KAMPUNG Aman yang
bersebelahan dengan Kampung Permai itu terletak di pinggir Pekan Sari dan hanya
dipisahkan sebatang sungai dan muara. Malam itu,
bagaikan memberi kerjasama kepada Andika kerana cahaya bulan mengambang setia
meneranginya sepanjang kawasan sungai yang disusurinya.
Andika mendayung
sampan perlahan-lahan. Memikirkan dia sudah sejauh ini melarikan diri, ada rasa
sedikit kelegaan di hatinya. Dia pasti, penduduk Kampung Permai tidak akan
dapat menjejakinya lagi.
“Andika!” panggil satu
suara.
Andika terkejut seraya
menoleh ke arah sipemanggil. Baru dia menyedari
bahawa dia bukan berseorangan melarikan diri,
tetapi ditemani sidara pujaan hatinya, Embun Murni.
“Apa yang Andika
sedang fikirkan? Andika menyesalkah membawa Embun lari dari Kampung Permai?”
soal Embun Murni
“Eh, tidak, Embun! Masakan
sudah sejauh ini Andika membawa Embun lari, Andika bisa menyesal. Tidak
sekali-kali. Andika berjanji sampai kita di Tanah
Naning nanti, kita bina hidup baru. Tapi...” Kata-kata
Andika terhenti di situ.
“Tapi, mengapa Andika?” tanya Embun Murni.
“Sanggupkah Embun
hidup bersama Andika dalam serba kekurangan? Andika takut Embun tidak betah
hidup bersama Andika. Bukankah Embun sudah biasa hidup di atas dulang emas,” ujar Andika merendah
diri.
Sumpah, ini yang
ditakutinya. Andika amat risau kalau Embun Murni tidak biasa hidup merempat dan
dalam serba kekurangan begitu. Maklumlah segala kerja rumah, dibereskan ibunya
dan juga pembantunya. Selepas ini, segalanya harus dilakukan sendiri. Selama
manakah Embun Murni bisa bertahan?
“Andika, usah bimbang.
Embun sudah nekad membuat keputusan untuk berkorban dengan meninggalkan
segala-galanya. Tinggalkan kemewahan dan jugak
keluarga. Embun yang membuat pilihan. Makanya, Embun jugaklah
yang harus bertanggungjawab dengan segala apa
yang Embun lakukan. Cuma,
Embun berharap, Andika berjanji akan menjaga dan menyayangi Embun sehingga
akhir hayat Andika. Embun sudah tiada siapa-siapa lagi,” ujar Embun Murni sebak.
“Embun, kasih dan
cinta Andika kepada Embun tidak berbelah bagi. Kerana kasihkan Embunlah, maka Andika jugak
korbankan segalanya. Tinggalkan ibu yang keseorangan. Sanggup bergadai nyawa
membawa lari anak dara Orang Kaya Darus. Kita berdua sama sahaja. Kita sudah
tiada saudara-mara.
Sampai kita di Tanah Naning nanti, kita akan nikah dan bina hidup
baru. Andika berjanji, selagi hayat dikandung
badan, Andika akan menjaga dan mempertahankan keselamatan Embun dan bakal anak-anak
kita nanti.”
Lega rasa di hati
setelah mendengar pengakuan dan sumpah setia Andika kepadanya. Bagi Embun
Murni, dia tidak silap memilih Andika sebagai bakal nakhoda hidupnya.
Dari dahulu lagi,
Embun Murni menyimpan rasa cintanya kepada Andika. Peribadi Andika sangat
memikat hatinya. Namun, dek keterbatasan pergaulan dan tebalnya adat Melayu
yang dipertahankan, Embun Murni sekadar menyimpan perasaan itu dalam hati.
Dari lirik mata dan
sinar mata Andika apabila memandangnya setiap kali mereka terserempak sama ada di rumahnya sendiri atau di majlis-majlis
keraian, Embun Murni tahu bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan.
Setiap hari dia berdoa
agar Tuhan menggerakkan hati Andika agar bersuara dan meluahkan isihatinya. Namun,
Andika berlagak seperti tiada apa-apa perasaan. Sehinggalah bila ayahnya
membuat keputusan untuk menerima pinangan Arjuna, Embun Murni hidup penuh
kebimbangan.
Embun Murni amat tidak
berkenan langsung dengan peribadi Arjuna yang sombong dan angkuh. Dia tidak
dapat membayangkan bagaimana dia bisa hidup bersama dengan orang yang tidak dia
cintai dan yang sangat menjengkelkan.
Embun Murni tahu
ayahnya memilih Arjuna di atas kepentingan kuasa dan darjat. Sedangkan dia
tidak betah hidup begitu. Justeru itu, Embun Murni nekad untuk melarikan diri.
Suatu kebetulan yang indah,bilamana dia terlihat
Andika sedang keseorangan di belakang rumahnya.
Bagi Andika pula,
sehingga waktu itu, dia masih belum sepenuhnya mempercayai bahawa dia sudah
melarikan anak dara orang dan sedang dalam perjalanan untuk memperisterikan sidara pujaan hatinya.
Teringat Andika akan
perbualannya dengan Embun Murni malam semalam.
“Andika, mahukah
Andika menolong Embun lari keluar dari Kampung Permai ini?” tanya Embun Murni.
“Ha? Embun Murni mahu
lari keluar ke mana?” tanya Andika, terkejut.
“Ke mana-mana sahaja
asalkan keluar dari Kampung Permai ini. Embun tidak rela menjadi isteri Arjuna.
Tolonglah Andika. Bawa Embun pergi. Embun tidak cintakan Arjuna!” rayu Embun
Murni.
Andika sudah
tergaru-garu kepalanya. Bingung, terkejut dan tidak percaya. Dalam masa yang
sama, sempat memikirkan bagaimanakah caranya dia
mahu membawa Embun Murni keluar dari Kampung Permai. Hati juga sudah
berbunga-bunga kerana tidak menyangka bahawa selama ini dia tidak bertepuk
sebelah tangan!
Dalam pada itu, Andika
sudah mendapat akal bagaimana mahu membawa Embun Murni lari.
“Apakata, Embun tunggu Andika di sempadan masuk Kampung
Aman sebaik sahaja purnama menunjuk muka. Andika akan tunggu di sana.
Pandai-pandailah Embun membuat helah untuk keluar dari rumah. Apa pun,
berhati-hati dan jaga diri ya, Embun,” cadang
Andika.
Embun Murni hanya
mengangguk sambil tersenyum. Malam itu, di saat penduduk kampung sedang sibuk dengan
pembahagian kerja masing-masing, perlahan-lahan Embun Murni menyusup keluar
dari rumahnya menerusi pintu belakang.
Dengan sekuat
tenaganya, Embun Murni berlari menuju simpang masuk ke Kampung Aman. Dia pasti,
Andika ada di sana menantinya. Dia tidak mahu keluarga dan orang kampungnya
menyedari ketiadaannya di dalam rumahnya itu. Pasti ayahnya akan mengarahkan
penduduk kampung mencarinya di pelosok kampung.
Jika sudah melepasi
sempadan Kampung Aman, dia tidak perlu bimbang kerana jaraknya dari rumah agak jauh dan mungkin dapat melambatkan
gerakan mencarinya.
Embun Murni hanya
membawa beberapa pasang baju dalam bungkusan kain dan barang-barang kemas
miliknya sebagai simpanan atau boleh digunakan di waktu terdesak nanti.
Tiba di sempadan
Kampung Aman, dari jauh Embun Murni nampak kelibat Andika sedang menunggunya.
Andika memberi isyarat agar Embun Murni berlari tanpa mengeluarkan banyak
bunyi.
“Kita ke muara Kampung
Aman yang berdekatan. Di sana, kita boleh naiki sampan. Cepat, kita bergerak
sekarang sebelum orang kampung dapat menjejaki kita!” beritahu Andika.
Embun Murni hanya
menurut sahaja apa yang diarahkan Andika. Dia sudah tidak peduli lagi apa yang
bakal berlaku di kemudian hari. Baginya, dia rela hidup susah dengan Andika
daripada hidup makan hati dan terseksa jika dia mengahwini Arjuna kelak.