Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
27/11/2015 20:12:00
1,872
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 27

BAB 27

KARMILLA MENGERUK kepala. Ada-ada saja yang menjadi masalah. Printer yang sedang digunakannya sudah kehabisan ink. Bahan pelajaran yang ingin disiapkannya dalam masa yang sudah ditetapkan nampaknya terbengkalai pula. Dengan perasaan geram dia membonceng skuter buruknya ke pekan Port Dickson menuju ke kedai komputer.

Dia tidak berhasrat untuk ke mana-mana lagi selepas itu. Di benaknya hanya ingin cepat-cepat pulang, ingin membereskan semua bahan-bahan untuk assigmentnya dengan kadar segera. Ketika gadis berkulit hitam manis itu terburu-buru menapak keluar dari kedai komputer…

“Milla!” Satu suara kedengaran memanggilnya. Langkahnya terhenti. Seseorang sedang menghampirinya, lalu dia segera menoleh. Berderau darahnya naik ke muka, tekaknya terasa kering tiba-tiba. Kali ini dia tidak boleh lagi melarikan diri seperti dulu.

“Apa khabar?” pandangan pemuda itu polos ke wajahnya. Mata mereka bertemu. Karmilla kelu, lidahnya kaku untuk mengkhabarkan tentang dirinya.

“Sorang je?” Soal Haziq mesra, pemuda yang mengekorinya ketika di ekspo tidak berapa lama dulu. Karmilla mengangguk.

“Jom kita jalan-jalan sekejap.” pinta Haziq, matanya bulat menatap Karmilla penuh mengharap.

Beberapa orang pelanggan yang melangkah masuk ke kedai menjeling sekilas ke arah mereka. Karmilla jadi kurang senang diperhatikan begitu. Dia mengetap bibir menahan geram dengan pertemuan yang tidak disangka itu. Rasa menyesal pula datang ke sini.

“I nak balik,” tanpa berfikir panjang Karmilla menolak pelawaan Haziq dengan satu jawapan yang jujur.

“Milla please..., lama benar I cari peluang nak jumpa you!” tangan Haziq tiba-tiba menarik Karmilla. Karmilla pantas menepis. Dia lalu melangkah keluar dari kedai. Beberapa langkah dia menjauhi pintu kedai tadi, Haziq terus mengekorinya. Karmilla berhenti melangkah. Haziq juga, dia berdiri di sisi Karmilla.

“You nak apa ni?” soal Karmilla separuh membentak, suaranya diperlahankan. Rasa geram yang berkumpul cuba ditahankan agar tidak meledak.

“Milla, I perlu jelaskan pada you hal yang sebenarnya.”

“You nak jelaskan apa lagi?”

“You salah sangka Milla, apa yang you nampak perlu I jelaskan, ” jelas pemuda itu seakan merayu.

“Sudahlah Ziq, kita bawalah haluan sendiri.”

“Milla…jangan cakap begitu,” suara pemuda berkulit cerah dan tinggi sedikit darinya mengendur pula.

“Dunia kita tidak seperti dulu lagi.”

“Kenapa you tinggalkan I hari tu? Sampai hati you.” Haziq tidak juga mengendahkan kata-kata Karmilla tadi.

“Sampai hati?” Soal Karmilla sinis, sebuah senyum kelat terukir di bibirnya. Karmilla merenung tajam ke mataNOR RIHA KADIR

Haziq .

“Milla, you cemburu sebenarnya!” ujar Haziq, suaranya serius namun tetap diperlahankan.

What? you cakap I cemburu.?” Karmilla agak tersentak sambil menyoal balik dengan nada keras. Wajahnya tegang. Haziq sempat menjeling ke kiri dan ke kanan takut-takut suara mereka mengganggu orang lain. Nyatanya, ketika itu tiada pula manusia yang lalu di situ. Dengan suara geram yang masih terkawal dia terus menempelak gadis di depannya itu.

“Ya, kalau you tak cemburu, you takkan marah I sampai macam ni sekali, you tukar nombor telefon, you lari dari I…apa semua tu Milla?” Haziq mengungkit semuanya dengan kesal. Wajahnya sudah nampak merah menahan marah sambil terus memandang Karmilla.

Keadaan masih menyebelahi mereka kerana tidak ramai orang yang lalu lalang. Jadi tidak banyak mata yang menyaksikan pertengkaran mereka ketika itu, jika ada pun hanya seorang dua yang berjalan laju tanpa mempedulikan mereka.

“Mari ikut I, biar I jelaskan semuanya.”

“Cakap je lah kat sini, I boleh dengar!”

“Di sini tak sesuai Milla.”

“Kenapa tak sesuai? I rasa pendengaran I ni sesuai disemua tempat!”

“Milla… jangan sampai I berkasar dengar you!”

“You nak buat apa?” soal Karmilla kasar. Sikapnya itu tak ubah seperti bunga api, yang memercik pada tumpahan minyak. Haziq cuba meraih tangan Karmilla. Karmilla pantas menepis kasar.“You patut beri I masa untuk I jelaskan cerita yang sebenarnya Milla, jangan hukum I begini!”

“Semuanya sudah jelas dan nyata!”

“Milla…you cemburu! Tolong bagi I peluang untuk jelaskan semuanya!” ulang Haziq terus juga merayu.

“Cerita palsu apa lagi yang you nak cipta, tak cukupkah cinta palsu yang you berikan untuk I dulu?” Karmilla sudah jemu dan sebak. Rasa sakit hatinya bertubi-tubi datang menikam.

“Okey sekarang mari ikut I, biar semuanya jelas pada you.” tangan kecil itu tiba-tiba dicengkam kuat. Karmilla amat terkejut dengan tindakan Haziq. Dia menjerit sekuat hati dan meronta-ronta cuba melepaskan tangannya .

Ternyata dia tak terdaya untuk lepas dari cengkaman itu. Haziq juga tidak mempedulikan perasaan Karmilla lagi. Dia benar-benar sudah hilang sabar. Dalam keadaan itu antara mereka seperti saling tidak mengenali hati budi masing-masing.

…..

Sekeping roti dan secawan teh tarik yang mengalas perut selepas solat subuh pagi tadi bikin perutnya kembali lapar. Jam sudah hampir ke pukul 10 pagi rupanya. Tekaknya seperti meminta-minta kopi o panas pula.

Matanya sedikit pedih akibat tidur yang terlalu lewat. Pada temannya di bengkel lukisan, dia memohon untuk keluar ke restoran yang berdekatan.

Sementara menunggu makanan dan minuman siap, pemuda berjambang itu duduk-duduk di meja luar restoran sambil membaca akhbar yang kebetulan ada di atas meja.

Kelihatan beberapa orang pelanggan sedang makan sambil berbual. Ketika matanya melilau mencuri pandang ke kaki lima sepanjang bangunan kedai , dia terpandang seorang pemuda dan seorang gadis sedang bertengkar. Entah apa yang mereka debatkan, tidak pula jelas di telinganya.

Jarak yang agak hampir membuatkan wajah keduanya nampak jelas. Kalau sepasang kekasih, keduanya memang nampak sepadan. Dari penglihatannya, dia seperti pernah melihat wajah gadis itu sebelum ini. Raish berkerut dahi, cuba mengingati di manakah gadis itu pernah ditemuinya.

Ahhh…Mungkin dia silap orang.

Dia hanya mampu melihat saja, lalu kembali menyambung menatap berita-berita di surat khabar. Suara jeritan mengganggu konsentrasinya, dia menoleh ke arah tadi. Kelihatan pemuda itu sedang menyeret tangan gadis itu untuk masuk ke kereta.

Raish bangun pantas berlari ke arah mereka. Dia terus memegang tangan pemuda itu cuba meleraikan, dan sepantas kilat pula kolar baju pemuda itu di cengkam sekuat tenaganya.

Hello bro!!!... ini tempat awam jangan buat kecoh di sini!” tegas suaranya menegur perbuatan biadap pemuda yang sedikit rendah darinya. Raish merentap tangan gadis itu meleraikannya dari cengkaman.

“Heii… you sapa hah..???.” soal pemuda itu kasar, tangan Raish masih mencengkam kolar baju pemuda itu . Dia terkial-kial seperti seekor ikan yang sedang digigit seekor kucing, cuba melepaskan diri.

Lehernya terasa sakit, dia seperti sukar hendak bernafas lagi. Melihatkan keadaan pemuda itu Raish sedikit melonggarkan pegangan tangannya.“I abang seppupu dia!” kasar saja jawapan Raish. Wajah Karmilla kelihatan cemas dan pucat. Dia cuba berlindung di belakang Raish, sambil menggosok-gosok pergelangan tangannya yang terasa sakit.

“Ini hal kami, you jangan masuk campur!” bentak pemuda itu geram. Dia tidak pula melawan setelah Raish melepaskan cengkaman tangannya ketika itu.

“Perempuan untuk di lindungi, bukan untuk dikasari

begini..”

“Eh… you jangan berlagak hero!”

“Dia adik I… siap you kalau sentuh dia lagi!” ugut Raish , jari telunjuknya lurus menunjuk ke wajah pemuda itu memberi peringatan tegas.

“Ini masalah kami, you jangan sibuklah,” jerit pemuda itu sambil menunjuk jari telunjuknya juga ke muka Raish. Keduanya berwajah tegang masing-masing mengetap bibir. Pemuda itu jelas masih tidak berpuas hati dengan Karmilla dan masih cuba untuk menghampirinya namun Raish tetap di depannya menjadi perisai.

“Bukan begini caranya untuk selesaikan masalah.” Raish cuba berlembut, lalu menjatuhkan tangannya, dia bercekak pinggang. Begitu pun kedua pemuda itu masing-masing belum mahu berundur, tangan masing-masing menggenggam penumbuk.

“Hei… sudahlah!” jeritan nyaring itu menyapa telinga semua orang. Karmilla menarik lengan Raish bila melihatkan keduanya seolah sudah bersedia untuk berlawan tumbuk, dia tidak ingin kejadian itu berpanjangan.

Akhirnya Raish mengundurkan langkahnya menjauhi pemuda itu bila tangan sejuk Karmilla secara terpaksa menarik lengannya. Orang ramai yang lalu lalang melihat gelagat mereka, ada juga yang berhenti ingin menonton sebabak drama tanpa pengarah itu.

Wajah Raish yang menyinga masih meratah wajah pemuda di hadapannya. Jika diikutkan hatinya mahu saja dia menumbuk pemuda itu bila dilihat pemuda itu semakin kecil di matanya.

“Eh…baik kau berambus, kau nampak ni?” jerkah Raish sambil menggenggam penumbuknya mengacu ke muka pemuda itu.

“Abang… sudahlah tu!” jerit Karmilla seraya menarik lengan Raish. Panggilan ‘abang’ itu menyejukkan hatinya.

Pemuda itu berlalu sambil mendengus geram ke arah keduanya. Dia melangkah menuju ke kereta Myvi kelabunya yang diparkir di hadapan kedai komputer. Tangannya membetulkan kolar baju yang sudah renyuk akibat cengkaman tangan Raish tadi.

Pintu kereta dibuka dan ditutup kasar. Di dalam kereta dia kelihatan menumbuk-numbuk stereng keretanya melepaskan geram. Cermin tingkap kereta dibuka, lalu dia menjerit ke arah Karmilla.

“I akan tetap tunggu you Millaa!” kereta Myvi kelabu berenjin sport itu terus mengaum pergi. Orang ramai yang melihat peristiwa itu semuanya lega bila kedua pemuda itu tidak jadi bergaduh. Beberapa orang mula beransur pergi.

Ada yang menggeleng- gelengkan kepala dan tak kurang juga yang bertanya sesama sendiri apakah puncanya.

“Hemmm… anak-anak muda sekarang ni macam-macam peel…lelaki perempuan sama saja.” bebel seorang lelaki tua yang bertongkat sambil melangkah beredar dari situ. Beberapa orang lain yang tercegat di situ juga turut meninggalkan tempat kejadian.

Raish melihat tangan kecil yang masih memaut lengannya, lalu pandangannya beralih pula ke wajah gadis itu. Menyedari banyak mata memandang di situ, dia menarik lengannya,

Karmilla baru tersedar dan dia terus melepaskan tangannya yang sedang memaut lengan Raish. Raut wajahnya diterpa rasa malu yang teramat. Dia lantas tertunduk menyembunyikan wajahnya.

“Awak okay ke?” soal Raish. Karmilla hanya mengangguk.

“Siapa tadi…err awak kenal dia?”

“Kawan,” jawabnya sambil mengangguk lagi, dia menatap Raish lalu menunduk lagi.

“Ooo...!” bulat mulut Raish menganga sekejap.

“Terima kasih ya.”

“Awak nak buat report polis?” Karmilla hanya menjawab dengan gelengan. Wajahnya muram.

“Okey, jom kita ke sana!”ajak Raish, dan sebagai tanda terima kasihnya Karmilla mengikut saja tanpa membantah.

Keduanya menuju ke dalam ruang restoran. Raish memesan segelas milo ais untuk gadis itu. Dia yang sudah tidak tahan lapar laju saja menghabiskan sepinggan mi goreng mamak yang dipesannya tadi. Kopi yang sudah jadi suam diteguk. Kenyang sudah, lalu dia mula menyandarkan badannya di kerusi.

Karmilla diterpa rasa malu menyedari pelukis kacak itu sedang memerhatikannya. Lambat-lambat dia mula menyedut minuman yang baru saja diletakkan di depannya. Raut wajahnya dirasakan sudah merah menahan rasa malu direnung begitu.

“Rasanya kita pernah jumpa sebelum ni kan?” Raish cuba mengisi kesunyian antara mereka. Sebenarnya dia sekadar ingin tahu kalau-kalau gadis itu masih mengenalinya. Dia rasa tidak silap orang, gadis inilah yang pernah datang di gerai lukisannya dulu dan kemudian ke kedai pak su nya.

“Ya.” jawab gadis itu sepatah. Karmilla menyuap makan dengan sopan berserta rasa janggal juga. Dia sedar, mata redup pemuda itu terus juga menatapnya.

“Eerr...nama…nama adik ni Milla kan?” Sambung Raish lagi. Wajah Karmilla ditatap curi, lama.

“Ya, ni dah kali ketiga Milla terserempak dengan abang.” Karmilla menjelaskan, dia sudah mula berani untuk bersuara, tetapi masih perlahan. Rasa sebak mengenang perbuatan Haziq tadi sudah beransur hilang dari ruang ingatannya.

Raish mengerutkan dahinya sebentar, kemudian senyum dan angguk pula. Di matanya dia melihat Karmilla seumpama adiknya Rabiah, yang perlu dilindungi juga. Akan tetapi wajah gadis ini jugalah yang memekar kembali nostalgia rindunya dulu. 

“Lain kali jangan jalan sorang diri, bahaya!”

“Emm…terima kasih atas ingatan abang,” ujar Karmilla perlahan, dia menunduk masih malu-malu.

“Maafkan Milla kerana panggil abang, rasanya lebih hormat sikit, boleh ke?”

Raish senyum juga mendengar soalan itu. Lelaki mana yang nak kata tak boleh bila dipanggil begitu. Sebenarnya semua lelaki suka bila dipanggil ‘abang.’

“Hemm boleh je, err…Milla nak abang hantar balik?” soal Raish. Baru dia sedar sudah lama dia di situ.

“Tak payahlah, Milla ni buat abang susah je,”

Pertemuan yang tidak sengaja itu telah berputik kemesraan. Mereka mula bertukar-tukar nombor telefon sebelum bangun untuk beredar pulang.

“Okeylah..., nanti ada masa kita jumpa lagi, terima kasih sudi temankan abang makan.” Raish bangun menuju ke kaunter bayaran. Seketika kemudian dia kembali semula, mengiringi Karmilla ke tempat letak skuternya.

“Saya yang patut berterima kasih pada abang.” ujar Karmilla ketika mereka berjalan beriringan. Ketinggian Karmilla hanya separas dadanya. Raish senyum, matanya melirik nakal pada gadis manis itu.

“Jangan pergi mana-mana, terus balik rumah tau, kalau ada apa-apa telefon abang ya.” Pesannya. Pesanan seorang abang untuk seorang adik. Karmilla mengangguk, berlalu pergi meninggalkan aroma wangi yang terkesan di hati lelakinya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.