"Ya Allah, apa yang dah aku lakukan ni?
Sudahlah mandikan Mishka dengan air sirap lepas tu buat Prof Melati syak yang
aku dan Mishka ada apa-apa. Hu hu tak pasal-pasal malukan diri sendiri,"
rungut Anggun Danisha sambil membawa baju kemeja Harith Mishka ke dalam bilik
kerja lelaki itu.
"Mishka pun satu, kenapalah tak berterus
terang yang mereka ni sepupu!" gumam Anggun Danisha lagi. Sungguh hatinya
tidak senang dengan tanggapan Profesor Melati itu. Takut gosip ini sampai ke
telinga Bunyamin kesayangannya. Mesti lelaki itu akan kecewa apabila mendengar
gosip tidak enak sebegitu.
Melihatkan bilik Harith Mishka yang terbuka pantas
sahaja Anggun Danisha menapak masuk. Dia tahu tatkala ini lelaki itu sedang
berada di tandas. Membersih diri daripada kekotoran yang ditinggalkannya.
Anggun Danisha tersentak. Dia hampir terlompat
apabila melihat sekumpulan monyet berada di atas meja Harith Mishka. Memang di
fakulti pendidikan banyak betul monyet-monyet yang berada di sana sini. Entah
di mana datangnya Anggun Danisha sendiri tidak tahu.
"Shhh...shhh..."
Anggun Danisha cuba menghalau. Dia cuba
memberanikan diri. Walaupun sebenarnya hati di dalam begitu takut dengan
monyet-monyet itu.
"Keluar! Keluar!" jerkah Anggun Danisha.
Dia mengambil batang penyapu dan mengetuknya beberapa kali di meja.
Monyet-monyet itu ketakutan. Terus sahaja berlari bertempiaran keluar.
"Mishka pun satu. Tak tutup pintu! Tak
fasal-fasal dah kena ceroboh dengan monyet!" bebel Anggun Danisha. Dia
mengemas meja Harith Mishka yang sudah berselerak gara-gara monyet-monyet
tersebut. Tiba-tiba mata Anggun Danisha terpaku kepada sehelai kertas yang
sudah terkoyak dua. Anggun Danisha mengetap bibir.
"Ha sudah! Monyet dah koyakkan kertas kerja
Mishka!" keluh Anggun Danisha. Dia cuba menyambungkan kertas tersebut.
Memang boleh disambung.
"Tapi takkanlah nak letak macam ni je! Tak
fasal-fasal dia tuduh aku yang koyakkan kertas dia ni. Ish memang cari nahas!"
kata Anggun Danisha sendirian.
Lama diperhatikan kertas itu. Dia berada di dua
persimpangan. Mahu dibiarkan sahaja atau dibetulkan? Kalau nak betulkan dia
terpaksa menaip semula.
"Biarkan je lah!" kata Anggun Danisha
apabila memikirkan kesusahannya yang terpaksa menaip semula ayat demi ayat
dalam kertas tersebut.
"Ish kalau dia mengamuk macamana? Dah la tadi
aku dah tumpahkan air kat kepala dia! Malukan dia lagi! Huh kalau dia tahu
kertas kerja dia terkoyak begini tak fasal-fasal dia pecat aku pula!"
Anggun Danisha berfikir lagi. Menimbang baik buruk
keputusan yang perlu dibuatnya.
"Tapi bukan aku yang buat! Monyet yang koyakkan!
Tapi dia percaya ke kalau aku kata monyet yang buat? Tak fasal-fasal dia tuduh
aku sengaja merosakkan harta bendanya."
Mata Anggun Danisha tepat memandang komputer di
hadapannya. Hatinya seakan-akan bulat dengan keputusan yang satu. Tanpa sedar
kakinya sudah melangkah menghampiri komputer tersebut.
"Taip la sekejap. Bukan lama pun! Sebelum
Mishka masuk bilik ni," kata Anggun Danisha. Pantas jari jemarinya mula
memainkan peranan. Dia terus menaip setiap aksara pada papan keyboard sambil
tangannya memandang ke jam tangannya. Apabila sampai ke ayat terakhir terus
sahaja Anggun Danisha menyimpan dan mencetak dokumen tersebut. Dia kemudiannya
menarik nafas lega. Kertas itu diletakkan elok sahaja di atas meja Harith
Mishka. Fuhh lega!
Baru sahaja Anggun Danisha mahu melangkah, Harith
Mishka sudah masuk ke dalam biliknya. Lelaki itu kelihatan terkejut apabila
melihat Anggun Danisha di situ.
"I dah bawa baju you," kata Anggun
Danisha sambil menunding jarinya ke arah baju Harith Mishka yang digantung
kemas di penyangkut yang sudah tersedia di bilik lelaki itu.
"Thank
you," kata Harith Mishka tanpa memandang Anggun Danisha. Dia terus melabuhkan
punggungnya di kerusi kerjanya.
Anggun Danisha mengetap bibir. Dia memandang lama
ke arah Harith Mishka yang memakai baju pagoda dan berseluar slack. Rambutnya
masih basah lagi. Terasa kelakar apabila mengingati detik itu.
"What is this?"
Lamunan Anggun Danisha terhenti. Dia terus
memberikan tumpuan kepada Harith Mishka.
"Kenapa?" tanya Anggun Danisha.
Harith Mishka tidak menjawab. Diperhati lama kertas
yang berada di atas mejanya. Anggun Danisha yang melihat hanya menunggu dengan
debaran di dada. Serasanya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ejaan dan
format semuanya sudah dibetulkan. Malah hampir tiga kali dia menyemak semula
agar Harith Mishka tidak dapat mengesan sebarang kesalahan di situ.
"Pelik," kata Harith Mishka. Keningnya
dikerutkan. Dia memandang Anggun Danisha dengan penuh kemusykilan.
"Pelik? Kenapa pula?" tanya Anggun
Danisha kembali. Debaran di dadanya sudah tidak sekata. Apa pulaklah kesalahan
yang dapat dikesannya? Ish mamat ni semua kerja mahu perfect sahaja!
"Rasanya kertas ni tak ada di sini tadi,"
kata Harith Mishka.
Anggun Danisha mengetap bibir. Alamak...dia boleh
perasan pula! Ish semuanya salah monyet! Suka-suka hati je ubah kertas tu! Tak
fasal-fasal aku yang kena!
"Ooo ya ke? Dari tadi I tengok kertas tu di
situ," kata Anggun Danisha dalam debaran di dada. Tak kan dia nak cakap
yang monyet buat semua kerja ni! Mahu percaya ke lelaki itu?
"I'm sure. Very very
sure."
Amboi yakin betul mamat ni! Ni memang sengaja nak
cari kesalahan aku lagilah ni!
"Oh realy? I tak usik apa-apa barang
you," tambah Anggun Danisha lagi. Lebih baik dia mengaku awal-awal.
"Pelik betul," kata Harith Mishka. Dia
mengangkat kertas itu ke atas. Meneleknya dari sisi bawah. Kemudian dipusing ke
depan dan belakang. Dah macam Detektif Conan dah mamat seorang ni! Sengaja la
tu nak menyiasat lebih lebih. Konon nak mencari kesalahan aku lagilah tu! Ala
apalah yang nak dikecohkan sangat! Kertas dah sempurna dah! Tak kisah lah kalau
dia salah letak sekalipun! Huh kecoh betul.
"Apa yang peliknya?" Anggun Danisha
memberanikan diri untuk bertanya.
"Tadi aku dah buang dalam tong sampah!
Macamana boleh ada di sini?"
Gulp! Terasa liur yang ditelan terasa kelat. Mata
pula memandang Harith Mishka dengan wajah tidak percaya
"Aku confirm
aku dah buang dalam tong sampah. Aku dah koyak dua kertas ni! Tapi macamana
boleh ada kat meja aku ni? Cantik dan sempurna pulak tu! Pelik!"
Anggun Danisha tersentak. Berderau darahnya dengan
kata-kata dari bibir Harith Mishka. Bibir diketap kejap, melawan rasa marah
dengan tindakan bodohnya itu
"What?
What?" suara Anggun Danisha nyaring. Sungguh dia tidak percaya dengan
apa yang telah dilakukannya. Dia sudah buat kerja bodoh! Ah monyet! Kau sengaja
kenakan aku!
"Siapa pula yang rajin buat keja gila
ni?" tanya Harith Mishka sambil tepat memandang Anggun Danisha. Dia
sendiri keliru dengan apa yang telah terjadi.
Anggun Danisha mengetap bibir. Tidak tahu mahu
berkata apa. Mukanya sudah panas kerana malu. Ah kenapa aku menyibuk hal dia!
Sepatutnya lepas aku hantar baju terus aku keluar je. Biar monyet-monyet tu
bersuka ria di bilik Harith Mishka! Ya Allah, bodohnya aku!
"Errrkkk...I keluar dululah," kata Anggun
Danisha. Lebih baik dia pergi dulu sebelum tembelangnya pecah. Di dalam hati
masih menyumpah seranah monyet yang telah menghuru harakan harinya hari ini.
Harith Mishka memandang Anggun Danisha dengan
kerutan di dahi. Macam ada sesuatu yang tak kena je pada gadis ini? Harith
Mishka menggeleng. Malas memikirkan hal Anggun Danisha yang tidak berapa betul
tu.
Saat matanya tertacap kepada skrin komputer
mulutnya tersengih lebar. Kini persoalannya terjawab.
"So
funny.."
Langkah Anggun Danisha yang hampir keluar dari muka
pintu terhenti tatkala mendengar kata-kata itu. Segera dia berpaling mencari
wajah Harith Mishka. Kening dijungkit tanda bertanya maksud kata lelaki itu.
"Kau ni tak de kerja lain ke? Kenapa kau sanggup
buat kerja bodoh sebegini?"
Harith Mishka berpeluk tubuh sambil bersandar di
kerusi. Bibirnya mengukirkan senyuman mengejek. Bulat mata Anggun Danisha
memandangnya. Kulit wajah Anggun Danisha juga sudah berubah warna kemerahan.
Begitu jelas di matanya.
Anggun Danisha mengetap bibir. Malu sungguh dia
apabila melihat senyuman nakal Harith Mishka kepadanya. Sungguh dia tidak tahu
mana mahu disorok muka yang semakin kebas dan tebal ini.
"Bu..bukan macam tu. Tadi ada monyet masuk
bilik you. Manalah I tahu dia ambik kertas yang you dah buang dan letak di meja
you," jawab Anggun Danisha. Dia sudah tidak mampu memandang Harith Mishka.
Harith Mishka tergelak kecil seraya menggelengkan
kepala. Lucu. Memang lucu melihat gelagat Anggun Danisha. Kenapalah gadis itu
sanggup membuat kerja gila begitu. Kepala digeleng dengan senyuman masih
meleret di bibir.
"Lain kali jangan masuk campur urusan monyet!
Kan tak pasal-pasal dah kena!" usik Harith Mishka yang sudah ketawa geli
hati.