Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
8/2/2015 08:33:31
6,409
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 7

“MAMA tak benarkan! Jangan pergi!” ujar Puan Jalina memberi amaran keras.

Hatinya risau sangat-sangat apabila anak daranya menyuarakan hasrat hendak pergi mencari tunangnya di Kampung Nilam Setia.

“Kenapa tak boleh pergi pulak?” tanya Amani Sofea, sebiji macam kanak-kanak berumur 12 tahun dengan suara merayu.

Wajahnya terpamer rasa kecewa yang teramat sangat. Keningnya berkerut. Tangannya menarik-narik kain lapik meja berwarna merah jambu itu. Habis terburai benang-benang berkait tepi kain itu. Hatinya mula meruap rasa panas. Dia kecewa dengan keputusan Puan Jalina.

“Mama kata jangan pergi, jangan pergilah!” ulang Puan Jalina lagi.

Kali ini suara Puan Jalina kedengaran tegas. Tiada kata dua lagi. Puan Jalina masih menganggap Amani Sofea bagaikan anak-anak kecil. Perlu pengawasan dan perhatian. Dia terlupa agaknya yang anak daranya tu bakal menjadi isteri orang.

“Tapi, ma...” ujar Amani Sofea cuba merayu.

Air matanya mula berguguran. Pipinya basah dan hujung anak rambutnya turut basah dek air matanya. Anak matanya memandang wajah Puan Jalina lembut seolah-olah merayu. Namun Puan Jalina tetap keras hati. Tidak mengizinkan Amani Sofea pergi. Dia tidak rela berpisah dengan anak gadisnya itu.

“Amani cuma nak cari Zafrizan, tu pun tak boleh,” rungut Amani dengan nada perlahan.

“Ya mama faham. Tapi takkan Amani nak pergi seorang?” ujar Puan Jalina risau.

“Ma, Amani dah dewasa. Dah masuk 26 tahun. Bukan anak-anak lagi.”

Sebenarnya, Puan Jalina risaukan keselamatan anak daranya itu. Bukannya dia tidak pernah berjauhan tapi kali ini tujuannya lain. Seorang diri mencari Zafrizan. Apatah lagi di Kampung Nilam Setia. Kampung yang belum pernah diterokai. Dahlah tempatnya jauh.

“Amani tu perempuan. Biarlah pihak berkuasa saja yang uruskan. Dahlah tu, Amani. Mama tak nak dengar lagi pasal perkara ni.”

Keputusan Puan Jalina muktamad. Dia tidak mahu Amani Sofea menurut kata hatinya.

“Mama, janganlah risau. Amani akan jaga diri dengan baik. Amani nak sertai pihak polis mencari Zafrizan dan kawan-kawannya,” jelas Amani Sofea, masih cuba memujuk.

“Mama tetap tak benarkan.”

“Ma, kalau Amani hanya duduk kat sini, macam mana Amani nak tahu perkembangan pencarian mereka. Kalau Amani ada kat sana, sekurang-kurangnya pihak polis akan meningkatkan lagi usaha mencari. Sebab ada orang yang tunggu, kan?”

Amani Sofea cuba memberikan alasan-alasan yang munasabah. Dalam hati, Amani Sofea berdoa agar ALLAH melembutkan hati mamanya. Dia memang hendak pergi. Hatinya tidak akan tenang selagi dia tidak pergi dan lihat sendiri tempat itu.

Dadanya berombak laju. Sedih dan geram bercampur di dalam hati. Wajah Zafrizan bermain di layar minda. Saat itu serta-merta terpampang wajah Zafrizan yang kelihatan sugul dan kusut masai. Bertambah parah perasaan Amani Sofea dibuatnya.

“Hisy, budak ni! Degil betul!” jegil Puan Jalina memandang wajah Amani Sofea.

Kesabarannya sudah sampai ke puncak. Sayur kacang panjang yang sedang dipegang dihempas kasar di atas meja. Pisau di tangan dituding ke arah wajah Amani Sofea. Mujurlah jarak antara dua beranak itu jauh.

“Mama kata, tak boleh! Tak boleh! Tak faham-faham ke!”

Bulat mata Puan Jalina. Dia tidak pernah marahkan anak gadisnya macam itu sekali. Namun kedegilan Amani Sofea kali ini benar-benar telah memecahkan tembok kesabarannya.

Kreeek! Kedengaran bunyi kerusi ditolak kasar. Amani Sofea sudah hilang di sebalik dinding dapur. Dia melangkah keluar dari dapur dengan esak tangis yang kuat. Papanya, Encik Yakob yang lalu di sebelahnya tidak dihiraukan.

“Kenapa ni?” tanya Encik Yakob dengan nada lembut.

Anak matanya mengiringi kelibat Amani Sofea pergi dari situ. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Puan Jalina yang sedang merenung sayur di dalam mangkuk hijau. Rasa kesal mula bertamu dalam hati wanita separuh umur itu. Sepasang matanya redup dan tidak bermaya bagai hilang sudah cahaya keceriaan.

“Degil betullah anak awak tu! Dia nak jugak pergi ke kampung tu cari Zafrizan,” beritahu Puan Jalina.

Encik Yakob menggeleng-geleng beberapa kali. Puan Jalina terus menyambung kembali memotong sayur yang tergendala tadi. Encik Yakob kemudian menarik kerusi yang diduduki Amani Sofea. Dengan tenang dia melabuhkan punggungnya.

“Biarkanlah budak tu pergi. Awak tahan-tahan buat apa? Dia bukannya pergi seorang. Tak beraninya dia seorang-seorang masuk hutan tu mencari Zafrizan. Dia akan ikut anggota polis jugak nanti.”

“Alah! Awak tu memang. Semuanya nak diturutkan kehendak Amani tu. Abang, Amani tu seorang aje anak perempuan kita. Kalau apa-apa terjadi, mana ada lagi galang gantinya?” bebel Puan Jalina.

Saat ini hati Puan Jalina benar-benar terasa berat dan mengkal macam ada batu yang besar mendiami hatinya.

“Saya tahu, Amani tu sayangkan tunangnya. Kalau kita di tempat dia pun...”

Puan Jalina tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia tiba-tiba sebak. Siapalah yang tidak sayangkan anak dan bakal menantu.

“Kalau saya, saya bagi aje Amani tu pergi. Saya bimbang kalau ditahan-tahan nanti, jadi ke lain pulak budak tu. Kasihan saya tengok. Awak tak kasihan ke?” tanya Encik Yakob.

Puan Jalina mengeluh berat.

“Mujurlah Amani nak beritahu awak. Dibuatnya pergi senyap-senyap, hah, padan muka awak.”

“Eh? Awak ugut saya ke?” ujar Puan Jalina.

Encik Yakob sekadar tersenyum sahaja. Dia sengaja memasang jerat agar Puan Jalina tidak terlalu mengunci pergerakan Amani Sofea. Biarlah Amani Sofea buat keputusan sendiri. Belajar mengharungi ujian dengan hasil usaha sendiri. Umur Amani Sofea pun sudah matang.

Nak jadi isteri orang dah pun. Takkan Puan Jalina sudah lupa? Biarlah Amani Sofea belajar kuatkan semangat mengharungi kehidupan yang penuh dengan pancaroba dan ujian ini dengan cara dia sendiri. Bukan saja-saja dia hendak berikan anak gadisnya tu pergi. Tetapi untuk belajar mengendalikan kehidupan pada masa akan datang. Itulah harapan Encik Yakob sebenarnya.

“Bagi ajelah Amani cari tunang dia sekejap,” cadang Encik Yakop lagi.

Dia berasa cukup rimas dengan suasana rumah sekarang ni. Sana-sini asyik nampak muka Puan Jalina dan Amani Sofea yang layu dan bermasalah sahaja. Paling dia kesal ialah Amani Sofea asyik termenung dan memencilkan diri di dalam bilik setiap masa. Makan dan minum terabai walaupun mereka duduk serumah. Anak daranya asyik nak merajuk saja dengan mamanya. Tak selesa betul!

“Hei abang ni! Mana boleh. Dia tu perempuan. Biarlah anggota polis yang selesaikan. Kita kat sini tunggu dan doa banyak-banyak. Mak ayah Zafrizan sendiri pun, tak ke sana menunggu anaknya!”

Puan Jalina berasa panik dengan cadangan Encik Yakob. Tanpa sedar, suaranya nyaring melempiaskan rasa tak senang tanpa rasa bersalah.

“Hisy! Tak faham betullah saya dengan orang perempuan ni. Sayangkan anak tu, sayang jugaklah. Tapi janganlah sampai teruk sangat macam ni,” ujar Encik Yakob mula hilang sabar.

“Saya pun sayangkan anak saya tu jugak,” sambung Puan Jalina lagi. Kali ini nada suaranya mula mengendur.

“Awak berilah tempoh. Tiga hari ke? Seminggu ke? Untuk cari tunang dia tu,” cadang Encik Yakob lagi.

Perbualan suami isteri itu dalam diam-diam telah didengari Amani Sofia. Rasa pedih menusuk hati kalbunya ketika Puan Jalina menuturkan kata-kata itu.

Sampai hati mama cakap macam tu. Kasihan Zafrizan! Walau macam mana pun aku mesti cari jalan untuk pergi ke sana, desis hatinya.

Malam itu Amani Sofea makan malam bersama keluarga. Sejak Zafrizan dilaporkan hilang, Amani Sofea jarang balik awal untuk makan bersama keluarga. Dia akan balik lambat dari butiknya atau mengurungkan diri saja di dalam bilik.

Sudah sebulan Amani Sofea berkeadaan begitu. Matanya pun sudah sembab. Asyik basah dengan air mata saja. Walaupun Amani Sofea tiada berbunyi di meja makan namun Puan Jalina sudah cukup puas hati dapat melihat perubahan Amani Sofea.

Sedikit demi sedikit keadaan Amani Sofea semakin pulih. Namun tidak sebecok seperti dulu. Bila bercakap seperti ditapis-tapis pula dan dia lebih banyak tersenyum dari berkata-kata. Sebenarnya, dia sudah ada rancangan sendiri. Hanya dia dan dirinya sahaja yang tahu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.