Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,935
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

Bab 6


9 tahun kemudian…


Pagi hari ini cukup panas, seakan mengerti rasa yang membanjiri hati. Bagai ombak. Bagai petir. Bagai api. Ya, aku marah dan benci. Dalam masa yang sama aku sedih. Aku tak pernah punya sesiapa di Malaysia kecuali mama. Sebelum ini aku dihantar ke boarding school di Jepun. Aku hanya dijemput balik dari sekolah menjelang cuti semester. Baru setahun aku ditukarkan ke sekolah di Malaysia untuk menemani mama.

Aku tak dibenarkan untuk berkawan. Temanku saban hari hanyalah mama yang kian hari kian melidi. Aku hanya mampu bersuara dalam diari ini. Diari pemberian mama. Jadi, aku lebih suka apabila mama membawa aku pulang ke perkampungan atuk di Kyushu. Di sana barulah aku dapat merasa erti hidup berkeluarga.

Selain mama, temanku di Malaysia hanyalah buku. Buku untuk mengubat sepiku. Novel-novel Melayu yang sedap kuntuman bahasanya. Aku cekap mengarang tetapi papa tak pernah menggalakkan cintaku pada bahasa Melayu.

Pelik. Apabila aku memberitahu teman-teman tentang minatku pada novel Melayu, aku diketawakan. Kata mereka aku ‘jiwang karat’. Jadi, meminati karya Shakespeare atau Ahern tidak pula romantis dan ‘jiwang’? Skeptikal.

Fikir teman-temanku, aku kuno. Tapi, aku merasakan yang mereka yang kuno. Cerita-cerita Melayu yang kubaca bukan karya picisan. Tiap satunya membawa pengajaran, membawa pengertian yang mendalam. Aku bukan setakat membaca pada permukaan lenggok bahasanya tetapi pada maksud yang tersirat, maksud sebenar yang mahu disalurkan penulis kepada pembacanya.

Mempelajari dan mendalami bahasa ibunda papa bukan mudah pada mulanya. Mama masih likat dengan bahasa Jepun dan Inggerisnya. Sejak dulu, mama tak pernah mempelajari bahasa Melayu. Cuma aku yang dihantar ke kelas bahasa. Papa hanya pulang ke rumah sebulan sekali. Jadi, selalunya aku hanya berbahasa Melayu apabila aku berada di sekolah.

Pergerakanku terbatas kerana papa dan mama tak suka aku bergaul dengan jiran-jiran yang lain. Aku hanya mampu memandang dari kaca jendela, meneka tiap bual-bicara manusia sekitarku dari tiap gerak bibir mereka. Kekadang aku merasakan yang aku terlalu jauh meskipun aku dekat. Kaki ini tak mampu menjejak ke bumi bebas di luar sana. Aku cemburu dan aku marah.

Sejak mama pergi, hidup ini jadi tak keruan. Mataku sudah membengkak, membusut bagaikan orang yang terkena hereditary angioedema. Namun, sakitku takkan mampu disembuhkan walau dengan segelen plasma sekalipun. Sakitku sakit hati, rasa yang membinasakan perasaan.

Aku yang memandikan jenazah mama dan membantu mengapannya. Lalu ku iring mereka yang membawa jasad layu mama ke tanah perkuburan. Mama disemadikan di situ berseorangan.

Hilang sudah teman duniaku. Hanya al-Fatihah yang mampu aku kirimkan. Maaf, mama. Aku menangis lagi dan lagi hari ini. Meskipun aku tahu mama tak suka melihat air mata ini menitis ke pipi.

Semasa pemergian mama, barulah aku sedar tentang konsep kejiranan yang telah lama papa mansuhkan dari pemikiranku. Datuk yang sudah tua dan selalu sakit tak dapat datang dari Kyushu. Tetapi, jiran-jiranku tetap datang ke rumah biarpun mereka tidak mengenali mama. Mereka membantu aku menguruskan jenazah mama tanpa meminta balasan.

Pada usia 16 tahun ini, aku dipaksa menguruskan tugasan di rumah, mengemas dan membayar upah orang yang memasak untuk tetamu. Aku yang tercangak di pintu, mengucap terima kasih kepada jiran tetangga yang sudi datang. Aku dan aku lagi yang melunaskan semuanya.

Hati ini kerapkali tertanya, mengapa tugas berat ini digalas di bahuku pada usia ini. Di mana papaku? Mengapa papa tidak pulang sedangkan jiran-jiran yang tidak mengenali keluargaku sudi turun padang, meringankan tulang untuk mengiringi jasad mama ke liang lahad. Di mana suaminya?

Di mana letaknya cinta dan kesetian seorang lelaki? Sedangkan semasa hayatnya masih ada, mama seringkali didua dan ditigakan, apatah lagi selepas dia pergi buat selamanya. Rapuh benar cinta seorang Adam.

Ilham!” panggil Rossa.

Ilham menutup diari tadi lalu ditempatkan di sebelahnya. Wajahnya bersemuka dengan wajah mamanya, Rossa, saling memandang. Dia tertanya-tanya apa sebabnya mama melangkah masuk tanpa meminta izin dulu. Apa khabar yang mahu mama sampaikan? Ada resah yang terukir di wajah mama. Resah yang cuba mama padamkan dari jamahan mata Ilham. Tetapi Ilham tahu tiap riak wajah mama, tiap getaran dalam suaranya.

Buku apa tu?” soal Rossa.

Ilham tersenyum. Jari-jemarinya berlari atas buku yang berkulit keras itu. Sudah sepuluh tahun lamanya buku itu berada di dalam simpanannya. Sudah berpuluh kali dia khatam segala isi di dalamnya. Namun, dia masih tetap membacanya berulang-kali, mengubat sepi, meniupkan semangat tatkala pegangannya goyah. Ada magis dalam setiap kuntuman bahasa Cahaya, menyedarkan dan menginsafkan. Tiap kali dia membacanya, Ilham meletakkan dirinya dalam posisi Cahaya, mengerti sakit dan pedih yang ditanggung oleh hati gadis bermata sepet yang ditemuinya sepuluh tahun lepas itu.

Hadiah dari seorang teman. Dia minta Ilham simpan sampai dia kembali,” bohong Ilham, tidak mahu berkongsi rahsia bagaimana dia memperolehi diari itu dengan ibunya. Mama barangkali tak dapat menerimanya.

Dari Yogyakarta?” soal Rossa.

Hati Rossa menggerutu dengan pelbagai soalan. Tentang status anaknya sekarang. Tentang apa yang bermain dalam fikiran Ilham. Masih utuhkah pegangan dan kepercayaan Ilham? Masih ingatkah anaknya tentang semua nilai yang diterapkan dalam diri anaknya itu sejak kecil?

Anak lelakinya itu sudah tidak sekasar dulu. Dia jauh lebih lembut, baik dalam percakapan ataupun perilaku. Gayanya masih lelaki tetapi minatnya persis sedikit kepada kaum Hawa. Dia suka memasak dan rajin pula mengemas rumah. Sahabat karibnya mempunyai sifat yang sama, lembut dan ayu walaupun lelaki.

Ilham senyum tipis. Ya. Benar dia baru pulang dari Yogyakarta, selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Universitas Gadjah Mada. Tetapi bukan di sana dia menemui diari itu. Dia menemuinya di atas pepasir yang memutih, di kala dia sepi dengan hidup, mahu mencari titik mati.

Kononnya dia sudah bersedia ke barzakh, sedangkan imannya hanya setipis kertas, takkan memimpinnya ke Raudhah. Bodoh sungguh dia ketika itu. Naïf sungguh. Dia malu untuk mengungkit semula kisah itu, meracun gegendang telinga ibunya. Mujurlah TUHAN masih sayang padanya, masih memberikan dia peluang kedua.

Bukan, ibu. Dari teman di sini, dari Malaysia,” jawab Ilham.

Perempuan?” soal Rossa.

Ilham tidak menjawab.

Ilham, ibu nak tanya sikit,” ujar Rossa secara tiba-tiba, mahu mencari kepastian kepada soalan-soalan yang berlegar dalam fikirannya.

Dari kerut resah di dahinya, Ilham sudah dapat menduga. Dia tahu ibu gelisah sejak kali pertama bersua semula dengannya. Ada onar di hati ibu. Ada tuduhan melulu tanpa menyiasat dulu. Cuma ibu tidak mahu menyuarakannya di bibir, hanya di hati. Ilham tahu itu. Dia hanya setia menanti soalan itu terlucut dari bibir ibu.

Ilham ni…”

Rossa mengulum air liur sendiri. Seakan sukar untuk Rossa perjelaskan maksud sebenarnya. Bimbang Ilham akan terasa barangkali. Atau barangkali juga dia takut Ilham akan mengiyakan tekaannya.

Kenapa ibu tengok Ilham macam suka berkawan dengan lelaki lembut. Kawan-kawan Ilham tu ibu tengok lain macam. Perangai macam perempuan tapi jantan,” ucap ibu. Kali ini lebih jelas.

Ilham sudah menduganya sejak awal. Dia tertawa besar tetapi apabila menyedari ibu menjeling, dia cepat-cepat menutup mulutnya, cuba menahan tawa. Wajah ibu serius. Dia tahu ibu terasa seperti diperolok-olokkan.

Maaf, bu…” ucap Ilham dalam nada lemah, sedih yang dibuat-buat.

Rossa mengeluh.

But, I’m straight,” sambung Ilham.

Bahu Ilham ditampar Rossa sebagai hukuman kerana menakut-nakutkannya. Namun, kemudian dia menghela nafas lega.

Habis, kenapa tak ada girlfriend sampai sekarang?” soal Rossa.

Sebab saya tunggu Cahaya saya,” jawab Ilham.

Hah?” Rossa melopong sekejap.

Alah, ibu ni…” gurau Ilham sambil melembutkan lenggok tangannya dan menukarkan alunan suaranya seperti mengajuk percakapan lembut seorang wanita. “Tak kelaslah gitu, bu. Tak baik tau buruk sangka. Buat apa saya nak suka lelaki. Semua yang mereka ada, saya pun ada,” sambungnya lagi.

Rossa yang tadi serius ketawa berdekah.

Ilham membalas dengan senyuman. Dia memeluk pinggang Rossa. Kepalanya dilentokkan ke bahu ibunya yang sudah meningkat usia.

I’m straight, ibu. I always believe in God. Ada keindahan dalam tiap kejadiannya. Lelaki dan perempuan dijadikan untuk berpasangan. Saya tidak akan sesekali melawan hukum alam,” bisiknya lembut.

Pipi ibunya dikucup sekali, lembut bibirnya mengenai pipi Rossa, kemanisan kasih seorang anak. Dia harap dapat meyakinkan Rossa sekejap meskipun dia tahu ibunya akan dipasung persoalan yang sama selagi statusnya masih single. Jiran-jiran sudah mula bercakap-cakap. Papa sendiri menunjukkan air muka geram tiap kali dia keluar dengan teman-temannya yang berperwatakan lembut.

* * * * * *

Bunyi pesawat mendarat menikam telinganya. Bibirnya menguntum senyuman lebar sambil tangannya meloloskan seat belt sebelum tanda isyarat dimatikan. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dia melompat keluar dari pesawat dek kerana tidak sabar.

Persetankan saja kerusi empuk yang jadi perlabuhannya. Persetankan saja wajah pramugara kacak yang sejak tadi asyik tersenyum padanya. Pedulikan semuanya. Dia sudah sampai ke destinasi yang dirinduinya. Dia sudah tiba ke tanah kelahirannya setelah sembilan tahun berada di perantauan.

“Terima kasih kerana menggunakan Malaysia Airlines,” ucap pramugari yang berdiri di pintu keluar.

Cahaya Iris tersengih-sengih macam kerang busuk sebelum berlari keluar tanpa membalas ucapan pramugari tadi.

“Iris!”

Suara itu menikam telinganya, membatalkan hasratnya untuk menapak jauh. Dia nampak papanya yang baru melangkah keluar, dalam pakaian seragam kapten. Wajah papa sudah mulai berkedut tetapi masih setampan dulu. Ya, wajah yang digilai ramai wanita. Wajah yang boleh membuatkan perempuan cair.

“Okaerinasai,” ucap Fauzan.

Cahaya mengangguk sekali.

“Assalammualaikum,” ucapnya, membuatkan Fauzan terkedu kembali. Anaknya memilih untuk memberikan salam dari membalas ucapannya.

“Waalaikummussalam,” balas Fauzan.

“Aya nak pergi rumah lama mama. Papa nak ikut?” ucap Cahaya. Matanya bersinar dengan cahaya harapan. Wajahnya tampak naïf walaupun usianya sudah mencecah 26 tahun. Perwatakannya persis ibunya, Masaki atau nama Islamnya, Maslina.

“Not this time,” balas Fauzan.

“Not everytime, pa. Papa selalu cakap no. Aya dah tak balik sembilan tahun. Tapi, papa masih nak cakap no. No! No! No!” ucap Cahaya yang masih fasih berbahasa Melayu, mengajuk jawapan ayahnya.

“Aya, kan Aya tau papa busy,” balas Fauzan, mencipta alasan.

“A’ah, betul tu. Papa busy sangat,” sindir Cahaya sambil mengerling ke arah pramugari muda di sebelah papanya.

“Nanti apa free, papa janji papa akan balik sana,” janji Fauzan meskipun dia sendiri tidak pasti sama ada dia cukup tabah untuk kembali ke sana, mengenang sejarah lama antara dia dan Masaki.

“Masalahnya papa tak pernah free, kan?” gerutu Cahaya. “Tak apalah, pa. Biarlah Aya balik sendiri. Aya dah biasa hidup sendiri.”

“Aya,” panggil Fauzan.

Cahaya terdiam.

“Come on,” ucap Fauzan. Dia mendepakan tangannya, mahu memeluk anak sulungnya itu. “I love you, sayang,” ucapnya.

“I love you too, pa,” balas Cahaya sambil membalas pelukan papanya sekejap sebelum cepat-cepat melepaskannya.

Fauzan dimamah rasa bersalah. Matanya bertemu dengan mata sepet Cahaya. Anaknya itu tidak menunggu lama. Dia terus mencapai tangan Fauzan, bersalam dengan papanya sebelum angkat kaki dari situ.

“Dah besar dia, kapten,” ucap pembantu Fauzan.

Fauzan hanya menganggukkan kepala sambil memandang kelibat Cahaya yang semakin hilang di sebalik himpunan penumpang yang baru turun.

“Perangai macam mama dia,” ucap Fauzan.

“Tapi wajah saling tak tumpah wajah handsome, kapten,” ucap salah seorang pramugari yang masih berdiri di muka pintu.

“Dia lebih mirip Masaki sebenarnya. Terutama mata dia yang sepet tu,” sampuk pembantu Fauzan tadi.

“Saya selalu nak tanya kapten, kenapa namakan dia Cahaya Iris? Nama tu macam tak kena,” tegur pramugari tadi.

Imbasan wajah arwah isteri pertamanya terbayang dalam ingatan. Fauzan tidak pernah cuba membuangnya jauh-jauh. Dia tidak pernah melupakan Masaki. Kenangan bersama Masaki masih hidup subur dalam benaknya meskipun dia tidak akan mengakuinya secara terang-terangan di depan Cahaya. Tidak akan sekali-kali! Biarkan kuntuman rindu itu memekar di dalam hatinya saja. Masaki sudah pergi buat selamanya. Mengungkit kisah lama mungkin akan menarah luka yang lebih dalam di hati Cahaya.

“Saya nak namakan dia Nur Iris. Tapi, sewaktu arwah isteri saya daftarkan nama, saya tak ada di Malaysia. Dia salah faham. Saya beritahu dia, maksud Nur adalah cahaya. Dia keliru saya nak namakan anak saya Nur atau Cahaya,” jelas Fauzan.

Pramugari yang mendengar cerita Fauzan tertawa.

“She’s so pretty. Dia tak tahu betapa hebatnya kuasa senyuman dia. Tiap kali dia senyum, hidup saya ni rasa bercahaya. Dari kali pertama saya tatap wajahnya, Aya tu memang anak yang sangat kaya dengan senyuman,” ucap Fauzan.

“So, kapten nak tengok dia senyum lagi? Tak bosan tengok dia senyum saja?” soal pramugari tadi.

Fauzan tersenyum.

“Kenapa tak jawab?” soal pramugari tadi lagi.

“Soalan menduga ni, Nadya. Susah nak dijawab. Kalau saya cakap saya nak tengok awak senyum macam mana?” soal Fauzan.

Pramugari tadi menguntum senyuman selebar-lebarnya.

“Macam ni?” soalnya.

Fauzan tersenyum.

“Saya nak balik hotel. See you again, Nadya,” ucap Fauzan sambil melirik nakal. Dia melangkah meninggalkan gadis itu. Selang beberapa langkah, dia menoleh semula. Gadis itu masih ada di sana, tersenyum padanya. Masih tinggi saham aku, cetus hati Fauzan.

“Kapten,” panggil pramugari tadi.

Fauzan menoleh sekali lagi.

“Call me!” jerit pramugari tadi sambil melambai.

Fauzan tersenyum lagi.

“Be careful of what you wish for,” balasnya, mengingatkan sebelum meneruskan langkahnya.





Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.