Home Novel Thriller/Aksi MAKTUB
MAKTUB
#mystrill
21/11/2019 15:39:38
27,643
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
F & M 6

Fasha melihat sekeliling kolam renang. Hanya dia dan Maria di situ. Kesemua krew lain sudah pulang. Maria sedang menunggu seseorang datang mengambilnya. Tindak-tanduk Maria diperhati dari jauh.

Maria meninggalkan telefonnya di atas kerusi tempat dia berbaring dan berjalan di pinggir kolam. Fasha yang melihat teringat semasa Zaara lemas kerana mahu mengambil kembali rantai pemberian Fazril namun sempat diselamatkan oleh Farhan. Dia yakin Maria adalah Zaara walaupun penampilan dan perwatakan Maria nyata jauh berbeza dengan Zaara.

Fasha menghampiri Maria, dengan sengaja dia melanggar bahu Maria. Sepantas kilat Maria jatuh ke dalam kolam. Fasha tenang menunggu di tepi kolam, mahu melihat sama ada Maria boleh berenang atau tidak.

Maria terkapai-kapai, menjerit meminta tolong. Fasha hanya memandang sambil berpeluk tubuh. Lama dia membiarkan Maria begitu.

Apabila melihat Maria semakin lemah dan tubuhnya tenggelam ke dasar kolam Fasha meninggalkan kawasan kolam menuju ke tempat letak kereta. Sebuah kereta berhenti di depannya.

“Hai Fasha. Ada nampak Maria.” Ariel bertanya.

“Entah tak nampak pulak.” Selamba Fasha menjawab pertanyaan Ariel yang baru tiba kemudian masuk kedalam keretanya memandu pulang seperti tiada apa yang berlaku.

Ariel menelefon Maria.

“Mana ni tak angkat?”Ariel meletakkan panggilan dan berjalan laju ke arah kolam.

“Tadi cakap nak jumpa kat sini, tak ada pulak.” Ariel menelefon Maria sekali lagi.

Telefon Maria yang ditinggalkan di atas kerusi berjemur berdering. Ariel yang amat mengenali nada dering Maria mencari-cari arah bunyi muzik klasik itu. Apabila melihat telefon Maria berada di atas kerusi dia berlari ke arah kerusi mengambil telefon dan mencari kelibat Maria di sekeliling kolam.

Tiba-tiba Maria muncul di dasar kolam, dia tercungap-cungap di tepi kolam tepat berdekatan tempat Ariel berdiri. Maria meletakkan kedua-dua tangan di pinggir kolam.

“Hai abang.” Maria menarik nafas panjang beberapa kali, berenang menuju ke arah tangga kolam kemudian menghampiri Ariel. Tuala dicapai.

“Kau buat apa dalam kolam. Berenang pakai baju macam ni. Ops. Kejap. Kau gaduh dengan Fasha lagi?”

Maria tergelak dan mengangguk.

“Teruk ke gaduh.”

“Tak adalah. Entah, dia tu tiba-tiba tolak aku. Aku pun nak tengok dia buat apa kalau aku lemas.”

“Dia buat apa?”

“Dia tengok je abang.” Maria tergelak.

“Hish ada ke benda macam ni buat main. Fasha pun satu nak bergaduh ke nak bunuh orang. Buatnya kau tak tahu berenang, dah arwah la kau dik. Dah jom balik. Mak suruh beli barang sikit tadi. Ni dah lewat ni. Membebel pulak mak nanti.”

Ariel berjalan laju meninggalkan Maria di belakang. Maria terkocoh-kocoh mengejar Ariel.

“Tunggulah.” Maria melaung.

“Basah macam tu ada hati nak naik kereta abang. Balik jalan kaki je la.” Ariel mengusik.

“Kurang asam.” Maria memukul bahu Ariel. Ariel tergelak.





Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill