Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM ISTANA - Korban Gangren
PROJEK SERAM ISTANA - Korban Gangren
NaimTamdjis
18/3/2016 07:48:41
10,930
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

Tahun 2018

AZHAEL kini berdiri di hadapan Istana Lama Seri Menanti yang sudah nampak usang dan kusam. Istana itu hilang kemegahan dan serinya selepas lebih 100 tahun dimamah usia. Malah terdapat kayu yang terkopak dan ada bumbung yang tercabut. Ada juga dinding yang telah dimakan anai-anai. Malah, pada zaman ini, istana ini jarang dilawati. Kini istana ini telah ditutup untuk kerja-kerja pembaikan keseluruhannya.

“Macam mana Encik Azhael? Rasanya istana ini boleh diselamatkan?” tanya Khai, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Istana dan Adat Kerajaan Negeri Sembilan. Dia bertanggungjawab tentang hal ehwal pengurusan dan pentadbiran istana.

“Apa yang saya tengok sejak dua hingga tiga hari ni, istana ni boleh diselamatkan. Tapi perlukan pemulihan secara total. Banyak kayunya dimakan anai-anai. Saya kena buka balik istana ini dan gantikan dengan kayu yang baru. Jangan bimbang Encik Khai, istana ini akan kembali megah,” jawab Azhael yakin.

“Buatlah apa yang Encik Azhael nak buat. Yang Dipertuan Besar pun sudah serah bulat-bulat kepada Encik Azhael. Yang Dipertuan Besar kagum dengan keupayaan Encik Azhael membaiki semula Istana Maziah di Muzim Terengganu dan Istana Lama Melaka. Sebab itu saya diarahkan untuk mencari Encik Azhael sebagai kontraktor,” jelas Encik Khai.

“Kepakaran yang saya miliki adalah dari tunjuk ajar arwah bapa saya. Seorang yang pandai tentang istana lama. Alhamdulillah ilmunya dapat saya gunakan. Saya ni biasa-biasa sahaja,” kata Azhael merendah diri.

“Hanya Encik Azhael seorang sahaja di Malaysia ini yang pakar memulihkan bangunan kayu terutama istana lama. Saya harap Istana Seri Menanti ini gagah sepertimana masa ia mula dibina 100 tahun dulu. Saya minta diri dulu Encik Azhael. Ada kerja di pejabat, terutamanya urusan dokumentasi tentang kerja-kerja yang akan dibuat oleh Encik Azhael,” pinta Khai.

Mereka bersalaman dan Khai meninggalkan Azhael. Selepas Khai pergi, Azhael terus memandang puncak menara Seri Menanti. Dia terkejut apabila melihat sesusuk tubuh berpakaian lengkap seperti raja berwarna kuning memandang. Azhael terkesima. Mata bertentang mata. Wajah tersebut tersenyum kepadanya sebelum masuk ke dalam dan menghilang.

“Siapa pula yang berada di atas menara? Bukankah istana ini telah ditutup?” tanyanya sendiri.

AZHAEL balik ke rumahnya di Paroi. Sebuah rumah kayu tiga tingkat persis istana zaman dahulu kala peninggalan arwah ayahnya. Azhael anak bongsu daripada kedua beradik. Kakaknya yang pertama iaitu Jasmeen, kini merupakan perunding arkitek terkenal di Kuala Lumpur. Kakaknya yang selalu membantu Azhael seorang lulusan kejuruteraan awam dalam membina dan membaiki semula istana lama yang berasaskan kayu. Firma kakaknya Jasmeen dan Jessica Sdn. Bhd. pakar dalam senibina tradisional dan vintaj.

Kedua-duanya meneruskan kesinambungan warisan arwah ayah mereka yang pakar dalam senibina tradisi dan vintaj. Ayah dan ibu mereka meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun yang lalu. Kedua-dua kakaknya telah berkahwin dan tinggal di Gombak.

Sebaik sahaja sampai, Azhael terus ke bilik kerjanya. Dia membuka komputer dan mencari sejarah tentang Istana Seri Menanti. Lalu ada satu blog menarik perhatiannya.

Istana Seri Menanti diKuala Pilah,Negeri Sembilan istana yang dirujuk lazimnya dalam konteks ini adalah sebuah binaan/bangunan lama, diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmiYang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an. Kini, memandangkan ia suatu warisan sejarah, istana itu telah berubah "peranannya" menjadi muzium. Bangunan ini didirikan mengikut senibina masyarakatMinangkabau.

Istana Lama Seri Menanti ialah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada1902 dan siap pada tahun1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni AlmarhumYamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.

Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukangMelayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan olehTuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.

Istana ini telah digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara itu.

Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun1992. Atas kesedaran DYMMTuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada14 Julai1992 bersamaan 14Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja ialah di bawah pentadbiran Lembaga Muzium Negeri, Negeri Sembilan.

Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang itu. Penambahan bahan koleksi Muzium dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.

Walau bagaimanapun, sejak dua tahun ini, tidak ramai lagi yang datang melawat ke Istana Seri Menanti. Ini kerana Istana Seri Menanti telah uzur dan perlu pembaikan yang serius.

Azhael berpuas hati dengan penerangan penulis blog itu. Seterusnya dia melihat gambar yang diambilnya di dalam bahagian istana tadi. Istana dibahagikan kepada beberapa ruang. Ada ruang penghadapan, ruang anak raja, ruang solat, ruang makan, ruang bilik-bilik diraja dan perpustakaan. Malah ada menara yang tangganya curam di mana Yang Dipertuan Besar akan menyendiri atau jika ada perbincangan rahsia dengan orang-orang tertentu. Azhael melihat gambar tangga yang diambil.

“Eh! Ada bayang susuk tubuh sedang menaiki tangga curam ni. Tak salah aku lembaga aku tengok tadi. Pakaian pun sama. Lengkap berpakaian kuning songket diraja. Hantu ke?” tanya Azhael kepada dirinya sendiri.

Azhael mengamati wajah entiti itu. Tidak beberapa jelas dan agak mengerikan. Hanya bayang-bayang sahaja. Azhael segera menukar gambar lain. Terasa meremang pula melihat gambar itu lama-lama.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.