Home Novel Thriller/Aksi Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Rahsia Paling Rahsia (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:40:11
7,412
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 3

15 tahun dahulu

AMIR baru berusia 10 tahun dan ayahnya kata dia mahu meninggalkan kampung untuk ke kota. Di kota sana, dia mendapat pekerjaan yang bagus. Apabila Amir bertanya, apa kerja ayahnya? Ayahnya menjawab, "Night Watchman."

Amir yang baru darjah empat ketika itu sangat kagum mendengar nama pekerjaan itu. Malah di sekolah, dia bangga bercerita kepada kawan-kawannya bahawa ayahnya adalah Night Watchman.

Amir sangka, "Night Watchman" itu adalah pekerjaan superhero. Paling tidak, mungkin ada kaitan dengan polis.

Apabila ayahnya pulang ke kampung pula, dia akan membeli kotak mainan Ding Dang dan Tora. Amir-lah yang paling gembira. Adakalanya, ayahnya akan membelikan novel sejarah, buku puisi (yang ayahnya beli sebab murah), ataupun majalah kartun untuk Amir. Sesuatu yang langka untuk budak-budak di kampung.

Jika ada pak cik jual ais krim, ayahnya bukan sahaja membelikan ais krim untuk Amir, tetapi juga untuk anak-anak jiran. Kadangkala pak cik jual ais krim itu beri ais krim lebih kepada Amir. Semua itu membuatkan Amir yakin ayahnya punya pekerjaan yang bergaji tinggi.

Sehinggalah pada suatu hari, ayahnya pulang ke kampung dan mengajak Amir ke tempat kerjanya. Amir tidak tidur semalaman mengenangkan hal itu. Apa rupanya kerja sebagai Night Watchman?

Sebaik tiba di tempat kerja ayahnya, Amir hairan kerana dibawa ke sebuah kedai menjual kereta dan motosikal mewah. Kemudian ayahnya membawa Amir ke sebuah bilik di belakang kedai.

"Ini bilik tidur kita. Kita tidur di sini," kata Mansur tersenyum.

"Kenapa tidur kat kedai ni, ayah?"

"Inilah tempat kerja ayah."

"Ayah cakap, ayah kerja Night Watchman?"

"Ya. Night watchman security atau 'jaga malam'. Ayah jadi 'jaga' kat sini tapi waktu malam jelah. Siang boleh jalan-jalan."

Amir tersentak. Rupa-rupanya, ayahnya hanyalah pengawal keselamatan di situ. Itupun hanya bertugas pada waktu malam. Jadi, Amir terperap di bilik kecil itu sambil membaca buku yang dibelikan oleh ayahnya.

Apabila tiba waktu malam, ayah membawa Amir berjalan-jalan di kedai kenderaan mewah itu.

"Nanti ayah akan belikan Amir motor ni," kata ayahnya sambil mengangkat Amir naik ke atas sebuah motosikal mewah. Waktu itu Amir lupa rasa kecewa siang tadi dan dia sangat gembira mengingati kata-kata ayahnya itu.

Amir pun menunggu setiap hari, bila ayahnya akan membeli motosikal mewah? Dan Amir mula sedar ketika dia sudah berumur 15 tahun, yang ayahnya tidak akan mampu membeli motosikal itu. Sejak itu, Amir tidak lagi mempercayai ayahnya apabila bercerita tentang harapan.

Ingatan rasa kecewa itu tidak berakhir di situ. Amir teringat pula pada suatu hari, ayahnya memberitahu akan pergi ke Indonesia. Atas urusan apa, Amir tidak pernah tahu.

Amir pun berpesan supaya ayahnya membeli kasut baru dan mainan. Seminggu juga ayahnya di Indonesia. Apabila ayahnya pulang, Amir adalah orang yang sangat gembira.

Sudah terbayang di matanya, mainan yang tidak ada di Malaysia. Dia cepat-cepat membuka kotak yang dibawa oleh ayahnya dan hanya menemukan patung angsa, lembu, kucing dan arnab yang diperbuat daripada porselin. Lebih sesuai untuk dijadikan hiasan berbanding mainan. Kata ayahnya, "Murah. Ayah belilah banyak."

Kekecewaan Amir tidak berakhir di situ kerana dia menemukan kasut yang dibeli oleh ayahnya adalah kasut sekolah, diperbuat daripada kain yang fesyennya sangat aneh. Amir ingat lagi rasa malunya saat memakai kasut itu ke sekolah.

Yang mungkin mengubat sedikit kecewa adalah ayahnya membeli tali pinggang kulit. Setidak-tidaknya bolehlah dia bergaya di sekolah.

Bukan itu sahaja, seperti biasa ayahnya juga membelikan buku cerita sejarah. Kata ayahnya, "Kita mesti banyak belajar tentang sejarah."

Yang aneh, masih ada buku puisi kerana harganya murah. Kata ayahnya, "Kita kena baca puisi sebab puisi ni ajar kita mentafsir banyak perkara."

Terpaksa jugalah Amir membaca walaupun tidak faham.

Pada ketika anak sebayanya sudah bermain permainan komputer, ayahnya pula mengajarnya bermain teka-teki. Teka-teki pertama ayahnya ialah, "Apa maksud ular besar melilit tubuh?" Kecewa Amir menjadi semakin tebal.

Ketika musim cuti sekolah pula, Amir mendengar rakan-rakannya ke sana sini bersama keluarga. Ayahnya juga membawa Amir bercuti, tetapi bukan ke tempat yang Amir bayangkan.

Ayahnya membawa Amir ke muzium dan ke bangunan-bangunan bersejarah. Katanya, "Murah dan kita kena tahu banyak pasal sejarah."

Apabila cikgu memberi ayah Amir surat jemputan ke mesyuarat PIBG ataupun gotong-royong sekolah, ayahnya tidak pernah hadir. Amir berasa sangat malu dan kecewa ketika melihat ayah rakan-rakannya hadir.

Amir hidup dengan kekecewaan-kekecewaan itu sehinggalah dewasa, dan berubah menjadi rasa tidak percaya pada ayah sendiri.

*****

SEBUAH kereta Alphard hitam meluncur laju di Lebuhraya Utara Selatan. Di bahagian penumpang belakang, ada Baltasar Gracian yang berpakaian kemas dengan blazer. Kepalanya botak dengan wajah yang licin daripada sebarang bulu.

Baltasar baru beberapa bulan tiba di Malaysia dari Oporto, Portugal. Namun, Malaysia bukannya asing kepada Baltasar kerana dia pernah belajar di sini selama empat tahun. Dia sangat fasih berbahasa Melayu. Selepas tamat belajar, dia pulang ke negaranya. Lima tahun kemudian, dia kembali lagi ke Malaysia.

Di sebelahnya ada Adam Hakim, lelaki Melayu yang bertubuh tegap dan berkulit gelap. Tingginya pula bukan kebiasaan orang Melayu – 185 sentimeter. Kepalanya yang botak menambahkan aura Adam Hakim.

"Kau dah beberapa bulan kerja dengan aku. Kau sedia nak ke level seterusnya?" soal Baltasar.

"Sedia, tuan."

"Bagus. Tapi kau kena ingat, level ni bahaya. Silap hari bulan, kau mati. Sanggup?"

"Sanggup, tuan."

Baltasar tersenyum panjang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.