Bab
15
“Oh,
man!” ucap Anees sebaik jeep yang dinaiki mereka berhenti di
pinggir hutan. Dia memaksa tubuh kurusnya menjengah keluar, memandang
ke kawasan hutan. Dia terlena sejak melangkah masuk ke dalam jeep
tadi. Dia hilang jejak tentang usia perjalanan mereka.
Lokasi itu tampak
hijau, belum diteroka hutan konkrit. Masih segar untuk dijamah
pandangan mata. Tetapi tubuh Anees yang lemah tidak membuatkan dia
teruja untuk meneroka isi hutan tebal itu. Dia membayang ular-ular
yang berlingkar. Mungkin ada Pak Rimau yang sedang menunggu masa yang
sesuai untuk menerkamnya. Barangkali dia hanya akan menjadi sup
tulang kosong, menjadi tahi gigi binatang-binatang liar memandangkan
tubuhnya tidak cukup berisi. Mungkin juga mereka tidak akan terliur
langsung sewaktu melihatnya.
Sack
bag coklat yang bersaiz gergasi digalas Cahaya tanpa rasa kekok. Ijah
hanya bertemankan beg kain kecil yang tersimpan kain batik, beberapa
helai t-shirt dan seluar reggae kesukaannya. Mereka menuju ke hutan,
menjijak atas denai yang selalu diikuti jungle trackers, menuju ke
hulu Sungai Baram. Anees beberapa kali mengeluh, menyarankan agar
mereka berpatah balik kerana dia sudah tidak mampu meredah hutan
tebal itu. Tetapi Cahaya dan Ijah tetap jua berdegil.
Mengikut sejarah
yang dibaca Cahaya, orang Kenyah sudah mula menetap di Dataran Tinggi
Usun Apau sekitar 1400 masihi. Kaum itu mula berpecah sekitar 1400 ke
1600 masihi ke kaum sub-Kenyah seperti Kenyah Jamok, Kenyah Badeng,
Kayan, Lepo’ Tau dan sebagainya. Kaum yang paling berubah dari segi
bahasanya adalah sub-kaum Kayan dan Penan. Namun, ada juga persamaan
antara bahasa-bahasa mereka.
Cahaya tidak arif
dengan dialek Kenyah tetapi kalau dilihat di Semenanjung sendiri,
dialek bukan sesuatu yang asing. Lihat saja perbezaan dialek orang
utara dan pantai timur di Semenanjung. Cahaya mengambil masa yang
lama untuk mengenalinya. Malaysia terlalu kaya dengan sejarah, budaya
dan bahasa. Satu kekayaan yang seharusnya dibanggakan. Tetapi bagi
yang tidak biasa, barangkali ia sesuatu yang mengelirukan.
Bagi Cahaya sendiri,
Malaysia tidak perlu menjaja nama sebagai hub untuk membeli belah
ataupun health tourism yang masih ketinggalan kapasitinya. Malaysia
seharusnya menggunakan tiket kekayaan budayanya untuk memertabatkan
nama di dunia antarabangsa, untuk menarik lebih ramai pelancongan
asing ke negara ini. Itu tiket utama negaranya yang kaya dengan
budaya pelbagai lapisan bangsa, hidup dari tunjang yang sama,
berpijak pada bumi yang sama.
“Kak, penat,”
keluh Anees.
Cahaya menguntum
senyuman. Dia memikirkan info yang dibacanya lagi. Mengikut informasi
yang dicedoknya dari kisah sejarah, masyarakat Kenyah berpecah semasa
pemerintahan Raja Brooke. Ada sesetengah Kenyah yang berdamai dengan
pemerintah dan tinggal di daerah Baram. Sebilangan yang menentang
pemerintahan Brooke terus tinggal di Tanah Tinggi Usun Apau.
Meskipun diserang,
Kaum Kenyah Usun Apau berjaya mempertahankan kemerdekaan mereka dan
mula berdamai dengan Raja Brooke di Marudi. Kebanyakan kaum Kenyah
kini tinggal di Sepanjang Ulu Sungai Baram, Daerah Belaga, Bintulu
dan Kalimantan.
“Kak,”
panggil Anees sekali lagi sambil mencuit bahu Cahaya. Dia menjuihkan
bibirnya kepada beberapa orang lelaki yang sedang duduk berehat di
sekeliling unggun api kecil yang baru dinyalakan. Jungle trackers
seramai empat orang itu menghulurkan senyuman dan menyapa grup kecil
mereka. Seorang lagi sedang berbaring.
“Inu
denga? Tai ka mbi ko?” soal pemandu pelancong yang mengetuai
perjalanan mereka.
“Tiga.
Aku hantar teman ke uma dado’,” balas temannya, forest ranger
yang lebih fasih berbahasa Melayu dari Kenyah. Dia hanya menyisipkan
beberapa patah perkataan Kenyah ke dalam jawapannya meskipun dia
mengerti apa yang ditanyakan lelaki tadi. Dia bersalaman dengan
temannya yang menegur.
“Nak
ke rumah panjang juga?” soal Cahaya, ingin tahu jika mereka sedang
menuju ke destinasi yang sama.
“Ya.
Awak semua ni nak ke sana juga?” soal forest ranger tadi.
Cahaya
mengangguk.
“Marilah
duduk dulu,” ajak forest ranger yang mengenakan name tag Safuan
itu.
“Temannya
ini dari mana?” soal pemandu pelancong yang membawa Cahaya, Anees
dan Ijah pula, mula menggunakan Bahasa Melayu sebagai perantaraan.
Dia memang berasal dari suku kaum Kenyah.
Anees melabuhkan
punggung dekat unggun api tanpa melengahkan masa, cuba menghalau agas
dan tiruk yang mahu berehat atas lengan putihnya. Dia kaget, masih
sukar untuk membiasakan diri.
“Ini
doktor-doktor dari Kuala Lumpur. Mereka ini volunteer nak melawat
kaum Kenyah dan Kayan untuk buat health screening,” ucap forest
ranger tadi yang bukan dari suku kaum Kenyah. Tugasannya adalah untuk
memastikan doktor-doktor dari Kuala Lumpur itu tiba di rumah panjang
dengan selamat.
Pemandu
pelancing yang mengetuai perjalanan Cahaya ke rumah dado hanya
mengangguk, dia tidak faham Bahasa Inggeris, hanya sekadar
meneka-neka saja tujuan doktor-doktor muda itu ke sana.
“Saya
Fadil, ni kawan saya Ameer, Hanif dan Kausar. Saya dan Ameer dari
Hospital Kuala Lumpur. Hanif dari Hospital Butterworth dan Kausar ni
dari Hospital Ampang,” ucap Fadil, doktor yang paling tinggi dan
tegap di antara teman-temannya. Dia memandang rakannya Kausar yang
sedang berbaring dengan topi ditelangkup di atas muka.
Cahaya
menganggukkan kepala.
“Ini
adik saya, Anees dan pembantu saya, Ijah. Saya Cahaya,” jawab
Cahaya sambil menghulurkan sekuntum senyuman.
“Dalam
keadaan macam ni pun boleh tidur,” tegur Ijah sambil menjuihkan
bibir ke arah Ilham Kausar yang kelihatan sudah lena. Dia bangun,
menyertai Anees yang sedang duduk di tepi unggun api kecil.
“Orang
tengah patah hati,” usik Hanif.
Ameer
tergelak.
“Kenapa
ya?” soal Cahaya yang masih memberi perhatian.
“Si
Ilham tu ikut kami sebab nak datang kejar boyfriend dia yang
merajuk,” bisik Ameer, menyuarakan cerita sensasi yang didengarinya
dari salah seorang rakan mereka.
“Boyfriend?”
soal Cahaya dalam nada terkejut.
“Iyalah,
tak sabar aku nak jumpa dengan buah hati si Kausar. Kacak sangatkah?
Apa nama dia, Ameer?” soal Hanif, menyebarkan gossip yang mereka
sendiri tidak pasti tentang kesahihannya.
“Ahmad
Azriq Bin Fauzan,” ucap Ameer sambil membaca tag nama yang melekat
pada beg galas Ilham di sebelahnya. Ilham masih terlena.
Mulut
Cahaya melopong. Dia memandang Ijah dan Anees yang tidak menyertai
perbualan mereka. Dia cepat-cepat melihat tag yang melekat pada beg
galas Ilham yang pernah dipinjamkan kepada Azriq sebelum ini. Nama
penuh Azriq masih melekat pada tag, tidak ditanggalkan Ilham.
Tidak!
Jerit hati Cahaya sekuat-kuatnya meskipun bibirnya masih membisu. Dia
marah. Dia benci. Dia tidak mahu Ilham sampai ke perkampungan orang
Kenyah, bertemu dengan adiknya, Azriq. Dia tidak rela. Ah, dia mesti
melakukan sesuatu untuk menghalang hubungan Azriq dan Ilham.
Ilham
Kausar yang tadi terlena, mencelikkan mata semula. Dia bangun duduk
sambil mengalihkan topi yang menutupi mukanya. Pandangannya jatuh ke
muka Cahaya. Senyuman yang Cahaya lemparkan pada Fadil membuatkan dia
terpanah, membuat dia terdiam lama. Dia yakin yang gadis itu adalah
Cahaya yang ditunggu-tunggunya.
Cahaya
memandang semut-semut yang sedang melata atas tanah, sebelum memanjat
reranting patah dekat tempat dia menjulurkan kakinya, cuba membunuh
rasa serabut yang sedang bermaharajalela dalam fikirannya. Kalau
diikutkan hati, mahu diketuknya kepala Ilham dengan kayu besbol
sebelum lelaki itu terjaga. Biar lelaki itu tidak sampai ke rumah
dado. Biar lelaki itu dibawa pulang ke bandar semula.
Bagai ada aura yang
membuatkan dia mengangkat muka, terpanggil memandang Ilham sekali
lagi. Kebetulan lelaki itu juga sedang memandang ke arahnya. Dia
cepat-cepat tunduk, tidak menyangka yang lelaki yang tadi lena mati
itu sudah terjaga. Selang beberapa saat dia mengangkat muka lagi. Ya.
Ilham masih memandangnya. Arah mata Ilham terpasung ke situ, hanya
kepadanya.
Secara
spontan, Cahaya melabuhkan tapak tangan ke pipi, takut-takut kalau
ada sesuatu yang melekat pada mukanya. Tak ada apa yang terkesan pada
tangan. Kemudian dia meraba pula pada butang-butang bajunya, takut
kalau-kalau ada yang terbuka. Semuanya dipasang elok. Otaknya tak
henti-henti berfikir, mencari sesuatu yang barangkali boleh menjadi
penyebab mata Ilham terpaku padanya. Dia memandang Ilham semula.
Pelik. Sehingga
sekarang, lelaki itu masih jua memandang ke wajahnya. Adakah Ilham
tahu dia kakak Azriq? Ataupun adakah Ilham dapat membaca niatnya
untuk memukul lelaki dengan kayu besbol tadi? Mungkin lelaki itu
psikik. Mungkin lelaki itu boleh membaca apa yang tersirat dalam
hatinya.
Biar
aku cuba, cetus hati Cahaya. ‘Pergi balik Kuala Lunpur. Jangan
kacau adik aku. Kalau kau tetap berdegil aku akan pukul kau sampai
pengsan. Hahaha! Aku ni berkuasa. Kalau kau cuba ganggukan adik aku.
Aku akan hapuskan kau.’ Cahaya berucap di dalam otaknya, mahu
melihat sama ada Ilham faham ataupun tidak.
Ilham
tidak memberi reaksi. Dia masih menatap wajah Cahaya lama-lama.
“Bukan
psikik,” ucap Cahaya perlahan.
“Apa?”
soal Ameer, seakan terdengar sesuatu.
“Tak
ada apa,” balas Cahaya sambil menghadiahkan Ameer sekuntum
senyuman. Dia memandang Ilham semula.
‘Kenapalah
dengan mamat ni? Psycho betul. Macam mana dia boleh berpasangan
dengan adik aku? Rasa macam nak tampar-tampar muka dia. Tapi, muka
dia tu nampak familiar, macam aku pernah nampak sebelum ini. Di mana
ya?’ cetus hati Cahaya sambil mengalihkan pandangannya ke arah yang
lain. Selang seminit, dia memandang Ilham semula. Lelaki itu masih
setia memandangnya.
‘Comelnya.
Masih comel macam dulu. Mata masih sepet, hidung penyet tapi senyuman
dia…Senyuman dia sangat manis. Oh, gadis idamanku. Agaknya kau
boleh cam aku ke tidak? Kau tahu tak dah sepuluh tahun aku tunggu
kau? Kau tau tak hati aku sakit sebenarnya. Senang saja kau tolak aku
mentah-mentah. Kau tak cuba pun kenali diri aku dulu. Teruk sangatkah
aku ni?’ bisik hati Ilham.
‘Muka
boleh tahan. Aku rasa kalau dia straight mesti ada perempuan yang
suka. Tapi, kenapalah dia memilih untuk menyimpang? Dengan adik aku
pula tu! Tengok lama-lama rasa geli pula. Sudahlah bawa bekas air
warna pink. Ada corak bunga-bunga pulak tu. Kulit lincin semacam,
lagi lincin dari kulit aku. Dia guna SKII ke? Terasa malu pulak aku
jadi perempuan. Tercabar pula aku dengan kecantikan mamat ni.
Kenapalah dia cantik sangat?’ bicara hati Cahaya pula.
‘Apahal
mamat dengan minah ni? Tak betul ke? Seorang tersipu-sipu, tersengih
macam kerang busuk. Seorang lagi jeling macam nak makan orang. Mereka
ni betul ke tidak?’ cetus hati Ameer pula, yang sejak tadi jadi
pemerhati setia perilaku Ilham dan Cahaya yang cukup mengelirukan.
‘Kau
ni kenapa? Kau tak perasan ke yang aku dah tau kau asyik perhatikan
aku dari tadi. Kau ingat dengan muka kau yang jambu tu, kau boleh
mengorat aku? Sorrylah kalau kau ingat saham kau tinggi sebab kau
jambu. Sudahlah kau berani pikat adik aku, buat muka macam nak pikat
aku pula! Memang tak betul otak kau ni!’ gertu hati Cahaya lagi,
hangat membakar sampai hangit.
‘Kenapa
kau comel sangat, Aya? Ataupun aku yang rasa kau comel sebab aku suka
pada kau? Bodohkah aku? Aku tau aku takkan boleh dapatkan kau dengan
madah-madah indah. Kau bukan perempuan seperti itu, bukan? Kalaulah
aku boleh bertapak sekejap dalam fikiran kau, Cahaya. Untuk hari ini
saja pun jadilah. Bagaimana ya? Apa yang aku nak buat supaya kau
ingat aku?’ bicara hati Ilham sambil otak berputar laju, memikirkan
cara untuk membuatkan gadis idamannya itu ingat padanya.
“Kenapa
tengok saya macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Cahaya
sambil cuba mengawal rasa tidak puas hati yang membuak-buak dalam
dadanya. Dia menguntum senyuman mesra, seakan-akan tidak marah.
“Mata
saya. Suka hatilah saya nak tengok mana. Yang awak perasan saya
tengok awak tu kenapa?!” balas Ilham, agak kasar, cuba menutupi
rasa segannya. Girang hatinya disorokkan dari pemerhatian Cahaya.
“Garangnya,”
ucap Cahaya dalam nada lembut. Dia masih senyum sedangkan dalam
otaknya sedang membayangkan dia memukul Ilham dengan kayu besbol. Dia
membayangkan lelaki merayu-rayu memohon keampunannya sambil berjanji
tidak akan bertemu dan menghubungi Azriq lagi.
“At
least, saya jawab, kan? Inilah perempuan, pandang salah, tak pandang
salah. Jawab salah, tak jawab salah. Apa yang betul? Semua yang
lelaki buat serba tak kena!” balas Ilham, sengaja mencari gaduh.
Ameer,
Fadil dan Hanif terkedu, masing-masing tidak percaya dengan perubahan
sikap Ilham Kausar. Selalunya Ilham jenis yang lemah-lembut, suka
mengalah. Tetapi hari ini lain pula sifatnya. Garang tak kena pada
tempatnya. Nada suaranya juga tidak selembut selalu. Baru hari ini
mereka membuka mata, melihat Ilham sebagai seorang lelaki. Selalunya,
mereka menyelar Ilham dengan gelaran perempuan celup di belakangnya.
Mata
Cahaya membulat. Baru kini dia teringatkan Ilham.
“Awak
ni lelaki kat airport hari tu kan?” balas Cahaya, tiba-tiba
teringat insiden sewaktu dia baru sampai ke Malaysia.
“Oh,
baru aku ingat! Kau ni perempuan yang asyik senyum tu kan? Kau ingat
lawa sangat ke muka kau?” balas Ilham.
“Apa
kau cakap?” soal Cahaya, seakan tidak percaya.
“Aku
cakap kau ni perempuan perasan lawa. Asyik senyum, tunjuk baik. Faker
gila. Be yourselflah. Tak payah nak pura-pura. Kalau tak suka, cakap
tak suka. Apa kau ingat kau ni the world’s greatest faker ke?”
sindir Ilham.
Cahaya
menahan geram.
“Anees,
Ijah, jom kita gerak!” ajak Cahaya. Dia terus bangun, melangkah
kasar dan laju tanpa menunggu Ijah dan Anees.
“Kak,
tunggu,” pinta Anees. Dia dan Ijah menyaingi langkah Cahaya bersama
tour guide mereka yang tak sempat berehat lama.
“Apa
kena dengan kau, Kausar?” soal Ameer, tak dapat menahan diri dari
bertanya selepas bayang Cahaya menghilang.
“Saja
aku nak usik dia, cari pasal. Seronok tengok muka dia bila marah.
Nampak comel sangat. Dah sepuluh tahun aku tunggu nak jumpa dia.
Rindu sangat dengan dia,” jawab Ilham spontan.
“Apa
kau merepek ni, bro? Kesian aku tengok dia. Belum apa-apa, dah kena
sound macam tu,” soal Fadil pula.
“Aku
kenal dia, Fadil. Cuma dia dah tak ingat aku lagi. Biarlah, aku nak
tengok sekeras mana hati dia,” balas Ilham sambil tersengih lebar.
“Apa
yang kau dapat dengan buat perempuan marah macam tu?” soal Ameer
sambil menepuk bahu Ilham.
Ilham
menguntum senyuman.
“Aku
dapat masuk dalam ingatan dia. Walaupun untuk sekejap, mesti dia akan
ingat aku lepas ni,” balas Ilham.
Fadil,
Ameer dan Hanif saling berpandangan sambil menggelengkan kepala.
“Kausar
dah meroyan,” komen Hanif.
“Aku
ingat kau…” Ameer menelan air liur.
Ilham
mengangkat muka. “Aku apa?” soalnya.
“Tak
ada apa-apalah,” jawab Ameer.
“Cahaya.
Cahaya. Kita memang ada jodoh. Sampai dalam hutan ni pun kita boleh
terserempak lagi,” ucap Ilham sendirian.
Ameer
dan Hanif saling berpandangan. Kalau sebelum ini mereka menyangka
yang Ilham Kausar seorang gay, kini mereka menyangkakan dia seorang
biseksual pula. Sebelum ini, dia seolah-olah berpasangan dengan
Azriq, kini dia cuba mencuri perhatian Cahaya pula. Ah, kerja gila!
Mereka sama-sama menggelengkan kepala.