DUA buah
Jeep Wrangler tahan lasak bermandi lumpur itu dikerumuni oleh
anak-anak suku kaum asli Mayan sambil menuding-nuding jari ke arah
mereka. Zulaika sekadar memerhati anak-anak orang asli sambil
memberikan senyuman kepada mereka. Duduk di sebelahnya ialah Johanna
merupakan seorang pelatih praktikal PHD yang mengambil pengajian di
Indonesia dalam Fakulti Perhutanan. Gadis asal Kalimantan itu berusia
tua dua tahun daripadanya.
Sedangkan Ghazali dan Rahmad adalah wakil dari sebuah
syarikat bioteknologi antarabangsa bertapak di Negeri Di Bawah Bayu.
Ikut kata Profesor Gumelar dia dijemput untuk menyertai ekspedisi
itu. Semua biaya atas tajaan syarikat tersebut. Dan ini adalah ke
sekian kalinya dia dipujuk oleh Profesor Gumelar untuk menyertainya.
Dia ingin tahu sejauh mana kebenaran akar kayu langka tumbuh di
tengah rimba hutan itu kononnya mampu menjadi penawar kanser.
Anak-anak orang asli kaum Mayan itu terus
mengelilingi mereka. Johanna menunjukkan sikap rimas. Dia hanya mampu
menyembunyikan senyuman. Keletah anak-anak orang asli Mayan itu
dilayan seadanya. Bahasa mereka juga tidak berapa difahami.
“Ika dan Johanna boleh ikut Sindai,” arah pemandu
mereka, Abang Marjan.
Sindai, wanita dari suku kaum asli Mayan itu hanya
berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Langkah Sindai, Bertubuh 4 kaki
8inci, rambut lurus kehitaman dan kulit sawo matang itu dibuntuti
mereka.
Sebuah gubuk dibina menggunakan tumbuhan hutan iaitu
pokok bertam dan buluh. Zulaika melabuh punggung di atas tempat duduk
dibuat daripada buluh. Semuanya serba alami dan tiada peralatan
moden.
“Kau pernah datang ke Kalimantan?” soal gadis
seberang itu.
“Ini yang pertama kali.” Zulaika duduk di atas
kerusi buluh itu.
“Bagus. Kau akan lebih mengenali budaya sini. Tapi
kau tidak takut masuk ke Hutan Mayan? Lagendanya? Sejarahnya?”
Dia tersenyum. “Aku pernah terbaca tentang tradisi
potong kepala. Tapi belum pernah melihatnya.”
“Kau akan lihat lebih dari tu kalau kita masuk ke
Hutan Mayan. Kau berani?” Johanna tersenyum tipis. Senyuman
menyembunyi seribu makna penuh keraguan. Gadis itu ke belakang dan
masuk ke salah satu ruang.
'Kau ingat kita pergi sarkaskah?' Getusnya dalam
hati. Dia tidak suka dengan ucapan gadis itu.
“Hutan di Kalimantan ni adalah paling angker antara
pulau-pulau lain di negara ni. Kau tahu semakin meredah jauh di dalam
sana. Walau sekadar pohon raksasa kita lihat dan di situlah ada
kerajaan jin menghuni hampir sebahagian tanah darat Borneo ini. Teman
sepermainan anak-anak di sini adalah dari kalangan jin. Itu perkara
biasa.” Johanna tersenyum lebar. Wajah cantik itu boleh tahan juga
ada bakat menjadi gadis psiko.
Zulaika tidak suka sikap gadis satu ini.
Tiba-tiba satu perasaan tidak selesa dan berat menyelimuti dirinya.
Apa maknanya ini?
Malam , Hari Pertama – Hutan Mayan
Perjalanan selama berjam-jam lamanya siang tadi
sangat melelahkan. Satu badan sakit. Lalu atas persetujuan semua
mereka berkhemah di situ. Banyak juga kelip-kelip malam di
sekitarnya. Tetapi ada cahaya lain dari lain dalam kumpulan dalam
belukar itu.
“Takkan kelip-kelip satu ini warna merah. Macam
sepasang mata.” Zulaika terus memerhati.
Ketika termangu dalam gelap, dicapainya lampu suluh
dan sibuk menghalakannya ke arah dahan-dahan pokok dan semak
berhampiran. Dengan harapan, mahu tahu binatang atau serangga yang
dilihatnya.
Sebaik sahaja disuluhnya, terjengul satu wajah
menyeramkan di sebalik belukar itu. Menyeringai marah sehingga
menayangkan gigi-gigi rapat dan tajam. Kulit wajah itu bergerutu,
berbisul-bisul satu muka agak kehitaman dengan mata kemerahan.
Terkejut punya pasal terpelanting lampu suluhnya. Bingkas daun-daun
dan ranting bergoyang-goyang kasar.
Semua tim berpaling ke arah belukar itu. Zulaika
keluar dari dalam khemahnya.
“Kau semua nampak tadi?” soalnya cemas.
“Alaa.. hutan biasalah. Pasti binatang-binatang tu.
Rusa barangkali.” Abang Marjan menduga.
“Rusa takutkan manusia. Lagipun lihat dengan jelas
ada mata merah dalam semak belukar tu. Aku nampak wajah menakutkan.
Mustahil rusa atau binatang lain. Kita kena periksa apa benda tadi
tu?”
Baru Profesor Gumelar mahu membalasnya sesuatu
dilontar dari jarak jauh menghala ke arah sekumpulan tim memandang
unggun api. Bagai lontar peluru tepat mengenai unggun api. Menjerit
Johanna terkejut. Tim lelaki lain pula bangkit dari tempat duduk.
Abang Marjan yang lebih berani mengamati haiwan
dilontar sehingga memadamkan unggun api. Percikan api berselerakan.
“Ini babi hutan!” Semua dalam kebingungan.
“Kerja siapa ni?” soal Ghazali kehairanan.
Zulaika berjalan lebih dekat ke arah bangkai babi
hutan itu. Dada haiwan itu berlubang besar. Bingkas dia menekup
hidung.
“Ni mesti angkara benda yang aku nampak tadi. Kita
kena keluar dari hutan ni besok. Bahaya!”
Abang Marjan hilang kata-kata. Riak wajah lelaki itu
berubah serta-merta.
“Semua masuk ke dalam khemah. Jangan keluar tanpa
teman,” arah Profesor Gumelar.
Zulaika dan Johanna masuk ke dalam khemah
tergesa-gesa. Zip khemah ditarik.
Siang, Hari Kedua – Hutan Mayan
AWAL pagi lagi
jeritan Johanna membangkitkan semua orang. Semua tergesa-gesa keluar
dari dalam khemah termasuklah Zulaika.
Zulaika yang baru terjaga dari tidurnya bingkas
keluar dari khemah. Dia mencari gadis itu yang sedang ketakutan
menuding jari. Membuntang matanya. Ada beberapa kayu tinggi memacak
kepala babi singa dalam satu bulatan mengelilingi kawasan khemah
mereka. Segala isi perut binatang itu mencemari sekitar khemah.
“Apa ni!” marah Ghazali.
Johanna sudah menangis ketakutan dipeluknya. Baunya
sudah satu macam menerawang sekitar tempat itu. Rahmad pula sudah
termuntah-muntah tidak mampu menahan diri. Profesor menekup mulut
mundar-mandir.
Perasaannya sudah satu macam tidak mampu digambarkan
dengan kata-kata. Ikutkan hati saat itu juga mereka kena berkemas dan
balik! Dipapahnya gadis itu masuk ke dalam khemah dan memujuknya.
“Mungkin ada yang mahu mainkan kita. Nanti Abang
Marjan tu cari tahu,” pujuknya kepada Johanna. Tiada cara lain mahu
meredakan ketakutan Johanna.
“Tapi siapa? Niat kita baik untuk ke hutan ini
bukan menceroboh.” Johanna menyeka air mata.
“Jangan fikir bukan-bukan. Tunggu di sini jangan
keluar. Aku nak jumpa Prof dulu.”
Zulaika keluar dari khemah itu. Dia segera
mendapatkan Profesor Gumelar. Ditariknya lengan lelaki itu agak jauh
dari mereka.
“Prof, sekarang terangkan apa yang terjadi?” Dia
berpeluk tubuh sambil memasang wajah tegas.
“Aku juga tidak pasti. Mungkin ulah pemburu haram
di sini. Kau tahukan, pemburu haram suka buat onar dan mencuri
khazanah hutan ni. Babi singa haiwan hampir pupus itu dan banyak
jenis kayu berharga juga. Apalagi dengan akar langka tu.”
“Ika tidak fikir itu angkara pemburu haram. Mesti
ini adalah puaka hutan ini. Ada yang tidak suka kita berada di sini.
Sekarang Ika rasa sebaiknya kita balik hari ini juga. Pagi ini juga
setelah kita isi perut.”
Malam, Hari Kedua - Hutan Mayan
ZULAIKA tidak mampu lelapkan mata. Johanna di sebelah
sudah tertidur lena. Gadis itu pula tiba-tiba kerasukan sebaik
sahaja dia ditinggalkan sendiri dalam khemah. Puas juga diredakan.
Puas juga memulihkan semangat Johanna. Mujur sahaja Ghazali tahu
keluarkan benda itu dari dalam badan Johanna. Sungguh dia tidak
menyangka terus mengikut kata putus Abang Marjan agar meneruskan
ekspedisi itu sampai ke hala tuju.
“Uuwwarkk!”
Satu bunyi asing kedengaran membuat perhatian mereka
teralih. Memecahkan keheningan di malam hari. Keseraman mulai terasa
dengan bunyi-bunyi pelik menguasai suasana.
Zulaika keluar dari khemahnya sekadar melutut di muka
khemah itu itu. “Bunyi apa tu Prof?”soalnya.
“Masuk tidur dan zip khemah kamu. Ingat jangan
berani keluar. Abaikan apa kamu dengar,” pesan Profesor Gumelar.
Masing-masing masuk ke dalam khemah. Lampu juga
dimatikan. Sementara Johanna berbaring menghadapnya. Kecut perutnya
memikirkan kalau gadis itu buat hal di waktu tidak sesuai. Sudahlah
berdua lagi dalam khemah itu.
Akhirnya dia terlena. Masa berjalan. Bila matanya
tercelik luas sahaja baru sedar Johanna tiada berada di sebelahnya.
Zulaika menggelabah. Patutlah rasa sejuk berangin semacam rupanya
ternganga muka khemah itu.
“Ya Allah! Mana perempuan ni?” Lampu suluh
dicapai. Dinyalakan.
“Johanna.. Johanna..” panggilnya. Kepalanya
melilau mencari. Matanya meliar.
Zulaika segera ke khemah Profesor Gumelar. “Prof..
Prof.. bangun.”
Muncul Profesor Gumelar dengan terpisat-pisat mata.
Abang Marjan juga keluar sama.
“Kenapa ni?”
“Johanna hilang dari dalam khemah.”
Abang Marjan melihat jam waktu itu. “Ini jam
2.00pagi. Masakan kamu tidak sedar Ika? “Manalah aku tahu. Aku
tidur. Aku dengar bunyi pelik dan kesejukan terus pandang sebelah.
Dia hilang!”
Ghazali juga keluar tergesa-gesa. “Mat! Mat!”
Terjerit-jerit dengan intonasi cemas.
Semua terkejut bila lelaki itu memaklumkan bukan
hanya Johanna hilang tetapi Rahmad juga sama.
“Kita kena cari dia orang,”cadang Ghazali.
Belum bertindak apa-apa kedengaran sayup-sayup suara
Johanna mengilai panjang. Diikuti suara Rahmad meminta tolong. Suara
keduanya sangat jauh.
Dini pagi yang amat gelap gelita itu ditemani unggas
dan burung hantu kalimantan yang mirip suara tertawa manusia.
Tiba-tiba sekeliling belukar diredah kasar oleh sesuatu. Seolah dalam
semak dan belukar hutan itu ada sekumpulan manusia sedang berlari
dari segenap penjuru. Terketar-ketar kepala lutut Zulaika dengan
kejadian mistik itu. Diselangi dengan bunyi kepak burung sangat kuat.
“ Uwaarrkk!” Terenjut tubuhnya. Ketiga lelaki itu
mati akal dengan situasi demikian.
“Apa kita kena buat ni?” Abang Marjan juga pucat
lesi.
“Jangan berpecah. Kita berkumpul satu khemah. Ika,
kamu tiada pilihan.” Profesor Gumelar masuk ke dalam khemah. Mujur
khemah sudah dipagar dengan garam ruqyah dibuat oleh Abang Marjan.
Zulaika tidak banyak soal kerana ketakutan yang dirasakannya pada
tahap maksima. Dia memeluk kepala lutut. Mulutnya berkumat-kamit
dengan zikir. Sambil loketnya diramas-ramas.
Dari dalam khemah mereka hanya mendengar macam-macam
bunyi. Derap kaki berlari-lari seolah dalam satu kumpulan terus
mengelilingi khemah mereka. Ada suara dari bahasa suku kaum yang
tidak mereka fahami. Ada hilai panjang. Diiringi dengusan dan jeritan
yang entah dari mana. Dini pagi itu terus menjadi igauan panjang.
Seolah ada peperangan suku kaum yang terjadi di tapak itu.
Suara Johanna dan Rahmad sayup-sayup di luar sana
merayu dan menjerit meminta tolong. Dia hanya mampu menahan diri.
Bahkan nafasnya pun tersekat-sekat kerana takut tertangkap oleh benda
yang sedang menganggu di luar khemah itu.
Siang, Hari ketiga – Hutan Mayan
HUJAN gerimis
membasahi Hutan Mayan di Kalimantan Tengah. Kalau dilihat mirip
persekitaran Lost World, Maliau Basin. Bermacam spesis flora, fauna
dan haiwan sudah tentu ditemui dan lihat dalam hutan itu. Tetapi yang
jelas makhluk yang tidak pernah ditemui pun ada di situ.
Abang Marjan berjalan di hadapan sekali. Diikuti
Ghazali, Rahmad dan Profesor Gumelar. Nafas pun naik mengah. Bukan
dia tidak biasahiking
di Bukit Gundul, Bukit Taman Tun Fuad dan beberapa lagi.
Beg sandang digalas menambahkan bebannya. Air diteguk
sepuasnya. Zulaika tidak larat lagi berjalan. Dia menyandar pada
sebatang pokok besar. Ada lipan besar menjalar pada atas kasutnya.
Bingkas dia menghentak-hentak kaki kegelian.
Tiba-tiba Abang Marjan berkata sesuatu. Ada nada
cemas. Ketiga lelaki itu sudah saling melihat benda yang membuat riak
mereka pucat lesi. Zulaika juga mahu melihatnya. Bingkas Profesor
Gumelar menahannya.
“Jangan tengok, Ika. Percayalah cakap aku ni. Kau
tidak perlu tengok.”
“Apa sebenarnya tu, prof? Ada apa?” Dia mahu tahu
juga. Desakan hatinya tidak mampu dibendung. Akhirnya dia memaksa
dirinya ke arah Abang Marjan dan Ghazali.
Matanya terbeliak bila melihat ada mayat tanpa
kepala. Bingkas dia muntahkan isi perutnya dan berlari ke arah
bertentangan.
Profesor Gumelar menghampirinya. “Aku dah cakap
jangan tengok. Kau degil.”
“Ma.. mayat siapa prof?”
“Mad.. Rahmad.” Nada suara lelaki itu lemah.
Ghazali tidak semena-mena bertingkah histeria.
Disabarkan oleh Abang Marjan lalu menangis dan terduduk di atas
tanah. Dari ekor mata Zulaika seolah menangkap ada pergerakan laju
dari celah belukar hutan itu. Dia menoleh. Tercari-cari kelibat
bergerak pantas itu. Tertoleh-toleh dia sekeliling.
Telinganya menangkap satu suara menyeru sesuatu.
Suara sayup-sayup kemudian melintas sekilas ke telinganya.
“Zulaika.. pewarisku yang hilang.”
Bisikan-bisikan itu datang dari segenap ceruk belukar. Dia
tertoleh-toleh dengan nafas kian turun naik. Matanya berkerdip-kerdip laju. Batinnya mengombak resah. Zulaika tertekan dengan
seruan dan ucapan itu.
“Ika!” Profesor Gumelar menyedarkannya. Bahunya dicengkam kuat.
“Kau
kena kuat! Hutan ini memang ada semangat tapi kita sebagai manusia
kena lawan. Itu semua tipu daya iblis!”
Malam, Hari Ketiga-Hutan Mayan
ADA unggun api
dinyalakan. Masing-masing menghangatkan tubuh dari bahang unggun api.
Masing-masing tiada semangat. Kebisuan mereka menguasai malam. Kali
ini mereka bersiap-sedia dengan sebarang situasi getir. Abang Marjan sudah menabur garam yang
diruqyahnya sekeliling khemah mereka. Tiba-tiba keriuhan kera dan burung bersahutan seolah diancam sesuatu.
“Uuuuwwwaarrkk!” Satu suara yang memecahkan
keheningan malam itu datang lagi.
Semua berpandangan. Kebingungan jelas terpancar.
Abang Marjan tergesa-gesa bangkit. Ada renek ketakutan di wajah
pemandu asal Kalimatan itu. “Semua masuk dalam khemah. Apapun
terjadi jangan keluar. Jangan terlepas dari pagar yang aku buat tu.”
Bagai tidak cukup tanah Zulaika melompat masuk ke
dalam khemah. Ghazali ikut masuk ke dalamnya. Lelaki itu meletak jari
di bibir agar diam. Dalam keadaan terdesak begitu dia tidak
memikirkan haram halal duduk berdua dengan bukan muhrim. Ketakutan
yang dirasakan menguasai akal sihat. Masing-masing duduk berjaga.
Telinganya dipicingkan menangkap sebarang bunyi. Dalam hitungan
seminit sahaja kedengaran bunyi berkepak. Ada hentakan pada tanah
seolah baru mendarat.
'Ssssssrrreeetttt.. Ssssssrrreeetttt..' Bunyi diluar
khemah seiring dengan derap langkah mengheret. Dedaun-dedaun kering
bergesel. Zulaika menekup mulut ketakutan. Air mata bercucuran. Dadanya bagaikan meletup kerana tekanan takut tahap maksima.
Dan
Ghazali terus mengisyaratkan senyap kepadanya. Tuhan sahaja Maha
Mengetahui betapa hampir luruh jantungnya. Mahu bernafas pun takut
didengar. Ketakutan yang menjalar ke setiap inci membeku darah.
Kemudian langkah itu berhenti di samping khemah
mereka.
'Ssssssrrreeetttt.. Ssssssrrreeetttt..' Bunyi membuas
kedengaran memprotes sesuatu. Tepatnya di luar pagar yang dibuat oleh Abang Marjan.
“Kita kena lari dari sini atau jadi mangsa,”
bisik Ghazali kepadanya. Zulaika menggeleng tegas.
'Uuuuwwwaarrkk!' Bunyi gerun itu beriringan dengan
jeritan seseorang yang jelas memang keluar dari khemah itu.
Namun tiba-tiba suara Johanna merayu-rayu dan
merintih hiba datang dari luar khemah itu. Sayup-sayup kedengaran.
“Keluarlah.. tolong aku.. tolong aku Ika.” Rintihan Johanna
menyeru namanya dengan esakan hiba.
Zulaika terpaut sebak. Semakin dia menekup
telinganya suara hiba panjang Johanna menjadi-jadi. Namun Ghazali yang bertindak di luar dugaan. Zip khemah
dibuka ternganga. Zulaika tersedar sudah mahu menegah. “Jangan..
itu bukan dia.”
“Itu Johanna. Kita bawa dia masuk sini.” Ghazali
berkeras.
Dari dalam khemah itu dia hanya mengerekot dan memerhati
Ghazali berlari terjerit-jerit nama Johanna. Dari muka khemah
ternganga itu juga dia melihat jelas tubuh Ghazali disambar pantas.
Makhluk itu terawang-awang, mengepak sayap bak kelalawar lalu
mencekak leher Ghazali. Kaki lelaki itu terjuntai-juntai dengan kedua
tangan terus mahu melerai tangan makhluk itu.
Zulaika yang menyaksikannya tidak berkata-kata.
Badannya kaku. Air mata sudah bercucuran. Ketakutan menguasai diri.
Kewarasan fikiran sudah diragut.
Lidah makhluk itu panjang menjilat-jilat wajah
Ghazali. Dicekak lebih tinggi. Ghazali hampir kehabisan nafas. Tangan
sebelah makhluk bersayap itu berkuku runcing kehitaman terus mengorek
ke dada Ghazali. Terjerit-jerit azab Ghazali demikian.
Memancut-memancut darah keluar. Semakin dicungkil dengan kuku-kuku
tajam semakin membuak darah yang keluar. Jantung lelaki itu ditarik
keluar. Berlelehan darah tangan makhluk itu sambil dijilat rakus
penuh keasyikan.
Tubuh Ghazali dilempar ke tanah sudah kaku. Mahu
termuntah Zulaika melihat makhluk itu menggigit rakus jantung Ghazali
masih segar. Terenjut-enjut badannya menahan tangis bisu. Tubuhnya
kaku tidak mampu bergerak. Rasanya hidup matinya juga di tangan
makhluk itu. Kerana tekanan ketakutan yang tidak mampu dibendung
Zulaika sudah jatuh pitam.
Siang, Hari Keempat-Hutan Mayan
MATANYA mencelik
perlahan-lahan. Hari sudah meninggi waktu. Bila tersedar dengan apa
yang berlaku semalam Zulaika melompat dari dalam khemah. Matanya
meliar melihat sekeliling.
Tidak jauh dari tempatnya berdiri kelihatan mayat
Ghazali tanpa kepala sudah dihurung langau dan berulat. Peliknya
tubuh itu reput kehitaman dan kecut. Ada lubang besar pada dada dan
mengeluarkan bau memualkan.
Zulaika terundur-undur sebak. Menekup mulut menahan
tangisan. Kakinya tersandung sesuatu lalu jatuh ke tanah. Bila
melihat ada banyak ulat-ulat menjalar pada lengan dan kakinya dia
bangkit dan mengibar-ngibarnya tubuh. Terbuntang matanya melihat ada
satu lagi mayat reput, kecut dan kehitaman dengan kondisi sama
seperti Ghazali.
“Argghhh!” Zulaikha histeria melihat situasi itu.
Suaranya membelah Hutan Mayan.
Tanpa membuang masa dia menyambar beg sandangnya dan
berlari keluar dari hutan itu.
“Aku kena keluar dari sini. Aku tidak sanggup
bermalam di hutan ini lagi.” Diseka air mata dan lelehan hingus
dengan lengan bajunya.
Semakin dia meredah hutan itu semakin jauh entah ke
mana halanya. Hanya pohon-pohon gergasi tumbuh meliar. Tiada satu
bunyi haiwan pun kedengaran. Cahaya kembali suram. Dan dia tidak mahu
tunggu lebih lama. Bisikan-bisikan angin Hutan Mayan mengekorinya..
Tiba-tiba, sampai ke satu tapak kelihatan ada satu
batang pokok besar mirip pokok ara. Namun pokok ini lain daripada
lain. Ada banyak akar-akar tumbuh bertindih setinggi enam kaki
barulah batang pokok menjulang tinggi. Atas rimbunan akar itu mampu
dipanjat sebelum mencapai batang pokok gergasi sebesar sepuluh
pemeluk. Sangat besar!
“Inikan akar yang Prof kata tu?” Dan ketika dia
mengelilingi pokok misteri itu membuntang matanya. Zulaika menekup
mulut. Matanya bergenang air mata. Satu panorama menggerunkan itu
menjadi mata saksi kepalanya.
Ada banyak kepala-kepala manusia dalam jumlah tak
terhitung digantung pada dahan-dahan pokok itu. Di antaranya ialah
kepala Ghazali dan Rakmat. Sudah tentu kepala Johanna dan Profesor
Gumelar juga ada. Kepala lain sudah kecut reput dan sebahagian
menjadi tengkorak.
Meremang satu badannya bila matanya menangkap satu
kewujudan pada batang pokok gergasi beringin itu seolah satu makhluk.
Diamatinya lebih dekat dengan sepenuh perhatian barulah dia sedar itulah
makhluk iblis yang membunuh dan meratah jantung timnya. Makhluk yang
mempunyai sepasang kaki tergantung pada dahan. Mempunyai sayap bak
kelalawar itu dan separuh badan adalah manusia sedang tidur. Sayapnya
mengelubung satu badan menutup tubuh termasuk separuh wajahnya.
Saat itulah dia berasa bagai malaikat maut di hadapan
mata. Tersilap langkah pasti makhluk itu akan terjaga. Rasanya mahu
bernafas pun dihirup hembus perlahan. Langkahnya bagaikan pencuri.
Bingkas dia
menyembunyikan diri di dalam lubang akar yang boleh membolos masuk ke
dalam. Mujur tubuh badannya kecil molek. Beg sandang disembunyikan
bawah rimbunan dedaun. Dari sebalik akar-akar pokok itu dia berdoa
dan zikir memohon kepada Allah.
“Subhanallahil' Azhim Ya Hayyu Ya
Qayyummu, Birahmatika Astaghitsu.” Membawa
maksud, Mahasuci Allah Yang Maha Agung, Wahai Yang Maha Hidup dan
Yang Maha Selalu Mengawasi, Aku mohon pertolongan dengan rahmat-Mu.”
Doa itu diulang-ulang dengan sepenuh hati sampai dia terlelap di
dalam lubang akar itu.
Malam, Hari Keempat-Hutan Mayan
DALAM mimpinya,
Zulaika berlari-lari di dalam hutan gelap itu namun dikejar oleh
makhluk separuh badan kelalawar. Dia hilang arah. Tiba-tiba muncul
tiga kelibat kemudian berubah menjadi cahaya. Pandangannya silau
tidak mampu melihatnya.
“Zulaika pewarisku yang hilang. Bila kau telah
menjejak kaki ke hutan ini saja maka sebahagian dirimu menghidupkan
semangat iblis yang sekian lama tidur beratus tahun lamanya. Sudah
terlambat. Kau mesti hadapi iblis itu dan tamatkan riwayatnya.”
“Macam mana aku kena tamatkan? Aku tiada daya.”
“Kau mampu, Zulaika. Di dalam aliran darahmu ada
keturunan Wulan Jihan, Srikandi yang paling terbilang. Makhluk iblis
itu adalah lawanmu kerana dialah penyebab moyang, nenek dan ibumu
mati dalam genggamannya. Satu-satu warisan kau miliki itu adalah
jawapannya. Akar ini, pokok ini bukan sebarangan tumbuhnya. Gabungkan
warisan dan alam ini menjadi senjata ampuhmu.”
Kelibat cahaya hilang. Bingkas Zulaika terjaga. Dia
kebingungan dengan apa yang dimimpinya. Batinnya berkecamuk resah.
Hari sudah gelap di luar rupanya. Begitu lamanya dia bersembunyi di
bawah lubang akar itu.
Ada suara seseorang berkomunikasi dengan makhluk
iblis itu.
“Dia masih dalam hutan ini. Tidak mungkin lari
jauh. Aku sudah cukup persiapkan semuanya. Sepatutnya perempuan itu
sudah kau tangkap.”
Hatinya terdesak untuk tahu siapakah empunya suara
satu lagi. Dalam lubang akar itu dia mampu merangkak untuk masuk
lebih jauh di tengah. Bila melihat banyak serangga menjalar di atas
tanah dia menahan diri daripada terjerit. Terasa mahu sahaja lari
dari lubang itu. Nyawanya tentu sebagai pertaruhan.
Dikuatkan hati merangkak meski ada bermacam spesis.
Tidak jauh dari tempatnya merangkak ada celah lubang di sebalik
akar-akar itu mampu meraih insan bersemuka dengan makhluk hodoh
bersayap itu. Terbuntang matanya. Kemarahannya memuncak tinggi
mengetahui tembelang seseorang sudah terbongkar.
Tiada yang mampu dikatakan. Hanya menanti waktu mahu
bersemuka dengan pengkhianat yang sudah beredar. Bunyi gerun makhluk
iblis itu membelah Hutan Mayan. Mengepak ke udara mencari dirinya.
Dia teringatkan pesanan dalam mimpinya.
“Gabungkan warisan dan alam ini menjadi senjata
ampuhmu.'
Perlahan-lahan dia keluar dari tempat persembunyian
di bawah pokok misteri. Tidak sedetik pun detak jantungnya tidak berdegup
kencang. Selagi makhluk itu tidak kembali lagi dia berpeluang mencari
jalan keluar. Tetapi bukan lari dari situ.
“Apa maksudnya warisan aku miliki?” Dia melerai
teka-teki itu. Satu-satu barang yang dimiliki sejak lahir adalah
kalung berloket umpama Kalung Penyan. Kalung itu dikeluarkan dari
dalam baju T dan tatapnya. Alam yang dimaksudkan senjata adalah akar
itu. Bingo!
Kemudian dia melihat belitan dan ribunan akar-akar
setinggi enam kaki itu tumbuh menjulang. Itulah satu-satunya pokok
misteri pernah dilihat. Bunyi erangan dan tangisan hiba mendayu-dayu
kedengaran dari kepala-kepala itu.
Seram sejuk jangan cakap. Menggeletar tubuhnya.
Zulaika terus berkeliling pokok itu. Bagaikan bertawaf. Dia mahu
mencari senjata diri. Kakinya tiba-tiba tersandung satu akar menjalar
panjang dengan hulunya sangat tajam.
“Akar ni mesti sesuai. Ini yang terbaik.”
Dihentaknya kaki pada akar panjang itu sehingga merekah dan terbelah
dua. Tapak tangannya melecet kerana menarik kuat akar itu. Loket pada
kalung ditanggalkan dan mencuba-cuba untuk memasukkan lubang loket ke
hulu tajam akar itu. Sungguh tak disangka ia bagaikan lembing bermata
permata.
Malam itu adalah malam jumaat, ketika hutan berbicara
dengan angin dan jiwa hidup di dalamnya. Dia menanti dengan penuh
keberanian berharap mampu keluar dari tipu daya Hutan Mayan.
Apakah yang berlaku ke atas Zulaika malam itu?
Siapakah pengkhianat yang dilihatnya. Apa kaitan Zulaika dengan Hutan
Mayan dan makhluk iblis itu? Kisah ini tidak berhenti di sini. Nantikan
versi lebih padat dan panjang bakal diterbitkan untuk tahu kisah
silam Hutan Mayan dan Zulaika.
Selamat Malam!