Home Novel Kisah Hidup Aithusa (Sudah Terbit)
Aithusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:17:10
412
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 4

MATA Amalia melilau ke ruang pekerja di situ. Besar sungguh. Setiap bilik berupa kapsul, bertingkat-tingkat di ruang yang besar itu. Kapsul itu akan bergerak turun setiap kali ada yang ingin masuk ke dalam bilik. Di situ, ada satu ruang yang tertulis bilik sakit pekerja.

"Kenapa awak kenyit mata dekat saya banyak kali?" tanya Amalia dalam perjalanan ke bilik sakit. 

"Oh, mata saya sakit."

Amalia menahan tawa. Nampaknya, dia yang perasan terlebih Hertz mengenyit mata kepadanya tadi. 

"Saya ajak awak pergi klinik sebab saya nak rehat sekejap. Penat jadi kru, dari semalam saya tak tidur." Selamba Hertz menambah.

"Susah ke kerja kat S.A?" Amalia sebenarnya kagum dengan pekerja yang berjaya masuk ke dalam S.A. Hanya yang terbaik boleh memasuki S.A.

Hertz menggeleng. "Taklah, seronok. Kita tak terikat dengan masa, tak ada istilah kerja ikut jam. Selagi kerja siap dalam masa yang ditetapkan, kita dah boleh balik, rehat, main, makan atau melancong. Kadang-kadang ada kerja yang perlu disiapkan dalam masa sebulan, tetapi kami buat dalam masa dua minggu. Masa yang berbaki, kami boleh buat apa yang kami suka. Selagi masa yang diperuntukkan itu tidak tamat, kami tidak akan diberikan projek lain.

Tuan Dayyan itu berorientasikan hasil. Dia lebih pentingkan produktiviti daripada kerja ikut jam, tapi tiada hasil. Kami dibayar ikut kepakaran, bukan ikut jam. Tak ada pekerja yang curi tulang atau bagi kerja dekat pekerja lain. Bebas dan seronok." Hertz mengangkat bahu.

"Dayyan tu mudah aje bagi duit dekat orang. Kau bagi dia hasil, dia nampak perkembangan, kau dapat kerja lama."

"Setiap pekerja sudah ditetapkan had keupayaan supaya kami tidak mengalami tekanan. Jika ada kecemasan, kami diminta untuk sentiasa bersedia di makmal. Ketika itu, tidak boleh ada alasan untuk mengatakan kami bercuti. Tugas memang dah siap, tapi kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, selagi tiada surat cuti. Dalam kumpulan, kita perlu bergilir-gilir untuk cuti."

"Wah, menariknya!" Amalia tercengang. "Kerja ini pun ada on-call."

Hertz mengangkat bahu kemudian tergelak.

"Perlu. Kadang-kadang server down tengah malam. Tak pun, rakyat bising tak ada Internet malam-malam sebab berlaku kerosakan pada sistem. Setelah satu projek siap, kami terus berikan projek itu kepada kumpulan lain untuk menguruskan perihal yang lain. Kami tetap perlu bersedia, kerana kami yang mencipta sistem itu. Sebarang masalah kritikal akan dirujuk kepada kami dahulu." 

"Sistem S.A pincang ke? Sampai kena on-call?" Amalia berbisik perlahan.

Kali ini Hertz menggeleng.

"Kebanyakan server kami down selalunya disebabkan bencana alam. Ribut salji di Lance yang paling teruk setiap tahun. Tapi kalau nak cakap pasal serangan lain ...." Dia mendekatkan mulutnya pada telinga Amalia. 

"S.A mendapat beribu serangan siber hampir setiap hari. Tapi, tak teruklah. Setakat ini tak ada sesiapa yang boleh menembusi tembok keselamatan S.A."

Amalia mengangguk sambil tersenyum.

"Faham."

"Kau nampak mencurigakan. Kenapa senyum tiba-tiba? Kau ke yang serang S.A setiap hari?"

Berdekah-dekah Amalia di situ. Dia hampir kantoi. Dia pernah cuba sekali, tapi tidaklah setiap hari. 

"Bukanlah, aku cuma faham kenapa S.A selalu mendapat serangan siber. Penggodam selalunya mencabar kemahiran menggodam mereka dengan buat cubaan menggodam sistem paling canggih. Hari ini tidak dapat, esok cuba lagi. Bukan kerana mereka mahu menggodam, tetapi kerana mereka tercabar ada lagi sistem yang tidak boleh ditembusi."

"Apa yang penggodam dapat lepas mereka menggodam sesuatu sistem?" Hertz mengangkat kening. 

"Kepuasan." Amalia tersenyum tajam.

Juga merupakan satu ketagihan. Kadangkala, dia menggodam semata-mata untuk melihat dia berada di tahap mana.

"Semakin ramai penggodam cuba nak pecahkan sistem, itu menunjukkan pekerja S.A buat kerja dengan sangat bagus sampai ribuan penggodam rasa terancam dengan sistem S.A."

"Kau macam berminat nak masuk S.A. Macam-macam kau tanya." Hertz memandang Amalia dengan mata yang kecil.

"Siapa aje yang tidak berminat? Syarikat terbesar dalam bidang teknologi dan perisian kut." Amalia tersenyum.

"Saja tanya, mana tahu kau boleh jadi kabel aku untuk masuk S.A." Dia saja bergurau seperti mereka sudah kenal lama.

Hertz tergelak. "S.A tidak main kabel. Salah satu cara untuk masuk S.A dengan pertandingan Software Angine's Prodigy. Ada sebab kenapa ia dipanggil prodigy, bukan protégé. Prodigy ialah genius yang berbakat. Protégé ialah orang yang dilatih. S.A cuma terima prodigy, bermaksud orang berbakat sahaja yang boleh masuk. Esok baru mula pembentangan untuk rekrut prodigy baru." Dia menyelak rambutnya yang serabai ke tepi.

Belum sempat Amalia mengamati wajah lelaki itu, rambutnya kembali turun menutupi sebahagian muka. Geram betul. Rasa macam nak tolong sikatkan, kemudian ikat rambut Hertz jadi tocang. 

"Janganlah pandang macam itu, saya pemalu orangnya," tegur Hertz apabila perasan Amalia memandangnya tak lepas. Dia makin menurunkan rambutnya supaya menutupi muka.

Amalia tergelak malu. "Maaf, kau tanya apa tadi?"

"Kau masuk ke?" tanya Hertz.

"Masuk!"Amalia mengangguk laju. Semangat dia memberitahu.

"Bagus. Aku pun dulu masuk melalui program itu juga, tapi yang merekrut aku Tuan Dayyan." Hertz mengangkat bahu. Dia bergerak ke kaunter klinik dan mengambil dua nombor giliran untuk dirawat. 

"Wow, dipilih oleh Tuan Dayyan itu bukan biasa-biasa! Tuan Dayyan kan cerewet, nak semua benda sempurna. Dengar cerita kalau dia tak puas hati, dia baling ciptaan orang masuk akuarium." Selamba Amalia menambah cerita.

Hertz tertawa.

"Berita itu dah terkeluar ke?" Dia langsung tidak menafikan. Ciptaannya juga pernah dilempar dalam akuarium. Itu hari-hari yang biasa bagi jurutera S.A. 

"S.A terkenal dalam industri perisian, mestilah kena tahu." Amalia tersengih.

"Nasib baik juri untuk bahagian perisian Tuan Ezra Rinamoto, bukan Tuan Dayyan."

Mereka berdua duduk di ruang menunggu sebelum nombor giliran dipanggil untuk menerima rawatan. 

"Betullah itu. Tuan Dayyan uruskan bahagian teknologi robotik, mekanikal. Tuan Ezra bahagian perisian dan kecerdasan buatan. S.A perlukan kedua-dua bidang itu untuk hasilkan teknologi yang canggih untuk manusia sejagat." Hertz mengangkat kening.

"Mungkin pada masa hadapan, kita akan bekerjasama?" Mata kirinya yang tidak tertutup dengan rambut turut tersenyum.

Amalia mengangguk. "Doakan aku bertuah esok." Dia mengangkat penumbuk bersemangat.

"Kau tak perlukan tuah, kalau TUHAN dah merahmati kau." Hertz tersenyum lagi.

Amalia membalas senyuman itu. Ada sesuatu pada Hertz yang membuatkan dia rasa tenang. Hertz ada banyak aura baik.

"143, sila pergi ke bilik nombor 1. 144 sila pergi ke bilik nombor 2." Jururawat di situ memberitahu. 

"Jom." Hertz menghantar Amalia ke dalam bilik itu.

"Sebenarnya, aku tak sakit pun." Amalia menggeleng.

"Tak apa, rawatan kat S.A semua percuma."

AMALIA melangkah ke dalam dewan dengan wajah yang ceria semula. Dia dibekalkan dengan multivitamin yang berharga ratusan secara percuma selepas keluar klinik S.A. Dia berasa kagum dengan syarikat ini. Orang di dalam dewan masih ramai. Pameran pelbagai perisian yang canggih menariknya ke satu reruai.

Ada seorang lelaki dikerumuni oleh orang ramai di podium tengah dewan, padahal lelaki itu cuma menaip sesuatu pada komputer. Mereka seolah-olah menunggu lelaki itu mengeluarkan magisnya. Tiba-tiba, lelaki itu meletakkan telefon pintar di atas lantai. Wayar telefon pintar yang bersambung dengan komputer ditanggalkan. 

Lengan Amalia disinggul dari tepi. Dia menoleh dan mendapati Angela di sebelah.

"Siapa dia ni? Kenapa semua orang tengok dia?" tanya Angela.

"Kau tengok dia kenapa?" soal Amalia pula.

"Sebab dia kacak."

Amalia menggeleng.

"Dia Raid Rinamoto. Anak Tuan Ezra Rinamoto," jawabnya perlahan.

Anak lelaki Tuan Ezra boleh tahan hebat, tapi Raid tidak terkenal dan bakatnya seolah-olah disembunyikan dari dunia luar. Amalia tidak pasti mengapa. Hanya sebilangan kecil manusia dalam industri siber yang tahu akan kewujudan Raid.

"Kau dah lama kat dewan tadi, mesti kau tahu dia tengah buat apa?" tanya Amalia semula.

"Dia tengah tunjukkan produk S.A yang tidak akan sesekali diguna atau disebar pada dunia luar. Demonstrasi ini khas untuk peserta dan pelawat yang datang ke pameran Hackathon," jawab Angela. 

Raid mengambil telefon pintar, kemudian menekan-nekan telefon itu.

"Sekejap, saya suruh Dayyan telefon saya."

Telefon pintar yang berada di atas lantai berbunyi menandakan panggilan masuk. Raid menunduk dan menjawab panggilan itu sebelum dia berdiri menjauhi telefon itu. Satu cahaya terpancar keluar dari telefon, membentuk hologram manusia.

'Itu hologram Dayyan!' Amalia membulatkan mata.

"Wah!" Ramai orang menjerit kagum.

"Sabar, belum lagi!" Raid tersengih. "Hologram satu perkara biasa di S.A. Tapi, macam mana kalau hologram itu boleh bergerak dan menyentuh apa-apa yang berada dalam radius 10 meter?" 

Hologram Dayyan bergerak keluar dari telefon pintar. Tubuhnya lengkap seperti manusia sebenar. Dia berjalan ke meja yang berada di situ, kemudian mengambil sebatang pen di atas meja seolah-olah dia wujud di hadapan mereka. Tidak cukup dengan itu, hologram Dayyan menumbuk prop yang berada di situ sehingga hancur. Mereka tercengang. Kekuatan seperti manusia sebenar.

"Cuma hologram, tapi wujud dalam bentuk pejal."

Raid tersenyum sinis.

"Saya memperkenalkan Teknologi 6 Dimensi. Dalam kata lain, kita boleh mendengar, melihat, menghidu, merasa, menyentuh, berjalan atau bergerak dalam radius 10 meter walaupun kita berada di ruang yang berlainan melalui hologram." Dia berjalan ke arah hologram itu lalu memeluk tubuh Dayyan seperti dia memeluk orang sebenar.

"Khas untuk hubungan jarak jauh."

Dayyan tergelak mendengar kata-kata itu.

"Rindu? Telefon sahaja dan mereka akan muncul di hadapan mata," tambah Dayyan.

"Wah!" Riuh satu dewan dengan jeritan takjub.

"Tapi malang sekali, projek ini tidak akan dilancarkan untuk orang awam." Raid melepaskan pelukan. 

"Bawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan."

Dia memutuskan panggilan telefon itu dan hologram Dayyan terus hilang.

"Ia cuma cahaya, tapi kita boleh menyentuh mereka dalam bentuk pepejal."

"Kenapa tuan tak nak lancarkan produk ini?" Ada seseorang bertanya lantang kepada Raid.

"Apa contoh bahaya yang akan berlaku kalau produk ini dilancarkan?" tanya seorang lagi.

Raid menghela nafas seraya menyandarkan tubuh pada meja di belakangnya.

"Pembunuhan ...." Dia terhenti sebentar.

"Pembunuhan boleh berlaku dengan mudah walaupun cuma hologram. Tapi kalau ia menyerang, kita tetap akan rasa sakit. Lagi-lagi kalau ia boleh angkat pisau dan pistol. Kita tak boleh bunuh hologram kerana pemilik sebenar hologram berada di ruang yang berbeza. Paling bahaya, tiada kesan cap jari. Tiada DNA. Pembunuh boleh terlepas dengan mudah. Teknologi ini boleh jadi serampang dua mata." Dia menggeleng.

"Kalau kamu rindu mak kamu, usahakan hubungan itu. Apa kata jumpa berdepan? Lebih baik daripada peluk hologram." Kata-kata akhirnya seakan-akan bercanda.

Mereka terus tertawa. Namun di sebalik kata-kata itu, mereka tahu Raid serius memaksudkannya. 

"Tapi, kita boleh tengok rekod panggilan mangsa yang terakhir. Siapa yang berhubung dengan mangsa melalui teknologi 6D itu. Sekiranya mangsa dibunuh atau dicederakan." Satu suara membalas.

Amalia menoleh ke arah pemilik suara itu. Kemudian, dia tersenyum herot. Itu Amer. Baru muncul. 

"Okey ...." Raid mengangguk.

"Saya ada satu soalan, tolong jawab dengan jujur. Siapa dalam dewan ini yang tak tahu macam mana nak padam rekod panggilan atau sebarang data dalam telefon orang, tanpa kita perlu sentuh secara fizikal telefon pintar itu?" Dia mendepangkan tangan dengan kening terangkat, menunggu manusia di bawah menjawab.

Satu dewan nyata terdiam. Walaupun Amalia tak pernah buat, tapi dia tahu caranya. Sama ada mahu atau tidak sahaja untuk melakukan perbuatan tidak beretika itu.

Raid ketawa berdekah-dekah.

"Lance antara negara yang termaju dalam bidang IT, AI dan teknologi." Dia tersenyum sinis.

"Dalam kata lain, jika teknologi 6D boleh diguna oleh orang awam dan jenayah berlaku, kita semua dalam dewan ini merupakan suspek utama pembunuhan, atau kita orang yang menghapuskan bukti dengan kemahiran godam yang kita ada. Boleh jadi kita kedua-duanya sekali."

Dia mengangkat bahu.

"Ini Lance, budak 12 tahun pun dah pandai buat coding. Menggodam tanpa lesen adalah salah di sisi undang-undang Lance. Tapi, berapa ramai yang buat? Berapa ramai yang duduk dalam laman web gelap dengan nama samaran dan berperang dalam dunia maya?" Raid menggeleng.

Amalia menelan air liur kerana dia merupakan pengguna laman web gelap.

"Tapi semua orang ada alasan masing-masing, tujuan mereka menggodam. Saya tidak menghalang dan juga tidak menggalakkan penggunaan laman web gelap untuk tujuan tertentu. Cerita sini, habis sini." Raid mengenyitkan mata.

"Realitinya, dunia siber ini gelap. Kita bermain di belakang algoritma dengan persona yang pelbagai. Kita tersenyum memandang manusia di dunia realiti, tapi pada masa yang sama menikam manusia di dunia maya." 

Pap! Raid menyatukan kedua-dua telapak tangannya, mengembalikan manusia ke alam realiti.

"Konklusinya, setakat ini teknologi 6D hanya boleh diaktifkan oleh dua orang iaitu saya dan juga Dayyan." 

Dewan itu senyap dipenuhi dengan manusia yang ligat berfikir tentang kemungkinan besar yang berlaku.

"Saya nak semua yang berada dalam dewan ini jadi saksi. Jika saya dibunuh hologram, maka suspek utama ialah ...?" Raid mengangkat kening.

"Dayyan!" Serentak penonton menjawab.

Gamat tawa mereka apabila kepala Raid ditunjal oleh Dayyan yang tiba-tiba naik ke atas podium. Penonton terhibur apabila dua lelaki berpengaruh itu bergaduh di atas podium seperti kanak-kanak riang. 

Amalia tersenyum herot melihat gelagat mereka. Dia cuma graduan baharu, masih mentah dalam industri. Ada banyak lagi yang dia tidak tahu dan dia harus melompat ke dalam industri yang dipenuhi manusia berbakat. Tapi, dia tidak tahu adakah hati mereka dalam industri ini membara atas tujuan yang sama?

Kadangkala Amalia tertanya-tanya, adakah dia terjun ke dalam industri ini semata-mata nampak kerjaya sebagai seorang developer ini hebat? Atau sebenarnya nak duit banyak? Atau dia cuma nak bekerja dengan S.A sebab syarikat ini menjaga gaya hidup pekerja? Atau dia cuma terinspirasi dengan Tuan Ezra Rinamoto? Apa yang membuatkan impian dia bermakna sehingga dia harus bermati-matian mempertahankan impiannya?

Tiada jawapan. Cuma, hatinya teruja setiap kali buat pengekodan. Mungkin itu cuma keghairahan, perkara yang buat dia teruja dan bukan sekadar impian.

Previous: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.