Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,519
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 26



Bab 26

Ujian bulan Febuari yang dijalankan oleh Aina baru sahaja berakhir. Keputusannya hampir sama teruk seperti ujian yang lepas. Hanya ada sedikit perkembangan yang kurang memberangsangkan dalam kalangan beberapa orang pelajar. Setakat meningkat satu dua markah apalah sangat.

Aina rasa dia sudah cuba memberi pemahaman kepada pelajarnya dengan sebaik mungkin. Hubungannya dengan pelajar Kelas 6 Delta itu juga kini semakin baik. Jadi apa lagi masalah mereka sehingga tidak dapat menunjukkan sebarang peningkatan?

Aina benar-benar kecewa dengan kelas 6 Delta. Berhari-hari dia memerah otak mencari idea untuk meningkatkan prestasi mereka. Otaknya kalau mesin dah sampai kena cari alat ganti untuk tukar part, dah haus digunakan secara ekstrem. Tak ekstrem namanya berfikir tak sudah siang dan malam? Sehinggakan mandi tak basah asyik termenung memerah otak, alih-alih keluar dari bilik mandi Aina pun tak ingat dia dah mandi atau belum. Makan pun tak kenyang sebab menyuap tapi tak sempat hitung dah berapa suap masuk ke mulut. Sekarang barulah Aina faham maksud peribahasa itu.

Aina masuk ke kelas dengan wajah sugul. Macam rupa orang berkabung kematian kucing pun ada. Sebaik sahaja mengembalikan kertas jawapan peperiksaan kepada para pelajar, Aina tidak dapat menahan diri dari meleteri mereka. Sudah berhari-hari dia memendam rasa kecewa di dalam hati. Penat menghimpun sendiri perasaan kecewa, tak lama lagi dah boleh dapat penyakit kemurungan.

“Keputusan kamu tak jauh beza dari keputusan ujian yang lepas. Ada sedikit peningkatan bagi beberapa orang, contohnya Marliana, Hawa dan Razali. Tapi peningkatan tu pun kurang memberangsangkan. Sikit sangat. Hanya berubah satu gred aje. Cuma Cam yang berjaya membuatkan saya berbangga. Daripada gagal, Cam melonjak ke gred B. Tahniah, Cam. Nanti kongsi petua awak tu dengan kawan-kawan. Jangan lokek ilmu pulak. Kalau kelak awak terlupa, orang yang awak pernah ajarkan tu boleh ajarkan semula kepada awak nanti,” kata Aina sambil memfokuskan perhatian kepada Cam.

Cam tersengih bangga. Sengaja dia mengerling Danial untuk membuatkan Danial iri hati, namun Danial kelihatan tidak menumpukan perhatian langsung. Penat saja Cam menjeling sampai nak juling. Danial pula sedang tersengguk-sengguk menahan ngantuk. Sesekali dia meletakkan kepalanya di meja beralaskan tangan, namun beberapa saat kemudian Danial mengangkat semula mukanya. Matanya dipejam celik berulang kali, senaman mata agaknya. Aina nampak semua itu dari ekor matanya, sebal hatinya melihat Danial boleh pula tersengguk-sengguk mengantuk kala dia sudah berbuih mulut berleter. Tiada keinsafan langsung!

“Ada sesetengah dari kamu yang semakin merosot pula. Lee Ann contohnya, dulu awak lulus tapi sekarang dah gagal. Ada pulak yang dah sedia teruk jadi bertambah-tambah teruk. Apa masalah kamu sebenarnya? Ada sesiapa sanggup cerita? Tolonglah bagitahu saya, sebab saya betul-betul tak ada idea kenapa prestasi kamu jadi sebegini rupa. Saya rasa, saya dah ajar kamu sehabis baik dan sehabis daya. Saya dah bagi ringkasan nota yang lengkap lagi padat. Saya bagi latihan setiap kali habis satu bab. Saya buat ulang kaji, memudahkan kamu. Saya tak faham apa lagi silap saya. Apa yang tak kena, kelas?” Aina menyambung leterannya.

Ahli kelas itu hanya diam, ada yang tertunduk diselubungi rasa bersalah apabila mendengar nada Aina yang agak beremosi. Marah bercampur sedih dan kecewa. Namun, ada juga beberapa orang yang masih mampu mempamerkan raut tenang, seolah-olah ia hanyalah perkara remeh.

Lee Ann mengangkat tangan. “Saya rasa salah satu masalah yang kami hadapi adalah kami tak sempat nak tangkap apa yang Cik Aina ajar, sebab kami nak kena faham dan salin nota sekali gus. Cik Aina ajar agak cepat. Kami ni bukanlah kelas pandai, kira slow sikitlah nak ikut.”

“Oh, begitu. Baik, saya akan fikirkan jalan penyelesaian untuk masalah itu. Terima kasih Lee Ann, atas maklum balas yang awak berikan. Kamu pun dah sedia maklum, saya baru saja mula mengajar, jadi mungkin ada sesetengah cara saya yang masih boleh diperbaiki lagi.Tapi saya takkan tahu masalah kamu jika kamu tak maklumkan kepada saya.Lain kali, kalau ada sebarang masalah, cepat beritahu saya. Jangan simpan sampai expired. Kita akan selesaikan bersama.”

Aina menarik nafas sebelum menyambung leterannya. Dah terlanjur bersemangat. “Selagi STPM belum tiba, selagi itu kita ada ruang dan peluang untuk mengubahnya. Saya mahu kamu semua berjaya. Jangan rasa rendah diri dan anggap diri kamu tak pandai hanya kerana pencapaian kelas lain lebih bagus. Saya percaya setiap individu lahir dalam keadaan yang sama. Terpulang bagaimana kamu memaksimumkan kemampuan diri masing-masing. Semuanya bergantung pada usaha. Jadi jangan putus asa, kamu jugak ada peluang untuk berjaya sama seperti orang lain.”

Sedang Aina bersungguh-sungguh memberikan ceramah motivasi percuma, matanya menangkap suatu pemandangan yang benar-benar mencabar kesabarannya. Danial dan Mazlan sudah terlentok di atas meja! Kalau tadi tersengguk-sengguk, kali ini memang dah tersembam sepenuhnya.

Nampaknya Aina buat kerja sia-sia sahaja, bagai mencurah air ke daun keladi. Bertong air liur Aina curahkan, daun keladi masih begitu juga, tak akan ada yang tiba-tiba pandai menadah. Macam manalah nak berjaya jika hanya Aina sahaja yang bermati-matian berusaha, manakala mereka pula boleh buat tidak tahu saja setiap usahanya. Darahnya menyirap naik ke kepala. Tekanan darah naik ke 200/160. Hampir diserang strok.

“Danial, Mazlan! Sedap tidur, nampak?Saya tengah bercakap kat depan, kamu boleh tidur lena kat belakang!” Jerkahan Aina menyebabkan mereka segera mengangkat kepala.

Mazlan terpisat-pisat menggosok mata, sebelah tangannya mengelap air liur yang meleleh di tepi mulutnya. Wajah Danial berubah menjadi merah padam.

Aina yang masih tidak berpuas hati menyambung marahnya. “Mazlan, sudah-sudahlah lap mulut awak tu, kat meja tu dah bertompok pun peta dunia awak! Kenapa awak mengantuk sangat ni? Awak ingat saya tak tahu aktiviti rempit awak tiap malam? Hal itu yang jadi perbualan guru-guru kat bilik guru, saya terpaksa tebalkan telinga ni tahu tak? Saya diamkan sebab saya tak mahu masuk campur hal awak di luar, tapi bila aktiviti awak tu sampai bawa masalah kat kelas, takkan saya nak berdiam diri jugak? Awak pulak Danial, saya tak tahulah apa masalah awak! Agaknya awak memang menyampah dengar saya bercakap kot? Awak rasa lebih bagus tidur dari dengar saya bercakap, kan?”

Mazlan terkulat-kulat. Hairan dihentam berdas-das tidak semena-mena. Danial dah macam cacing kepanasan, malu dimarah macam budak-budak. Perempuan ini memang berani nak mencabarnya. Masih belum cukup, Aina menyambung lagi. Kali ini dengan sedikit getaran pada suaranya. Sebak. Aina sebenarnya tak suka hendak marah-marah, tapi kali ini dia memang dah tak boleh bersabar.

“Kamu buat saya macam orang bodoh! Apa kamu ingat saya tunggul, bercakap seorang diri sedangkan kamu langsung tak hormat saya sebagai guru kamu. Tak payah hormat saya sebagai guru pun tak apa, tapi hormatlah saya sebagai seorang manusia seperti kamu, bukan tunggul kayu, batu atau dinding! Apa masalah awak Danial? Awak kan anak orang kaya, saya tak percaya awak pun macam Mazlan, pergi merempit malam-malam buta demi merebut hadiah wang ringgit yang dipertaruhkan! Takkan ayah awak tak bagi duit secukupnya!”

Asyik-asyik Danial lagi yang diserang. Habislah Aina kali ini. Yang lain sudah senyap sunyi. Bagai menanti bom atom meletus.

Wajah Danial berubah warna, sekejap merah padam seperti udang terbakar, sekejap pula pucat lesi seperti kertas putih. Danial sudah tidak mampu menahan sabar lagi, sudahlah Aina tanpa mengetahui akar umbi sesedap mulut sahaja menuduhnya macam-macam. Cubalah tanya dulu, ini terus nak menyerang.

Nampak sangat kemarahan Aina tertumpu kepada Danial. Apa masalah Aina dengan dia sebenarnya? Danial semakin berang apabila Aina menyentuh hal keluarga dan peribadinya. Terutama sekali apabila ayahnya turut disebut! Aina sekecil kuman pun tak tahu apa-apa tentang keluarganya, siapa yang memberikan Aina hak untuk bercakap sedemikian? Aina boleh kata apa saja tentang Danial tapi jangan sesekali berani menyentuh soal keluarganya. Aina benar-benar telah mendesaknya melepasi batas kesabaran yang ada. Sudahlah Danial sendiri pun tak penyabar mana, dia sudah cukup belajar bersabar kerana gadis ini, tapi hari ini memang Danial dah tak boleh tahan lagi.

“Cik Aina boleh cakap apa aje pasal saya, tapi jangan sesekali sebut tentang ayah mahupun keluarga saya! Lagi satu, Cik Aina jangan nak tuduh melulu kalau tak tahu pokok pangkal cerita!Cakap ikut sedap mulut aje, fikirlah perasaan orang lain sama! Kami ni bukan budak-budak lagi nak main jerkah-jerkah, saya sendiri dah 21 tahun! Takkan tak pernah belajar cara approach pelajar? Mana perginya nilai kompromi dan diplomasi yang kononnya Cik Aina pegang sangat-sangat tu?”

Seisi kelas kecut perut menyaksikan pergaduhan antara Aina dan Danial. Sesaat kepala mereka mengadah menatap Aina, seketika kemudian kepala mereka beralih pula kepada Danial. Macam menonton perlawanan bola sepak. Aina sendiri tergamam dengan tindakan Danial yang seperti telah lupus segala rasa hormatnya terhadap Aina. Seolah-olah Aina bukan lagi seorang guru di mata Danial.

Aina benar-benar tidak menjangkakan reaksi sedemikian. Aina menganggap pelajar kelas itu akan lebih menghormatinya jika dia berlaku tegas. Sangka Aina mereka akan sedar bahawa Aina tidak dapat menerima perlakuan sedemikian di dalam kelasnya. Bukankah begitu saranan Cikgu Hasnah supaya lebih tegas terhadap pelajarnya? Aina terlalu kecewa dengan keputusan ujian mereka. Namun, Aina sama sekali tidak menjangkakan tentangan sebegini yang akan diterimanya. Danial benar-benar sudah melampaui batas. Aina gurunya, bukan orang gaji yang boleh dimaki hamunsesuka hati!

“Oh, jadi mentang-mentang awak rasa awak dah cukup dewasa, awak pun naik kepalalah? Kalau awak rasa awak tu dah dewasa, cubalah berperangai macam orang dewasa. Awak jangan nak mengkritik saya pulak, Danial! Saya ada hak nak menasihati kamu dengan apa cara sekalipun yang saya rasakan sesuai! Untuk pelajar yang memang keterlaluan macam awak ni, saya rasa tak salah apa yang saya katakan. Kalau awak tak bersalah, kenapa awak tak terangkan aje kepada saya apa masalah awak?Sebaliknya awak melawan saya pulak!”

“Bila masanya saya ada peluang untuk terangkan? Saya tak sempat pun lagi nak bagi penjelasan, Cik Aina dah naik gila, kata saya macam-macam. Tak boleh tanya dengan cara baik? Cik Aina tahu tak, dah dua hari dua malam saya langsung tak tidur? Saya jadi urusetia perkhemahan, malam kena berjaga masa budak-budak tidur, siang kena buat aktiviti. Ikutkan hati, saya dah tak datang ke sekolah hari ini. Tapi kalau saya ponteng, entah nanti Cik Aina tuduh saya pergi merambu hisap ganja pulak agaknya! Saya dah cuba bertahan sedaya-upaya, tapi ada masanyadah tak tahan, itu yang terlentok sebentar. Cik Aina bukannya nak tanya saya sakit ke apa, sebaliknya terus menuduh. Kalau apa-apa perkara buruk menimpa kami, semuanya disebabkan oleh guru yang berprasangka dan tak prihatin macam Cik Aina ni!”

Mazlan menarik-narik tangan Danial cuba mengajaknya duduk, sebelah tangannya lagi menepuk-nepuk belakang Danial untuk meredakan kemarahannya. Danial menepis tangan Mazlan dengan kasar. Ikutkan hati, dengan si Mazlan sekali Danial rasa nak hentam.

“Saya tak peduli! Awak memang dah melampaui batas! Awak sedar taksaya ni cikgu awak, hah? Kenapa awak langsung tak boleh tunjuk rasa hormat terhadap saya? Saya tak tahulah sama ada mak bapak awak yang tak ajar awak dengan baik atau awak yang tak makan saman!”

Mendidih darah Danial di tahap 100 darjah celsius. Sepantas kilat Danial sudah melompat ke depan Aina. Itu pun nasib baik sempat tekan brek, Aina ingatkan tadi Danial hendak merempuhnya terus. Sungguh mengerikan! Kini jarak antara mereka hanya beberapa inci sahaja.

Di luar sedar, tangan kiri Danial sudah mencengkam bahu Aina kejap sehingga Aina dapat merasakan sekujur tubuh Danial yang bergetar dengan api kemarahan yang bertali arus dalam dirinya. Disebabkan ketinggian Danial yang berukuran 6”2 itu, kepala Aina harus mengadah untuk mencuri pandang ke wajah Danial yang sedang merah padam. Aina mahu berpura-pura berani menentangnya. Danial mengangkat tangannya, tubuh Aina tiba-tiba semakin mengecil, lututnya sudah lembik. Aina menyangka Danial mahu menamparnya. Rupanya hanya jari telunjuk Danial yang menuding tepat wajah Aina.

“Berapa kali saya nak bagi amaran, jangan sesekali sebut tentang mak bapak saya! Tak faham-faham bahasa! Atau nak kena dengan saya baru nak faham? Saya boleh buat apa saja yang saya nak terhadap awak!” Nadanya berbisik keras. Suaranya tersekat-sekat menahan marah sehingga timbul segala urat di lehernya.

Garangnya lelaki ini bila marah, menakutkan! Sumpah Aina takut dengan Danial ketika itu. Danial kelihatan seperti singa yang telah bersedia untuk menerkam mangsanya pada bila-bila masa. Air mata Aina tidak dapat ditahan-tahan lagi dari merembes keluar. Aina menarik bahunya kasar dari cengkaman Danial. Rasa macam dah lebam bahunya akibat dicengkam begitu kuat oleh tangan jerangkung Danial. Apa kelas membuli insan yang lemah!

You are way too much!”Hanya itu yang mampu dibalas Aina, itu pun dengan suara yang lemah. Seolah-olah seluruh tenaganya telah habis diperas. Umpama baru balik dari membanting tulang di ladang. Rasa letih, jantungnya pun turut sama letih, macam nak pengsan saja di situ. Sebelum betul-betul pengsan, ada baiknya Aina pergi dulu.

Aina baru sahaja mahu melangkah meninggalkan Danial ketika tangannya ditarik oleh Danial. Beraninya dia! Aina merentap semula tangannya dan serentak dengan itu telapak tangannya melayang hinggap di pipi Danial. Entah dari mana datangnya kekuatan Aina, wajah Danial terpaling ke tepi disebabkan tamparan Aina itu. Matilah Aina kali ini, kenapa tindakannya selalu saja tanpa dirancang begini? Habislah, mesti tambah mengamuk singa di depan Aina. Ah, pasrah sajalah, hendak bagi balik penampar pun bagilah. Aina dah tak kisah. Apa nak jadi pun jadilah.

Danial terpaku tidak percaya bahawa dia baru sahaja ditampar oleh seorang perempuan yang jauh lebih kecil fizikalnya berbanding dirinya. Tikus tampar singa? Kejadian begini julung kali berlaku. Belum pernah ada sesiapa pun berani menyentuhnya selama ini, biasanya semua dah mencicit lari sebelum Danial sempat angkat tangan. Tapi hari ini pipinya yang mulus sampai rasa pedas akibat ditampar, oleh seorang perempuan pula tu? Aduh, memalukan!

Seisi kelas tergamam. Aina dan Danial sama-sama berpandangan, kedua-duanya terkesima. Aina yang tersedar dahulu. Dia menggeleng sebelum berlari keluar meninggalkan tempat itu. Separuh tidak percaya akan tindakan drastiknya sendiri. Separuh lagi datang dari rasa kecewa kerana terpaksa bertindak sedemikian terhadap pelajar.

Entah apa yang meragut kesabarannya sedangkan Aina bukanlah seorang yang baran. Aina sendiri tidak pernah menjangka perkara seumpama itu akan berlaku. Tambahan pula, pelajar tersebut adalah Danial, ketua gengster di sekolah itu. Rasanya seperti bom atom baru sahaja digugurkan di Hiroshima. Perang dengan rasminya telah dilancarkan!

Danial yang terpaku di situ masih tidak dapat menerima hakikat bahawa telapak tangan Aina yang halus itu baru sahaja mendarat di pipinya. Danial sendiri bingung dengan perasaannya. Tak tahu mahu berasa marah atau teruja. Marah kerana berani-beraninya gadis bersaiz mini itu menentangnya sebegitu, ini benar-benar mencabar kelelakiannya. Teruja keranabuat pertama kalinya seorang wanita telah berjaya melunturkan keegoannya. Ini sungguh rare. Gadis ini memang lain dari yang lain, selalu membuatnya semakin penasaran.

Ah, tapi Danial juga keterlaluan tadi. Salah tempat dia melepaskan tekanan yang dialami ke atas Aina. Tidak patut sama sekali dia berkasar terhadap gadis manis itu. Danial tidak berupaya menghalang Aina pergi, matanya hanya mampu mengekori bayangan Aina dengan penuh kesalan.

Seketika kemudian barulah Danial menyedari yang dia masih terpaku di situ bagaikan tiang elektrik. Seisi kelas memandangnya seperti sedang menonton wayang di pawagam. Ada mulut yang terjuih-juih mencemuh tindakannya, ada pula mata yang memerhatinya tanpa berkelip. Tiada siapa berani mengkritik Danial secara terang-terangan. Danial dihimpit rasa bersalah, namun dalam masa yang sama dia juga berang dengan pandangan mereka.

“Apa tengok-tengok? Tak puas hati dengan aku? Siapa yang ada masalah dengan aku, mengaku kalau berani!” Jerkahannya bagai halilintar membelah bumi. Kesemuanya menikus, ada yang cepat-cepat membuang pandangan ke luar jendela, ada pula yang berpura-pura membelek buku.

Danial kembali ke tempat duduknya dan semakin bengang apabila melihat Cam yang sedang berdiri masih tidak henti-henti merenungnya dengan tajam.

“Kau ni apa hal, hah?Nak kena dengan aku jugak?” sergah Danial.

Cam cepat-cepat berlagak selamba. Cam berpeluk tubuh dan bersiul sambil mengetuk-ngetuk kasutnya di lantai. Aksinya ketara benar cuma lakonan semata-mata, tapi Danial hampir tergelak juga dengan gaya berpura-pura cool itu. Perlahan-lahan marahnya surut.

Ingatannya singgah semula kepada Aina. Ah, pasti Aina akan membencinya seumur hidup. Salahnya juga kerana terlalu mengikutkan perasaan marah. Danial mengeluh lagi. Kedua-dua telapak tangan menekup wajahnya kesal. Serabut!


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.