Home Novel Keluarga Oh, Nonaku Azizah.
Oh, Nonaku Azizah.
Raihan Zaffya
29/8/2013 22:41:58
12,038
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 2


Hari itu Pak Long Azem menziarah Mak Aseh. Lelaki itu hanya mampu geleng kepala melihat keadaan Mak Aseh yang seperti sudah hilang separuh nyawa. Entah ke mana menghilang semangatnya. Mak Aseh seakan telah terlupa kewujudan anak-anaknya.

“Dah enam bulan arwah pergi, kamu tetap begini. Kesian anak-anak kamu, Aseh Mereka semua masih kecil, masih perlukan kamu.” Pak Long Azem cuba menasihati Mak Aseh namun adik sepupunya tetap membisu seribu bahasa.

Hanya bola matanya yang ralit merenung wajah Pak Long Azem. Pandangannya dalam tanpa berkedip. Pak Long Azem melepaskan keluhan berat. Dia tidan menyangka akan sebegitu penangggungan Mak Aseh. Lebih hiba apabila melihat anak-anak Mak Aseh yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

Razak sedang menggendong dan memujuk Zainal yang kelaparan. Tangisannya mendayu-dayu dek laparkan susu. Sedang Mak Aseh tidak mengendahkan. Wanita itu tidak punya jiwa lagi. Zainal hanya diberi air masak di dalam botol yang sekadar mengalas perut kecilnya.

“Pak long…air.” Azizah yang masih berhingus muncul dari dapur bersama secawan air.

“Terima kasih! Pandai Azizah!” Pak Long Azem tersenyum sambil mengusap rambut kanak-kanak itu.

“Tengok anak kamu, Aseh. Masih kecil terpaksa sediakan makan-minum sendiri.

Sayangnya Mak Aseh hanya memandang sekali lalu. Tanpa rasa. Azizah yang mempamer senyuman, tidak berbalas. Bergenang air mata Azizah. Sudah enam bulan ibunya tidak lagi mahu bersuara. Apatah lagi mahu membelai dan memanjakannya. Ibunya seperti tidak lagi kenal dirinya.

“Kamu tak boleh terus macam ni, Aseh. Kamu mesti ada azam untuk sembuh. Yang dah pergi, biar dia pergi. Kita yang masih hidup perlu teruskan hidup.”

Setiap kali Pak Long Azem datang mengunjungi, kata-kata itulah yang diluah. Dia tidak mahu Mak Aseh lemah. Dia tidak mahu melihat Mak Aseh terus rebah. Sedangkan masih ada anak-anak yang perlu diurus. Sayangnya setiap kata-kata Pak Long Azem tiada sambutan.

“Malam tadi Aseh mimpikan Abang Resad. Dia senyum pada Aseh. Dia lambai Aseh.” Kali ini tiba-tiba Mak Aseh bersuara. Lemah dan rendah suaranya. Diluah dengan payah.

“Dahlah tu, Aseh! Kalau anak-anak dengar tentu mereka sedih.”

“Razak!...bawa adik-adik kamu ke bawah ya.” Arah Pak Long Azem tidak mahu mereka turut mendengar.

Pak Long Azem tidak mahu keadaan Aseh berlarutan seperti itu. Jika Mak Aseh rindukan Pak Resad, sudah tentu anak-anaknya pun begitu. Jarang sekali terlihat air mata di pipi Razak dan Shahrudin. Mungkin mereka menyimpannya di dalam hati. Yang pasti raut wajah mereka tidak lagi ceria. Hanya Azizah dan Zainal saja yang selalu tumpah air mata.

“Abang Resad ajak Aseh ikut dia.” Ujar Mak Aseh lagi.

Tidak tahu apa yang mahu dikatakan lagi. Pak Long Azem hanya mendengar dan menggeleng berat. Tidak ada yang mampu membantu Mak Aseh untuk kuat dan pulih selain dirinya sendiri. Setiap kata-kata semangatnya pula hanya dipandang sepi oleh Mak Aseh.

“Abang balik dulu, Aseh.” Sudah lama di situ, dia mahu beredar. Mak Aseh tidak terpujuk lagi. Dia tetap dalam dunianya sendiri.

Tiba di bawah rumah, Pak Long berbual-bual sebentar dengan Razak. Razak dan Shaharudin sedang sibuk membelah kayu api. Azizah pula mendukung Zainal ke hulu ke hilir agar adiknya tidak lagi menangis. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri. Keadaan yang mendesak mereka melakukan itu semua. Selepas kematian Pak Resad tidak ada apa-apa yang boleh diharapkan dari Mak Aseh. Mereka terpaksa mendiri.

“Pak long balik dulu. Jaga adik-adik ya!” Pesan Pak Long Azem.

“Baik, pak long.” Razak mengangguk.

Sesudah membelah kayu api, Razak dan Shaharudin mencari ubi kayu di belakang rumah. Azizah mengekori kedua abangnya dengan pantas. Tidak teratur langkahnya kerana pinggangnya mengelek Zainal yang tidak duduk diam. Apabila kedua abangnya berjalan laju, Azizah berlari-larian mengejar mereka. Takut akan ketinggalan di belakang.

Sampai di kebun ubi, Razak memilih pokok ubi yang sudah matang untuk dicabut. Sekurang-kurangnya, mereka tidak perlu memikirkan makan tengahari. Ubi rebus dan ikan masin akan mengalas perut mereka hari itu. Kenyang atau tidak itu bukan soalnya, asalkan perut terisi.

Zainal meraung apabila tubuhnya digigit nyamuk. Dia tidak suka berada di situ. Bukan saja tubuhnya gatal tetapi perutnya juga kelaparan. Tangisan Zainal membuat Razak tidak selesa. Dikerlingnya Azizah dengan tajam. Pantas Azizah cuba memujuk Zainal agar diam.

“Siapa suruh datang sini? Budak perempuan kena masak di rumah. Tak payah ikut ke kebun.” Razak memarahi Azizah. Geram kerana Azizah selalu mengekorinya dan Shahrudin ke mana saja.

“Nanti orang masaklah…tapi rebus ubi lagi ke? Kan pak long ada bawak beras.”

Azizah tidak mengendahkan kemarahan Razak sebaliknya asyik memikirkan tekak dan perutnya yang rindukan butiran nasi.

“Beras tu bukannya banyak. Kita buat bubur untuk mak sebab mak sakit. Kita makan ubi, sudahlah.” Razak bercekak pinggang.

“Balik cepat! Buat bubur untuk mak.” Arah Razak tegas. Azizah menjuih tidak puas hati. Apabila Razak membulatkan matanya, Azizah tidak berani bersuara lagi.

Dia berlalu dengan wajah kelat. Sebentar lagi wajah itu akan dipenuhi abu dapur. Bukan mudah untuk menyalakan kayu api. Silap tiup, abu akan berterbangan ke seluruh muka. Kalau Azizah tidak mahu melakukannya, seisi rumah pasti akan kelaparan. Azizah naik ke atas rumah. Pinggangnya sudah terasa sakit akibat terlalu lama mengelek Zainal.

“Orang letak adik kat sini, mak. Orang nak masak.”

Kata-katanya tidak mendapat sambutan. Azizah tidak peduli kerana selama enam bulan ini begitulah keadaanya. Mak Aseh akan diam dan terus diam. Dia tetap meninggalkan Zainal bersama ibunya itu. Wajah Zainal direnung lama oleh Mak Aseh. Pelipisnya berkerut-kerut menahan sakit.

“Azizahhh!” Untuk sekian lama berdiam diri, Mak Aseh bersuara melaung Azizah yang di dapur. Zainal pula bermain-main dengan hujung baju Mak Aseh.

“Azizahhh!” Ulang Mak Aseh apabila Azizah tidak mendengar. Kali kedua suara itu masuk ke cuping telinga Azizah. Dia menjengah ke tempat Mak Aseh terbaring. Di tiang seri, tempat yang sama di mana Pak Resad terbaring di saat akhirnya.

“Orang datang, mak. Mak nak apa?” Azizah yang baru tujuh tahun berlarian ke hadapan. Setibanya di hadapan Mak Aseh, Azizah termangu.

Nafas Mak Aseh yang turun-naik menakutkan Azizah. Peluh dingin membasahi dahi ibunya. Dia hanya terbaring lesu sambil tangannya menggamit agar Azizah lebih menghampirinya. Azizah mendekat lalu duduk di sisi Mak Aseh. Dia menanti dan memerhati. Azizah tidak mengerti mengapa terlalu sukar untuk Mak Aseh bersuara.

“Azizah jaga adik baik-baik. Jangan nakal-nakal, jangan gaduh-gaduh. Mak nak pergi ikut ayah.” Suara Mak Aseh tersekat-sekat dan terlalu sukar untuk diluahkan.

“Mak nak ikut ayah pergi mana? Ayahkan dah mati!” Azizah masih tidak memahami apa-apa.

Kudrat Mak Aseh sudah tiada untuk membalas kata-kata Azizah. Tubuhnya terlalu lemah. Sayangnya Azizah tidak tahu Mak Aseh sedang bertarung nyawa. Sorot mata Mak Aseh terlalu jauh. Perlahan-lahan mata Mak Aseh tertutup rapat. Zainal merangkak ke atas tubuh Mak Aseh kerana mahukan susu. Sayang, tidak ada gerakan tangan Mak Aseh untuk memberi Zainal susu. Zainal menangis tidak henti-henti.

Azizah undur perlahan-lahan. Dia duduk di sudut rumah sambil menggigit-gigit jari. Dierenung Mak Aseh tanpa berkelip. Suara tangisan Zainal tidak didengari lagi.

Terbayang kembali oleh Azizah enam bulan lalu. Ketika Pak Resad sudah terkaku tidak bergerak dia dibawa pergi oleh orang ramai. Jauh dari rumah mereka. Ayahnya diusung di dalam kotak yang panjang. Sejak hari itu ayahnya tidak pulang-pulang lagi.

Kini, di hadapan matanya keadaan Mak Aseh tiada bezanya. Ibunya kaku tidak bergerak lagi. Akan dibawa pergikah ibunya oleh orang kampung sama seperti ayahnya? Azizah terlalu takut. Dia mahu ditinggalkan oleh lagi. Lebih-lebih lagi oleh ibunya. Ketakutan membuat air matanya berjejeran, dia menangis teresak-esak.

“Orang nak ikut mak! Nak ikut makkk! Bawak orang, mak! Jangan tinggalkan oranggg!” Jeritan Azizah begitu sayu.


**********


Azizah menyapu air mata. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, dia begitu hiba apabila terkenangkan kisah lalu. Biarpun sudah berpuluh tahun berlalu namun ia masih segar dalam ingatan. Untung nasibnya begitu malang. Menjadi yatim piatu, menumpang kasih di rumah orang. Tidak mahu tenggelam dalam kesedihan, Azizah mengambil wuduk untuk solat Asar.

Seusai bersolat, doa dipanjatkan. Memohon kesejahteraan untuk diri dan anak-anak. Biar hati sering terluka namun kasih Azizah terhadap mereka tidak sedikit pun berkurang. Sebagai ibu, dia tetap mahu hanya yang terbaik untuk mereka. Dia tidak mahu anak-anaknya merasai apa yang telah dideritainya.

Melalui sorot mata tuanya Azizah masih dapat melihat dengan jelas. Di benak nya belum terpadam kisah pahit-getir perjalanan sebuah kehidupan. Segala liku-liku itu telah menjadi teman setia di sepanjang laluan kehidupannya. Renungannya telus, seakan menembusi dinding bilik. Dia melihat seorang anak kecil sedang sibuk melakukan kerja-kerja rumah….


“Macam mana kamu buat kerja ni! Basuh pinggan pun tak bersih! Ambil semua, cuci balik!” Mak Long Ba’ayah memarahi Azizah.

“Orang rasa dah bersih, mak long.” Azizah yang sudah lapan tahun membela diri sambil tunduk.

“Degil betul!” Mak Long Ba’ayah tidak puas hati lalu mengambil segulung getah paip.

“Kamu mesti belajar patuh! Jangan terlalu pandai menjawab!” Mak Long Ba’ayah melibas getah paip ke tubuh Azizah beberapa kali.

Tiada suara tangisan, jauh sekali raungan. Perit tubuh menahan sakit, Azizah hanya menerima. Dia terlalu kecil untuk melawan tenaga seorang dewasa seperti Mak Long Rohaya. Azizah mencengkam kuat genggaman tangannya kerana menahan sakit tidak terperi. Bibir mungilnya bergetar, seiring tubuhnya yang terketar-ketar.

“Sudahlah tu! Sakit budak tu!” Pak Long Azem menegur sikap isterinya.

“Saya cuma nak didik dia, bang. Dia perempuan, besar nanti semua kerja dia boleh buat.” Libasan getah paip terhenti lalu Mak Long Rohaya menyimpannya semula.

“Azizah! Mari sini.” .

Azizah berlari menerpa Pak Long Azem. Dipaut pinggang Pak Long Azem tanpa suara. Dia berasa selamat untuk seketika. Pak Long Azem mengusap rambutnya dengan perasaan sebak. Dia dapat menyelami ketakutan dalam diri kanak-kanak itu. Ketakutan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Dah tu, pergi jaga Haris. Nanti mak long marah lagi.” Pak Long Azem merungkai pautan tangan Azizah sambil menjeling Mak Long Ba’ayah.

“Haris tidur lagi, biar dia bantu saya giling cili.” Arah Mak Long Ba’ayah yang sedang menyiang ikan.

“Baik mak long.” Azizah tidak pernah engkar arahan yang diberi walaupun tubuh masih terasa ngilu.

Diam-diam wanita itu menyungging senyum. Berpuas hati kerana Aziah dengar kata. Dia bangga apabila membayangkan Azizah bakal menjadi gadis dewasa yang tahu serba-serbi. Sudah tentu itu semua hasil didikannya.

Kedua tangan Azizah yang kecil mulai bermain dengan penggiling cili. Cili kering yang telah dibuang bijinya diletakkan di permukaan batu giling. Kemudian direnjis-renjis dengan air. Apabila cili kering telah basah, ia mulai digelek dengan penggiling.

“Adoi! Pedas! Pedas!”

Percikan cili mengenai mata. Azizah memejamkan mata lalu terlompat-lompat menahan pijar dan pedih. Air mata berjuraian tanpa henti. Mak Long Ba’ayah menarik Azizah lalu dibawa ke bawah pili air. Air pili ditadah dengan tempurung lalu airnya dicucur ke kedua kaki Azizah. Itulah petua turun temurun.

“Macam mana? Lega?” soalnya setelah melihat Azizah mengerdip-ngerdipkan mata beberapa kali.

“Lega tak?” ulangnya.

“Baik sikit, mak long.” Sahut Azizah jujur.

“Sudah baik, sambung kerja ya.”

Azizah hanya angguk. Takut mahu membantah. Dia berjalan perlahan ke arah batu giling. Berat hatinya mahu melakukan sekali lagi tetapi dia tidak punya kekuatan untuk engkar. Wanita tegas itu selalu menjadi mimpi ngerinya.

“Azizah…naik atas. Biar pak long bantu mak long.”

Tiba-tiba terdengar suara Pak Long Azem. Azizah lega. Dia meletakkan semula batu giling yang baru dipegang. Berjalan laju untuk ke tingkat atas. Tanpa berani memandang Mak Long Ba’ayah.

“Jangan manjakan dia bang. Dia mesti berdikari.”

“Tak apalah…kali ni saja.” Balas Pak Long Azem yang malas bising-bising.

Sikapnya yang suka membela Azizah selalu membuat Mak Long Ba’ayah berasa kalah. Tidak mengapa untuk kali ini. Di lain kali dia akan memastikan Azizah akan tetap melakukan setiap arahannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.