Kuala
Lumpur, Sekarang
Azman
meneruskan rutinnya sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta seperti
hari-hari biasa. Lelaki itu merupakan pensyarah sosio-budaya yang berkepakaran
dalam bidang antropologi
kebudayaan, arkeologi, sejarah budaya Melayu dan sosio-budaya Melayu. Dia
mencintai disiplin ilmu itu sepenuh hatinya. Mendalami sejarah bangsa sendiri
baginya satu kepuasan melebihi segala-galanya. Meminjam kata-kata seorang ahli
falsafah dan sejarawan Inggeris, R. G. Collingwood, ‘History is for human self-knowledge, the only clue to what man can do
is what man has done. The value of history, then, is that it teaches us what
man has done and thus what man is.’ Dan itulah tujuannya mempelajari dan
mengkaji rumpun nusantara dan suku Melayu yang mempunyai kelompok ras yang pelbagai,
supaya dia dapat memahami asal-usul dan susur-galur darah yang mengalir dalam
tubuhnya sendiri.
“Azman,
mari minum petang dulu!” ajak Razak yang melihat lelaki itu melintasi kafeteria
yang terletak di tingkat bawah kolej itu. Dia melambai ke arah Azman bagi
menarik perhatian pensyarah yang sudah berkeluarga itu. Azman mengerling jam
yang melingkar di pergelangan tangan, sudah pukul 5.00 petang. Kalau dia
berlama-lama di situ, barangkali dia akan lewat sampai ke rumah. Lagi-lagi pada
waktu puncak orang balik kerja sekarang ini. Dia tidak mahu terperangkap dalam
kesesakan lalu lintas yang saban hari membuatkannya tertekan.
“Aku nak
balik, ada hal yang hendak disegerakan. Maaf, mungkin lain kali aje...” Azman
menolak dengan baik pelawaan teman pensyarah yang sama-sama mengajar di kolej
swasta itu. Razak hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah aneh
Azman yang seringkali nampak tergesa-gesa dan kelam-kabut menjelang lewat
petang.
Azman
melepasi kafeteria menuju ke kawasan parkir kenderaan yang terletak di bahagian
bawah bangunan. Beg yang dibimbit terlepas dari pegangan apabila tubuhnya
secara tidak sengaja melanggar susuk kecil yang datang dari arah bertentangan.
Seorang gadis terburu-buru berlari, tidak memandang kiri dan kanan seperti
sedang mengejar masa, sama sepertinya. Tag pengenalan yang tergantung di leher
gadis itu, sekilas diperhati Azman. Marina, pelajar perempuan di kolej itu
juga. Ya, dia kenal dengan pelajar itu.
“Maaf
tuan, saya nak cepat...” Gadis itu tertunduk-tunduk kepalanya memohon maaf dan
kemudian berlari tanpa menunggu sebarang respon dari si pensyarah. Gemerencing
gelang kaki yang dipakai pelajar perempuan itu melantun-lantun gemanya di
segenap ruang lot parkir yang lengang itu. Azman tidaklah marah, perkara kecil
saja baginya. Dia mengaut semula beg bimbit miliknya yang terjatuh ke lantai
simen tadi. Langkahnya lebar-lebar menuju ke kereta. Sebaik duduk di kerusi
pemandu, enjin kereta segera dihidupkan. Menerusi cermin pandang belakang, dia
melihat pelajar tadi menoleh memandangnya yang berada di dalam kereta. Apa
masalah gadis itu?
“Ah,
sudah!! Apa hal yang tak kena pulak ni?” Azman merengus. Stereng kereta jadi mangsa
hentakan apabila Azman mendapati keretanya tiba-tiba saja meragam. Puaslah
berkali-kali dia cuba menghidupkan enjin tetapi masih tidak berjaya. “Tak masuk
akal!” Azman tidak mahu membuang masa. Esok-esok saja dia memeriksa keretanya
itu. Hendak kata tidak ada minyak, mustahil sekali. Baru pagi tadi dia mengisi
penuh. Bahkan, lima hari lepas, keretanya dihantar ke pusat servis.
Mengada-ngadalah kalau masih ada kerosakan di mana-mana.
Azman
mencampak beg bimbit berisi bahan bantu mengajarnya ke tempat duduk depan.
Kemudian, lelaki itu mengunci pintu kereta. Dia tidak risau meninggalkan
keretanya di lot parkir bangunan kolej itu kerana tidak pernah ada lagi kes
kecurian atau pecah masuk yang berlaku sebelum-sebelum ini. Azman berlari keluar
menuju ke jalan utama. Sampai di perhentian mengambil penumpang, dia menahan
sebuah teksi yang kebetulan sedang melalui jalan itu.
“Kondominium
Cempaka Sari...”
Azman
menyebut destinasi yang mahu ditujui. Pemandu teksi di hadapannya itu sekadar
mengangguk. Di tempat duduk belakang, Azman menyandar. Dia mengerling ke luar.
Langit masih cerah. Sedikit-sebanyak, hatinya terpujuk lega. Tetapi melihatkan
trafik di hadapan yang bergerak seperti semut, Azman mendesah. Setiap saat
sangat berharga baginya.
“Kenapa
trafik teruk sangat ni?” Azman tidak dapat menahan sabar. Menyumpah seranah dia
di dalam hati.
“Ajal
kalau sudah sampai masanya, cepat atau lambat, tak dapat kita mengelaknya...”
tiba-tiba pemandu teksi itu bersuara. Azman berkerut dahi. Lain yang ditanya,
lain pula yang dijawabnya. Azman mengintai data pengenalan diri pemandu yang
tertampal di papan pemuka. Majid, nama pemandu itu. Sebaik saja Azman memandang
cermin pandang belakang, berlaga matanya dengan mata pemandu itu yang
mengerlingnya tajam. Azman jadi bingung. Kenapa pelik-pelik saja perangai orang
yang dia jumpa hari ini? Tadi, Marina dan sekarang, pemandu teksi ini pula.
“Encik
cakap apa ni?” Azman rasa seperti disindir pula. Terbakar hatinya tidak
semena-mena.
“Ada
kemalangan di depan. Tadi, saya bawak teksi guna jalan bertentangan, nampak
sebuah kereta bertembung dengan bas sekolah. Mungkin pihak ambulans masih belum
selesai buat kerja mereka. Tu sebab trafik teruk sekarang ni.”
Berdegup
laju jantung Azman tiba-tiba. Fikirannya terus teringat pada Akil, satu-satunya
anak lelaki yang dia ada. Azman lekas menghubungi nombor telefon bimbit Samrah.
“Akil
dah balik rumah?” Tanpa salam, Azman terus menembak tanya. Samrah di hujung
talian, terkedu.
“Mestilah
belum, bang. Akil kan ada latihan bola sepak, kejap lagi dalam pukul 6.00 lebih
macam tu, saya ambil Akil di padang. Janganlah abang risau. Abang dekat mana pulak
tu? Apa pasal saya dengar bunyi hon tak henti-henti dari tadi?” Samrah tidak
sedap hati pula apabila cuping telinganya menangkap bunyi riuh-rendah di
sebelah sana.
“Abang
dalam perjalanan ke rumah, naik teksi. Kereta abang tak boleh hidup tiba-tiba.
Trafik pulak tak bergerak-gerak sejak tadi. Ada kemalangan maut. Hmm... ingat
pesan abang, pastikan Akil ada dalam rumah sebelum pukul 7.00!”
Samrah
sudah lali dengan pesanan suaminya itu. Balik-balik, itu sajalah skripnya
diulang-ulang selama hampir 20 tahun mereka bergelar suami isteri. Kalau dulu,
sewaktu Akil masih bayi, Azman melarang keras dia membawa anaknya itu
berjalan-jalan di waktu petang. Bahkan pernah dirinya dimarahi sehingga
mengalirkan airmata. Samrah tidak faham kenapa setiap kali menjelang lewat
petang, karakter suaminya bertukar keras dan pemarah. Sifat pelindung lelaki
itu terkadang menakutkan.
“Kuatkan
sikit radio tu...” suruh Azman sebaik talian telefon dimatikan. Dia tertarik
hendak mendengar satu laporan berita yang sedang disiarkan itu.
“Pihak
polis menemui mayat kanak-kanak berusia 12 tahun yang dipercayai mangsa penculikan
dalam kes baru-baru ini. Mayat kanak-kanak malang itu dijumpai dalam keadaan
mengerikan apabila dilaporkan oleh beberapa orang saksi, bahagian perutnya
dirobek dengan benda tajam. Mangsa yang merupakan seorang pelajar darjah enam
dari sebuah sekolah rendah ini dilaporkan diculik sewaktu mahu menghadiri kelas
malam yang diadakan di sekolahnya.”
Azman
tergamam. Merinding bulu romanya. Berputar semula ingatannya pada wajah ibu
malang yang meraung-raung kepada pihak polis supaya menyelamatkan anaknya.
Wanita itu cukup yakin anaknya dilarikan orang tetapi Azman tahu, bukan itu
punca sebenar.
“Encik
boleh guna jalan yang lagi satu tak? Kalau kita masih di line ni, sampai ke senja kita terperangkap kat sini,” Si pemandu
mengangguk lalu mengubah laluan menggunakan jalan alternatif yang lain untuk sampai
ke Kondominium Cempaka Sari. Biarpun jalan itu sedikit jauh, tetapi itu sajalah
pilihan terbaik yang dia ada buat masa ini.
Petang
terus larut. Langit beransur-ansur bertukar warna. Jingga.
Lega
hatinya apabila melihat
Akil berada di depan mata. Susuk kecil itu dipeluk erat. Azman memandang ke
mata anak kecil berusia 12 tahun itu. Ada kilasan sedih di dalamnya. Mungkinkah
Akil sudah tahu akan nasib malang yang menimpa kawan sekolahnya itu?
“Lepas
ni mesti giliran Akil pula. Benda tu memang nak Akil, kan bah? Malam tu
sepatutnya Akil yang mati!” Sahih, Akil sudah tahu! Jika tidak, mana mungkin
anak kesayangannya itu bercakap perkara yang bukan-bukan dengan penuh emosi
sekali. Tugasnya sebagai seorang ayah, dia perlu memujuk anaknya itu untuk
tidak mudah mengalah. Jangan menyerah kalah terlalu awal.
“Selagi
Akil dengar dan patuh dengan apa yang abah cakap, insyaAllah benda tu takkan
mampu sentuh Akil. Hmm... lebam hari tu dah hilang? Meh abah tengok,” Azman
membelek kesan lebam yang terdapat di pinggang anaknya itu. Alhamdulilah, sudah
elok nampaknya. Saban malam, sewaktu Akil lena tidur, Azmanlah yang menuam
bahagian lebam itu dengan air suam dan daun kari yang dihancur lumat.
“Benda
tu, apa sebenarnya bah? Kenapa benda tu buru Akil?”
Azman
tergemap. Apakah sudah tiba masanya untuk dia memberitahu anaknya itu cerita
sebenar? Nyata sekali Akil walaupun usianya baru 12 tahun tetapi akalnya
terang.
“Akil,
anak abah. Sebab tu...”
Pintu
bilik diketuk dari luar. Azman terberhenti cakapnya. Akil pula lekas-lekas
menjatuhkan bajunya supaya kesan lebam yang hampir sembuh dan sudah memudar
kebiru-biruan itu tidak dapat dilihat oleh ibunya. Azman membuka pintu dan
melayangkan senyum di wajah.
“Makanan
dah siap saya hidang atas meja. Kita makan...” ajak Samrah yang sedang
mendukung Suri dan di sebelahnya, berdiri Fatin yang manja. Azman mencium
kedua-dua anak perempuannya itu. Merekalah penyeri dalam hidupnya. Sama-sama
mereka satu keluarga menjamu selera di ruang makan. Sudah kekenyangan tidak
lama selepas itu, Azman ringan tulang hendak membantu si isteri mencuci pinggan
mangkuk yang kotor.
“Kita
tukarkan ajelah Akil ke sekolah lain, bang. Takut pula saya bila dapat tahu ada
budak kena culik kemudian dibunuh kejam pulak tu. Manusia jenis apa tak berhati
perut tu?” bisik Samrah perlahan di telinga Azman. Samrah mengetahui kejadian
menakutkan itu menerusi laporan berita terkini di televisyen petang tadi.
Terperanjat besar dia apabila mendengar pembaca berita itu menyebut nama
sekolah dimana anaknya Akil disekolahkan.
“Pihak
polis 24 jam mengawal sekolah tu, siang dan malam. InsyaAllah, tak ada benda
yang buruk-buruk akan berlaku. Lagipun, UPSR Akil dah nak dekat. Bukan
senang-senang boleh tukar sekolah ke sana ke mari.”
“Tapi
hati saya tetap risaulah, bang. Dibuatnya penculik kanak-kanak tu datang lagi
senyap-senyap, nyawa anak kita boleh terancam tau.” Lumrah seorang ibu,
kebimbangannya terlalu. Azman memegang lembut bahu Samrah lalu dibawanya badan
isteri itu menghadap ke arahnya.
“Abang
faham perasaan sayang malah abang pun risaukan keselamatan Akil. Tapi pihak
sekolah dah beri jaminan, untuk memantau lebih ketat sebarang kelibat orang
yang bukan terdiri daripada ibu bapa pelajar, tidak dibenarkan sama sekali
masuk ke kawasan sekolah. Abang dapat tahu, orang yang berlegar-legar di luar
pagar utama pun, diusir pegawai-pegawai polis yang bertugas di situ.
Mustahillah mereka tak ambil langkah berjaga-jaga sebab ini membabitkan nama
dan maruah sekolah. Lagipun sekolah anak kita tu, sekolah nombor satu
pencapaian akademiknya. Sayang kalau kita pindahkan Akil ke sekolah lain
sedangkan masa depannya cemerlang di sini.” Bijak Azman menyakinkan si isteri.
Hakikatnya,
bukan sebab sekolah yang dirisaukannya. Hantarlah ke sekolah mana-manapun,
benda itu tetap akan mengekori. Azman sekarang ini lebih memikirkan bagaimana
mahu menjaga keselamatan ahli keluarganya dari terus menjadi buruan.
“Anak
kita tu dah akil baligh awak rasa?” Muncul satu soalan dari mulut Azman. Samrah
berkerut dahi dan kemudian wanita itu menyeringai.
“Manalah
saya tahu. Kenapa awak bertanya? Akil tu dah ada makwe kat sekolah ke?” Samrah
tergelak halus. Soalan apa sajalah suaminya ini? Azman tergaru-garu kepala. Dia
menayangkan muka tersengih-sengih sedangkan otaknya sedang bekerja keras
berfikir. Ya, benda itu tidak akan mengganggu apabila Akil sudah mengalami
mimpi basahnya yang pertama. Kerana itulah bermulanya kedewasaan. Kanak-kanak
lelaki biasanya lambat mencapai akil baligh berbanding kanak-kanak perempuan,
ada yang menginjak usia 15 tahun barulah tahap kematangan itu terjadi. Ini
bermakna, kalau Akil belum lagi mencapai balighnya, dia terpaksa menanggung
semua kegilaan ini selama tiga tahun lagi. Azman meraup mukanya. Sungguh dia
benar-benar takut kalau Akil melakukan sedikit kesilapan. Natijahnya tidak
sanggup Azman membayangkan.
“Abah...abah...kita
kan tadi kan...ada orang nak bagi kita gula-gula lolipop.” Fatin yang berusia 5
tahun itu memang petah bercakap meski sedikit pelat. Di taska, dialah yang
paling celoteh sekali. Azman mendukung anak perempuannya itu selepas selesai
kerja mencucinya di dapur.
“Ini
mesti cikgu Fatin yang bagi gula-gula lolipop kan?” Azman melayan sembang
dengan Fatin yang becok mulutnya itu.
“Eh...bukan-bukan.
Bukan cikgu tapi ada orang kat luar pagar tadika kita yang nak kasi...”
Budak-budak mana pandai menipu. Setiap kata-katanya lahir dari hati.
“Orang
kat luar pagar?”
“Haah,
abah. Dia pakai baju hitam, tangannya pegang lolipop... Tapi kita tak pergi
pun, muka dia hitam legam. Kita takut.” Untuk sekalian kali, Azman meremang
bulu romanya. Fatin dipeluknya erat-erat. Ya ALLAH, Kau lindungi keluarga aku
ya ALLAH. Hanya kekuatanMu dapat menghalang semua kegilaan ini ya ALLAH.
“Samrah,
sini sekejap!!” laung Azman melengking suaranya. Terhegeh-hegeh wanita itu
mendapatkan suaminya yang berada di ruang tamu.
“Ya,
bang?”
“Saya
mahu esok juga awak berhenti kerja!” putus Azman menggunakan kuasa vetonya
sebagai suami. Samrah terpinga-pinga. Dia baru enam bulan bekerja sebagai pegawai
farmasi di sebuah farmasi perubatan, yang terletak sedikit jauh jaraknya dari taska,
tempat dimana dia menghantar Fatin dan Suri sementara dia bekerja. Lagipun dia
memang sudah mengenali pengetua pusat asuhan kanak-kanak itu sendiri.
“Eh,
tapi kenapa bang? Saya baru kerja kat sana, setengah tahun pun tak sampai
lagi.” Samrah cuba mempertahankan haknya.
“Pukul
berapa awak habis kerja dan pukul berapa pulak awak jemput Akil dan ambil Fatin
dengan Suri dari taska?” Azman memasang tampang serius. Samrah sudah dapat
mengagak, angin suaminya tidak baik.
“Saya habis
kerja pukul 5.00 petang. Saya balik mandi, kemudian berehat kejap. Saya
tertidur dan waktu abang telefon saya pukul 6.00 petang tu, saya sebenarnya
baru tersedar. Pukul 6.15 saya jemput Akil di padang latihan bola sepaknya tu. Trafik
tak lancar sangat waktu tu, dah nak dekat pukul 6.50, 6.55 petang macam tu,
saya sampai taska, ambil Fatin dengan Suri kat sana.” Perinci Samrah akan
rutinnya tadi. Bergelar isteri kepada lelaki bernama Azman, membuatkan dia peka
pada masa. Kalau boleh suaminya itu mahu tahu minit dan saat sekali.
“Sudah
hampir senja, patutlah...” gumam Azman sendiri. Ah, dia tidak mahu menanggung
risiko. Sebarang peluang untuk melakukan kesilapan akan menjerumuskan mereka
satu keluarga ke kancah masalah. Samrah perlu berhenti kerja supaya isterinya
itu dapat menjaga anak-anak mereka. Keputusannya muktamad.
“Sayang
berhenti kerja ya?” pujuk Azman melirih suaranya. Samrah benar-benar bingung
dengan permintaan suaminya. Dia boleh berhenti tetapi sekurang-kurangnya dia
perlu tahu atas sebab apa.
“Kenapa
saya perlu berhenti kerja? Boleh tak abang jangan sembunyikan apa-apa. Sejak
kebelakangan ni, abang makin aneh, abang tahu tak?”
“Sebab
anak-anak kita dalam bahaya! Mereka dalam bahaya!” Azman akhirnya terlepas
bicara. Samrah terkejut bukan kepalang. Apa maksud suaminya itu?
“Bahaya?
Abang... tolonglah jangan berahsia dengan saya lagi. Apa yang abang cuba
sorokkan dari saya? Saya ni isteri abang, emak kepada anak-anak kita... saya
berhak untuk tahu. Bahaya apa yang abang maksudkan?” Samrah mengalirkan
airmata. Tidak semena-mena dia berasa takut yang amat sangat.
“Benda
tu datang hanya pada waktu senja. Biarpun waktu senja tu singkat, tapi kita
mesti sentiasa berjaga-jaga.” Azman seperti berbisik nadanya. Pandangan lelaki
tu meliar ke kiri dan ke kanan. Samrah terasa belakang lehernya kembang
tiba-tiba.
“Benda
apa yang datang waktu senja?”
“Setan.”