Home Novel Seram/Misteri Kifayah (Sudah Terbit)
Kifayah (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 17:55:59
445
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

PINAT gagal mencari kata-kata. Abang Din yang menyedari situasi itu terpaksa tampil memainkan peranan selaku wira penyelamat.

"Tiada ahli kariah lain yang boleh bantu ke?"

"Jenazah perempuan. Lelaki tak boleh tolong. Setakat ni, Dayat seorang saja. Mustahil Dayat nak uruskan seorang diri."

"Biar betul? Mana pergi kaum Muslimat setempat? Dayat dah cuba hubungi mereka?" Abang Din terkejut.

"Macam Dayat cakap tadilah, bang. Arwah tak disenangi. Lepas Dayat umumkan berita kematian Bujan dalam Yahoo Mailing List, tak ada langsung ucapan takziah atau kata-kata baik daripada komuniti Pontiford. Malah, ada seorang tu sempat melawak lagi. Dia balas alhamdulillah."

"Allahuakbar .... Sampai begitu sekali?" Abang Din tergeleng-geleng.

"Percayalah, bang. Kalau panggil pun, Dayat jamin takkan ada sesiapa yang berminat nak tunjuk muka. Termasuklah juga jemaah masjid ni yang bukan warga Malaysia."

"Dayat menyewa seorang atau berkongsi dengan kawan?"

"Dayat tinggal serumah dengan empat orang pelajar junior dari Malaysia. Awal pagi semalam, mereka semua dah bertolak naik tren ke Cardiff. Ada rewang kahwin sahabat lama kami. Akad nikah esok. Dayat sepatutnya bertolak hari ni untuk menyertai mereka di sana."

"Errr ... teman-teman Dayat lain yang mungkin boleh dipujuk?"

"Yang boleh diharap pun kawan Cina dan India dari Malaysia. Tapi mereka bukan Islam, bang. Ikut hukum memanglah sah setakat tolong mandikan mayat. Tapi Dayat segan nak libatkan mereka."

"Sekejap. Razlan masih penghulu komuniti Malaysia di sini, bukan? Dayat ada nombor dia? Biar abang telefon sendiri. Minta bini dia turun padang. Boikot memboikot sesama bangsa tak wajar jadi budaya kita. Tambahan lagi di perantauan." Abang Din masih enggan mengalah.

"Abang Lan bawa anak bini dia pergi Disneyland Paris, bang. Konvoi sesama geng AJK Persatuan. Mereka semua belum balik lagi."

Kopiah Raihan di kepalanya dibetulkan. Abang Din meraup muka sambil menghela nafas kecewa.

Kala itu, sebuah kereta Proton model Mpi berwarna putih dilihat menyusuri lorong sempit di belakang masjid. Setelah berhenti, Madi yang memandu turun bersama seorang wanita kulit putih berselendang kuning di kepala. Jambul rambut perang strawberi asli menerobos keluar dari selendang. Tubuhnya berjubah kelabu cair bercorak bunga. Longgar dan sopan.

Pinatterkesima melihat figura wanita itu. Tingginya melangkaui kelompok lelakiMelayu di situ. Rangka badannya lebar persis pemain ragbi. Wanita berselendang itu sempat membisikkan sesuatu ke telinga Dayat usai berlaga pipi. Kemudian, dia bergegas masuk masjid.

Sekitar 40 minit kemudian, barulah van jenazah muncul semula. Dipandu oleh seorang lelaki botak licin berkulit putih. Sebuah kereta Audi hitam bercermin gelap turut mengiringi van itu. Bonet van jenazah dibuka sebaik sahaja kedua-dua kenderaan itu berhenti.

Madi mengerah teman-teman serumahnya yang seramai lima orang. Kesemuanya tampil membantu. Keranda berisi mayat cuba dipindahkan ke atas troli milik masjid.

PRAP!

Satu daripada lapan roda troli pecah setelah beban dialihkan. Troli masjid serta-merta hilang keseimbangan. Mujur masing-masing sempat bertindak sebelum keranda berisi mayat itu jatuh menyembah bumi.

Jejaka berenam terpaksa bergabung tenaga melawan graviti. Kala semua ini sedang berlaku, kereta Audi hitam pula sekadar berhenti menunggu. Enjin kekal hidup. Namun, tiada sesiapa yang turun. Aneh sekali.

Kudrat enam orang pemuda Melayu belum cukup untuk menampung beban seorang Bujan. Mereka tetap meneruskannya dengan penuh seksa. Sehinggakan Abang Din sendiri rasa terpanggil untuk tampil membantu. Namun, dia sempat ditahan oleh Dayat.

"Kak Dayat! Tolong!" laung salah seorang teman Madi.

Keranda telah sampai di depan pintu. Geng pengusung memerlukan seseorang membukakan pintu itu.

"Abang Din, inilah Paul."

Dayat cuba memperkenalkan civil partner Bujan kepada Abang Din saat lelaki botak itu mampir. Namun, dia terpaksa bergegas lari bagi membantu Madi sekawan.

Kedua-dua lelaki itu saling berjabat. Pada jarak dekat, warna biru mata Paul jelas menyerlah. Usianya pula tampak sebaya Abang Din.

"Apa khabar? Muka kamu berdua saya tak rasa macam pernah nampak. Orang Melayu sini juga ke?" soal Paul.

Dialek Inggeris pekat North Yorkshire terasa aneh buat Pinat yang belum biasa. Bersungguh-sungguh dia cuba menajamkan telinga.

"Bukan. Shafinaz ni baru sampai dari Malaysia. Saya jemput dia dari lapangan terbang tadi. Secara kebetulan sahaja singgah masjid. Lepas ni sama-sama kami balik Durwell," balas Abang Din.

Loghat Inggerisnya boleh tahan juga. Bukti jelas sebagai pemastautin tetap.

"Oh, begitu."

"Takziah, Paul. Saya doakan semoga roh arwah dicucuri rahmat. Bertabahlah," ucap Abang Din.

"Terima kasih, kawan. Saya hargai sangat-sangat kesudian kalian berdua singgah," balas Paul.

Dia melontar pandangan ke arah Audi hitam sejenak sebelum mengeluarkan telefon bimbit dari kantung sisi tali pinggang.

Dayat kembali menyertai mereka bertiga setelah keranda berjaya masuk ke dalam bangunan.

"Dayat, ini nombor terbaharu aku. Abaikan terus nombor lama. Kalau timbul sebarang masalah nanti, terus telefon nombor ni. Maaf, aku memang tak dapat bantu apa-apa di sini."

Setelah menaip nombor baharu Paul ke dalam telefonnya, Dayat merenung lama wajah lelaki botak itu. Keluhan panjang Dayat disedari oleh Abang Din. Raut tidak puas hati menyerlah pada wajah Dayat. Paul pula menanti Dayat memulakan bicara. Seakan-akan ada sesuatu yang dibiarkan tergantung, tidak terluah.

'Adakah Paul mahu melepas tangan sepenuhnya? Tetapi, dia bukannya Islam. Apa lagi yang mampu dia sumbang?' soal Abang Din dalam hati.

Abang Din sama sekali tidak menyalahkan Dayat bila mana segala beban jatuh menimpa ke bahu perempuan itu. Serabut jiwa yang cuba dipendam oleh Paul turut dikesan oleh Abang Din. Betapa lelaki berkulit putih itu masih gigih beradab tatkala dirinya dirundung emosi.

Paul tidak berlama-lama di situ. Menurutnya, ada seribu satu hal berkait daftar kematian yang memerlukan perhatian segera di pejabat registrar. Audi hitam pantas meninggalkan kawasan masjid disertai Paul.

"Perempuan Inggeris yang datang bersama Madi tadi tu siapa pula, Dayat?" soal Abang Din.

"Oh, itu Sister Katherine. Saudara baharu. Jururawat senior di hospital Pontiford. Kebetulan waktu di hospital tadi, Madi terserempak dengan dia yang baru habis syif. Dia tawar diri untuk membantu."

"Baguslah kalau macam tu." Abang Din mengangguk-angguk.

"Tiga orang. Harap-harap cukuplah tangan. Jom, Pinat," ajak Dayat.

"Tapi kak ... Pinat tak reti." Pinat menggelabah.

"Tak perlu risau. Akak ajar nanti, okey?"

Pinat memandang Abang Din sekali lagi. Mengharapkan talian hayat terakhir. Lelaki berkopiah itu hanya membalas dengan pandangan bisu. Pinat sedar yang dia sudah tidak boleh lari. Mahu tidak mahu, terpaksalah menjadi bidan terjun.

SEMENTARA pihak perempuan menyempurnakan jenazah di bahagian dalam, kelompok lelaki kekal berlegar di laman belakang. Mereka berdiri membentuk bulatan. Abang Din bersuai kenal dengan teman-teman Madi.

Mat Yie yang kurus melidi orang Besut. Satu-satunya lelaki berkaca mata di situ. Pok Nik juga berasal dari Terengganu. Tetapi di Marang. Tengok pada badan, sah kaki gimnasium. Farihan pula paling montel. Budak Ipoh. Rambut afro digayakan dengan penuh keyakinan. Lagi dua orang teman Madi yang berbaki agak paradoks.

Apek yang berwajah mamak berasal dari Simpang Renggam. Mamu yang berwajah Cina pula orang Teluk Kumbar. Abang Din sering kali terkeliru dan mengambil masa yang lama bagi memadankan identiti dua anak muda itu.

Termasuk Madi, mereka berenam menyewa bersama sebuah rumah teres tiga tingkat. Farihan menyua kotak rokok kepada Abang Din. Dia menolak dengan penuh berhemah. Dia sudah lama meninggalkan tabiat buruk itu.

"Abang datang dari Durwell?" soal Mat Yie.

Menerusi sengihan kerang busuk Mat Yie sahaja, Abang Din boleh meneka hala tuju perbualan. Dalam kalangan perantau Melayu serata UK, nama Durwell sedang hangat terpalit skandal.

KomunitiMalaysia di Durwell ada menganjur Program Keluarga Angkat. Tradisi turun-temurun ini melibatkan pelajar-pelajar bujang yang diserap menjadi ahli keluarga kelompok senior yang telah berumah tangga. Kelompok senior ini termasuklah pelajar pascasiswazah serta golongan pemastautin tetap yang bekerja.

Objektif murni adalah mewujudkan mekanisme bagi kelompok junior menumpang kasih kala terpisah daripada kaum kerabat sendiri nan jauh di tanah air. Atas takdir ILAHI, Zakry Hamdan diagih rambang menjadi anak angkat keluarga Abang Din. Cuma trivia kecil ini masih ramai orang dari luar Durwell belum sedia maklum. Harapan Abang Din, biarlah kekal begitu.

Zakry baru sahaja bergelar graduan. Kelas pertama. Bukan calang-calang. Tawaran kerja bergaji tinggi dari Kanada telah pun disambut anak muda itu. Malah, Abang Din sempat berkenalan dengan ibu bapa kandung Zakry. Pasangan ini sanggup bergolok-bergadai terbang ke Durwell semata-mata untuk menghadiri konvokesyen anak kebanggaan keluarga. Masing-masing tampak warak. Sejuk hati Abang Din.

Selang seminggu selepas majlis konvokesyen berlangsung, pengiktirafan Zakry sebagai ikon gay peringkat universiti diumumkan menerusi paparan muka hadapan akhbar rasmi kampus. Diserikan dengan fotonya berbaju Melayu lengkap serta bersongkok sedang mengibarkan Jalur Gemilang.

"Mamat tu masih di Durwell?" soal Mamu. Ada raut geli pada mimik mukanya.

"Tak. Dia dah pindah," balas Abang Din. Lantas memorinya menerawang semula ke masa silam.

Sepanjangmengenali Zakry, Abang Din langsung tidak pernah nampak sebarang simptomsongsang. Anak muda itu lancar mengaji, aktif berusrah, mempunyai aurapemimpin, lasak bersukan dan ramai peminat daripada kelompok hawa. Termasuk anak daranya. Andai jodoh sudah tertulis, Abang Din bersedia menyambut Zakry sebagai bakal menantu.

Sebab itulah kejutan besar ini pada Abang Din terasa ibarat ditampar. Apa-apa pun, Abang Din enggan komen lebih-lebih kerana dia sendiri ada seorang anak teruna. Bercakap soal anak teruna, dia seriau apabila terkenang semula kekerapan Zakry datang bermalam hujung minggu di rumahnya dahulu. Tidur pula sebilik dengan anak terunanya yang masih di bawah umur!

Sebagai bapa, Abang Din hanya mampu mentarbiahkan anak-anak sendiri sebaik mungkin. Disusuli doa secara berterusan. Pernah sekali, anak dara sulung Abang Din menuntut penjelasan mengapa si ayah tidak merestuinya menyertai sambutan malam prom, acara penutup era persekolahan menengah.

Ranjau membesarkan anak di sebelah Barat ternyata penuh liku. Kuasa kawalan seseorang penjaga terbatas setakat fasa remaja sahaja. Begitulah undang-undang di negara ini. Melepasi sempadan usia dewasa, anak-anak bebas mencorak kehidupan sendiri. Pilihan agama. Kecenderungan seksualiti. Doktrin moral. Segalanya hak pilihan individu.

"Berapa jauh tanah perkuburan terhampir?" Cubaan Abang Din menukar topik bicara.

"Kena pergi Pelewick, bang. 15 minit dari sini. Di Pontiford takdok kubur Islam," jelas Mat Yie.

"Oh, taklah jauh sangat." Info berguna buat Abang Din. Nota mental langsung dipahat.

"Kamu semua ikut sekali iring jenazah hingga ke sana nanti?" 

"Tak dapat, Bang Din. Kami masuk kerja sekejap lagi," jawab Farihan.

"Kerja di mana tu?"

"Tukang cuci saja. Di bandar. Syif malam bermula jam 7.00," jawab Pok Nik pula.

"Madi pun sama?"

"Mamat ni lesen besar, Bang Din. Pasport British. Bolehlah dia kerja ofis." Apek pantas menjawab bagi pihak Madi.

"Oh, Madi lahir sini dulu?"

Madi mengangguk.

Barulah Abang Din tahu. Anak-anak muda di hadapannya sekarang masing-masing bukan lagi berstatus pelajar.

"Kamu semua masih bujang?"

"Ya, Bang Din. Semua solo lagi. Kecuali si Madi ni. Dia baru bertunang," balas Farihan.

"Member dah kena mandrem woi ...." Mamu berseloroh sebelum tergelak.

Teman-teman yang lain tumpang sekaki. Madi yang sudah termalu mengacung jari tengah.

Abang Din turut sama tersenyum menyaksikan telatah anak-anak muda ini. Tidak semena-mena, terlintas sesuatu dalam fikirannya. Baru dia nampak. Tadi dia tidak perasan. Jarinya pantas menunjuk ke arah pintu kecemasan masjid.

"Dayat?" Abang Din meneka.

Madi mengangguk bangga.

Meskipun wujud perbezaan umur yang kurang konvensional pada pasangan bakal mempelai, Abang Din tiada kritikan. Sememangnya aturan ILAHI sangat indah. Asam di darat. Garam di laut. Di dalam belanga bertemu jua. Kalau sudah berjodoh, tidak akan ke mana.

"Tahniah abang ucapkan. Kalau nikah di sini, jangan lupa jemput. Abang pasti datang," usik Abang Din. Bahu Madi ditepuk lembut.

"Insya-ALLAH, Bang Din. Terima kasih. Doakan kami, ya?"

Bunyi keriut secara tiba-tiba menarik perhatian kaum Adam di situ ke arah pintu kecemasan masjid. Kelihatan Dayat tercegat berdiri di muka pintu. Berapron plastik serta bersarung tangan getah. Wajahnya muram. Dayat melambai memanggil Madi. Sang jejaka pantas menurut.

"Peh! Belum kahwin lagi pun, tapi leher dah kena gari," usik Mamu pula.

Madi sudah masuk ke dalam bangunan. Lelaki itu tidak sempat dengar.

"Tapi kan, bang ... Kak Dayat tu memang baguih. Semua ni dia yang atoq sendiri. Termasuk kos kapan segala. Walaupun depa sini dah pulaukan Bujan, Kak Dayat seorang ja yang selalu rajin pi jenguk orang tua tu. Bawa makanan. Tanya habaq." Mamu tiba-tiba beralih serius.

"Apa yang buatkan Bujan dipulau sampai begini sekali?" Abang Din melontar joran. Dengan harapan umpan mengena.

"Si tua kutuk tu kaki pukau, bang. Ramai dah jadi mangsa di sini. Itu saja cara dia cari makan. Ngap duit orang. Barang kemas pun dia rembat. Bujan mana ada kerja tetap. Bukan takat orang Melayu saja, bang. Pak Arab pun ramai terkena. Termasuklah imam besar masjid ni. Ilmu tahap dewa apa entah Bujan tu pakai. Kalau sesekali ternampak kelibat dia di jalanan, memang kami pakat lari. Tak berani, weh!" luah Apek penuh emosi.

"Astaghfirullah. Tak baik kamu cerca jenazah macam tu," tegur Abang Din.

"Segala duit yang dia pernah bedal, satu sen pun saya tak halalkan dunia akhirat," tambah Apek. Emosi masih bersisa.

Desas-desus mengenai Bujan memang pernah Abang Din dengar sejak bertahun lampau. Jika tiada angin, masakan pohon bergoyang. Namun, ini kali pertama dia mendengar luahan mangsa-mangsa sendiri secara eksklusif.

"Terus terang kata, saya pun tak ingin ke mari. Tapi kami tak sampai hati tengok Kak Dayat tu, Bang Din. Terpaksa urus seorang diri. Kasihan. Itu yang kami datang juga ni. Setakat nak bantu dia alihkan mayat," tokok Farihan.

"Jenazah seseorang Muslim mahupun Muslimat ada empat hak perlu ditunaikan. Mandi, kafan, solat dan kebumikan. Biar apa pun dosanya sepanjang hayat, itu semua urusan dia dengan TUHAN. Kita yang masih hidup ni tetap wajib selesaikan tuntutan fardu kifayah," nasihat Abang Din lembut.

Tiada hujah balas daripada sesiapa. Apa yang dinasihatkan ada kebenarannya. Sepi mencuri ruang waktu buat seketika. Keriut pintu kemudian bergema sekali lagi. Madi melangkah keluar dengan wajah resah.

"Kita ada masalah!"

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.