Home Novelet Seram/Misteri Projek Seram : Restroom - Jalan Kematian
Projek Seram : Restroom - Jalan Kematian
Akma Saidon
2/7/2016 02:13:10
6,803
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

“AKU tak tipulah! Memang aku nampak Hana tadi! Kau orang ingat aku suka-suka nak takutkan kita semua ke?” Suara Nabilla lantang melontar kata menerkam cuping telinga.

Sudah tidak dipedulikan mata-mata yang memandang ke arah mereka. Pedulilah siapa pun yang hendak dengar dan yang hendak menyampaikan berita. Dia sudah tidak peduli.

Emellza dan Shiifa yang mendengar kata-kata Nabilla terpempan seketika. Mereka berdua memerhatikan anak mata Nabilla sedalam-dalamnya. Tidak ada riak menipu di balik sepasang sinar mata bundar milik gadis itu. Benarlah apa yang dikatanya. Nabilla bukan seorang yang pandai menipu.

“Kita semua tak nampak dia, Bie,” ujar Shiifa, perlahan.

Buat pertama kalinya sepanjang mereka melakukan kerja-kerja „jahat‟ di dalam kem itu, dirasakan ada yang tidak kena. Bagaikan ada yang ingin menjerat mereka berlima dalam dendam yang tidak pasti. Entah mengapa setiap kali nama Farhana disebut-sebut, hati mereka berasa berdebar lain macam. Debaran yang hanya mereka sahaja yang alami. Debaran yang bukan biasa-biasa.

“Aku rasa tak selesa Emell, Shii,” ujar Nabilla, perlahan.

Secara tidak langsung menghalau lamunan yang sedang menggelegak dalam minda Emellza dan Shiifa.

“Aku tahu, Bie. Apa yang kau rasa, aku pun rasa sama,” ujar Emellza, juga perlahan.

Shiifa yang mendengar sekadar mengangguk tanda mengiakan.

“Kita tak patut dekat dengan kawasan larangan tu, especiallytandas lama,” ujar Nabilla lagi.

Kata-katanya itu serta-merta menarik perhatian Emellza dan Shiifa. Kedua-duanya lekas berpandangan sebelum menatap wajah Nabilla yang nampak gelisah.

“Maksud kau apa?” celah Shiifa, laju.

“Bukan ke kawasan larangan tu dulu pernah jadi kes buli? Dan budak yang kena buli tu dijumpai mati dalam tandas lama tu. Kau orang tak tahu atau sengaja buat-buat tak tahu?” ujar Nabilla.

Suaranya sengaja ditekankan dengan riak wajah masam mencuka.

“Betul ke ada budak pernah mati dalam tandas tu?” soal Shiifa, terpinga-pinga.

Dia melontar pandangan ke arah Nabilla dan Emellza silih berganti. Ada budak kena buli? Siapa? Kena buli sampai mati? Bermacam-macam persoalan terbit dalam minda Shiifa saat ini.

Nabilla sekadar membuang pandang. Emellza pula sudah membuntang mata mendengarkan kata-kata balas Shiifa.

“Kau memang betul-betul tak tahu ke, Shii?” soal Emellza.

Shiifa pantas menggeleng.

“It was sad, bloody and tragic night,” ujar Nabilla, perlahan.

Dia menunduk sebentar sebelum menatap wajah Shiifa yang masih terpinga-pinga. Jelas pada raut wajah sahabatnya itu perasaan ingin tahu tentang apa yang diperkatakan mereka. Berkerut-kerut wajah itu menanti butir-butir lanjut terbit dari mulut Nabilla. Namun, gadis itu hanya diam. Sengaja memancing Shiifa untuk bertanya.

“Dare to explain?”

“Budak tu jadi mangsa buli sekumpulan serikandi. Macam apa yang kita buat pada Hana dan yang lain-lain. Tapi, kita belum cukup kejam sebab tak ada siapa yang mati di tangan kita macam budak tu. Dan untuk pengetahuan kau, Shii... budak tu dijumpai mati dengan tubuh badan yang menyimbah darah merah dan dipenuhi berpuluh hirisan benda tajam. Yang paling teruknya, muka dia biru, macam lebam sebab kena jerut,” ujar Nabilla, panjang lebar.

“Jadi, kau nak kaitkan kes dulu tu dengan apa yang kita dah buat ni ke?” soal Shiifa lagi.

Riak mukanya sudah bertukar rupa. Jelas dia tidak menggemari apa yang baru dihadamkan gegendang telinganya itu.

“Habis tu takkan semua ni kebetulan pulak? Sebab kita langgar peraturanlah kita semua berpecah macam ni. Sebab kita heret Hana ke tandas lama tulah kita semua rasa tak selesa macam ni. Takkan semua ni satu kebetulan? Memang ada kaitan dengan kes lama dulu tu!” Laju butir demi butir kata keluar dari mulut Nabilla.

“Nonsense!”getus Emellza.

“Maksud kau apa ni?” soal Nabilla sambil memandang tajam wajah Emellza.

Gadis itu hanya beriak tenang. Dia seakan-akan tidak mengambil pusing apa yang baru dikatakan sahabatnya itu. Dikuis-kuis kakinya ke pasir pantai yang menjadi permaidani alam. Agak lama, sebelum dia membuka mulut mengukir kata.

“Leave the past in the past and focus in now, Bie.”

“Apa yang nak diberikan tumpuan sangat dalam keadaan macam ni? Aku nampak apa yang kau orang tak nampak. Dan kau pun cakap kau rasa apa yang aku rasa. Apa lagi maknanya semua ni? Jangan nak menidakkan apa yang hati kau rasa, Emell!” ujar Nabilla, bersungguh-sungguh.

Dia sedaya upaya menjelaskan kepada kedua-dua sahabatnya itu terutama kepada Emellza yang jelas-jelas menentang apa yang cuba disampaikan. Dan dia yakin, sahabatnya itu sekadar menidakkan apa yang dirasakan oleh hati. Dia tahu, Emellza turut faham apa yang cuba disampaikannya.

“Dahlah tu, aku rasa lebih baik kau tenangkan diri kau dulu. Dah, jom ikut aku cari Bekha dan Zetty,” ujar Emellza, sengaja membuat keputusan sendiri.

Dia tidak mahu memanjangkan perkara yang dia sendiri tidak tahu sama ada benar atau tidak kaitannya. Perkara besar seperti itu perlukan perbincangan bersama rakan-rakan yang lain. Bukanlah membuat keputusan secara membabi buta. Fikir Emellza.

USAI pembelajaran sastera Melayu di dalam Slot Kebudayaan, lima sekawan itu bergegas meninggalkan kelas. Langkah laju diatur menuju ke petempatan asrama serikandi yang terletak di hujung jalan. Petempatan asrama serikandi sememangnya dibina agak ke dalam untuk mengelakkan serikandi-serikandi melarikan diri.

“Guys, we need to talk.” 

Suara Emellza berdenting memecah sunyi. Suaranya itu serta-merta mematikan langkah empat orang rakan yang lain. Terbantut terus niat mereka untuk mendapatkan katil masing-masing. Sudahnya, mereka langkah ke arah Emellza. Santai mereka mengambil tempat di atas katil gadis itu.

“Nak bincang pasal apa?” soal Hazikha, perlahan.

Mukanya sengaja ditundukkan. Langsung tidak mempedulikan mata-mata sahabat yang ralit memandang tingkah lakunya. Dia terus-terusan bermain silang jari.

“I’m asking here.” 

Suara Hazikha kembali menampar telinga apabila pertanyaannya terbiar sepi. Dia mengangkat muka sedikit. Matanya melirik-lirik ke arah sahabat-sahabat yang masih setia memerhati seraut wajah tegang miliknya itu.

“Pasal Hana.” Suara Emellza perlahan.

Dia memerhatikan dalam-dalam wajah Hazikha. Hatinya terbit perasaan bimbang kalau-kalau sahabatnya itu menyinga tiba-tiba. Bukan dia tidak kenal siapa Hazikha. Sejak mereka mengurung Farhana di dalam tandas lama, nama serikandi itu seakan-akan sensitif di telinganya.

“Kenapa dengan Hana, Emell?” soal Hazikha lagi.

Walaupun dia bertanya kepada Emellza, wajahnya sengaja ditalakan memandang Nabilla. Dia tahu, soalan itu pasti muncul di sebalik pendapat Nabilla yang dirasakan tidak masuk akal.

“Aku tak tahu sama ada apa yang aku rasa ni betul ke salah,” ujar Emellza, masih teragak-agak hendak meluahkan kata.

“Say it.” 

Suara Hazikha kedengaran keras menampar gegendang telinga. Pandangan tajam menyinga. Diketap-ketap belahan giginya, cuba menahan amarah dalam hati yang membuak-buak mahu keluar. Sesekali dia mengerling ke arah sahabat-sahabat lainnya yang jelas menunduk.

“Aku rasa, kita semua dah terkena sumpah Hana. Maksud aku, black cursed...” ujar Emellza.

“Apa kau mengarut ni, Emell? Kau rasa atau sebenarnya semua ni pendapat bangang Bie?” pintas Hazikha dengan nada yang lantang.

Emellza terkejut mendengarkan suara lantang Hazikha. Muka Nabilla pula sudah mula memerah. Amarah perlahan-lahan dijentik dalam hati hingga menerbitkan perasaan sebal yang menggila.

“Apa masalah kau dengan aku, Bekha? Aku ada cakap pasal black cursedke? Tak, kan?” bidas Nabilla, garang.

Tajam renungan matanya menikam Hazikha.

“Memang kau tak ada cakap pasal black cursed or so whatever!Tapi sebab pendapat bangang kau tulah Emell muncul dengan idea yang useless. Black cursed? Hey, come on guys! Kita duduk zaman bila ni nak main sumpah-sumpah segala?”

Guys, please...kita berkumpul ni sebab nak bincang pasal masalah ni, bukan nak bertekak macam ni,” sampuk Shiifa dengan nada perlahan.

Sesekali dia memandang sekeliling, memerhati beberapa pasang mata yang tergamam mendengarkan bicara lantang daripada kumpulannya.

“Benda ni tak jadi masalah pun, Shii. Aku tak faham kenapa kau orang semua nak besar-besarkan benda kecil macam ni and kau, Emell... bukan kau ke yang cakap aku ni yang beria membesarkan benda yang simple. So, what is this?” balas Hazikha, geram.

Butir demi butir bicara yang dilafazkan mereka menikam gegendang telinga Izzati. Dia hanya diam tidak bersuara. Sejujurnya, dia sendiri tidak pasti mahu menyebelahi siapa. Sama ada Hazikha atau Nabilla. Dia sendiri tidak yakin siapa yang benar atau siapa yang salah. Apa yang dia tahu, mengurung Farhana di dalam tandas lama itu bukan suatu cadangan yang baik dan ia memang salah.

Izzati termangu-mangu memerhatikan tingkah laku sahabat-sahabat yang saling bertelagah sesama sendiri. Masing-masing asyik menghujahkan pendapat. Masing-masing mahu menyatakan hak dan tidak mahu mengalah. Diperhatikan juga serikandi-serikandi lainnya yang giat memerhati. Ada yang berbisik-bisik kecil. Barangkali meluahkan rasa dalam nada yang halus.

“I said, enough!” 

Suara lantang Emellza menarik perhatian Izzati. Dada Emellza berombak menahan segenap rasa yang menguasai jiwa. Sedikit sahaja lagi dijentik emosi gadis itu, pasti meledak segala amarahnya.

Izzati memandang sekeliling. Entah apa yang menarik, dia tidak pasti. Matanya seakan-akan ditarik-tarik untuk menatap satu sudut ruangan asrama mereka hinggalah matanya tertangkap satu susuk tubuh yang amat dikenali.

“Hana,” ujar Izzati, perlahan.

Matanya masih kekal memandang Farhana yang sejak tadi memerhatikan telatah mereka.

“Stop it, Zetty.” Suara Hazikha perlahan menerjah telinga Izzati.

Dia sudah naik jemu mendengarkan nama Farhana disebut berulang-ulang kali. Padanya, Farhana memang wajar menerima padah sebegitu. Kerana mulut lancang Farhanalah mereka didenda. Kerana Farhana menambah-nambah ceritalah mereka berlima mendapat malu.

“Guys, look. Hana tu,” ujar Izzati lagi.

Matanya masih tepat memandang ke arah Farhana. Dia langsung tidak mempedulikan jawapan balas Hazikha walaupun dia tahu gadis itu pantang apabila mendengar perihal Farhana. Kini, barulah Izzati yakin akan kata-kata Nabilla. Bie tak pernah menipu, desis hati kecil Izzati.

Empat orang sahabat yang mendengar segera membuang pandang ke arah yang sama. Buntang mata mereka memerhatikan wajah Farhana yang asyik memandang ke arah mereka. Segaris senyuman sinis terpamer di balik bibir Farhana yang pucat dan mengering.

“Such a bitch!” getus Hazikha.

Dia segera bangkit dari duduknya. Langkahnya diayun laju mendapatkan Farhana yang masih tenang memerhati.

Langsung tiada perasaan takut terpamer pada wajah Farhana. Farhana hanya menanti ayunan langkah Hazikha mendapatkan dirinya. The game was begin soon,desis hati kecilnya.

“Puas hati kau dapat takutkan semua orang?” jerkah Hazikha, lantang.

Dia langsung tidak mempedulikan mata-mata yang memandang. Apa yang dia tahu, rasa dalam hati perlu dimuntahkan segera.

“Kau cakap apa ni, Bekha? Aku tak faham,” ujar Farhana, bersahaja.

Dia kembali mengukir senyuman sinis.

Hazikha terpana mendengar jawapan balas Farhana. Aku? Dia sebut aku? Bisik hati kecilnya. Hazikha kehairanan mendengarkan kata-kata Farhana itu. Empat orang sahabatnya juga turut berasa hairan. Itu bukan Farhana yang pernah mereka kenal.

“Ya, aku memang sebut aku tadi. Kenapa?” ujar Farhana lagi.

Dia sengaja menayang wajah selamba dengan senyuman sinis tidak lekang di balik bibir pucatnya.

Hazikha tersentak. Dia memerhati tajam wajah Farhana yang tersenyum penuh makna. Timbul perasaan tidak berkenan dalam hati sebaik sahaja melihat senyuman itu. Dirasakan Farhana seakan-akan sengaja mahu menjentik perasaan marah yang bermukim dalam jiwa. Bitch! Such a bitch!Bentak hati kecil Hazikha.

“Kau jangan nak tunjuk kuat kat sini, Hana.” Suara Hazikha kedengaran perlahan. Sengaja ditekan nada suaranya agar berbaur keras.

Farhana masih tersenyum. Dia mengatur langkah merapati Hazikha. Wajah Hazikha yang menyinga dipandang tajam sebelum dirapatkan mulutnya betul-betul di telinga gadis tinggi lampai itu. Perlahan-lahan dia mengatur lafaz, berbisik lembut di hujung telinga Hazikha.

“Kau akan mati, Bekha. Tak lama pun lagi.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.