Home Novel Seram/Misteri JERITAN PUAKA
JERITAN PUAKA
Ninie Othman
27/7/2016 19:15:00
17,682
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 12

Nasi goreng ayam masakan mamak dinikmati penuh selera. Sekejap sahaja mereka menghabiskan juadah masing-masing. Semuanya tersandar kekenyangan. Fazrul menjadi tumpuan sekali lagi.

“Kau betul-betul okey ke bro?” Ayman menyoal penuh minat. Matanya bulat memandang Fazrul.

Fazrul menghabiskan sisa-sisa nasi dengan muka selamba. Selepas itu dia mengangguk-angguk.

“Masa kau kena tampar tu, sakit tak?” Ayman sudah teruja. Hanya dia yang mengajukan soalan kepada Fazrul. Yang lain hanya menadah telinga sahaja. Tidak kurang juga yang mengantuk kerana keletihan.

“Rasa panas then pedih..”

“Dalam ramai-ramai kenapa kau yang kena tampar? Kau ada langgar pantang larang ke?”

Soalan Amirul tidak terus berjawab. Fazrul merenung pinggan nasi yang sudah tiada isi. Badannya kepenatan tetapi keadaannya lebih baik dari siang tadi. Mungkin selepas mandi, solat dan makan nasi goreng mamak.

“Aku pun tak tau kenapa. Tiba-tiba kena tampar sampai lebam tengkuk aku,” akhirnya dia membalas.

“Ah kau Man!” sergah Ganesh tiba-tiba.

“Apa?”

“Entah-entah engkau yang curi benda kat sana tak?”

“Kau ni tak habis-habis nak menuduh aku dari tadi. Muka aku ni ada macam muka pencuri ke?”

Ganesh mencebik. Ayman memang pandai membuat serangan balas. Dia pun malas mahu berprasangka buruk terhadap rakannya sendiri. Mungkin benar Ayman tidak mengusik apa-apa ketika di sana dan dia sahaja yang berfikiran negatif.

“Aku dah cakap, aktiviti ni takde faedah pun. Kau orang degil, tak dengar kata..” omel Ganesh. Geramnya terasa membuak-buak.

“Mana tau benda nak jadi macam ni Ganesh. Lagipun Hj. Hamid dah cakap Fazrul takde apa-apa kan?” tempelak Ayman. Sinis matanya menerkam ke wajah Ganesh yang duduk berhadapannya.

“Betul kan Rul?” tanyanya pada Fazrul.

“Betul apa?”

“Betul kau takde apa-apalah, hish!”

“Oh…” Fazrul mengangguk bagaikan burung belatuk. Macam mamai pun ada. Mental dan fizikal sudah letih. Apa yang dia perlukan hanyalah rehat iaitu tidur.

“Betul tak kau ni dah okey?” tanya Xiao pula.

Kemudian renungan mata keduanya bertaut buat beberapa saat. Meremang terus bulu roma Xiao. Renungan matanya segera dialihkan.

“Aku okey. Kau orang tak percaya ke?”

“Sudah-sudah. Jom balik. Semua dah kenyang kan? Hari pun nak hujan balik ni,” Amirul mencelah. Dia bingkas bangun dan bergerak ke kaunter untuk membuat bayaran. Malam itu dia yang belanja.

Xiao memandang Ganesh. Keduanya seperti sedang bertelepati.

“Jom..” ajak Amirul. Laju dia mengayun langkah ke kereta. Langit malam sudah berkelip-kelip dengan kilat.


Sampai sahaja di rumah, hujan kembali membasahi bumi. Tempiasnya menerpa ke pakaian yang dipakai enam sekawan itu. Mereka berlari-lari anak menuju ke pintu utama. Tatkala kunci menyentuh mangga, jiran sebelah tiba-tiba menyapa mereka dari belakang. Pak cik Rashid berpayung sambil memanggil-manggil mereka.

“Kenapa pak cik?”

“Tadi ada perempuan kat dalam. Siapa ya?” ujar pak cik Rashid sebagai jawapan kepada pertanyaan Iqram.

“Ha?”

Blur fikiran semuanya. Perempuan mana pula yang dikatakan jiran mereka ini? Inikan rumah bujang, mana ada perempuan.

“Pak cik salah tengok tak?” Iqram cuba menafikan.

“Pak cik belum rabun lagi. Masa pak cik balik dari masjid, ternampak perempuan berdiri kat tingkap. Siapa tu?”

Pak cik Rashid memang sengaja datang bertanya kerana dia tidak boleh membenarkan apa-apa perbuatan yang melibatkan zina. Perempuan itu nampak muda tetapi wajahnya tidak begitu jelas kerana berada di dalam kegelapan.

“Dalam rumah ni ada kami je pak cik. Takde orang perempuan..”

Kata-kata Xiao membuat kening orang tua itu terangkat. Biar betul?

“Jemputlah masuk pak cik,” jemput Amirul. Biar pak cik Rashid melihat sendiri yang tiada perempuan di situ. Keadaan ruang tamu yang sedikit bersepah membuatkan mereka tersipu malu. Biasalah rumah orang bujang.

Pak cik Rashid hanya berdiri di ruang tamu. Memang tiada tanda-tanda ada perempuan di situ. Dia pun kenal dengan enam sekawan ini, memang baik budak-budaknya. Tidak mungkin mereka tegar berbuat maksiat secara sembunyi. Namun begitu, matanya sesekali meliar ke setiap sudut.

“Duduk pak cik,” Xiao mempelawa. Orang tua itu melabuhkan punggung dan matanya masih melingas.

“Habis tu siapa yang pak cik nampak tadi ya?” pak cik Rashid bingung.

Tiada jawapan yang mampu diberikan pada soalan itu. Mereka juga tidak tahu siapa perempuan yang dimaksudkan pak cik Rashid. Mungkin juga refleksi orang lain? Boleh jadi juga refleksinya terbias hingga ke jendela rumah sewa mereka. Ada beberapa kemungkinan.

“Takkanlah kami nak bawa masuk perempuan pulak pak cik,” ujar Ayman, tersengih nakal. Dia girlfriend pun tiada.

“Pak cik salah nampak agaknya. Takpelah, maaf mengganggu kau orang,” pak cik Rashid bangkit dan mengukir senyuman pahit. Sah-sahlah matanya sudah rabun.

“Eh, takde apalah pak cik, jalan baik-baik ye..” sibuk sekali Ayman mengiringi orang tua itu hingga ke muka pintu.

Pintu ditutup dan dikunci.

Ganesh dan Xiao sudah merinding. Perempuan mana pula ni? Hish semakin menjadi-jadi pula ketakutan mereka. Fazrul pula hanya senyap membisu sahaja ketika pak cik Rashid bertandang tadi. Sempat juga mereka memerhatikan riak pada wajah Fazrul. Lelaki itu nampak selamba sahaja.

“Biar betul weii…”

Ayman bergegas dan terus duduk di sebelah Fazrul. Ada puakakah rumah sewa mereka ini? Menarik!

“Tak mungkin pak cik Rashid nak ada-adakan cerita. Cuma mungkin dia silap tengok atau.. Ah pening aku!” Amirul sudah serabut.

“Aku tidur dulu. Letih,” Fazrul bangun dan lurus menuju ke bilik tidur. Tidak berminat untuk terus berbual dengan rakan-rakannya. Kepala sudah ting tong.

Ayman ternganga.

“Sudahlah, aku nak masuk tidur. Penat!” Amirul terus berlalu ke bilik lalu disusuli rakan sebiliknya, Iqram. Kedua-duanya sudah mengantuk. Sebelum terlena di kerusi, lebih baik mereka cepat-cepat masuk tidur.

Ganesh dan Xiao juga sudah beredar dari ruang tamu. Hanya Ayman yang masih melepak di situ. Tv dipasang tetapi tiada rancangan yang mampu membuatkan dia teruja. Kisah ‘perempuan di tingkap’ lebih mengujakan. Pantas tingkap ruang tamu dipandang penuh curiga.

“Siapalah agaknya ya?”

Benda kecil yang tersimpan dalam poket seluarnya diseluk dan dikeluarkan. Dia tersenyum lebar. Ligat jemarinya membelek-belek benda itu.

“Kalau dia orang tau, mampus aku…”



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.