Bab 20
Izraf pulang agak lewat dari biasa, selepas maghrib. Tiba sahaja di
rumah, Izraf kehairanan memerhati persekitaran yang sunyi sepi. Rumah syurganya
itu terasa kosong dan beku. Tiada bunyi radio atau televisyen dipasang, juga
tiada suara Aina menyanyi kecil seperti biasa.
Izraf tertanya-tanya di
mana Aina. Rasa cemas mula terdetik di hati. Namun, ketika hendak meletakkan
kasutnya di rak, kelihatan kasut tumit tinggi hitam yang dipakai oleh Aina pagi
tadi, elok terletak di situ. Hatinya menjadi sedikit tenang, bermakna Aina ada
di rumah.
Izraf segera masuk dan
meletakkan beg bimbitnya di atas meja kopi yang diperbuat daripada kayu jati
itu. Izraf mencari Aina di dapur dan bilik air, namun hampa kerana Aina tiada
di situ.
“Mungkin Aina terlena,”
bisik nalurinya.
Izraf
menaiki tangga ke tingkat atas. Sebaik sahajaIzraf menjejakkan kaki ke
dalam bilik tidur, matanya terus tertancap pada susuk tubuh Aina yang tidur
mengiring berbantalkan lengan. Bantal-bantal yang ada telah jatuh bertaburan ke
lantai.
“Ganas jugak isteri aku ni tidur,” ucap Izraf
tersenyum sendiri. Izraf mengambil bantal yang jatuh dan menepuk-nepuknya
sebelum meletakkannya semula di katil.
Simpati hatinya melihat
Aina tidur tanpa bantal. Bangun nanti tak pasal-pasal lenguh tangan
berhari-hari. Seperti yang berlaku beberapa malam yang lepas, tanpa sedar Aina
beralih tidur ke lengan Izraf, terpaksa Izraf tahankan saja lenguh kerana tidak
sanggup mengejutkan Aina yang tidur pulas.
Selesa sangat agaknya tidur berbantalkan
lengan, Izraf sudah mula memahami tabiat Aina. Kalau lengan Izraf tak apalah
lenguh, lepas angkat dumbell nanti hilanglah lenguh tu. Tapi kalau
dibiarkan, kesian pula Aina yang lenguh nanti, baik tukarkan lengan Aina dengan
bantal.
Kepala Aina diangkat oleh Izraf untuk
menyelitkan bantal di bawah kepala, tindakan Izraf begitu berhati-hati, risau
mengganggu tidur si sleeping beauty. Aduh susahlah pula nak angkat,
nanti tergeliat pula leher dia ni. Aina masih diam tidak bergerak, wajahnya
tenang dan damai. Izraf menyentuh bahunya perlahan.
“Aina, angkat kepala sayang, abang nak letak
bantal ni,” bisik Izraf dengan nada lembut.
Aina masih tidak
bergerak. Izraf memerhati wajah Aina yang kemerah-merahan, alisnya sederhana
namun terbentuk rapi, bulu matanya lentik dan tebal, anggun bagai bulu merak.
Mata Izraf singgah ke hidungnya yang kecil, kemudian ke tulang pipinya yang
tinggi dan kelihatan begitu anggun. Bibir Aina yang mungil dan sehalus kelopak
mawar itu separuh terbuka.
Izraf merasakan debaran di dadanya semakin
kuat. Nafasnya tiba-tiba sesak. Peluh jantannya merembes. Macam simptom nak
kena serangan jantung. Ah, bukan lelaki namanya jika Izraf tidak tergoda untuk
menjadikan gadis cantik itu miliknya, apatah lagi Aina adalah haknya yang sah.
Dengan berat hati, Izraf
terpaksa memerangi pelbagai rasa yang timbul kerana simpati melihat Aina tidur
begitu lebih menguasai. Kerana sayang, nafsu jatuh nombor dua. Izraf memang
boleh menang anugerah lelaki paling gentleman abad ini. Izraf menghela
nafas dalam-dalam. Lalu sebelah tangannya menyelinap di belakang pinggang Aina
dan cuba mengangkat tubuh itu sedikit ke arah dadanya, sambil sebelah lagi
tangannya menarik perlahan tangan Aina yang dijadikan alas.
Izraf tersentak apabila
tersentuh tangan Aina. Kejutan elektrikkah, kenapa panas sangat ni? Rasanya
Izraf yang macam cacing kepanasan baru keluar dari gym, badan siap
bermandi peluh lagi. Peluh jantan, peluh betina, semua lengkap
berpasang-pasang. Tapi suhu tubuh Aina yang berapi ini memang tak normal, jauh
melebihi panas tubuhnya sendiri.
Aina yang sudah terjaga kerana pergerakan
Izraf terpisat-pisat menggosok-gosok matanya. Beberapa saat kemudian barulah
Aina tersedar tubuhnya separuh dipeluk oleh Izraf. Wajahnya yang sedia merah
kerana suhu badan yang berbahang menjadi bertambah merah. Izraf menyedarinya
lalu cepat meletakkan kembali tubuh Aina setelah mengalas kepalanya dengan
bantal.
“Sorry, abang nak letak bantal aje.
Aina sakit ke? Badan Aina panas sangat ni,” tanya Izraf dengan prihatin sambil
telapak tangannya meraba dahi Aina. Aina mengelak lemah, tidak betah
bersentuhan kulit dengan Izraf. Tubuhnya yang sedia panas terasa semakin
membakar apabila tersentuh kehangatan kulit Izraf.
“Tak tahulah. Rasa tak sedap badan. Hari ni
Aina kena gastrik kat sekolah, tak sempat makan apa pun pagi tadi. Lepas minum
susu dah okey, tapi balik rumah ajeterus rasa tak sihat semula,” lapor
Aina lemah.
Izraf mengeluh. “Salah abang, abang yang bawa
Aina tengok wayang tengah-tengah malam. Tak pasal-pasal lewat bangun, tak
sempat sarapan. Tengok Aina dah jatuh sakit.Lain kali kita tak payah
pergi tengok wayang dah, kerja bodoh!”
Izraf berasa kesal kerana merasakan dialah penyebab
Aina jatuh sakit. Dia sepatutnya menjaga Aina, tapi kerana ikutkan cadangannya
yang tak masuk akal, Aina yang jatuh sakit. Kalau boleh biarlah sakit itu
berpindah kepadanya, dia lelaki, sekadar sakit begitu dia boleh hadapinya.
Bukan Aina yang kecil molek, yang nampak begitu lemah di matanya sekarang. Macam
anak kucing yang tak berdaya, cuma bezanya Aina tak mengiau.
Aina terkedu mendengar nada marah Izraf.Aina
sebenarnya teruja dapat menghabiskan masa tengah-tengah malam begitu berdua
dengan Izraf. Izraf seolah-olah punya sifat romantik yang selama ini terpendam
apabila secara spontan mengajak Aina menonton wayang semalam.
Aina merasa lebih dekat dengan diri Izraf,
seolah-olah ada ruang yang dibuka oleh Izraf di dalam hatinya untuk Aina
mengisinya. Tidak terlalu menjaga jurang seperti selalu. Tidak, itu bukan kerja
bodoh!Ingin
sahaja Aina menjawabnya, namun Aina terlalu lemah untuk berbalah ketika ini.
“Jom, kita pergi klinik. Aina demam ni. Ambil
ubat gastrik sekali.” Nada Izraf lebih kepada mengarah berbanding mengajak.
Aina menggeleng lemah. “Aina nak tukar baju
pun tak larat, jangankan kata nak jalan,” ujarnya lemah.
“Tak payah tukar baju, biarkan aje pyjama
ni, doktor tu nak check Aina, bukan nak check pakaian.Pakai
macam ni pun comel dah, siap dengan kartun Garfield lagi.Kalau segan sangat cover
dengan jaket abang yang besar gedabak tu.”
Aina menggeleng lagi.
Degil! Kepala batu! Dah sakit-sakit pun masih
nak berkeras. Nak jugak kena paksa.
Izraf segera bangun dan
mencapai jaketnya yang tersangkut di dalam almari. Dia membangunkan Aina untuk membantu
menyarungkan jaket itu sebelum Aina sempat membantah. Izraf terus mencempung
tubuh Aina dengan begitu mudah, seolah-olah berat Aina hanya seberat bantal
kapas. Tubuh Aina didakap ke dada, manakala tangan Aina diletakkan di bahunya.
Aina terkesima dengan tindakan drastik Izraf dan tersipu-sipu menahan malu.
Berat sakitnya membuatkan dia merelakan bantuan Izraf. Setelah sampai di
tingkat bawah barulah Aina sedar dia terlupa mengambil kad pengenalannya.
“Abang, IC Aina
tak ambil lagi.” Suara Aina yang separuh berbisik begitu hampir di leher Izraf.
Dagunya yang disanggah di bahu Izraf membuatkan bulu roma Izraf automatik
meremang, lututnya tiba-tiba lembik.
Penyakit apakah ini? Hampir terlepas Aina
dari gendongannya. Izraf cepat-cepat menepis rasa itu. Orang tengah sakit pun
sempat lagi dia tangkap feeling atas insiden yang tidak disengajakan
itu.
Izraf mengangguk kemudian naik semula ke
tingkat atas dengan Aina masih berada di dalam gendongannya. Sebenarnya boleh
saja sekiranya Izraf meninggalkan Aina di sofa terlebih dahulu, manakala dia
kembali ke bilik tidur seorang diri untuk mengambil kad pengenalan Aina. Lebih
pantas dan menjimatkan tenaga.
Namun, Izraf terasa sayang pula untuk
melepaskan tubuh Aina yang sedang elok terletak dalam rangkulannya. Jika boleh,
dia tidak mahu melepaskan tubuh Aina sampai bila-bila. Biarlah dikatakan
mengambil kesempatan dalam kesempitan. Pada waktu itu Izraf sudah tidak peduli.
Kalau bukan kerana Aina tak larat, mana mungkin Izraf dapat peluang untuk
memeluk Aina begitu.
SETELAH berjumpa doktor, Izraf sempat singgah
membeli bubur ayam sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Nak masak takut
lambat pula, nanti sempat lagi gastrik Aina menyerang. Lagipun, Izraf memang
tidak begitu tahu memasak, silap hari bulan, dari bubur menjadi nasi jelantah
pula. Cuci pinggan sahajalah bidang kepakarannya sehingga kini. Bab
masak-memasak memang kelemahan paling besar Izraf. Sedangkan setakat bakar roti
pun boleh hangus.
Memandangkan rekod hitamnya itu, Izraf tidak
berani hendak mengambil risiko memasak bubur untuk Aina. Memanglah lebih
romantik kalau Izraf masakkan sendiri dengan penuh kasih sayang, tapi nak
membayangkan dia menetak ayam pun Izraf sudah ngeri. Nanti berjam-jam Izraf
bergelut dengan ayam di dapur, alih-alih jadi nasi jelantah atau bubur hangus,
ah baik beli saja. Kasihan Aina nanti tiada apa yang hendak dimakan, mesti Aina
sudah lapar dalam waktu yang lewat begini.
Aina yang sudah tertidur pulas di sisinya
sedikit pun tidak sedar ketika pelayan kedai menghantar bubur itu ke kereta.
Izraf hanya membuat pesanan saja kemudian menunggu di kereta. Risau agaknya
meninggalkan Aina yang kurang sihat seorang diri di dalam kereta, atau takut
Aina diculik barangkali.
Suara pelayan itu pula bukan main kuat lagi
macam pakai mikrofon, tak reti bertimbang rasa nampak orang tidur. Nasib baik
Aina tak terjaga sedikit pun. Letih agaknya, atau efek ubat yang dimakan ketika
di klinik tadi. Beria-ia Izraf memaksa Aina untuk makan ubat tadi, tak sempat
nak balik rumah, yang penting dia mahu Aina segera sembuh. Belas hati Izraf
melihat Aina yang selalunya lincah menjadi lembik macam tauhu. Tidak biasa
dirinya melihat Aina begitu.
Setibanya mereka di rumah, ketika Izraf cuba
mendukung Aina keluar, Aina tersedar dan berkeras mahu berjalan sendiri. Malu
rasanya balik-balik hendak didukung, bukannya dia budak kecil,
mentang-mentanglah tubuhnya kecil molek, senang-senang saja Izraf yang berbadan
sasa mengangkatnya.
“Aina nak jalan sendiri.”
“Aina bukan larat, biarlah abang dukung, Aina
tak berat mana pun.” Sebenarnya Izraf rasa rugi tidak dapat memeluk Aina lagi
jika Aina hendak berjalan sendiri.
“Aina dah kuat, tadi kan dah makan ubat,”
balas Aina, beralasan.
“Mana ada kuat, makan pun tak lagi. Kalau
jatuh macam mana?”
“Jatuh tak apalah, Aina bangun sendiri.”
Tengok tu degil betul! Ada saja jawapan dia.
Nampaknya inilah sifat Aina yang semakin Izraf kenali; degil, kepala batu,
keras kepala! Buat Izraf geram betul, cium baru tahu!
Akhirnya Izraf mengalah
dan sekadar membantu memapah Aina ke bilik tidur. Tangan kanannya memeluk bahu
Aina, manakala sebelah lagi tangannya memegang lengan kiri Aina. Aina yang
masih lemah menyandarkan tubuhnya pada Izraf. Tadi tunjuk kuat sangat kononnya
hendak berdikari, tapi akhirnya terpaksa juga separuh beralah. Kalau tidak
kerana bantuan Izraf, mungkin Aina betul-betul akan jatuh. Rasa macam nak minta
dukung balik. Tapi malu gila kot, tadi dah beria-ia menolak, kononnya dah gagah
perkasa macam badang.
Sebaik sahaja tiba di bilik, Izraf memaksa
Aina menjamah bubur yang dibelinya, nampaknya dengan Aina, Izraf kena rajin
memaksa lebih sedikit.
“Aina tak lapar.”
“Nanti gastrik lagi, tak takut?”
“Tadi kan dah makan ubat.”
Grr... banyaknya jawapan!
“Makanlah sikit. Abang dah susah payah beli
tahu.”
“Beli aje pun, bukan masak.”
Gulp! Sentap! Tahulah Izraf tak pandai masak!
Kalau pandai dah tentulah dia usahakan demi orang tersayang.
Melihat muka Izraf berubah sedih, Aina rasa
tidak tergamak pula menolak. Bukannya Aina sengaja menolak, sebenarnya Aina
segan kerana segalanya mahu dibantu Izraf, hendak bergerak pun kena dukung, nak
makan pun bersuap, macam orang kurang upaya saja. Sedangkan tangan dan kakinya
masih sempurna.
Lagipun, bila Aina sakit, penyakit degilnya
pun timbul sama, kerenahnya jadi bermacam-macam. Mujurlah Izraf sabar melayan
kerenahnya. Kalau orang lain, mungkin dibiarkan saja kalau tak mahu, tak larat
orang nak memujuk atau berbalah dengan Aina.
Akhirnya, mahu tidak mahu Aina terpaksa
membuka juga mulutnya. Namun, Aina hanya dapat menelan beberapa suap sahaja.
Hatinya boleh dipaksa, tapi tekaknya yang tidak sudi. Rasa pahit saja makanan
yang ditelan.
Izraf terpaksa beralah dengan kedegilan Aina.
Biarlah, sekurang-kurangnya sudah ada sedikit makanan panas masuk ke dalam
perut Aina. Setidaknya selesa sikit dia hendak tidur.
Tidak lama kemudian,
Aina sudah terlena dalam posisi meniarap, kepalanya mengiring ke kiri dan
tangannya memeluk bantal rapat ke bawah dagu. Jaket Izraf masih melekat pada
tubuhnya. Izraf tersenyum lucu memerhati Aina yang kelihatan terlalu kecil
tenggelam dalam jaketnya yang besar.
Selepas mandi, Izraf
membasahkan tuala kecil untuk digunakan mengelap di bahagian tubuh Aina yang
terdedah; tengkuk, tangan dan kaki Aina. Bolehlah untuk mengurangkan suhu badan
Aina yang sekejap naik sekejap turun. Izraf kemudiannya menuamkan tuala basah
itu di dahi Aina.
Izraf yang tidak lena
tidur gara-gara menjaga permaisurinya yang terlantar sakit. Berulang kali dia
terjaga, sebaik sahaja terjaga Izraf akan terus menukarkan tuala didahi
Aina. Hatinya belas melihat wajah Aina yang kemerah-merahan kerana demam.
Akhirnya Izraf terlelap di sebelah Aina dengan tuala basah yang masih berada di
tangannya.
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.