan terbang ini ialah sebuah pesawat tentera Jepun.
Bapa kata, ia adalah milik penjajah Jepun dahulu dan sekarang
dengarnya milik persendirian. Apa yang pak cik tahu tempat ini
beberapa kali cuba dirobohkan dan bersihkan tapi banyak masalah yang
menghalangnya,” cerita Pak Cik Saidi kepadanya.
Tim
produksi yang lain pula seolah terpukau sekadar mengintai dari celah
pagar berdawai bak pisau cukur itu.
“Masalah
macam yang pak cik cakap semalam tu kan?” Dayang Erdina ingin
pastikannya.
Lelaki
itu mengangguk. Lalu dia pula terus dipaut oleh lelaki itu sedikit
jauh dari tim produksi yang lain untuk bercakap sesuatu yang penting.
Dayang
Erdina hanya mengikut sahaja bila lengannya ditarik jauh dari van
tumpangan dinaiki mereka. “Kenapa ni pak cik?”
Ada
riak resah pada wajah lelaki itu. “Pak cik anggap kamu macam
saudara juga Dina. Sejak lahir lagi pak cik dibesarkan di pulau ini.
Banyak hal misteri dan seram berlaku di sana. Apakah kamu pasti juga
mahu teruskan penggambaran tu?”
Pemandu
van itu sudah membuka pintu kecil tidak berkunci pada gerbang pintu
itu. Namun seorang pun belum menjejak kaki masuk ke dalam. Md Zain
pula sibuk bercakap dengan Mr Kevin di telefon bimbit memaklumkan
bahawa mereka sampai di situ.
“Dina
juga tidak pastilah pak cik. Serba salah juga. Lagipun tempat ini
macam Dina pernah nampak di suatu tempat. Pak cik rasa macam mana?”
“Ikut
kata pak cik batalkan saja. Kamu tu perempuan dan katanya mahu nikah
tidak lama lagi. Tidak manis, Dina. Apalah gunanya wang kalau
keselamatan kamu terancam di sana.” Tuding lelaki itu pula.
'Ya
Allah. Kenapa hati ini sangat berat untuk pergi!'
“Dina,
pak cik akan doakan keselamatan kamu semua. Belum pernah pak cik
pedulikan orang luar yang mahu ke tempat ini. Selalunya bila
orang-orang dari tanah besar mahu datang ke tempat itu pak cik
nasihat sekali saja dan abaikan. Tapi melihat kamu semua buat hati
pak cik ni gelisah mahu lepaskan.”
“Beginilah
pak cik, ini nombor telefon kakak dan tunang Dina. Kalau dalam masa
dua hingga tiga hari kami tidak keluar dari tempat ini dengan selamat
atau tiada kabar tolong hubungi mereka dan ceritakan.” Dia
mengeluarkan secebis kertas dari beg sandangnya dan menulis nombor
penting itu.
Pak
Cik Saidi membacanya sekilas dan mengangguk. “Dina, kamu macam anak
pak cik juga. Pak cik hanya ingin ingatkan pada kamu agar jaga solat
dalam apa jua keadaan dan terus berzikir. Pak cik juga akan bantu
dengan doa dan solat hajat. Kalau dalam masa dua hingga tiga hari
kamu tidak balik pak cik akan bawa orang-orang kampung juga cari
kamu. Itu janji pak cik.”
“Dina!
Heh! Kau buat apa lagi tu? Macam buat surat wasiat pula di sana,”
jerit Md Zain sudah menjejak masuk ke dalam lapangan terbang itu.
“Iyalah!
Aku datanglah ni.” Dia sudah bersiap-sedia.
“Dina,
pintu pagar tu pak cik tidak kunci. Ingat apa yang kau lihat di sana
jangan mudah terperdaya. Bila senja saja terus tetap bersama dengan
teman-temanmu. Jangan sesekali berpecah. Jangan keluar ke tengah
lapangan itu kalau mulai senja hingga menjelang subuh. Selesaikan
segera pekerjaan kamu semua dan balik.”
....terima kasih kerana sudi membaca sampai setakat bab yang saya upload di sini. Kalau ingin tahu apa terjadi dengan tim Dayang Erdina di hari pertama dan seterusnya kena dapatkan novel ini. Antologi Projek Seram -AIRPORT sudah ada di pasaran.. bersama cerita ini ada 3 karya penulis lain yang berbeza.