Home Novelet Cinta DILAMAR PUTERA BUNIAN
DILAMAR PUTERA BUNIAN
NAWAR WAHID
28/11/2020 11:34:13
41,911
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Bab 10

Putera Furqan membawa Qalea keluar daripada bilik. Qalea hanya menuruti langkah jejaka itu seperti seekor keldai. Diperhatikan lagak putera itu berjalan. Gayanya sangat berhati-hati. Pandangannya serius apabila si dayang mengucapkan salam. Dia tidak seperti yang Qalea bayangkan. Fikirannya berfikir bahawa seorang bunian itu menakutkan dan membahayakan. Dia ada juga membaca bahawa pelbagai hasutan akan dilakukan oleh bunian ini apabila didekati. Tetapi kenapa semenjak dia tinggal di sini, perasaan senang dan tenteram itu mula muncul sedikit demi sedikit? Dia selalu terbayangkan kehidupannya seperti ‘Beauty and The Beast’ di kaca televisyen. Bagaimana seorang gadis itu telah tinggal dengan seorang makhluk yang bengis dan berwajah hodoh. Kelakuannya yang nampak sunyi itulah telah membuatkan hatinya telah jatuh cinta terhadapnya. 

            Hakeem ada berpesan bahawa Tuhan itu menutup hijab mata manusia ini daripada alam lain kerana iman kita yang nipis senipis bawang. Kita akan terus menginginkan sesuatu yang lebih. Lihatlah sahaja kuasa yang diberi pada makhluk buian. Mereka boleh terbang, mereka bersayap, mereka kacak dan mereka mempunyai kuasa yang pelbagai tidak seperti manusia. Maka, sesiapa yang telah melihat alam bunian, hati akan berbolak-balik untuk tinggal di sini. 

            Adakah hati Qalea juga sama?

            Mungkin. Qalea memegang dinding istana itu dengan jari jemarinya. Tempat ini begitu indah dan cantik. Bangunan istana ini sangat masyur. Ianya diperbuat daripada tanah yang telah disusun rapi dan membentuk seni reka yang pelbagai. Ada bentuk bintang, bulan dan alam. Semuanya berunsur keaslian yang dicipta Tuhan. 

            Qalea menuruni anak tangga sedikit laju sambil melihat Putera Furqan mengepakkan sayap lalu terbang di hadapannya. Sayapnya mengibas kuat dan menyebabkan kain yang dipakai Qalea sedikit terselak sebelum sempat ditutupnya. Apabila putera itu sampai ke luar rumah agam itu, dia dipertemukan dengan beberapa makhluk bunian yang lain.

            Pandangan mereka terhadap Qalea sangat berbeza daripada mata-mata yang melihat Qalea semasa di alam nyata. Qalea tidak terasa tersinggung langsung. Selalunya pandangan manusia akan lebih sinis dan percakapan mereka sangat tajam dan menyakitkan. Qalea tahu pandangan bunian ini sekarang seakan-akan terkejut dengan kehadiran dirinya. Manakan tidak, seorang manusia telah disambut mesra oleh seorang putera. Sedangkan manusia di sini kebanyakkannya mereka dipilih untuk menjadi hamba. 

            “kita nak pergi mana ni?” Qalea mendekati Furqan sambil cuba menyembunyikan diri daripada beberapa orang rakan bunian di sekeliling. Apabila tidak dilayan persoalannya, Qalea terus menarik kain baju pada lengan kiri Furqan. Menyentap lamunan jejaka itu. Dia cepat-cepat menoleh. 

            “Oh, Qalea, ini Puteri Gayesha. Adik aku. Dan ni sepupu aku, Putera Eidham dan Putera Danish.”

            Belum sempat Qalea menyampaikan salam, Gayesha terus memeluk tubuh kecil Qalea. Hampir terhenti nafasnya saat dipeluk erat oleh tubuh bunian yang sangat besar. Tetapi pelukannya sangat selesa dan hangat. 

            “Assalamualaikum, Qalea! Rupa-rupanya awaklah orang yang selalu buatkan abang saya tak tidur lena. Sekarang baru saya faham, awak memang cantik orangnya!”

            Putera Eidham menghampiri Qalea selepas itu. Dia mengangkat kedua-dua tapak tangannya lalu melambai mesra. “Saya Eidham. Kalau Qalea nak apa-apa bantuan, boleh je panggil Eidham ok?”

            Dan Putera Danish hanya tersenyum memandang Qalea. Tidak banyak berbicara. Mereka yang sudah berpakaian lengkap dengan baju sejuk berbulu kambing biri-biri berwarna putih terus melompat naik ke atas kuda hitam. Lagak mereka begitu segak. Kaki mereka sudah bersedia di atas penahan kaki itu. Furqan pula masih lagi setia di sisi Qalea memegang sehelai baju tebal berbulu. 

            “Ini baju kau. Kita nak pergi tempat paling sejuk. Aku tak nak kau sakit menggigil tahan sejuk.” 

            Qalea mengambilnya lalu memakainya tanpa dipinta. “sedikit besar.” Katanya. 

            Furqan tersenyum lalu mengeluarkan telunjuk jarinya dan dengan sedikit bacaan, baju itu mengecut mengikut tubuh badan Qalea. 

            “kau tahu ke macam mana nak naik kuda? Atau tunggangnya?” tanya Furqan sambil memandang Qalea. gadis itu menggeleng laju. 

            “kalau macam tu, aku akan angkat kau untuk naik. kau duduk depan aku. Boleh?” 

            Kalau cakap tak boleh pun, apa yang dia boleh buat? Sekarang ni, dah berada di dunia Furqan, maka harus diikut peraturannya. Walaupun dia tidak berapa pasti kemana mereka akan pergi. Walaupun perasaannya sama sepertimana wani merahsiakan tentang penjelajahan ke dunia bunian, entah kenapa dia rasa selamat berada di sisi Furqan. Mungkin dia sudah terbiasa dimanja dan dijaga olehnya ketika dia berada di rumah dan di sekolah. 

            Qalea naik tanpa sebarang usaha. Furqan sudah pun mengangkat naik tubuh badan Qalea naik ke atas kuda hitam itu dengan kuasanya. Dia memegang badan kuda itu perlahan-lahan. Bulu badan kuda itu nipis dan nampak segak. Paha ototnya menimbul sewaktu dia mengerakkan kaki. Bunyi dengusan kuda itu makin kuat apabila mereka mula beredar daripada situ. Langkahnya laju dan makin laju meninggalkan perkarangan istana itu. 

            *****

            Waktu terasa sangat panjang. Mereka melepasi beberapa pergunungan dan hampir menuju ke puncak. Waktu senja daripada tadi terus gelap. Menggelapkan penglihatan Qalea. kadang kala gadis itu ada juga terlentok dek kerana terlalu lama menunggu. Pulak itu, perutnya terasa sangat lapar. Lebih baik dia memejamkan mata sebelum sampai ke destinasi. 

            Qalea menghembus nafas berat. Furqan masih khusyuk menunggang kuda. Daripada tadi tidak berbicara sepatah pun. Mungkin hatinya berat untuk membawa Qalea pergi ke tempat yang dinantikan. Namun, putera itu mahu Qalea sentiasa ada dengannya, di sisinya, dan dihadapannya. 

            “Qalea, janji dengan aku, kalau kau sampai tempat tu nanti, kau tak akan lari.”

            Hati Qalea menjadi semakin berat. Suhu dinginnya sudah terasa. Baju tebal itu tidak mampu menghangatkan badannya. Tangannya terasa sejuk dan mula kebas. Bibirnya merekah. Dia tidak tahu ke mana Furqan mahu membawanya. Menurut Gayesha, sebuah keajaiban ada di situ. Tetapi kenapa Furqan seperti mengatakan sebaliknya? Ada apa di sana? Adakah perkara buruk akan berlaku? Kenapa Qalea mungkin akan melarikan diri? 

            “Qalea? kau janji?”

            “furqan, macam mana aku nak berjanji kalau tempat itu aku tak pernah lihat? Kenapa kau mengatakan aku akan melarikan diri?”

            “Tempat itu adalah tempat asal usulku, Qalea. Aku mungkin bukan seperti yang kau fikirkan. Aku mungkin tak dapat lindungi kau tetapi-” Furqan menarik nafas lalu melibas lagi bontot kuda itu agar melajukan larian. Kelihatan rambut Furqan yang panjang itu mengibas ke belakang. “ugh, tetapi aku berjanji, aku akan lindungi kau.” suaranya dan nadanya nampak tekad. Penglihatan matanya menajam. 

            “Furqan! Kita ke kiri! Gayesha, ikut kiri!” Putera Danish tiba-tiba memekik. Tangan melambai-lambai agar larian mereka perlu ke kiri. 

            “nampaknya, mereka sudah bersedia, Furqan!” Putera Danish menambah.

            Ah, apa yang telah berlaku ni? Kenapa Qalea masih tidak nampak dan faham apa-apa!

            Tiba-tiba, seperti menyelam dalam air yang sejuk, nafas Qalea tersekat. Dia seakan-akan susah untuk bernafas apabila melihat sebuah naga yang begitu besar mengeluarkan api asap daripada hidung. Tubuhnya yang bersisik dan ekornya yang tebal dan panjang kelihatan melibas beberapa pokok cuba mengejar mereka. Di atasnya, Qalea dapat lihat seorang penunggang berbadan gagah. Dia langsung tidak memakai baju. Cuma secebis helaian kain menutupi kemaluan. Matanya nampak merah. 

            “cis, tak guna!” Furqan terus menerbangkan kudanya lalu diikuti putera dan puteri yang lain agar mereka boleh melarikan diri daripada naga bengis itu. 

    

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.