Kampung
Long Nira
Sempadan
Sabah-Sarawak
TOK
Pawang Itam tidak suka bila mendapat tahu cerita dari Jubli. Cerita
yang baru disampaikan oleh Jubli baginya tidak boleh dipandang remeh.
“Sudah
besar rupanya Suraya tu? Dulu aku tengok budak tu masih budak sekolah
berhingus mentah. Rupanya selama ni belajar di luar negara mahu jadi
doktor.” tuturnya lalu tersengih sinis.
Jubli
menghabiskan makan minum paginya itu. Berselera menikmati sarapan
pagi. Terjilat-jilat tapak tangan tanpa hiraukan lelaki itu mual
melihat aksinya.
“Apa
lagi yang kau tau?”
Seperti
biasa Jubli menggesel-gesel cuping telingan dengan bahunya. Terdiam
sekejap. Dahi berkerut berfikir lagi.
“Cerita
yang sama sudah aku bagitau tu. Pasal Haji Husin bincang sama Darimoh
suruh jadi tukang kayu mahu bina tempat ubat. Aku lupa nama ubat tu
tapi bukan klinik. Namanya satu macam juga. Ada fa.. fa.. aku lupalah
nama tu,” cerita Jubli dengan penuh semangat.
“Fa?
Apa yang fa?” Dia juga menggali teluk akalnya apa yang mahu
dimaksudkan oleh Jubli.
Jubli
menggeleng tidak tahu.
“Bukannya
lepas belajar tu pergilah bekerja di hospital. Tidak perlulah
berlagak pandai mahu membuka tempat perubatan di kampung itu pula.
Aku ni yang layak dan berhak. Bukan mudah tau aku cuba yakinkan dan
capai sampai ke tahap ini.” Baru dia berangan bakal mendapat banyak
wang hasil perubatan yang dilakukannya. Muncul pula batu penghalang
atas semua impiannya. Memang cari penyakit mautlah jawabnya.
“Kononnya
ubat anak dia tu pakai ayat-ayat Al Quran,” tambah Jubli lagi.
“Bapa
dengan anak sama saja. Kau anak beranak belum kenal aku
sebenar-benarnya lagi. Sebelum ni kau datang selalu cakap aku
macam-macam. Sekarang ni kau guna anak kau suruh buka tempat berubat
pula? Kau cabar aku Husin? Kau belum tahu apa yang aku ada.” Tok
Pawang Itam tersengih sinis.
“Tok..
Tok.. aku ada. Biar aku saja takut-takutkan anaknya, Suraya. Dia
takut aku, Tok.” Jubli menawar diri. Ada sebutir dua nasi atas
bibir. Makanannya juga sudah habis dijamah.
Dia
menjeling sinis ke arah pembantu satu ini tiada kelebihan yang mahu
dibanggakan. Selain suka menggertak dan takutkan anak-anak kecil di
kampung yang selalu tidak sukakan kehadiran lelaki itu.
“Aku
tahu apa yang patut aku buat. Biar aku bagi amaran kecil saja dulu.
Sikit-sikit dan kecil-kecil tapi berkesan. Kau tunggu saja Husin. Aku
tidak main-main dalam hal ini. Kau datang kutuk apa aku buat selama
ini. Suka hati nasihat aku macamlah kau tu wali Tuhan. Kau ingat ada
tiket masuk syurga. Kau tengok kalau neraka yang aku miliki mampu
bagi kau hidup macam dalam syurga.”
Batinnya
cukup sakit namun ditahan-tahan selama ini. Tetapi kalau sudah masuk
bab kacau periuk nasinya memang dia tidak boleh berkompromi. Kau
rasakan perlahan-lahan aku heret kau ke neraka.
Tiba-tiba
terdengar suara seseorang memanggil-manggil dia dari luar halaman.
Jubli segera bangkit dan berjalan ke serambi. Kemudian kembali
berlari masuk ke dalam.
“Tok..
Lan datang.”
Dia
berjalan keluar ke serambi rumah usang itu. Halaman sahaja terlihat
penuh dengan dedaunan kering tidak bersapu. Semak samun banyak yang
tumbuh meninggi. Barulah dia melihat keadaan sekeliling rumah yang
memang di tengah hutan. Bekalan elektrik dan air tidak sampai ke
kediaman itu.
“Kenapa,
Lan?”
Razlan
adalah anak lelaki kepada abangnya, Hambali. Dia yakin tentu soal
sakit abangnya yang sengaja dijadikan lebih parah lagi. Ada benda
yang dihantar olehnya agar keadaan abangnya dalam keadaan pasang
surut. Dia mahu membuat keluarga itu percaya kepadanya bahawa cara
pengubatannya sangat berkesan dan akhirnya sembuh. Bukan bagi sakit
sampai mati pun. Memang abangnya ada darah tinggi dan sakit-sakit
tertentu tetapi bila dia menanam sesuatu pada aliran darah abangnya
agar organ dalaman menjadi lebih rosak.
“Tok,
aku mahu bagitau yang ayah tu sudah masuk hospital. Jadi aku tidak
datang lagi ambil ubat macam biasa.”
Terkejut
dia mendengarnya. “Bawa ke hospital buat apa? Sudah aku cakap bapa
kau tu boleh dirawat. Kau semua degil ni kenapa? Tidak percaya aku
boleh sembuhkan?”
Razlan
tertunduk dengan menarik nafas dalam-dalam. “Bukan begitu, Tok.
Ayah tu doktor cakap memang kena kanser tahap empat sudah. Parah
sudah tu. Macam mana Tok mahu rawat. Lagipun bukan aku yang bawa ayah
ke KK tu tapi si Ramlah tu.”
Seolah
hatinya diterajang marah. Cukup pantang kalau dia mengubat seseorang
separuh-separuh. “Ah! Bukan boleh percaya doktor di hospital tu.
Dia orang tu mahu duit kau saja. Macam-macamlah dia cakap. Kanserlah.
Nazaklah. Biar dia boleh dapat duit kau semua tapi hasilnya ayah kau
masuk ke dalam kubur juga. Kau ingat ilmu yang aku ada doktor di
hospital tu boleh lawan? Kau tengoklah Lan, apa yang aku boleh buat.
Kau semua tidak tahu apa kelebihan yang aku ada.”
Jubli
mengangguk-angguk sokong.
“Maaf
Tok. Aku balik dulu.” Razlan beredar dari situ dengan wajah monyok.
Tangannya
menghempas pada pemegang serambi rumah itu. Sakit hatinya bila
perkhidmatannya diremehkan begitu. Fikirnya baru sahaja mahu
merancang untuk memperdaya dan bodohkan lagi keluarga abangnya.
Rupanya sudah pula dibawa ke hospital Kota Kinabalu.
“Aku
yakin ni mesti kerja anak Husin tu. Kerja anak bujangnya tu.” Sakit
hatinya.
Ini
kalau dibiarkan Suraya meneruskan niat mahu membuka pusat perubatan
seperti yang dikatakan Jubli. Boleh susah hidupnya mahu cari makan.
Baginya periuk nasinya selama ini kerana kepintarannya dan ilmu
ketingkatan yang dia ada. Bagus kalau Suraya diberi sedikit
pelajaran.
**
Kampung
Long Nira
Sempadan
Sabah-Sarawak
SAUDARA
mara dan jiran kampung ramai yang datang bergotong royong menyiapkan
juadah majlis kesyukuran itu. Suraya juga tidak putus-putus menerima
ucapan tahniah dan doa dari tetamu yang berdatangan. Ucapan terima
kasih terus terluah dari mulut dengan senyuman menenangkan jiwa
mencernanya.
Kini
dia melangkah ke fasa kerjaya yang bakal ditempuhi sebaik saja
menamatkan dunia pengajiannya. Betapa dia bersyukur akhirnya mampu
menggapai puncak kecemerlangan meskipun belum tentu membahagiakan
hidup sepenuhnya. Terlalu banyak liku-liku hidup yang tidak terduga.
Antara keinginan dan keperluan bersatu di saat muncul satu ujian di
dunia ini adalah satu pengalaman yang mendewasakannya.
Seharusnya
dia sudah ke Kota Kinabalu bersama dengan Hidayahtul atas tawaran
yang harus dibincang bersama. Namun bapa memohon agar menanti
beberapa hari lagi di kampung demi menunaikan hajat mensyukuri setiap
kejayaan dengan izin Allah.
Suraya
berjalan dengan membongkokkan badan cukup sopan ketika lalu di
hadapan tetamu wanita yang duduk di ruang belakang dapur itu. Dia
sekadar mengenakan sepasang baju kurung kain kapas kuning cair
berbunga dengan tudunginstant
yang sekali dikenakan tanpa dipin dan lilit tetapi sedikit labuh di
dada agak sedondon warna pakaiannya.
Sentiasa
memasang roman wajah manis dengan senyuman tipis tidak lekang dari
garis bibir ranumnya. Sepasang mata jernih sering dipandang curi oleh
hadirin kagum dengan pencapaiannya. Dia sedia maklum kalau dirinya
satu-satu anak gadis dari kampung itu berjaya menjejak kaki ke menara
gading di luar negara. Tidak pernah dia berasa riak atas kenyataan
itu. Sikap peramahnya juga tidak lokek menyapa lembut dan bertanyakan
khabar setiap tetamu yang dilihatnya sedang duduk bertimpuh di atas
hamparan alas permaidani itu.
Akhirnya
tertunai juga hajat bapa tatkala melihat undangan memenuhi ruang tamu
itu. Matanya tidak lekang memerhati orang-orang kampung duduk bersila
sambil membaca Surah Yassin, membilang zikir-zikir suci dilantunkan
oleh jemaah ahli dari surau kampung itu. Sayangnya Laban Jerais tidak
dapat hadir atas hal tertentu.
Menyulam
untaian aksara seindah hamdalah. Memuji Sang Khalik atas nikmat yang
diterima. Amal ibadah menjadi kewajipan bersama. Agar dianugerahkan
kekuatan dan kesihatan biar limpahan rahmat terus mengalir.
Memudahkan segala urusan dan keperluan
Meneguhkan hati dan
menguatkan iman.
Hidayahtul
juga duduk bertimpuh di sebelahnya sesekali memeriksa telefon bimbit
di tangan. Gurau senda kadangkala kedengaran antara tetamu wanita di
ruang dalam. Seketika kelihatan masing-masing mengangkat tangan
bersama-sama memanjatkan doa yang diketuai oleh ketua ahli jemaah
surau kampung itu.
“Amin..”
Masing-masing menyapu muka. Doa selesai dibacakan. Bapa mulai bangkit
dari situ diiringi adiknya Salim sudah meminta kaum wanita di dapur
menyiapkan hidangan buat para tetamu lelaki itu.
“Kita
bantu dekat dapur apa yang patut, Dayah.” Suraya menarik lengan
Hidayahtul ke dapur sambil berjalan membongkok hormat di hadapan
saudara mara yang duduk bertimpuh di ruangan itu. Ada keluarga Mak
Usu yang ikut membantunya di dapur itu.
“Su,
lauk-lauk semua ni aku hantar di depan sajakan?” soal Hidayahtul
mengangkat dulang yang sudah diletakkan lauk pauk.
“Nanti
suruh orang-orang lelaki sambut. Tidak perlu jalan masuk ke
tengah-tengah jemaah surau tu.”
Kerja
di dapur itu menjadi sangat mudah dan lancar tatkala keluarga Mak Cik
Tijah juga ikut masuk ke dapur itu membantunya sekadar yang mampu.
Bunyi hingar bingar tetamu berbicara tidak mampu didengar jelas
menjadi gaung-gaung halus hingga ke ruang dapur itu. Adatlah ada para
ibu sibuk mengurus ragam anak-anak kecil mereka. Anak-anak kecil
yang ikut sama juga ada yang tertumpah air minuman dengan keletah
mencuit hati
“Nanti
Su ambil kain pengelap. Jangan dimarah budak tu. Biasalah budak-budak
kecil ni,” ujar Suraya melihat anak kecil itu dimarah ibu budak itu
pula.
“Kenapa
tidak makan lagi Su? Semua orang di luar kita dah hidang. Tinggal
kita saja ni. Ajak Dayah kamu ni juga makan,” ujar Mak Cik Bungsu
merupakan adik bungsu kepada arwah emak. Biasanya sebelah keluarganya
memanggil Mak Usu. Ada anak-anak menantu wanita itu juga datang
membantu sama. Hanya merekalah paling dekat mampu memenuhi pelawaan
itu.
“Mak
Usu dan lain sekalilah jemput makan,” ajak Suraya. Mak Cik Tijah
sekeluarga pun disuruh berhenti membantu. Menjamah lauk pauk majlis
kesyukuran itu dahulu. Dia tidak mahu tetamu yang datang
dibelakangkan.
“Makan
dulu ya, kejap lagi Su datang. Dayah ambillah lauk pauk. Kita duduk
sekali. Su nak ambil kain pengelap di bawah tangga ni saja.” Dia
berjalan ke muka pintu dapur. Malam kelam menyambutnya sangat pekat
ditemani cengkerik yang saling bersimfoni.
Ketika
menuruni anak-anak tangga terasa hujan rintik tipis mungkin akan
lebat bila-bila masa. “Gerimis pula ni,” detik hatinya.
Namun
cepat-cepat dia berjalan ke bawah kolong mengambil kain pengelap
kering dijemur bawah rumah itu. Ada tiga helai dicapainya. Mendengar
derap kaki berlari tentu anak-anak kecil berkejaran di atas rumah.
Suara tetamu di atas hingar bingar.
Namun
sebaik sahaja dia ingin menaiki anak-anak tangga terdengar sesuatu.
Bingkas dia berpaling. Terdengar ada anak kecil menangis. Suraya
tersentak. Mencari punca suara itu di belakang rumah. Dia berpatah
kembali. Perlahan kakinya menapak kembali tidak jadi menaiki
anak-anak tangga.
Semakin
dia mengintai dan mencari arah suara anak kecil menangis debaran
tidak senada. Akhirnya muncul juga kelibat itu. Suraya terkejut
melihat seorang wanita memangku anak kecil yang menangis bersembunyi
di belakang sebatang pokok. Sebaik sahaja melihat kehadirannya jelas
kelihatan wanita takut-takut ingin lari.
“Tunggu!
Jangan takut.” Rintik-rintik hujan sudah tidak diendahkannya.
Mendengarnya
berkata demikian sahaja wanita dalam lingkungan tiga puluhan itu,
berpakaian lusuh, berselipar Jepun, mengenakan sepasang baju terusan
berbunga-bunga lusuh dengan rambut keriting rambut mencecah bahu.
Suraya
yakin wanita itu bukan asal dari kampung itu. Wanita itu mempunyai
ciri wajah dan perwatakan seolah datang dari perkampungan sebelah.
Hatinya terus menduga dan dengan tatapan terus mengamati. Tentu
wanita ini dari suku Lun Bawang. Kalau di Sarawak biasa memanggilnya
orang ulu sama seperti di kampung itu.
“Jangan
takut. Aku ni Suraya. Kamu siapa?” Dia cuba bertutur bahasa orang
ulu yang tidak berapa tahu dituturkan. Dahulu ketika dia masih
bersekolah rendah lagi ada satu dua teman dari perkampungan orang ulu
itu menjadi teman. Sedikit-sebanyak dia belajar bahasa mereka tetapi
tidak mampu menguasainya. Hanya sekadar beberapa patah perkataan
sahaja masih dingatnya.
“Ui
pian papu' nemu
(Saya ingin bertemu kamu),” katanya agar wanita itu keluar dari
belakang hutan itu.
“Jangan
takut. Nama saya Suraya.Ide
ye'neh?
(Siapa itu)?”
“Umai,”
jawab wanita itu.
Tatkala
dia bersikap lembut dan cuba membuat wanita itu selesa dan selamat
dengannya malah terus menapak ke arahnya. Perlahan-lahan dia menarik
lengan wanita itu berteduh di bawah kolong rumah.
Anak
kecil wanita dalam gendungan terus menangis seolah meluahkan rasa
tidak selesa akan sesuatu. Perlahan dia mendemah dahi anak kecil yang
sudah lencun dengan keringat dan dan air liur membasahi baju anak
itu.
'Panas!'
Dia memegang kaki anak berusia dalam lingkungan dua tahun ke bawah
itu sangat sejuk.
“Ngudeh
iko nangi?
(Kenapa kamu nangis?) Anak kakak?”
Wanita
itu mengangguk. “Demam panas.” Nada suara berbaur ketakutan dan
tidak yakin kepadanya.
Kemudian
terdengar derap kaki menuruni anak-anak tangga ke bawah. “Su! Su!”
Suara Hidayahtul memanggilnya.
Sebaik
sahaja melihat Hidayatul di situ wanita tersebut cuba berundur dan
menyembunyikan diri.
Bingkas
Suraya menahannya. “Jangan takut. Itu teman saya.”
Riak
wajah wanita itu memang jelas ketakutan. Selalunya hubungan
orang-orang kampung di situ dan orang ulu hanya biasa-biasa sahaja.
Meskipun ada yang masih bersikap prejudis. Dia akui masih ada di
kalangan orang ulu yang berasa rendah diri bila berhadapan dengan
masyarakat moden. Namun dia akui ada sebaya dengannya jauh sudah
berjaya mempunyai kerjaya yang bagus.
“Su,
kau buat apa tu? Lama kami tunggu di atas. Siapa tu?” soal
Hidayahtul sekadar berbongkok hanya mengintainya dari anak tangga
itu.
“Kejap
Dayah.”
Dia
berpaling kepada wanita itu.“Aleg
migu
(Tolong
jangan malu).”
Wanita
itu sekadar membuai-buai tubuh anak kecilnya yang menangis.
Firasatnya kuat mengatakan wanita itu sebenarnya dalam masalah.
Mungkin anak kecil itu memerlukan rawatan sebaiknya.
**
Kampung
Long Nira
Sempadan
Sabah-Sarawak
SANAK
saudara sudah beredar balik. Tinggallah mereka sahaja melakukan
beberapa pekerjaan terakhir sebelum menutup pintu dapur itu.
Hidayahtul mendapatkannya bertanyakan sesuatu.
“Umai
tu tidur sini malam ini?” soal gadis itu.
“Hari
dah lewat pun kan. Ini dah jam berapa pula dia nak berjalan seorang
balik rumah. Kampung Umai tu dari sini saja ambil masa berjam lebih
tu. Masakan malam-malam begini mahu reda hutan belantara yang banyak
bahayanya,” ujarnya berjalan ke ruang hadapan sekadar mengintai
wanita itu memberi makan anaknya. Ketara benar wanita itu memang
kelaparan. Pakaian bersih pun sudah ditukar. Mujur juga Mak Cik Tijah
punya pakaian kecil cucunya itu diserahkan kepada anak wanita itu.
Haji
Husin sudah berjalan mendapatkannya. Dia dan Hidayahtul tidak jadi ke
hadapan.
“Umai
tu sebenarnya anak Laban Jerais. Bapa risau nanti keluarganya datang
mencari mereka pula. Kasihan pula kalau semalaman risau menunggu Umai
dan anaknya tidak balik ke rumah,” kata bapa.
“Bapa
cuba telefon lagi,” cadang Suraya.
“Puas
bapa telefon tidak masuk. Mungkin tiada liputan ni. Biasalah kadang
ada kadang tak ada. Risau juga bapa kalau mereka semua mencari.”
Dia
berfikir-fikir sejenak. “Tapi ni dah lewat bapa. Anak Umai tu demam
panas. Su ingat nak bantu ubatkan anaknya tu. Sebenarnya apa yang
berlaku bapa?”
Mujur
salah seorang jemaah surau, menantu ketua kampung yang hadir tadi
tahu berbahasa Lun Bawang bertanyakan perihal Umai membawa anaknya
hingga ke situ. Bukan dekat sampai mampu jejak kaki ke belakang rumah
itu. Sudahlah hujan rintik-rintik di luar bertukar kasar. Atap zink
rumah seolah ditabur dengan batu-batu kelikir membingitkan suasana.
Hawanya pula sangat sejuk.
“Tadi
Ayob tu ada bertanya pada Umai tu. Tanya punya punya rupanya Umai tu
dari rumah Pak Cik Itam kamu. Anaknya demam panas. Tapi bila sampai
sana Itam pula minta pengeras yang tinggi kononnya anak Umai itu
terkena teguran makhluk halus. Jadi untuk mengusir bisa badan anaknya
kenalah bayar harga tertentu baru boleh berubat. Umai bawa duit tidak
cukup. Bila jadi hal begitu disuruhnya balik dan datang bawa duit
cukup baru boleh berubat,” cerita Haji Husin.
“Tiada
duit cukup tidak boleh berubat? Mengalahkan dia tu doktor pakar,”
sampuk Hidayahtul agak geram mendengarnya.
“Lepas
tu Umai ke sini terus?” teka Suraya. Mereka bertiga berdiri di
penjuru ruang dapur itu sesekali dia mengintai dari situ kalau-kalau
Umai sudah selesai makan.
“Tidak
juga. Kata Ayob dia sempat juga tahan kereta sapu kampung ni nak ke
hospital pekan. Tapi duit tambang pun tidak cukup. Su kan tahu
penduduk kampung bukan semua hidup senang. Laban Jerais tu pun hidup
serba makan kais secukup yang ada. Sekadar alas perut dan ikat perut
saja. Jadi dia berjalan kaki dan susah hati dengan keadaan anaknya.
Bila dia ke kedai runcit Uncle Lee tadi beli ubat panadol untuk
anaknya. Dari situlah Uncle Lee cerita tentang Su yang mungkin tahu
ubatkan sakit anaknya. Terserempak pula Jubli beli ubat nyamuk di
kedai tu terdengar lagi Uncle Lee memuji-muji pasal Su. Marah Jubli
tu suruh Umai balik rumah bawa duit cukup datang berubat pada Itam
saja,” sambung Haji Husin panjang lebar.
“Habis
tu Pak Cik Rais dan isterinya sepatutnya tahukan kalau cucu mereka
sakit. Buatlah sesuatu. Masakan dibiarkan pula sejak awal.” Dia
tetap ingin tahu pokok pangkal cerita itu. Sikapnya satu ini mesti
serba logik dan kena dengan sesuatu tindakan.
“Manalah
kita tahu apa yang berlaku sebenarnya, Su. Mungkin juga Umai ni bawa
keluar tanpa sepengetahuan mereka juga. Lagipun dengarnya mereka tu
bukan duduk serumah. Tinggal dekat-dekat. Atau Umai tu tidak mahu
menyusahkan orang tuanya.”
Suraya
mengangguk faham gambaran cerita itu.
Semakin
lebat hujan yang mengguyur turun membasahi bumi. Tangisan anak kecil
Umai kedengaran kembali.. Kilat memancar diselangi bunyi guruh
memecahkan langit. Tidak semena-mena bekalan elektrik terputus.
Hidayahtul menjerit terkejut terus memegang erat kepada Suraya. Mujur
majlis kesyukuran sudah berakhir.
“Tiada
lektrik pula.” Haji Husin meraba-raba pada dinding rumah itu.
“Su
cari lilin. Dayah janganlah begini. Penakut benar kau ni.”
“Memanglah.
Dahlah berkilat guruh. Ni gelap pula,” balas Hidayahtul terus
berpaut erat pada lengannya.
Suara
tangisan anak kecil Umai terus kedengaran. Hatinya menjadi tidak
sedap dan kehairanan dengan anak kecil itu seolah tidak dipujuk.
Tidak juga mendengar suara Umai memujuk anak itu.
Suraya
berjalan perlahan dan berhati-hati dipaut dan diekori Hidayahtul
meraba-raba atas almari lauk itu. Ada sekotak lilin yang ditemuinya.
Ada mancis di atas para juga digores pada pencucuh samping kotak
mancis itu. Dua tin buah kosong digunakan meletakkan lilin itu.
Haji
Husin sudah mendapatkan salah satunya. Dan Suraya memegang satu lilin
itu sambil berjalan ke hadapan.
“Umai..
kamu di mana?” Dia bertanya dan memanggil wanita itu. Hanya
tangisan anak kecil itu membingitkan lagi suasana dalam rumah. Hujan,
kilat dan guruh saling bersatu menawan langit dan bumi namun itulah
rezeki dan aturan yang ditentukanNya.
Bila
dia sampai di luar itu. Hanya anak kecil wanita itu duduk menangis
sambil merangkak mencari ibunya. Dia dan Hidayahtul saling
berpandangan.
“Mana
Umai?” soalnya kehairanan.
“Entah.
Tadi bukan dia duduk makan di sinikah bagi anaknya makan? Dia ke
dapur agaknya,” duga Hidayahtul.
Anak
kecil itu sudah diraih oleh Hidayahtul pula. Menenangkan anak kecil
itu bertingkah memberontak tidak mahu digendong oleh orang lain.
Tercari-cari ibunya dengan tangisan yang meruntun hati.
“Umai!
Umai!” jeritnya sudah berjalan ke serambi rumah pula. Hanya hujan
di luar yang masih belum reda lagi. Tidak juga kelihatan wanita itu
di sana.
Tidak
semena-mena terasa satu hembusan angin asing melintas pada
tengkuknya. Serta merta dia naik seram dengan keadaan itu. Meremang
bulu romanya. Hatinya dipagut tidak sedap. Sesuatu asing yang tidak
diundang sedang berlaku. Dia memejam mata lalu berdoa dalam hati.
Membaca ayat-ayat suci Al Quran dan mencelikkan mata kembali.
Berderau
darahnya tatkala melihat Umai tepat di sebelahnya. Sepasang mata
galak garang merenung tajam kepadanya. Mata hitam yang sama pernah
dilihatnya. Jantungnya berdegup kencang melihat wajah itu menyeringai
seram. Namun sesuatu bertenggek pada atas bahu wanita itu yang
membuat jantungnya hampir luruh.
Ada
lembaga serba hitam besar bertenggek di atas bahu wanita itu. Suraya
menekup mulut menenangkan diri namun tetap sahaja tidak mampu
mengawal diri. Otaknya bekerja cepat seiring mencari kekuatan diri.
Lantas dia membaca surah-surah pelindung diri.
“Kau
berambus dari kampung ini! Aku benci kau! Kau kacau kawasan aku cari
makan! Pergi! Pergi!” jerit Umai bersuara parau begitu lancar
berbahasa melayu.
“Astagfirulahalazim!”
Haji Husin berada di belakang Umai menyedari hal mistik itu hadir di
waktu yang tidak tepat.
Sah!
Umai dirasuk iblis laknatullah. Memaki hamun dan memarahi dirinya.
Bahkan sudah bertindak melampau batas terus mencengkam bahunya.
Kekuatan Umai bagaikan sepuluh orang lelaki dewasa.
“Allah!”
Suraya mengerang kesakitan. Salim muncul dan melerai Umai cuba
mencederakannya. Haji Husin juga terkumat-kamit membaca lalu memegang
bahu wanita itu.
“Jangan
ganggu periuk nasi aku! Berambus kau dari kampung ini!” Suara parau
itu bagaikan diucap oleh beberapa orang dengan kasar dan garang lagi
berdengung. Lehernya dicekik tidak mampu dileraikan serta merta.
Matanya naik ke atas hanya memandang lembaga menyeringai dan
menghilai itu terus bertenggek atas bahu Umai.
Sebaik
sahaja Haji Husin melaungkan Allahu Akbar tiga kali ke telinga Umai.
Bingkas Umai jatuh tidak sedarkan diri disambut oleh Salim dan
membaringkannya di lantai. Hidayahtul mendukung anak kecil itu yang
terus melayan tangisan mendapatkan Suraya meraih oksigen dek cekikan
Umai yang mah luar biasa.
“Kau
tak apa-apa?” soal Hidayahtul cemas.
Dia
mengangguk ketakutan. Belum pernah lagi selama ini entiti halus yang
dilihat menyerangnya secara fizikal. Ini benar-benar melampau
baginya. Lembaga tadi hilang serta merta.
“Su,
kamu tidak cedera?” soal bapanya risau. Mengarah Salim mengambilkan
dua gelas air dari dapur.
“Jangan
risau bapa. Su. Su.. baik-baik saja ni.” Dia cuba berlagak tenang
walhal jiwanya bagai dilambung ombak besar.
Salim
muncul segera dengan sebotol air mineral dan dua gelas cawan. Dihulur
kepada Haji Husin lalu menuang pada cawan. Dibaca kalimat ayat-ayat
suci pada air itu sebelum dihembus dan meminta Suraya meminumnya.
“Minum
dulu. Nanti bapa uruskan Umai tu.”
Suraya
membaca Bismillah.. sebelum meneguk perlahan air itu. Sementara anak
kecil itu didudukkan hampir dengan Umai terus mendapatkan ibunya yang
masih terbaring tidak sedarkan diri. Dia yakin bukan salah Umai yang
bertindak demikian. Ada seseorang yang menghantarnya kerana apa yang
diucapkan Umai adalah satu amaran.