Home Novel Seram/Misteri 7 KEMATIAN
7 KEMATIAN
Saidee Nor Azam
18/3/2020 11:06:25
5,794
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 2

7 KEMATIAN


BAB 2

(Maut Menanti...!) 


HUTAN Kenyir kelihatan tenang dan damai. Kicauan burung dan unggas menghiasi latar keindahan alam yang menghijau di bumi bertuah Terengganu. Ketika ini di kaki bukit hulu Sungai Cicir kelihatan ada dua sosok lelaki sedang berdiri sambil berbincang sesama mereka.


“Kau pasti kawasan ni dah clear? Kalau tak, masak

kita nanti Nazz,” soal lelaki bertubuh sedikit gempal. Dia mendongak sambil melilau-lilau melihat persekitaran.


“Betullah. Aku dengar kawasan ni dah terbiar lama. Tak ada orang jaga dah,” jawab Nazirul, lelaki bertubuh kurus dan sedikit rendah. Dia yang berkaca mata dan memakai penutup

kepala tersengih-sengih memandang rakannya yang sedikit tinggi daripadanya.


“Aku risau.”


Hilmi yang bertubuh sedikit gendut itu

akhirnya menyuarakan isi hatinya.


“Kau jangan, Mi. Kita datang dari jauh tau semata- mata nak jejak gua ni. Sekarang, kau pulak yang banyak songeh,” bebel Nazirul.


“Aku tak sedap hatilah.”


Perlahan Hilmi meluahkan rasa yang tersimpan dalam dadanya. Wajah Nazirul mencuka. Dia mengeluarkan sebuah catatan dari dalam beg galas. Helaian demi helaian dibuka sebelum berhenti pada lembaran yang ingin dia singgah. Di situ, anak matanya bergerak-gerak dari kiri

ke kanan sebelum berhenti dan kembali memandang Hilmi.


“Ini... kerana benda nilah kita datang. Kau jugak cakap kawasan ni dah tak ada apa-apa. Bukankah ni memudahkan kita?” ujar Nazirul sambil menunjukkan lembaran yang diselaknya kepada Hilmi.


“Ya, aku tahu. Tapi kau takkan dah lupa dengan kejadian binatang buas membaham orang kat kawasan ni?” balas Hilmi pula.


“Kau ni dah kenapa, Mi? Kalau dari awal lagi kau tak bersetuju nak datang sini, aku takkan turuti kemahuan kau. Kau tak nak kaya? Dalam gua tu pasti banyak rahsia yang belum diselongkar.”


“Masalahnya, dulu gua ni orang kampung cakap tempat...”


“Tempat apa? Tempat harimau tidur? Tempat jin beranak-pinak?” Lancang sekali mulut Nazirul meluahkan kata.


“Kau dah kenapa? Sebut yang bukan-bukan. Dah lupa ke kita kat mana sekarang?” tekan Hilmi. Wajahnya kemerah-merahan mendengar kata-kata yang terluncur keluar dari mulut rakannya itu.


“Sekarang, kau nak teruskan ke tak? Kalau kau

takut, biar aku seorang aje yang panjat sampai ke gua tu,” ujar Nazirul dengan berang.


Amarahnya sukar ditahan.Hilmi menarik nafas panjang dan cuba meleraikan rasa hangat dalam dadanya. Dia kenal sangat dengan

rakannya itu, panas baran tidak bertempat. Cuma apa yang dia sedih dan kecewa, mulut rakannya itu bagaikan tidak dapat dibendung keceloparannya. Dia bagaikan dikuasai rasa tidak puas hati sehingga lancang sekali menyebut sesuatu yang menjadi larangan ketika berada di dalam hutan.


Nazirul terus berjalan mendaki kaki bukit. Dia seperti tidak mengendahkan lagi rakannya. Nekad sekali untuk sampai ke gua yang dahulunya pernah menjadi kawasan larangan. Kerana memikirkan sudah jauh mereka berjalan dan meneroka bumi Kenyir. Hilmi mengelus perlahan sebelum menggerakkan kakinya mengekori langkah Nazirul. Kalau bukan kau tu sepupu aku, tak adanya aku nak mengalah, bisik Hilmi dalam hati.


MALAM itu, Nazirul dan Hilmi membina sebuah khemah di luar pintu gua yang akan mereka terokai. Jika waktu belum berganjak ke senja, kedua-dua pemuda itu sudah pasti akan meneruskan langkah meredah kegelapan gua yang diberi nama Puteri Beradu itu.


“Kau buat apa lagi? Tidurlah, esok kita selongkar gua tu.”


Hilmi menegur Nazirul yang sedang membelek-belek buku catatan hariannya.


“Aku perlu siapkan catatan harian ni. Bukan aje

menjadi tauladan kita nanti, tapi ni semua akan menjadi bukti bahawa penjelajahan kita ni tak sia-sia,” balas Nazirul.


“Apa-apa ajelah. Aku dah mengantuk,” ujar Hilmi sebelum menarik selimut kecil yang dibawa bersama- sama.


Khemah yang boleh memuatkan tiga orang di

dalamnya itu diterangi cahaya lampu kalimatang milik Nazirul. Lampu yang menggunakan tenaga bateri kering itu mampu bertahan lebih seminggu lamanya.


“Mie, kau nak tahu tak?”


Ketika Hilmi sudah berkira-kira mahu melangkah ke alam mimpi, suara Nazirul memecah keheningan.


“Aduh... apa lagi?”


Hilmi memang pantang kalau ada suara-suara yang mengganggu ketika dia beradu. Telinganya mudah menangkap suara-suara bising. Dengan mata yang kemerah-merahan dan sembab, dia berpaling mengadap Nazirul yang sedang duduk bersila mengadap buku nota.


“Kau tahu tak sekarang dah pukul berapa?” soal Hilmi tidak puas hati.


“Kat dalam gua ni dulu ada cerita.” Tanpa

menghiraukan bebelan Hilmi, Nazirul meneruskan penceritaannya.


“Esok pun kau boleh cerita, kan?” rungut Hilmi.


“Esok aku dah tak sempat nak sembang,” balas Nazirul.


Hilmi menggeleng. Mahu sahaja dia

menghamburkan kemarahannya. Namun, dia cuba bersabar.


“Apa yang kau tahu tentang gua batu kapur ni?” soal Hilmi.


“Dulu... lama dulu... mungkin seratus tahun lebih dulu, gua ni ada khabar-khabar angin mengatakan ada seorang pertapa. Orang yang keramah. Kiranya si pertapa tu telah bertapa berpuluh-puluh tahun sehingga akhirnya dia sendiri menjadi batu.”


Berkerut wajah Hilmi mendengarnya.


“Kau tahu dari mana? Selama ni, kau tak cerita pun kat aku? Kau ni banyak sangat berahsia. Sekarang, tujuan kita ke gua ni untuk buat kajian atau nak cari batu orang bertapa tu?” soal Hilmi.


“Sebelum kita datang ke mari, aku dah pun datang ke bumi Terengganu ni. Aku ke Kuala Berang dan berjumpa dengan orang-orang lama. Dan aku yakin batu pertapa tu memang masih ada kat dalam gua tu. Ada cerita yang aku dengar daripada mulut-mulut orang

lama kat sini. Dan kebanyakan mereka yang aku temubual menceritakan kisah yang hampir serupa.”


“Apa ceritanya?” soal Hilmi.


“Dulu, ada seorang pemuda datang mencari si

pertapa. Dikatakan pemuda itu telah hilang di dalam gua tu. Penduduk kampung tak berani untuk masuk mencarinya. Lagipun ada yang mengatakan pemuda tu bukan orang setempat. Ada jugak yang mengatakan pemuda tu datang dari Pahang dan ada jugak yang kata dia dari Gunung Tahan. Tujuan dia datang tu pun tak

dapat dipastikan kesahihannya,” cerita Nazirul.


“Habis tu, mayatnya tak dijumpai sampai sekarang ke? Daripada cerita kau, aku dapat rasakan kawasan yang kita bakal masuk esok tu tak molek!”


Hilmi terus membuat andaian. Wajahnya tegang bersama riak bimbang.


“Kau ni penakut betul! Itukan cerita dari mulut- mulut orang kampung,” tingkah Nazirul.


“Apa lagi yang orang kampung ceritakan kat kau?” soal Hilmi bingkas bangun dan duduk bersila. Dia seperti sudah tidak sabar ingin mendengar cerita Nazirul.


“Menurut orang kampung, sebenarnya batu pertapa tu bukan manusia. Tapi milik penunggu gua itu. Tak ada siapa pulak yang tahu makhluk tu makhluk apa.”


“Kau fikir, pemuda tu agaknya dah dimakan

pertapa tu?” duga Hilmi.


“Aku tak pasti. Tapi ada yang cakap pemuda tu menuntut ilmu dengan penunggu tu. Ada jugak yang menyatakan sebaliknya. Jadi, aku tak boleh nak cakap perkara yang sebenarnya. Tapi aku rasa pemuda tu tak mati. Mungkin dia menuntut ilmu dengan si pertapa atau penunggu gua tu.”


“Maksud kau, pemuda tu masih hidup? Tapi

mustahil. Sekarang dah tahun berapa? Mesti dia dah mati. Tapi kalau dia menuntut ilmu syaitan, tak mustahil dia bernyawa panjang.”


Hilmi semakin teruja.


“Tu aku tak pasti. Tapi kalau betul, ekspedisi kita tak sia-sia. Apa-apa pun, esok kita selongkar gua tu dan kita cari kebenarannya,” tekad Nazirul.


Jelas sekali dia ingin mencari kebenaran daripada kisah yang telah bertahun lama itu. Atau mungkin kedua-duanya hanya mengundang sesuatu yang buruk.


KETIKA waktu sudah semakin menjengah ke sepertiga malam, penghuni di dalam khemah sudah hanyut di alam mimpi. Malam yang hangat di tengah-tengah Hutan Kenyir itu secara tiba-tiba berangin. Semakin lama semakin kuat angin yang bertiup sehingga

menggegarkan dinding nipis khemah kedua-dua pemuda itu.


Penghuni di dalamnya mula terasa akan kekuatan angin yang menderu itu. Terutama Nazirul yang bingkas bangun serta-merta. Dia terkejut bukan kepalang. Dia mendengar deruan angin yang datang itu seperti membawa bersama satu suara mengilai halus. Nyaring di pendengaran Nazirul. Nazirul terus terjaga sambil melingas ke setiap arah di dalam khemah. Wajahnya jelas pucat, panik bercampur baur dengan rasa seram.


“Bu... bunyi apa tu, Nazz?” soal Hilmi, terpisat- pisat matanya.


Wajahnya nampak kebingungan. Dia memandang ke arah Nazirul. Wajah temannya itu jelas pucat lesi ketika ini. Pertanyaan Hilmi langsung tidak dijawab oleh

Nazirul.


“Nazz... kau dengar tak apa yang aku dengar?” soal Hilmi lagi.


Namun belum sempat Nazirul berpaling untuk menjawab pertanyaan Hilmi, sekali lagi satu hembusan angin menerjah kuat khemah mereka berdua. Seiring dengan itu, hadir satu suara yang mengilai halus seperti angin itu membawa sekali suara yang sungguh

menyeramkan. Semakin lama semakin kuat angin yang menyapa sehingga khemah yang dihuni dua pemuda itu bergerak-gerak.


“Kita kena keluar dari khemah ni, Mi!” laung

Nazirul.


Menyedari khemah mereka seperti dilanda garuda, Nazirul tidak mahu menunggu lama. Dia bergegas keluar dengan membawa lampu kalimatang yang panjang sekaki itu. Melihatkan Nazirul keluar dengan membawa lampu kalimatang, Hilmi lekas menuruti dan

melangkah keluar. Apabila mereka berdua sudah berada di luar khemah, deru angin yang kuat itu semakin kencang.


Kali ini tidak ada lagi kedengaran suara halus

bagaikan wanita sedang mengilai, tetapi terdengar pula satu panggilan yang membuatkan reroma kedua-duanya menegak sehingga ke pangkal leher.


“Kau dengar tak? Itu... tu nama kita...” ujar Nazirul.


Ketika ini suara yang menyeru nama mereka berdua semakin kuat kedengaran seiring dengan hembusan angin yang sekejap

kencang sekejap tidak membuatkan hati kedua-dua pemuda itu menjadi serba tidak kena.


“Suara... suara... tu...”


Nazirul semakin gementar. Ini kali pertama dia berhadapan dengan suasana sebegini.


“Apa kita nak buat ni?” soal Hilmi, kalut ketika

terdengar suara parau dan garau memanggil nama mereka berdua.


Pokok-pokok di sekitar mereka bergoncang kuat. Dedaunan gugur berterbangan ditampar ribut yang melanda muka pintu gua. Sesekali Hilmi mendongak memandang langit. Kelihatan awan hitam berarak betul-betul seperti ingin dilanda hujan yang lebat.


Bulan purnama yang menyinari malam Tasik Kenyir perlahan-lahan ditelan awan yang berkepul-kepul dan hitam pekat.


“Mie, ada orang!” jerit Nazirul, terbuntang matanya kala terpandang sesusuk tubuh berjubah hitam dan terbongkok memegang tongkat berdiri di muka pintu gua.


“Apa? Mana?” soal Hilmi sambil melilau ke setiap arah.


Tidak pula dia terlihat apa yang mata Nazirul

terpandang ketika ini.


“Nazirul... ke mari...”


Nazirul mengangguk-angguk. Dia seperti dipukau dengan suara parau lelaki berjubah hitam yang sedang menunggu di muka pintu. Pada pandangan Nazirul, lelaki yang terbongkok itu sedang melambai-lambai dari

arah mulut gua yang ternganga.


“Baik... saya datang,” ucap Nazirul, mula

melangkah ke arah pintu gua itu dengan tenang walaupun terpaksa meredah angin kencang.


Habuk dan dedaunan yang berterbangan dan menghempas wajahnya langsung tidak diendahkan. Sepertinya dia kini sudah terpukau oleh satu kuasa.


Melihat Nazirul langsung tidak mendengar panggilannya, Hilmi terpaksa berlari mendapatkan temannya itu. Namun, dia seperti tertolak ke belakang oleh satu kuasa.Tubuhnya yang gempal itu bagaikan ringan ditolak angin sebelum rebah berguling dan kepalanya

terhentak dengan kuat di perdu pokok. Langsung pandangannya kelam dan hitam serta-merta.


Bersambung...


Novel ini akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 nanti. 


#Saideenorazam #SiriSeramSna #seram #7Kematian #KematianHanyalahSementara #novelisprolifik #bukuprima #Seramlicious

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.