Home Novel Keluarga TAKKAN MELUPAKANMU
TAKKAN MELUPAKANMU
SITI ROZILAH
22/2/2016 08:58:36
15,566
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 15

15

HANYA empat hari saja lagi Anita akan diijabkabulkan dengan Razak. Anita pasrah dengan sebuah hakikat bahawa ayah kandung yang dinantikannya tidak akan muncul di hari pernikahannya kelak, sebagaimana dia pasrah menerima jodoh yang ditentukan ke atasnya.

Kadangkala hatinya dijolok juga oleh syaitan yang menyerunya agar segera melarikan diri dari rumah mak longnya itu. Apa gunanya ditunggu kalau sekadar untuk mendakap kesengsaraan?

Namun, ke mana arah yang harus ditujunya? Dia tidak pernah keluar dari kepompong yang dihuninya selama ini. Malah, dia tidak punya sesiapa pun di dunia ini selain daripada keluarga mak longnya. Yang tinggal mungkin ayahnya, tapi lelaki itu sendiri tidak mahu muncul untuk menyelamatkannya daripada kehidupan yang tidak membahagiakan ini.

Lalu dia mula mengunyah sebuah hakikat yang teramat pedih untuk ditelan!

Ya, Allah... jika perkahwinan ini telah ditakdirkan untukku, Kau bukalah pintu hatiku ini untuk menerima sepupuku sebagai suami. Bukalah juga pintu hatiku untuk membalas cintanya, ya Allah. Dia menadah tangan dalam deraian air mata.

“TEPI... tepi! Bagi laluan kepada bakal pengantin baru.” Kata-kata Faizal membuatkan para pekerja kilang yang sedang beratur untuk untuk melepasi pemeriksaan pengawal keselamatan di pintu utama, menoleh ke arah mereka.

Ada yang begitu sporting dan sanggup menyisih ke tepi untuk memberikan laluan kepada mereka berdua. Tetapi sebaik sampai di belakang Noni, gadis itu terus mendepangkan tangannya.

“Eh, Noni! Sportinglah sikit pada bakal pengantin.” Gesa Faizal.

Gadis itu berkeras. Dia tidak membenarkan mereka berdua memotong barisannya. Akhirnya, terpaksalah Razak dan Faizal beratur di belakang Noni.

“Orang lain semuanya bagi kami lalu!” rungut Faizal tidak puas hati dengan sikap keras kepala Noni.

“Kalau kau orang berdua nak balik cepat, aku pun sama. Jangan jadikan alasan nak kahwin untuk potong barisan!” Suara Noni juga sekeras suara Faizal.

Razak mencuit bahu Faizal dan memberikan isyarat supaya mereka mengalah saja dengan Noni.

“Seronoklah... tak lama lagi nak makan nasi minyak.” Kata gadis itu seolah sedang menyindir. Dia sempat menjeling sekilas ke arah Razak yang beratur di belakangnya.

Razak ketawa kecil. “Biasa aje.” Sahutnya. “Lepas ni mungkin giliran engkau pulak.”

“Hmmm...” Noni kedengaran mendengus. “Dah kahwin nanti jangan sombonglah pulak.”

“Isy, tak adalah! Aku tetap macam ni jugak. Kahwin tu hanya satu pertukaran status aje daripada solo kepada berpunya.” Razak sempat melawak tanpa mengetahui tentang sekepal hati yang sedang terguris mendengarnya.

Noni cuba menyembunyikan kelukaan di hatinya dengan gelak kecil yang sengaja dibuat-buat.

“Yelah tu! Saya ucapkan selamat pengantin baru.”

“Terima kasih. Nanti jangan lupa datang ke rumah ya.” Pelawa Razak sebaik saja mereka bertiga melepasi pemeriksaan pengawal keselamatan.

Noni tidak menjawab. Wajahnya mendung.

RAZAK dan Faizal menuju ke pekan. Mereka singgah minum di gerai Mamak Maideen. Masing-masing memesan segelas teh tarik dan sekeping roti canai.

“Jak, kau perasan tak wajah Noni tadi? Macam orang sedih aje aku tengok?” soal Faizal ke arah Razak yang sedang mencicip perlahan-lahan teh tarik panasnya.

Razak kerut kening. Dia letakkan gelas teh tarik di atas meja.

“Aku tak perasanlah pulak.” Dia menjawab.

“Agaknya betul cakap-cakap orang yang aku dengar...”

“Hah! Apa yang kau dengar?”

“Yang si Noni tu sebenarnya sukakan kau!”

“Isy, kau ni! Pandai-pandai aje bawak cerita.”

“Betul! Cerita ni aku dapat daripada kawan-kawan Noni jugak. Agaknya dia sedang patah hatilah tu kut?”

Razak hanya mendiamkan dirinya. Selama ini dia hanya menganggap Noni sebagai teman sekerjanya saja. Walaupun dia memang rapat dengan Noni tetapi dia tidak menyimpan sebarang perasaan istimewa terhadap gadis itu. Dia bersimpati dengan Noni sekiranya gadis itu memang menyimpan perasaan terhadap dirinya. Dia berharap agar Noni akan berjumpa dengan jejaka lain.

Dalam diam dia membayangkan wajah Anita, bakal isterinya. Sejak mereka diikat dengan tali pertunangan, rasa sayangnya terhadap Anita semakin menebal. Selepas bergelar suami nanti dia berazam untuk memberikan kebahagiaan kepada isterinya.

Dia sebenarnya sudah lama memendamkan perasaannya terhadap Anita. Dia tidak berdaya meluahkannya kerana Anita adalah sepupunya dan mereka dibesarkan dalam rumah yang sama. Kalau Fendi tidak membuka laluan, mungkin hingga kini dia masih belum dapat meluahkan perasaannya.

“Noni tu cantik jugak kan, Faizal? Apa kata kalau kau aje yang pikat dia.” Usul Razak beberapa ketika kemudian.

“Engkau ni dah gila ke? Dia sukakan kau, tapi kau pulak pandai-pandai paskan kat aku.” Faizal membidas.

Razak ketawa. “Aku anggap dia sebagai teman biasa aje. Lagipun aku tak pernah tau yang dia simpan perasaan pada aku selama ni. Aku ni sekadar mencadangkan aje sebab aku tau kau kan masih solo!”

Faizal melambakkan tawanya. “Lepas ni kita nak ke mana?”

“Aku nak ke kedai pakaian tu kejap. Aku ingat nak belikan Anita tudung.”

“Kau nak suruh sepupu kau pakai tudung pulak lepas kahwin?”

“Dia bakal isteri akulah! Aku nak tengok dia pakai tudung lepas kahwin.”

“Kalau dia tak nak, kau nak paksa?”

“Bila dah jadi isteri aku nanti, dia kenalah ikut cakap suami!” sahut Razak sambil tersengih panjang.

Faizal hanya memandang dan dapat merasakan kebahagiaan teman karibnya itu.

RAZAK melangkah keluar dari kedai pakaian Ten-Ten sambil menjinjing plastik berisi dua helai tudung bawal berwarna biru dan putih yang bakal dihadiahkannya kepada Anita ketika senja mula melabuhkan tirainya.

“Bawak motor tu hati-hati, Jak. Orang yang nak kahwin ni berdarah manis.” Faizal mengingatkannya sebelum mereka berpisah membawa haluan masing-masing.

“Taulah aku! Eh, kau jangan lupa dengan kata-kata aku tadi tau.”

Faizal kerut kening. “Tentang apa?”

“Cubalah pikat si Noni tu. Mana tau ada jodoh kau dengan dia.”

Faizal tergelak besar mendengarkan kata-kata terakhir Razak itu. Dia segera celapak belakang motosikalnya, menghidupkan enjin dan berlalu meninggalkannya. Razak hanya geleng kepala melihat telatah temannya itu. Beg plastik berisi tudung diletakkan dengan cermat ke dalam bakul motosikalnya. Selepas itu dia menghidupkan enjin lalu beredar dari situ.

Dia langsung tidak menyedari bahawa segala perlakuannya sedang diperhatikan oleh beberapa orang pemuda yang menaiki sebuah kereta berwarna putih. Dia juga tidak sedar yang dirinya diekori oleh pemuda-pemuda tersebut.

FAIZAL yang sedang memecut motosikal Yamaha RX-Znya segera memperlahankan mesin tunggangannya itu sehingga berhenti di bahu jalan. Dia terasa seperti ada yang tidak kena. Dia cuba mengingati kembali apakah hal yang mengganggu fikirannya.

Ingatannya berputar ke belakang, semasa dia dan Razak sedang minum di gerai Mamak Maideen tadi. Dia cuba mencari apakah yang tidak kena di sana, namun gagal. Kemudian dia dan Razak melangkah keluar dari perut gerai itu. Dan ketika itulah dia terlihat kelibat seseorang yang dikenalinya sedang memerhatikan ke arah mereka berdua.

Fendi! Ya, dia pasti yang lelaki itu adalah Fendi. Dia tahu Fendi memang berdendam dengan Razak. Malah, anak lelaki Penghulu Bakri itu juga pernah bertumbuk dengan Razak kerana berebutkan Anita. Tapi entah mengapa lidahnya terasa berat hendak memaklumkan tentang kehadiran Fendi kepada Razak.

Mungkin Fendi kebetulan berada di situ. Tidak mustahil! Dia cuba sedaya upaya untuk menyedapkan hatinya. Puas dia berusaha, namun tetap tidak berjaya. Akhirnya dia menghalakan motosikalnya ke pekan, ke arah kedai pakaian Ten-Ten semula.

Kelibat Razak tiada di mana-mana!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.